GreenAppleKu : Nak jadi glamour yang positif. Jom rakan wanita ku. :)


Wanita umumnya sukakan produk kecantikan, perhiasan dan pelbagai fesyen yang boleh menyerlahkan keanggunannya. Lelaki pula secara fitrahnya suka melihat wanita yang cantik. Mana ada suami yang tak mahu isterinya kekal menawan dan menarik seperti zaman bercinta dahulu? Tetapi dia bimbang juga apabila duit yang semestinya jadi simpanan untuk keperluan mendesak, tiba-tiba lesap kerana mengikut selera isteri yang terlampau sensasi.

Saya pernah menonton rancangan bicarawara oleh hos terkenal dunia, Oprah tentang ‘Diet Shopping’. Salah satu pakar kewangan keluarga yang dijemput menjayakan rancangan itu berkata: “Antara punca pergaduhan suami isteri ialah salah seorang daripada mereka tidak pandai mengawal nafsu membeli. Ini disebabkan kehidupan masyarakat moden yang banyak dicemari oleh isu-isu kehebatan selebriti. Contohnya jenama pakaian, perhiasan, solekan, kereta, telefon bimbit sehingga stail dekorasi rumah, mereka sanggup berhabis, kerana mahukan aksi glamor dan terikut-ikut pula bermacam gaya selebriti yang diminati. Padahal pendapatan yang mereka miliki jauh berbeza berbanding para selebriti itu.”

Kegilaan seperti itu semakin parah dengan kemudahan berhutang yang ditawarkan pihak bank atas nama kad kredit yang sebenarnya mencekik atau khidmat Along yang ada peminatnya yang tersendiri. Betapa sengsaranya hidup jika kita diperbudak oleh nafsu. Akibatnya semua tumpuan dihalakan hanya untuk memuaskan kehendak hawa. Pasti kita berasa letih dan tidak gembira kerana setiap hari berlagak kaya, padahal hutang keliling pinggang. Suami isteri hendaklah saling berjaga. Kegawatan ekonomi yang melanda keluarga boleh diredakan dengan sikap terbuka, mahu berbincang dan menentukan langkah penyelesaian secara bersama.

Kita tidak mahu mencari pihak mana yang bersalah dalam hal ini? Tetapi kita mahu keluar daripada krisis kewangan itu dengan cara memaafkan dan bertoleransi, membimbing bukan menghentam. Penyakit ‘tunjuk glamor’ ini bukan menjangkiti wanita sahaja, lelakipun apa kurangnya. Rasulullah SAW melabel penyakit ini dengan istilah istimewa yang dikenali sebagai ‘riya’. Bahaya penyakit riya atau glamor amat menggerunkan para sahabat Baginda SAW. Sehingga taraf kegawatannya sama dengan mensyirikkan Allah SWT secara halus. Kalau kita solat kerana hendakkan pujian manusia, maka kita telah menyembah orang yang memuji itu. Begitu dengan sedekah, menolong orang lain kerana mengharapkan balasan, puasa, haji dan sebagainya. Jelasnya, apa-apa pekerjaan yang diniatkan untuk memperoleh pujian daripada orang lain adalah riya dan pahala amalannya itu akan berkurangan.

Pada hakikatnya masalah riya dan tunjuk glamor banyak persamaannya. Riya jelas terasa pada niat dalaman, manakala glamor pula terserlah dari segi luaran yang zahir. Tetapi tujuan dan matlamatnya adalah sama iaitu mahu dipuji. Namun, bukan bermakna agama melarang aksesori yang mendokong kecantikan, kebersihan, kekemasan dan keteraturan. Bahkan setiap Muslim diwajibkan untuk menunjukkan imej yang hebat dan terkehadapan, tetapi dengan syarat dia mampu, tidak memudaratkan dirinya dan orang lain.

Contohnya, wanita Muslimah yang bertudung hendaklah memakai ubat penghilang bau badan atau syampu yang sesuai untuk rambut bertudung. Jika tidak sedemikian, dia pasti akan mencalarkan imej Islam yang bersih dan cantik. Perhiasan, pakaian dan solekan pun hendaklah kena pada tempat dan masanya. Jangan berlebih-lebihan seolah-olah ‘minta diperhati’. Boleh jadi buruk padahnya, mengundang jenayah ragut, rogol dan gangguan lainnya.

Sungguh merbahaya sikap tunjuk glamor yang melampau ini. Namun begitu para isteri sepatutnya berhati-hati jika tidak memiliki ‘sense of glamour’ di hadapan suami. Serlahkanlah kehebatan anda untuknya. Biar suami anda menilai bahawa anda memang layak berdampingan dengannya.

Tahukah anda jenis-jenis glamor yang positif?

1. Glamor dengan bersikap jujur.
Jangan tertipu oleh budaya persekitaran anda. Di tengah-tengah para wanita kaya dan berdarjat, tak semestinya anda menukar personaliti anda dengan berpura-pura berduit. Angkuh dan berkualiti import. Anda boleh bergaya dengan menonjolkan kematangan berfikir dan bersikap. Serlahkan akal yang cerdas dan hati yang suci. Kedua-duanya adalah faktor yang kuat untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain.

2. Glamor dengan niat menjadi role model.
Anak-anak anda mempunyai tabiat meniru ibu bapanya. Tentulah anda dan suami adalah orang yang paling glamor pada diri mereka. Mereka akan memotivasikan diri mereka sendiri untuk berjaya seperti anda. Tapi jika anda tidak punya aura seperti ’Mawi’ susahlah nak bertahta di hati mereka. Jangan risau! Anda masih memiliki segudang bakat untuk menduduki carta pertama dalam hati sanubari anak-anak anda. 

Ibu yang jelita, pandai memasak, sering memanfaatkan masa dengan anak-anak, mendidik mereka, memahami dan menyayangi, dan bersedia menjadi sahabat yang paling rapat untuk mereka. Semua itu adalah bakat anda yang mesti diserlahkan untuk menambat hati anak-anak. Sama juga halnya dengan seorang ayah. Sikap kepemimpinannya, toleransi dan yang paling penting nafkah zahir batin untuk keluarga adalah sejumlah aset yang ada pada diri anda. Yang membuat anda diminati isteri dan anak-anak. Alangkah bahagianya berbagi glamor dalam keluarga kita.



3 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. saya nak glamer yg positip..glamer yg membawa kebaikan pada semuaaa orang

    BalasPadam
  2. Dulu semasa Britney spears mula-mula glamer, dia sepatutnya menjadik role model untuk para remaja. Semasa beliau berusia 17-20 tahun lah...

    Tapi sekarang dah jadik worst role model. Hehe...


    Terbaru dari Logokoko:

    [U] Here In My Home

    [U] Ah Long perosak harta awam!

    [13PG] Taik hidung yang degil

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama