1. Terlebih dahulu izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik Negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dikalangan tuan- tuan dan puan-puan.
2. Seperti umum ketahui, saya telah menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.
3. Walaubagaimanapun, saya telah dipanggil mengadap Yang diPertuan Agong kemudiannya, dan setelah berbincang selama lebih satu jam, Tuanku telah bersetuju menerima surat peletakan jawatan saya dan setelah itu menitah saya supaya menjadi Perdana Menteri Interim.
4. Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.
5. Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.
6. Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.
7. Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.
8. Sebenarnya saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.
9. Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba.
10. Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.
11. Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri Kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.
12. Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan.
13. Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah.
14. Yang diPertuan Agong bertitah supaya saya dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan ditolak oleh ramai, tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara.
15. Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.
16. Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.
17. Jika diizin inilah yang akan saya cuba.
18. Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT saya diberi petunjuk dalam usaha ini.
Nota penulis blog : Semoga kesudahan yang baik-baik untuk Malaysia tercinta. Pertama kali dalam sejarah Malaysia wujudnya Perdana Menteri Interim.
Walaupun aku jarang tulis atau ulas bab politik kat blog, tak bermakna aku okay je dengan apa yang dok jadi. Mana mungkin hati tak tersentuh, mulut tak berbunyi bila 'onar' setiap hari tercetus. Dan tiada tindakan di kenakan. Jika dikenakan pun bagai melepas batuk di tangga je gayanya.
Selepas ini aku nak lebih ambil tahu perkara yang jarang-jarang kita peduli. Seperti apa yang sedang terjadi sekarang ini.
Catat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!