Bahaya Ajaran Qadiani

Setelah selesai membaca perkongsian dari portal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hati aku tidak tenteram. Pelbagai persoalan berlegar di minda.  Bagaimana jika saki baki 'pengikut mereka' masih ada dan tidak sedar apa yang mereka amalkan selama ini adalah salah. 

Dan mereka berkahwin, punya anak dan fahaman tersebut menjadi amalan sekeluarga. Bagaimana pergaulan anak mereka di sekolah? Apa yang anak tersebut perlu lakukan jika dia baru tahu selama ini dia sekeluarga telah murtad.

Semoga kita lebih berhati-hati agar tidak mengikuti fahaman yang menyimpang dari fahaman Islam yang sebenar. Tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar. Berikut di sertakan artikel penuh dari MAIS. 

Majlis Agama Islam Selangor: AJARAN Qadiani atau Ahmadiah berasal dari India. Ia diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad bin Ghulam Murtadha bin Atta Muhammad yang dilahirkan di Qadian, berhampiran kota Amritsar, Punjab. 

Diasaskan pada tahun 1889 di Malaysia dan dipercayai bertapak pada tahun 1930 di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor, Selangor.

Gerakan Qadiani turut dikenali sebagai Ahmadiyah, Ahmadi atau Ahmadiyyat yang pada asasnya berpegang kepada kepercayaan bahawa ajaran Mirza adalah ajaran yang sebenar.

Pada 15 Disember 1953, telah diadakan perbahasan antara kumpulan ini dengan para alim ulama di hadapan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. 

Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa ajaran Qadiani tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam, malah terkeluar daripada Islam. Keputusan itu menyebabkan kumpulan tersebut semakin lumpuh.

Mengapa Ajaran Qadiani Diisytiharkan Sesat?

Terdapat pelbagai penyelewengan yang dapat dikesan dalam ajaran Qadiani. 

1. Antaranya adalah dakwaan Mirza Ghulam Ahmad dirinya sebagai Nabi yang menerima wahyu. 

2. Beliau berkata: “Demi ALLAH yang nyawa saya di tanganNya, Dialah yang telah mengutus dan menamakan saya nabi dan menunjukkan bukti-bukti yang jelas tentang kebenaran dakwaan saya yang jumlahnya sampai tiga ratus ribu bukti."

3. Beliau turut mendakwa dirinya sebagai Isa al-Masih selepas didesak oleh orang kanannya dengan tujuan menguatkan ajaran dan keyakinan pengikutnya. 

4. Mengatakan bahawa Nabi Isa benar-benar dibunuh dan bukannya diangkat ke langit oleh ALLAH dan orang yang mati tidak mungkin akan hidup ke dunia lagi.

5. Mendakwa dirinya mempunyai mukjizat. Katanya: “Nabi ALLAH itu telah mewujudkan tiga ribu mukjizat dan saya melebihi dari satu juta."

Katanya lagi: “Bulan yang terang menjadi gerhana kerana saya, masakan dapat menakan bulan dan matahari menjadi pucat kerana saya." 

6. Turut mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi selepas mengaku dirinya sebagai Mujaddid. 

7. Mirza Ghulam Ahmad turut menafikan konsep jihad. Beliau telah menyebutkan perihal jihad seperti berikut:

“Jihad dengan pedang telah dilarang. Semua peperangan untuk agama sekarang ini telah ditegah. Sekarang jihad untuk tujuan agama telah diharamkan. Pada pendapat saya, tiada doktrin yang memburukkan nama Islam lebih daripada doktrin jihad. Saya menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk mengiyakan kerajaan British dan menentang jihad.”

8. Beliau turut melakukan tahrif al-Quran iaitu mengubah ayat-ayat suci al-Quran mengikut kehendaknya sendiri agar bertepatan dengan dakwaan-dakwaannya.

KEPUTUSAN FATWA SELANGOR

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (dikenali sebagai Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' dalam Enakmen terdahulu) telah memutuskan bahawa':

1. Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenarnya. Pengikut-pengikut ajaran Qadiani itu telah dihukumkan kafir oleh ulama Islam serata dunia.

2. Jabatan Agama Islam Selangor melalui Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut Qadiani yang berpusat di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor pada 15 Disember 1953 setelah mereka dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan Sultan Selangor dan beberapa alim ulama di negeri Selangor. 

3. Setiap orang yang telah menjadi penganut ajaran Qadiani adalah telah murtad. Maka, wajiblah dituntut mereka bertaubat dan kembali kepada Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah.

4. Antara ciri-ciri ajaran itu menurut Mirza Ghulam Ahmad:

• Sebagai nabi yang menerima wahyu
• Imam Mahadi
• Isa al-Masih
• Mempunyai mukjizat
• Para nabi menyaksikan dirinya
• Malaikat sebagai pancaindera tuhan
• Nabi Isa AS telah mati dan kuburnya di Srinagar, India

5. Orang-orang Islam dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku- buku berikut:
  • Invitation To Ahmadiyah yang dikarang oleh Hazrat Hj Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II).
  • Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah yang ditulis oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah.
  • Alam Sebagai Saksi yang dikarang oleh Mohamad Zain bin Hasan.
  • The Holy Quran With English Translation And Commentary (Vol II, Part I) yang dikarang oleh M Mas’ud Ahmad.
Fatwa tahun 1998 di atas telah diperincikan pada tahun 2000 iaitu:

Memandangkan mana-mana orang yang telah menganuti ajaran Qadiani telah menjadi murtad (keluar daripada agama Islam), akibatnya dari segi hukum syarak dan undang-undang sivil adalah:

1. Perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984;

2. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya;

3. Orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya; dan

4. Orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah 
Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan mengikut mana berkenaan, oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Kesimpulan

Akidah Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi pegangan di negara ini mestilah sentiasa dihayati agar sebarang anasir perosak akidah dapat di jauhi.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia khususnya di negeri Selangor perlu menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas dan menjauhkan diri daripada segala bentuk ajaran dan fahaman yang meragukan.

Segera laporkan segala aktiviti yang meragukan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam.

Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama