GreenAppleKu : Dasyatnya kesan makan harta dari sumber yang haram ni. Kesannya bukan pada diri sendiri malah seluruh ahli keluarga terkena tempiasnya. Sebab itulah sesebuah keluarga, haru biru jadinya. Hermmm....
Kereta mewah, rumah bagai istana, anak-anak yang ramai, isteri-isteri yang cantik, kuasa yang berada di tangan, pakaian dan perhiasan yang mempamerkan prestij, imej dan kedudukan yang tinggi. Semua itu menjadi impian manusia yang dilukiskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kekuningan. Kemudian ia menjadi hancur dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadiid ayat: 20)
Ramai manusia kaya yang tidak tenang jiwanya, walaupun wajah tampak bahagia dan gayanya cukup hebat memikat manusia tetapi hati dia menangis, memberontak dan mencari ketenangan. Kerana maksiat dan wang haram lagi syubhah yang dikumpul membawa kesan ke dalam darah dan dagingnya, detak jantung dan aliran nafasnya, tatapan mata dan pandangan hatinya.
Rasulullah SAW menegaskan tentang kewajipan seseorang untuk menjaga keluarganya daripada memakan harta yang haram.
Daripada Abu Hurairah beliau berkata: Suatu hari al-Hasan bin Ali RA (cucu Nabi SAW) mengambil sebiji kurma sedekah, kemudian dia memasukkannya ke dalam mulutnya. Rasulullah SAW bersabda: Kukh, kukh (suruhan untuk dikeluarkan kurma tersebut), Buanglah kurma itu, apakah kamu tidak mengetahui bahawa kita (Ahli Bait) tidak boleh memakan barang sedekah?” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun satu sen yang haram dimakan dengan sengaja oleh ahli keluarga kita maka ia akan tumbuh menjadi daging haram yang kelak akan dibakar di dalam neraka. Harta merupakan ujian yang paling berat bagi umat manusia. Kerana harta manusia saling menzalimi, berbunuh-bunuhan, saling mendengki, rampas-merampas, lupakan akhirat dan akhirnya mati dalam kekufuran.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang merampas hak seorang muslim dengan sumpahnya, nescaya Allah SWT benar-benar akan mewajibkan neraka baginya dan diharamkan syurga untuknya. Lalu seorang sahabat bertanya: Walaupun yang dirampas itu adalah sesuatu yang amat sedikit, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Walau sekecil sebatang kayu siwak (umpama sebatang berus gigi).” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Namun, pada zaman jahiliyah moden hari ini ramai manusia yang tak kisah tentang halal dan haram. Masing-masing berlumba-lumba mendapatkan harta yang banyak walau mesti merompak hak orang lain. Harta itu kemudian digunakan untuk nafkah keluarga. Ironinya, orang miskin pun bukan main kuat menipu, mencuri dan merompak, sama saja keadaannya dengan orang kaya yang merompak secara terhormat dan di bawah terang sang mentari. Harta menjadi ukuran bukan lagi iman di dada.
Tidak hairan jika lahir keluarga-keluarga yang berantakan, kerana harta yang haram suami lupa daratan. Isteri hilang kewarasan dan anak-anak tidak terkawal. Kalau ibu bapa terlibat gejala sosial, anak-anak pula jadi anti sosial. Suka memberontak, terbabit dengan geng haram, lari dari rumah. Kerana harta dan nafsu yang dijadikan Tuhan, seorang berusia bapa sanggup berganti-ganti pasangan seks yang berusia sama dengan anak remajanya. Ibu pula lupa keluarga, seronok bermain dengan impian glamour sesama orang kaya yang gilakan pameran. Hidup mereka sebenarnya tersiksa bagai dalam neraka. Apakah harta yang sebegini membawa kebahagiaan? Tidak, kerana kekayaan yang membawa bahagia adalah kaya hati, bukan semata-mata material.
Harta yang berkat dan membawa ketenangan hati adalah harta yang halal, banyak lagi mencukupi jumlahnya dan bermanfaat untuk agama. Harta itu tidak membunuh iman di hati yang memiliki, tidak melupakan impian kembali ke akhirat, tidak melalaikan dari panggilan kubur. Harta ini menumbuhkan kasih sayang dalam keluarga, melahirkan jiwa-jiwa yang cerdas dan akhlak yang pemurah.
Sedangkan harta haram mengundang syaitan masuk ke dalam rumah, mendiami hati-hati ahli keluarga, meniupkan kebencian, iri hati, tamak, haloba, dengki, takbur, sombong dan riyak. Merosakkan hubungan silaturrahim dan menyuburkan sifat kedekut, bakhil lagi kikir. Hati yang memilikinya tidak pernah puas, bahkan disiksa rasa takut kehilangan hartanya. Akhirnya hati mati akibat takut muflis hingga ke hujung nyawanya.
Padahal dunia hanya tempat singgah sementara, sekejap jua perhentiannya namun dunia tetap menipu ramai manusia. Anehnya, tak ramai yang bijak melihat hakikat ini.
Walaupun Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan ke atas diri kamu. Tetapi aku lebih mengkhuatirkan kekayaan dunia ini dihamparkan untuk kalian, sebagaimana yang pernah dihamparkan ke atas orang-orang sebelum kalian. Lalu kamu berlumba-lumba dengan kekayaan itu sama seperti mereka dan kekayaan itu akan membinasakan kamu sebagaimna ia telah membinasakan orang-orang sebelum kamu.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Ditakdirkan menjadi orang kaya sepatutnya membuat kita takut, takut jika nikmat itu diberi seluruhnya di dunia ini dan tidak disisakan untuk akhirat kelak.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Hud ayat: 15-16)
Sumber : Dr. Juanda.com
salam perkenalan...datang dari blog ben ashaari..follow u..
BalasPadamCatat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!