PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Dari Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan". (HR Bukhari No: 7) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam dibangunkan atas lima  perkara iaitu rukun Islam yang terdiri daripada kalimah syahadah, Solat 5 waktu, zakat, puasa dan ibadat haji.

2.  Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati yang terhasil dari ilmu pengetahuan tentang pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

3.  Solat ialah melaksanakan ibadat sembahyang dengan sebaik-baiknya mengikut rukun dan peraturan dengan khusyuk berserta ikhlas dan kehadiran hati ketika melaksanakannya.

4.  Zakat adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang diwajibkan kepada orang yang berhak menerimanya.

5.  Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

6.  Ibadat Haji adalah menunaikan segala pekerjaan ibadat di Mekah menurut peraturan yang ditetapkan kepada setiap mukalaf yang berkemampuan dan berkuasa.

7.  Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan. 

8.  Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

9.  Barangsiapa menunda-nunda sampai lebih lima tahun, padahal sudah memiliki kemampuan, maka dia benar-benar jauh dari kebaikan.

Nabi SAW bersabda :

يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِنَّ عَبْدًا أَصْحَحْتُ جِسْمَهُ وَأَوْسَعْتُ عَلَيْهِ فِى الْمَعِيشَةِ تَأْتِى عَلَيْهِ خَمْسَةُ أَعْوَامٍ لَمْ يَفِدْ إِلَىَّ لَمَحْرُومٌ

Allâh Azza wa Jalla berfirman, “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku anugerahi kesihatan badan, Aku telah luaskan penghidupannya, telah lewat padanya lima tahun, (namun) dia tidak mendatangiKu (iaini: melakukan ibadah haji), dia benar-benar dicegah (dari kebaikan). (HR al-Baihaqi No : 10695) Status: Hadis Sahih

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung sekarang, bila lagi?.
 
12hb Ogos  2017
19hb Zulkaedah 1438H


Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama