Cerpen Bila Dia Terbaik Untukmu


“Eh! Sakitlah!”

Lisa menjerit marah. Terkial-kial Lisa cuba melepaskan lengannya daripada genggaman Farid. Berbekalkan ilmu persilatan yang ada, sekali kilas, Lisa dah terlepas dari genggaman.

“Tengok ni, habis renyuk lengan baju kurung. Penat tau I seterika semalam.”

Hampa Lisa dengan tindakan Farid. Jelingan maut Lisa hadiahkan tanda tak puas hati. Bukan mudah nak seterika kain jenis sutera asli. Suka hati dia je renyukkan hujung lengan baju kurung kegemaran Lisa. Kalau nak marah, marah je lah. Ini tidak, main sentap lengan orang. Kalaulah terlari kedudukan tulang di pergelangan lengan, siapa yang susah?

“Kalau ikutkan hati I, I koyak-koyakkan dah baju kurung tu. You ingat I tak tahu siapa yang hadiahkan baju kurung tu pada you! Zack kan!”

Kembang kempis lubang hidung Farid bernafas sambil menahan amarah. Bukan mudah. Malah, semakin sesak ruang pernafasannya. Api kemarahan Farid semakin membara. Kecil besar kecil besar di lihat Lisa yang masih berdiri sambil urut lengan baju kurung di hadapannya. Macam la urutan tersebut boleh menghilangkan kedutan di baju.

Zack. Kekasih gelap Lisa. Ya, Zack adalah makhluk perosak dan punca huru haranya hubungan Farid dengan Lisa.

Walaupun Farid tidak pernah bersua dengan Zack, namun cinta muka buku antara Lisa dan Zack sudah lama di ketahuinya. Itu pun gara-gara Lisa terlupa nak log out dari akaun Facebook!

Setiap peristiwa mahupun kejadian yang berlaku, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dan hikmah daripada peristiwa laptop Farid yang rosak, terungkailah satu rahsia yang selama ini tertutup rapi. Puas Farid mencari identiti sebenar Zack. Mengalahkan hacker Farid scroll Facebook Zack. Namun hampa. Tiada sekeping pun gambar wajah Zack dalam album. Misteri betul si Zack ni.

“Ye, memang baju ini hadiah daripada Zack. Kenapa?”

Sopan dan bersahaja tutur kata yang keluar daripada mulut Lisa. Sedikit pun tiada riak gentar apatah lagi takut yang terpamer di wajah Lisa. Tahap kemarahan Farid dah menurun dari tangga lima ke tangga tiga sebaik sahaja terlihat sikap Lisa yang tenang walaupun Farid sebentar tadi dah rasa macam nak amuk satu dunia.

“Lisa, sampai hati awak. Kenapa awak sanggup lakukan ini semua?"

Tanya Farid perlahan. Dah tak tersusun kata panggilan. Sekejap I dan you. Sekejap awak. Begitulah kacaunya fikiran Farid di saat ini. Farid pandang Lisa yang asyik menatap skrin smartphone sambil kontrol senyum. Selfie agaknya.

“Apa kena awak ni? Dah orang ikhlas memberi, tak kan I nak menolak pula. Dengan baju pun nak marah?”

Gelengan kepala Lisa buat Farid rasa terhina. Mungkin bagi Lisa perkara tersebut di anggap kecil dan tidak perlu diperbesarkan, namun tidak bagi Farid. Belum apa-apa Lisa dah berani main kayu tiga.

“You jangan buat-buat innocence Lisa. You ingat I tak tahu yang you dan Zack bercinta! I benar-benar tak sangka yang you berdua sanggup buat begini pada I.”

Berkecai rasa cinta yang ada didalam dada Farid tika ini, hanya Allah sahaja yang tahu. Jika cinta itu dapat di jelmakan ke dalam bentuk benda, dah tentu bertaburan, bersepah dan tunggu masa untuk terbang jika di tiup angin. Namun itu semua tidak mungkin terjadi sebab cinta hanya dapat di rasa.

“You, kita berkawan sejak kecil lagi. Kita membesar bersama, menangis bersama, ketawa pun bersama. You kena terima hakikat yang antara kita tidak mungkin akan bersatu. Apatah lagi nak bercinta. Apa yang I dan Zack buat ini adalah untuk kebaikkan you juga. Kami sayang kau.”

Pening juga kepala Lisa cuba nak terangkan duduk letak perkara sebenar kepada Farid. Semoga Farid sedar dan kembali berfikir secara waras. Usaha Lisa yang tak pernah give up, bertambah kusut apabila Farid buat-buat tak faham dengan situasi mereka. Dan masuk kali ni, entah dah kali ke berapa Lisa menolak cinta Farid.

“Arrghh..untuk kebaikkan I konon. Kau penipu Lisa. Zack pun dua kali lima! Sama-sama penipu. Kebaikkannya hanya untuk korang berdua, bukan untuk I !”

Terkejut Lisa apabila tiba-tiba Farid menjerit kuat dan lantang hingga berjaya menarik perhatian orang yang sedang lalu lalang. Over betul!

Tiba-tiba, entah dari mana hinggap satu pelempang tepat ke pipi Farid. Farid yang terkejut dengan pelempang yang tiba-tiba diterimanya, terus jatuh terduduk. Sambil mengusap-gusap pipi yang sakit dilempang, Farid memerhati siapakah gerangan yang berani melempangnya.

Dihadapannya, berdiri seorang lelaki bertubuh sado. Macam pernah dilihat lelaki tersebut. Tapi dimana? Eh, inikan Abang Zack!

Melihat wajah menyingga Abang Zack yang macam nak telan hidup-hidup dirinya, buat Farid terdiam kaku. Serta merta jantung bertukar rentak. Boleh tahan rasa pening dan sakit yang sedang dia rasakan ketika tu. Tidak berani dia untuk bangun berdiri menentang abang kandungnya.

“Ini rupanya kerja kau ye. Kalau tak fikirkan yang kau tu perempuan, abang belasah kau sampai pitam! Mana tahu masa pitam tu, dapat hidayah untuk berubah! Mak ayah hantar kau ke sini untuk belajar, bukan belajar nak jadi jantan. Dah lama Lisa hantar report kat abang tentang kegiatan sumbang kau ni. Rupanya makin lama makin parah! Hingga Lisa, kawan baik kau pun kau nak ajak bercinta?"

Bertubi-tubi kemarahan yang Abang Zack lontarkan. Dah tebal rasanya muka Farid apabila drama sebabak mereka ditonton oleh beberapa orang yang terlihat aksi sebentar tadi. Ada yang terkekeh-kekeh ketawa. Dan ada yang serius tunggu adegan seterusnya. Eh, ada tak yang ambil video? Sekarang kan zaman viral.

Farid kerling Lisa. Lisa sedang asyik dengan smart phone. Siap tersenyum simpul sambil jari laju sentuh skrin. Dia tak nampak ke sahabat dia  sedang dalam kesusahan? Farid pandang Abang Zack. Mana dia?

"Faridah adikku."

Rasa nak tercabut jantung Farid atau nama penuh yang ada di kad pengenalan, Faridah binti Fakrullah apabila Abang Zack entah bila masa  dah duduk disebelah kanannya. Faridah dah angkat tangan tutup muka. Manalah tahu, lepas pelempang, penumbuk pula akan hinggap ke pipi. Hati rasa tak sedap. Faridah pasrah menerima apa jua tindakan susulan Abang Zack.

"Adik sedar ke tidak apa yang adik lakukan ini adalah salah satu perkara yang tersenarai dalam dosa besar? Adik tak puas hati ka dengan ketentuan yang Allah dah beri kepada adik?"

Allah. Lama benar aku tinggalkan Allah. Aku asyik dalam dunia kecilku. Ya, siapa aku hendak pertikaikan ketentuan Allah. Allah telah tentukan aku seorang wanita, kenapa aku degil malah lebih dasyat aku cuba melawan ketentuan Allah.

"Lisa dah cakap dengan abang, Idah ni mudah sangat terikut dan terpengaruh. Bila Lisa nasihat, degil! Entah dengan siapa yang dibuatnya kawan."

Mulut puaka Lisa ada katanya memang menyakitkan hati Faridah. Cakap main lepas. Terbantut moment keinsafan yang hadir dalam diri Faridah. Namun simurai itulah satu satunya sahabat yang setia bersamanya.

Lisa duduk disebelah kiri Faridah. Dipeluk mesra bahu rakannya itu. Suasana sepi seketika. Awan berarak mendung menandakan hari nak hujan. Sesekali angin bertiup lembut menerbangkan daun kering yang gugur di atas bumi. Mereka bertiga terdiam dan menikmati indahnya alam ciptaan Ilahi. Adakalanya, diam itu perlu agar fikiran kembali waras.

Abang Zack yang duduk disebelah kanan Faridah, mengusap lembut kepala adiknya. Hadir satu rasa yang tidak terungkap dengan kata-kata. Namun, Faridah rasa tenang dan di sayangi.

"Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita. Di laknat dik. Dilaknat."

"Abang dan abah dah fikir masak-masak. Untuk pastikan hala tuju kehidupan adik kesayangan abang ni berada dijalan yang benar dan pisang tidak berbuah dua kali, bulan depan adik akan berkahwin. Ini wajah bakal suami adik. InsyaAllah, dia mampu menjadi pemimpin yang baik."


Smartphone bertukar tangan. Dan kali ini, Faridah betul-betul rasa akan pitam sebaik sahaja terpandang wajah lelaki yang menyejukkan mata sesiapa yang terpandang. Lelaki itu juga terkenal dengan ketegasan  dalam bab agama Islam. No kompromi! Ustaz Luth Harith, ustaz muda yang menjadi idaman gadis di universiti. Tetapi menjadi mimpi ngeri untuk gadis bernama Faridah.


© 2015 Eiza GreenAppleKu All Rights Reserved

Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama