Laju mata Lisa melihat senarai menu makanan yang tergantung di dinding restoran makanan segera. Ada promosi jimat sempena menu baru. Semuanya nampak sedap dan menyelerakan. Jika hendak di ikutkan nafsu makan Lisa, semuanya dia hendak order.
Tengok gambar ayam goreng bersalut sos pedas ditaburi bijan nampak sedap. Terpandang pula gambar burger filet ikan bersos istimewa pun nampak menyelerakan. Smoothie yogurt mangga minuman sihat lagi mengenyangkan. Semuanya mengugat selera. Tetapi apabila terfikirkan peruntukkan sebanyak RM10 untuk makan tengahari, jiwa kena kental untuk berbelanja ikut kemampuan.
Selesai membeli makanan untuk di bawa pulang ke pejabat, langkah Lisa laju menuju ke lif. Sambil menanti pintu lif terbuka, Lisa mencari kunci kereta di dalam poket seluarnya. Pintu lif terbuka. Kelihatan dua orang warga asing dah ada di dalam lif. Mereka undur sedikit ke belakang memberi ruang kepada Lisa.
Sejak pintu sempadan di buka dan rentas negeri dibenarkan, semakin meriah pula industri pelancongan di negerinya. Jalan raya mula sesak. Tempat tumpuan penuh dengan pengunjung yang datang bercuti.
“Tunggu, tunggu!”
Pintu lif yang hampir tertutup di tekan butang ‘open’.
“Thank you.”
Ucapan terima kasih dibiarkan tanpa jawapan. Masing-masing senyap menanti lif yang bergerak sampai ke level pilihan. Lisa sendiri kurang selesa apabila terpaksa berada di dalam lif bersama tiga orang lelaki.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka di level lima, laju kaki Lisa melangkah keluar. Langkahnya dipercepatkan agar segera sampai ke kereta. Dia perlu segera keluar dari mall sebelum terperangkap di dalam kesesakkan lalu lintas.
"Cik!”
Langkah Lisa semakin cepat dan laju. Berada diruang parking yang sunyi walaupun di waktu siang tetap perlu berjaga-jaga. Apa saja boleh berlaku dalam sekelip mata. Dalam kekalutan berperang dengan isu keselamatan, perut pula mula berlagu minta diisi.
Lisa mengambil kentang goreng yang masih suam lalu di suapkan ke mulut. Nikmatnya. Masih rangup. Berperisa keju.
“Excuse me Cik, you ni Lisa kan.”
Lisa sedikit terkejut apabila tiba-tiba bahunya di tepuk lembut dari belakang. Lisa pusing dan undur tiga langkah ke belakang. Dengan mulut yang masih mengunyah kentang goreng, Lisa memerhatikan lelaki yang berdiri di hadapannya. Cuma mengingati siapakah gerangan hamba Allah tersebut.
“Ya. Saya Lisa tapi awak siapa?" Sesungguhnya Lisa tak selesa berada di dalam situasi macam ni. Berteka teki dikala dia perlu segera bergerak keluar.
“Akulah Zack. Takkan tak ingat.” Sambil menolak cermin mata hitam ke atas kepala Zack tersenyum memandang Lisa.
“Zack? Maaf ya, saya tak ingat siapa awak. Tapi terima kasih sebab tegur. Saya nak cepat ni. Bye...”
Lisa menekan butang remote kunci keretanya. Pintu kereta di buka. Langkah Lisa terhenti apabila Zack pegang pintu kereta menghalangnya untuk masuk ke dalam.
Bau minyak wangi yang di gunakan Zack, mengingatkan Lisa kepada seseorang. Seseorang yang perlu dia lupakan, dia perlu tinggalkan atas arahan seseorang. Walaupun pada ketika itu berat hatinya namun keputusan drastik itu perlu di segerakan.
“Kau hilang secara tiba-tiba. Dan apa salah aku?”
“Maaf, seperti yang aku cakap tadi, aku tak kenal siapa kau. Dan tolong ke tepi!" Lisa tepis lengan yang menghalang dengan beg tangan. Berguna juga ilmu tepis yang dia belajar di Youtube.
Zack terpaksa akur dengan permintaan Lisa. Terutama bila dia terpandang situasi mereka menarik perhatian dua warga asing yang sama-sama berada di dalam lif tadi. Sebelum keadaan di salah erti dan menjadi kecoh, lebih baik dia biarkan Lisa.
“Kalau tak kenal, kenapa gelang tangan tu masih kau pakai?"
Engin kereta mengaum dan kereta bergerak meninggalkan ruang parking. Penghawa dingin yang mula menyejukkan suasana dalam kereta melegakan Lisa.
Lisa kerling cermin pandang belakang. Zack masih berdiri di tempat tadi memandang ke arah keretanya. Dan kelibat lembaga hitam bermata merah yang berada di belakang Zack memandangnya penuh amarah. Masih setia menemai Zack seperti beberapa tahun yang lalu.
Selamat tinggal Zack. Semoga Allah kurniakan hidayah buatmu.
Catat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!