Dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang terdesak, manusia sangat perlukan Tuhan. Dan indahnya, Allah sentiasa hampir dengan kita dan sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya. Inilah perkara utama yang perlu diingati, dalam hidup kita perlukan Tuhan dan mesti bersama-sama-Nya pada setiap ketika dan keadaan.

Maksudnya, kita mesti sentiasa sedar tujuan Allah menciptakan kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Dan untuk misi itu, Allah telah kurniakan pelbagai kekuatan dalam diri kita. Allah juga menyediakan al-Quran dan sunnah sebagai panduan untuk kita ikuti. Selagi mana kita yakin kepada-Nya yakni dengan berpegang teguh pada agama, kita akan mendapat kekuatan dari dalam diri untuk menghadapi apa jua keadaan tanpa stres yang melampau.

Justeru, rujuklah perbuatan kita kepada peraturan-Nya, adakan kita telah melaksanakan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya?

Jika "manual kehidupan" itu dipatuhi, insya-Allah secara automatik stres akan dapat di kawal. Tidak kira samada secara tabiinya kita ialah individu yang mudah stres (kerana mengharap terlalu tinggi, sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan, perisau, mudah tersinggung, terlalu serius, mudah bersangka buruk) atau individu yang tidak mudah stres (seorang yang tenang, periang, berpada-pada, mudah berlebih kurang). Jika kita hidup dengan iman dan Islam, kita dapat menangani stres dengan baik.

Streskah kita kalau kita sentiasa merasai bahawa Allah Yang Maha Kaya bersama dalam menghadapi masalah kewangan kita?

Streskah kita kalau meyakini bahawa Tuhan Yang Maha Penyayang akan mengampunkan semua kesalahan yang kita lakukan?

Streskah kita jika kita merasai Allah Yang Maha Perkasa bersedia pada setiap masa mendengar rintihan kita dan mengabulkan doa-doa yang kita pohon kepada-Nya?


sumber rujukan : Solusi isu no. 39.

Stres ada manfaatnya. Eh, biar betul? Nak tahu?



Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama