Cerpen D'ont Judge Me
Salam.

Cerpen Don't Judge Me, sebelum ini aku dah delete setelah cerpen tersebut di 'up grade' secukup rasa. Selain di Ilham Grup Buku Karangkraf, cerpen ini juga dah ada di Facebook page Tulusly. Di harap cerpen yang tidak seberapa ini, memberi sesuatu kepada semua.


TERBANTUT langkah aku tatkala kaki mencecah ruang tamu. Nasib baik aku sempat sembunyikan diri ditepi almari hiasan. Dari tepi almari tersebut, aku dapat lihat dengan jelas Abang Zack sedang duduk bersila atas sofa sambil membaca novel. Entah cerita apa yang berjaya menarik perhatian dia untuk membaca. Penuh fokus pula tu. Setahu aku, Abang Zack yang dulu anti novel!

Sejak abang Zack tamat pengajian di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa, banyak perubahan yang dah berlaku kepada dirinya dan keluarga kami. Mama, dah bertudung. Abang Zafran dan abang Zairi, solat dah tak tinggal malah surau dan masjid dah jadi tempat kegemaran mereka. Aku tak kisah dengan perubahan positif abang Zack aku tu. Malah aku tumpang bangga bila mendengar pujian daripada jiran setaman. Hingga ada yang pasang impian nak jadikan abang Zack aku tu calon menantu. Siapa tak nak bermenantukan orang yang baik akhlak dan agama.

Abah? Abah merupakan insan orang yang paling gembira dengan penghijrahan terbesar keluarga kami. Dah lama abah inginkan keluarganya hidup berpandukan Islam. Dan mengamalkan semua panduan yang ada dalam Islam. Cuma, yang aku kisahkan hingga ada kalanya menjadi mimpi ngeri dalam lena aku, bila abang Zack menjadikan aku 'agenda utama' dalam hidupnya. Dia nak aku berubah menjadi wanita solehah. Dan hingga ke saat ini, abang Zack masih sabar melayan kerenah aku yang sememangnya... 

Aku nak sangat berhijrah, cuma aku sendiri pun tak tahu apa yang menghalang aku untuk berubah. Aku intai abang Zack semula. Masih tekun dengan novelnya. Muka penuh teruja. Ahh, tak boleh jadi ni. Nak atau tak, aku kena keluar sekarang untuk elak kesesakkan lalu lintas.Tadah telinga sajalah, mendengar tarbiah percuma daripada abang Zack nanti.

"Abang, orang keluar kejap."

Antara dengar dengan tak sahaja aku bersuara. Aku harap sangat abang Zack tak dengar dan tak perasan pun kewujudan aku. Itu akan memudahkan situasi aku. Laju aku melangkah menghala ke pintu masuk utama. Aku ambil kunci kereta dalam mangkuk di atas rak hiasan. Snickers hitam aku dah capai.

" Ke mana?"

Alamak. Mukadimah tarbiah dah bermula. Kalau main tanya guna ayat singkat tu, bersiap sedialah aku untuk soalan sentap jiwa yang seterusnya. Terkejut punya pasal, tak jadi aku pulas tombol pintu. Perlahan aku pusing belakang pandang abang Zack. Pintu gelongsor yang sedia terbuka, buat aku tersenyum.

" Jumpa Lisa di Queensbay Mall."

" Pakai tudung!"

Mak aih, ayat perintah dah keluar dah tu. Serta merta degupan jantung aku bertukar rentak. Aku tarik nafas panjang dan lepaskan perlahan-lahan. Sabar. Aku perlu menjadi sedingin air. Biar padam api yang baru nak membara.

"Ery mana ada tudung..."

Dah habis lembut kata-kata yang aku ungkapkan. Jika mama yang dengar, konfem mama akan sedekahkan salah satu koleksi tudung labuhnya untuk aku. Tapi, tudung tu memang sesuai untuk mama. Tak sesuai untuk aku yang muda remaja.

"Takde tudung pakai telekung! Ery tahukan bertudung tu wajib!"

Pakai telekung? Biar betul abang aku ni. Aku nak ke mall bukan ke masjid atau surau. Aku buat muka seposen dan pandang abang Zack. Harap abang aku tu faham, konflik yang sedang melanda dalam diri aku. Mata abang Zack masih melekat pada novel tu. Tak pandang pun aku.

" Dari segi pakaian, bagus! Dah longgar dan besar. Rambut tu? Dah kebal sangat ke nak kena bakar dengan api neraka?"

Rasa tersekat air liur yang aku nak telan. Aku tengok jam dinding.

" Ery nak cepat ni. Pinjam snow cap dan hoodie jacket ni. Ery akan zip jaket ni sampai ke tengkuk. Ery janji tutup kepala."

Entah dari mana muncul idea tu. Aku harap sangat, tindakan aku ni mendapat kelulusan daripada abang Zack. Ya Allah, permudahkan urusan hambamu ini. Amin.

Jangan lupa beli tudung. Balik nanti kalau takde, siap kau!"

Aku rasa nak buat lompat bintang bila dengar apa yang abang aku cakap. Berlari aku mendapat tangan abang Zack. Aku cium belakang tapak tangannya. Hormat keluarga dan bila nak bercakap dengan orang, pandang wajahnya bukan pandang siling atau lantai! Itu salah satu tarbiah yang berjaya aku ikut dengan markah cemerlang.

SEBAIK sahaja stereng kereta aku genggam, macam ada satu kuasa yang rasuk aku. Punyalah laju aku pecut. Laju bila keadaan jalanraya mengizinkan aku untuk pandu laju. Perlahan bila aku nampak simpang jalan dan lampu isyarat. Kiranya, aku masih seorang pemandu yang sopan dan santun di jalanraya. Aku tak mengambil masa yang lama untuk sampai ke Queensbay Mall. Hari masih awal dan tempat letak kereta masih banyak yang kosong. Aku memilih untuk parking di luar kompleks membeli belah. Senang untuk aku balik nanti. Aku tidak suka bersesak di tempat letak kereta. Dan kena tawaf satu bangunan semasa nak keluar nanti. Tak kah itu membazir petrol namanya. Petrol sekarang mahal. Boleh muflis aku! 

The Coffee Bean & Tea Leaf. Itulah tempat yang aku dan Lisa dah pilih untuk mini reunion kami. Tujuh tahun aku tak jumpa Lisa. Lama gila. Entah bagaimana rupa Lisa terkini. Aku tengok jam tangan. Satu keluhan dilepaskan. Aku tiba setengah jam lebih awal. Dari tempat aku berdiri, dapat aku lihat dengan jelas, ramainya umat manusia di dalam kafe tersebut. Masih terlalu awal untuk aku ke sana. Lemas rasanya untuk turut sama berada di dalam lautan manusia tersebut. 

BORDERS? Itulah lokasi yang tiba-tiba muncul dalam kepala. Boleh juga aku cuci mata melihat pelbagai novel yang ada disana. Untung nasib, ada novel terbaru buah tangan daripada novelis kegemaran aku. 

Cermin mata hitam yang tersangkut di batang hidung aku betulkan sambil mengatur langkah menghala ke tangga escalator. Aku dah sanggulkan dan selit masuk semua rambut mengurai paras pinggang ke dalam snow cap. Hoodie jacket dah aku zip sampai ke tengkuk. Aku dah buat seperti yang aku janji sebelum keluar dari pagar rumah tadi. Bukan mudah aku nak melepasi Abang Zack yang tiba-tiba dah terpacak di tengah laman. Ada magik ke abang aku tu? 

"Jangan pula nanti, bila dah tak nampak abang, terbuka habis apa yang dah tertutup. Ingat. 24 jam, Allah sedang memerhati tingkah laku setiap hambanya. Tanggungjawab abang untuk pastikan Ery tutup aurat dah selesai. Abang dah lepas tangan." 

Aku tarik mulut muncung itik. Sampai hati abang Zack label aku, cakap tak serupa bikin. 

"Hai hensem. Alone?" 

Bertempiaran terbang semua detik tak indah aku bersama Abang Zack. Hensem? Rupa aku yang persis Jeniffer Lopez versi Malaysia, boleh dia panggil hensem? Cuma, aku bukan kaki kosmetik. Cukup dengan bedak compact dan lip balm sebagai solekan harian aku. Disebalik kaca mata hitam, aku pandang atas bawah gadis yang berada dihadapan aku. Ni kalau tak sewel, adalah skru yang dah longgar dalam kepala minah ni. Tak malu ke ngorat anak orang. Rasa malu minah ni dah tercampak entah ke mana la agaknya. Ni konfem kes nak tunjuk diri dah maju selari dengan arus kemodenan. Apa erti kemajuan jika akhlak semakin mundur menuju kehancuran. Contoh yang terdekat, gadis yang baru panggil aku, hensem? 

"Sombongnya awak. Janganlah macam ni. Saya just nak kawan dengan awak. Saya Elsa." 

Dia tolak bahu kanan aku guna jari telunjuk. Huh! Geli anak telinga aku mendengar suara manja buat-buat nak mengoda Elsa. Elsa? Nama pun dah ala-ala movie. Tiba-tiba Elsa peluk lengan aku. Terkejut aku dengan tindakan berani Elsa. Sah, dah gila perempuan ni. Sukahati peluk anak orang. 

“Apa ni!” 

Aku tolak Elsa ke tepi. Makin menjadi-jadi nampaknya mereng Elsa. Terhoyang hayang Elsa cuba imbangkan diri. Dua tiga orang yang keluar masuk di hadapan pintu utama Borders dah mula perasan aksi kami. Ada yang dah mula tersenyum-senyum dan ada yang beku tanpa sebarang reaksi. Sekadar pandang dan teruskan perjalanan. 

"Awak lesbian ye?" 

Muka Elsa dah berubah terkejut monkey. Hilang semua penyakit gatal dan merenyam. Terkebil-kebil mata Elsa pandang aku. 

“Maaf, saya ingat awak lelaki…” 

“Jika iya pun saya lelaki, mana maruah awak perempuan? Dah biasa buat kerja terkutuk ni?” 

“ Tapi penampilan awak…persis seorang lelaki. Buat orang keliru.” 

Aku dah duduk diatas bangku yang tersedia di luar dinding kaca Borders. Brooklyn baseball jersey, jeans straight cut, leather jacket berserta black knee-high leather boots. Boots? Bukan tadi aku dah capai snickers ke? Tengok, huru haranya hidup aku dengan penangan Abang Zack. Sekali pandang memang penampilan aku persis lelaki. Namun, aku amat selesa dengan gaya penampilan aku ini. 

“Jangan mencari salah orang untuk tutup kesilapan diri sendiri. Ingat tu Elsa.” 

“Hei!” 

"Tak semua lelaki nak bercouple dengan orang macam awak. Semuanya boleh ditonton percuma. Tak berbaloi bayar hantaran mahal, untuk kes macam awak ni. Faham cik Elsa!" 

Elsa dah terjerit sambil hentak-hentak kaki. Entah apa yang diperkatakan. Suara Elsa tenggelam dek muzik yang sedang kuat berkumandang di dalam pusat membeli-belah. Marah benar dia dengan sindiran pedas aku. Aku dah melangkah masuk ke dalam Borders. Lantaklah apa nak jadi kepada Elsa. Sendiri yang cari masalah. Siapa suruh cari pasal dengan J Lo versi Malaysia. 

Apa yang aku kata kepada Elsa sebentar tadi adalah 'ayat-ayat cinta' Abang Zack kepada aku satu ketika dahulu. Pahit, pedih namun itulah kebenaran. Merajuk seminggu aku dengan Abang Zack. Tapi bila aku dah cool down, aku fikir balik, ada logik lagi benar nasihat abang aku tu. 

Untuk memudahkan aku faham kenapa perlunya aku menutup aurat, Abang Zack story kepada aku satu contoh yang simple. Sesuai dengan tahap pemikiran aku yang sentiasa dahagakan jawapan yang mampu diterima logik akal. 

Aku suka lolipop. Daripada kesukaan aku tu, Abang Zack jadikan contoh. Ketika aku nak beli lolipop, satu lolipop tu elok tertutup plastik pembalut. Dan yang satu lagi dah tertanggal pembalutnya. Mana satu aku nak ambil? 

Dah tentu aku akan pilih lolipop yang tertutup tu. Bayar mahal pun tak apa sebab dah aku nak lolipop tu. Berbeza dengan lolipop yang satu lagi. Jika diberi percuma pun aku akan fikir semula untuk ambil sebab aku tak nak sakit perut makan makanan yang dah terdedah. Entah berapa kilo kuman yang dah melekat pada lolipop tu. 

Bermula detik tu, aku ubah cara berpakaian aku. Yang singkat, aku dah labuhkan. Yang ketat, aku dah longgarkan. Aurat aku adalah hak aku dan hanya boleh aku dedahkan untuk orang yang halal dengan aku. Bukan untuk tatapan umum. Sekali lagi tarbiah Abang Zack berjaya fahamkan aku.

Terpukau aku melihat deretan novel yang tersusun kemas di rak pameran. Novel tersebut seakan melambai-lambai aku untuk datang dan memiliki kesemuanya. Lama juga aku berdiri membaca satu persatu tajuk serta sedikit intro novel yang baru terbit. Penulis kesayangan aku pun dah hasilkan karya terkini. Wajib aku beli sebab dah tentu lima bintang ceritanya.

Punya teruk aku kena pukau sampai aku sendiri tak sedar dah lima buah novel berada dalam pelukan. Dah lari dari baget ni, bila aku kira jumlah wang yang perlu dibayar. Nampaknya aku kena letak balik dua buah novel ke tempat asal. Sedih. Tapi takpelah, bulan depan bila elaun aku dah masuk, aku datang beli korang ya.

"Baiklah, kami setia menanti kau Eryna.” 

Terkejut aku bila tiba-tiba novel tu boleh bersuara. Di ikuti dengan ketawa yang terkekeh-kekeh. Kus semangat. Nasib baik tak terlepas novel yang berada dalam pemeluk. Perangai tak semengah Lisa masih tak berubah walaupun penampilan Lisa dah berubah! 

"Lisa? Ni Lisa ke?"

Terbeliak mata aku melihat Lisa yang terkini. Terus tak jadi nak marah sebab usikan Lisa tu. Rock chic tegar dah berubah ke hijap stalista! Jubah berwarna biru gelap yang digandingkan dengan shawl half moon warna unggu buah manggis, buat penampilan Lisa nampak tersendiri. Sejuk pula mata aku yang memandang.

"Well, people change. Eh, kau cakap dengan novel ke tadi? Sedih bebenar aku tengok. Kau ambillah novel tu. Kesian mereka. Takpe, aku belanja kau.” 

Senyum aku dah sampai ke telinga bila dengar Lisa nak belanja. Aku ambil dan peluk semua novel erat-erat. Memang jodoh antara kami kuat. 

“Dasyat kau Lisa. Dah berubah. Mati-mati aku ingatkan tadi Heliza Helmi. Rupa-rupanya Lisa anak Haji Firdaus.” 

Lisa tersengeh tayang gigi bila kena puji dengan aku. Speechless la tu. Lisa dah hulur duit kepada cashier sebaik sahaja kami sampai di hadapan kaunter bayaran. 

“Terima kasih Lisa, belanja aku novel. Kecil tapak tangan, plastik beg aku tadahkan. Rezeki, rugi la kalau ditolak. Eh, macam mana kau tau aku kat sini?" 

"Hantu novel, mana lagi tempatnya kalau bukan di sini!" 

Meriah ketawa kami. Abang cashier tu pun dah kontrol senyum bila tengok gelagat kami. Dia hulurkan baki wang kepada aku. Aku pula suruh dia letak atas kaunter. Abang cashier tu senyum dan faham kenapa aku buat macam tu. Ikhlas senyuman yang di sedekahkan. 

“Eh, Lisa. Jom la kita lepak kat sana. Dahaga pula tekak aku ni.” 

Aku ajak Lisa. Baki wang yang ada atas kaunter, aku ambil dan terus masukkan ke poket jacket. Sebelah tangan lagi dah pegang plastik beg berisi novel pilihan. Gembira rasa di hati. Hanya Allah sahaja yang tahu. 

“Jom. Aku pun dah lapar tahap ke bulur ni.” 

Tak ramai orang yang ada di dalam Café Green Apple. Waktu makan tengah hari dah berlalu satu jam yang lepas. Meja makan untuk dua orang menjadi pilihan. Kami tidak perlu tunggu lama untuk makanan yang dipesan sampai ke meja. Sambil makan, pelbagai cerita yang kami sembangkan. Stok cerita untuk tujuh tahun masih banyak yang perlu dikongsi bersama. Aku leka tengok Lisa sedang betulkan muncung shawl dikepalanya. Tadi senget sikit, sekarang dah terbentuk elok. Comel.

"Kau dah kenapa? Macam tak pernah tengok aku?"

Lisa tarik hujung shawl dan betulkan agar labuh shawl sama panjang dan menutupi dada. Sejak dari tadi lagi Lisa perasan, aku suka curi-curi pandang dirinya. Jauh di sudut hati aku, aku nak berpakaian seperti Lisa. Tapi...

Aku senyum senget dan cepat-cepat pandang ke arah lain. Mug jus epal dicapai. Hujung straw dihalakan ke mulut. Aku sedut baki jus epal hingga habis. Kini yang tinggal hanyalah ais kiub. Aku guna straw untuk ambil ais kiub dan terus aku masukkan ke dalam mulut. Aku dah tak tahu nak buat apa bila dah terkantoi dengan Lisa. Malu!

"Aku tahulah aku cantik bila dah bertudung. Buktinya, tak berkedip mata kau tengok aku. Kan."

Tembakkan Lisa tepat kena pada sasaran. Rasanya dah merah dah pipi aku.

"Perasan! Kau perempuan paling poyo yang pernah aku jumpa!"

"Poyo nilah best friends forever kau."

Berderai lagi ketawa kami. Lisa angkat tangan panggil pelayan Cafe Green Apple. Dia pesan lagi dua mug jus epal hijau. Satu untuk dirinya dan satu lagi untuk aku. Selera kami sama. Kali ini Lisa minta tambah asam boi. Cuaca panas terik buat kami cepat haus.

"Sejak bila kau bertudung bagai ni? Kau nak kahwin ek?"

Tanya aku setelah pelayan muka ala-ala penyanyi korean tu berlalu pergi. Sejak tadi lagi aku simpan soalan tu. Teruja aku nak tahu sebab perubahan drastik Lisa.

"Apalah kau ni Ery. Kau ingat asal nak kahwin je pakai tudung. Asal pakai tudung tu nak kahwin lah?"

Garfu di cucuk pada french fries. Lisa celup fries dalam mayonis sebelum suap ke mulut. Berselera Lisa makan fries yang masih panas tu. Aku telan air liur tengok aksi Lisa.

"Seriously Lisa. Mesti ada detik perubahan kau. Sharelah dengan aku."

"Seriously Ery. Aku tak faham. Perlu ke ada detik, ada itu, tunggu ini dan tunggu itu untuk pakai tudung?"

Soalan dijawap dengan soalan. Serius riak wajah Lisa menanti jawapan aku. Aku dah garu kepala yang tak gatal. Lisa angkat kening soal aku untuk kali kedua. Dua saat kemudian Lisa bantai ketawa bila tengok aku dah tak senang duduk. Serba tak kena.

“Dah aku rasa nak pakai. Aku pakai la."

Masih bersisa ketawa Lisa. Seronok ye dapat buat aku macam tu. Ada ubi ada batas Lisa. Huh!

"Keluarga kau macam mana? Mereka tak marah ke?" 
Berubah air wajah Lisa sebaik sahaja terdengar soalan aku tu. Aku masih ingat, walaupun ayah Lisa orang panggil Haji, tetapi cara hidup keluarga mereka tidak seperti orang yang dah menunaikan Haji. Haji sekadar untuk memudahkan urusan mendapatkan projek-projek mega.

"Marah? Biarlah mereka nak marah. Lama-lama nanti, hilanglah marah mereka tu."

Kalaulah aku punya semangat sekuat Lisa. Lisa yang poyo. Lisa yang selamba. Dan Lisa adalah Lisa. Dengan perubahan besar Lisa ini, aku rasa bangga menjadi sahabat Lisa. 

Tak seperti aku. Masih teragak-agak untuk berubah. Masih fikirkan perasaan orang lain. Masih risaukan itu dan ini. Aku kerling pada Lisa yang sedang mengerjakan fish and chip, penuh selera. Betullah dah kebulur makcik tu. Kemudian aku pandang sepi pada pinggan beef lasagna aku.

"Kau ni dah kenapa? Tak lapar ke? Makan la cepat. Nanti sejuk dah tak sedap."

Lisa dah mula bebelkan aku. Walaupun makanan masih ada dalam mulut, itu bukan satu masalah buat Lisa. Bebel tetap bebel!

"Kalau kau tak nak makan, biar aku habiskan."

Lisa dah angkat garfu nak cucuk beef lasagna aku. Pantas aku angkat pinggang jauh sedikit daripada Lisa.

" Kau ada membela ke Lisa? Dalam pinggan tu pun belum habis, kau nak lasagna?"

Aku dah mula menjamah makanan kegemaran. Tiba-tiba pula rasa lapar menerjah. Suapan demi suapan semakin rancak.

"Stress eating! Because of them!"

Lisa tikam garfu pada filet ikan. Berdenting bunyi pinggan.Tajam renungan Lisa memerhati garfu yang dah terpajak atas pinggan. Terkejut dan rasa seram pula aku melihat sikap Lisa. Apa kes pula makcik ni. Kena sampuk ke? Aku pandang wajah Lisa yang dah bergenang air mata. Ada amarah di wajah Lisa. Tisu yang sedia ada di meja, Lisa ambil dan tekap dihujung mata.

"Keluarga aku tak suka dengan perubahan aku. Provok dan perli daripada kedua abang aku, serta sindiran daripada mama dan papa. Macam-macam abang aku panggil aku. Khemah bergerak, ustazah pilihan, ahli syurga dan macam-macam lagi mereka gelar aku. Hati aku sakit Ery!" 

Tertelan air liur sebaik sahaja aku terdengar apa yang Lisa pendam selama ini. Ya Allah, kesiannya kau Lisa. 

“Sabarlah Lisa. Selagi kau bersabar, Allah sentiasa bersama kau. Mengadulah kepada Allah. DIA Maha Mendengar. Maha Penyayang. Aku tahu kau boleh hadapi semua ni.” 

Hanya itu yang mampu aku katakan. Besar juga ujian yang sedang Lisa alami. Aku dah hilang kata-kata dan paling aku takut, aku tersalah kata. Mungkin akan menambah lagi rasa sakit hati Lisa. Untuk saat ini, aku pilih untuk diam. 

“Cakap memang senang. Tapi, insyaAllah aku akan lalui semua ini. Aku berubah kerana Allah dan ini jihad aku, Ery.” 

Beg galas yang berada di belakang, Lisa ambil dan letak diatas peha. Zip beg dibuka dan bungkusan plastic berwarna merah jambu di keluarkan. 

“Untuk kau Ery. Bukalah.” 

Aku pandang bungkusan tu. Teragak-agak aku nak ambil pemberian yang Lisa dah letak atas meja. Betul-betul di hadapan aku. 

“Eh, harijadi aku lambat lagi. Valentine day pun kita dah haramkan untuk sambut. So, apa tujuan hadiah ni?” 

“Hadiah daripada seorang sahabat untuk sahabat.” 

Aku sentuh bungkusan tu. Lembut sahaja benda yang ada di dalamnya. Ini, kalau tak t shirt, mesti jacket. Aku mula sengeh membayangkan apa yang ada bakal aku lihat. Siapa yang tak suka dapat baju baru. 

“Shawl?” 

Berubah air muka aku. Aku kira, ada tujuh helai shawl dan tujuh helai anak tudung. Corak yang sama cuma warna yang berbeza. Shawl berwarna kelabu, motif bunga mawar hitam aku genggam. Cantik pula corak yang Lisa pilih. Kena dengan selera aku. 

“Aku nak kau pakai shawl ni hari ni juga. Jom kita ke ladies. Aku pakaikan untuk kau.” 

“Sekarang?” 

“Ye. Sekarang. Kau boleh jamin ke yang kau masih bernafas untuk hari esok?" 

Aku yang belum kuat pendirian, teragak-agak dengan permintaan Lisa. Separuh hati berkata ya, aku ingin berubah. Separuh lagi minta aku tunggu dan fikir masak-masak. Ini bukan perkara main-main. Janganlah pula, hari ni pakai tudung. Esok dah buka tudung. Dan yang paling parah, pakai tudung bila rasa nak pakai sahaja. Itu dah mempersendakan agama! 

Melihat aku yang masih dalam dilema, Lisa bangun dan kemas apa yang perlu. Shawl dan anak tudung yang berada di hadapan aku, diambil dan semuanya dimasukkan semula ke dalam beg plastik. 
“Ery, niatkan dalam hati, hijrah kau ini kerana Allah. Demi Allah dan untuk Allah. InsyaAllah, apa jua yang terjadi selepas ini, dapat kau hadapi dengan tenang.” 

Aku pandang pelik ke arah Lisa. Macam ada kuasa telepati pula Lisa ni. Dapat membaca dengan tepat, apa yang sedang berlegar-legar dalam fikiran aku. 

“Sudahlah Eryna. Jangan pandang aku macam tu. Apa yang sedang berperang dalam diri kau sekarang, aku dah laluinya. Kau keliru samada nak bertudung atau nak tangguh dahulu? Kan? Dah la, jangan tambah lagi beban dosa kepada ayah dan abang kau yang tiga orang tu. Kau tak sayang mereka ke?” 

“Apa yang kau cakap ni Lisa? Jangan kusutkan lagi fikiran aku yang sedia kusut ni. Boleh?” 

Makin bertambah celaru dan keliru aku mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Lisa. 

“Kau baca ni.” 

Lisa hulurkan tab ke arah aku. Tertera satu artikel yang bila aku baca tajuk sahaja, dah berpeluh dahi dibuatnya. 

Di akhirat nanti ada empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. 

Semakin berpeluh dahi dan badan aku untuk meneruskan pembacaan. Degupan jantung dah sedikit laju daripada biasa. Nafas di tarik dalam-dalam. Demi Islam yang tercinta, aku harus tahu apa yang selama ini aku tidak tahu. 

Golongan pertama ialah ayahnya. Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya. 

Golongan kedua ialah suami. Apabila suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka. 

Golongan ketiga ialah abangnya. Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak. 

Golongan keempat ialah anak lelakinya. Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram disisi Islam. Apabila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka. 

Aku bangun dan hulurkan tab kepada Lisa. Kerusi aku tolak masuk bawah meja. Terus aku melangkah keluar dari kafe. 

“Ery! Kau marah aku ke!” 

Aku toleh belakang bila dengar Lisa dah jerit nama aku. Makcik tu masih terjegat di meja makan kami tadi. 

“Eh, tadi kau kata nak ajar aku pakai shawl. Cepatlah!” 

Lisa dah tunjuk jari thumbs up kepada aku. Laju langkah dia menuju ke arah aku. Sambil tunggu Lisa, aku pasang niat dalam hati. Kali ini aku tekad untuk berhijrah. 
 

© 2015 Eiza GreenAppleKu All Rights Reserved

3 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. Assalamualaikum, lama tak singgah sini. Sempat baca entri novel ni. Bagus jalan cerita. Kisah penghijrahan wanita yg asalnya tak menutup aurat kepada berhijab menutup aurat. Pentingnya mempunyai sahabat yang mengajak kita ke arah kebaikan.

    BalasPadam
  2. Rozita, tq. Doakan saya hasilkan lebih banyak cerpen yang best-best. :)

    Dr. Mohd Hafiz Dato' Osman, Saya pun dah lama tak ziarah blog Dr. Terima kasih sebab sudi singgah dan baca.

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama