GA : Hari ini kita mengambil pengajaran dari sebuah cerpen. Sesungguhnya hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambanya. Walaupun kita berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang kita fikir itulah yang terbaik buat kita, namun tiada siapa dapat melawan ketentuan dariNya.

The story begin..

Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.

"Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya." ( Jatsiyah:23)

Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu? Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?

Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.

5 tahun lepas..

"Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?" Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.

"Hurrm.... Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini," dengan senyuman manja dia membalas.

Ya, apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!

"Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat,"

Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagiaan tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.

Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.

"Cakaplah sayang, apa dia?"

Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.

"Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?"

Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.

"Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?"

Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.

Lama ditenung mata hazel jejaka yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.

Dan akhirnya dia mengangguk setuju...

xxxxxxxxxx 

"Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!"

"Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke? Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?"

" Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!"

Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika itu dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.

" Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!"

" Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!" Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.

Dia berasa dunianya gelap. Dia harus gugurkan kandunganya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.

"Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat." Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.

Kakaknya menyambung, "Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bila kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau. Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!'

xxxxxxxxxx

Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.

Dia berjaya mengugurkan kandunganya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?

Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!

Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang bahu lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.

"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi" (Hadis)

"Adlina, akak nak tanya ni....,'

Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.

"Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?"

Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawab persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?

"Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat" ( Nisa:17)

Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.

'Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.'

Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus–putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.

'Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun ya.'

Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang, namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.

Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.

Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.

'Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang serupa dengan Lina. Tapi, dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya. '

Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu? bisik hatinya.

'Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.'

Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.

' Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. Insyaallah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.'

Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu Ya Rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?

"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya' ( Taubah: 24)

Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia!

Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!

'Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan. ' begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.

Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:

" Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu."

Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.

Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.

Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.

'Ibu, mari sini ibu. Bawa Lina sekali,' Kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.

Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira. tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah.

Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.

'Adlina Malik. Kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.'

Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian heater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.

Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu.....

Biodata Kolumnis
Nur Aisyah Zainordin merupakan seorang doktor di Royal Alexandra Hospital, Paisley, Scotland. Penulis yang berasal dari Gombak ini merupakan graduan perubatan dari University of Dundee dan kini merupakan Timbalan Presiden Majlis Syura Muslimun cawangan Scotland. Beliau aktif dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di United Kingdom dan Ireland.

2 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. cerpen yang best...kiranya Adlina dan harman bersatu yer...
    macam cerita betul yer..tak mustahil kan...

    BalasPadam
  2. Memang tak mustahil jika Allahswt telah menentukan ada jodoh antara mereka. Lelaki yang baik pasangannya wanita yang baik-baik juga. Insyaallah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama