KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) boleh mengekalkan hak mereka untuk mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun.

Beliau berkata KWSP akan memastikan sebarang penambahbaikan akan hanya terpakai kepada caruman baharu sekiranya pencarum memutuskan untuk bekerja setelah melepasi umur 55 tahun.

"Ini memberi keseimbangan antara harapan rakyat terhadap hasil titik peluh mereka pada umur 55 tahun sambil memberi perlindungan kepada mereka sekiranya bersara pada usia 60 tahun," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2015 di sini Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis itu.

Najib, ketika berucap dalam majlis itu, berkata meskipun memahami pentingnya simpanan persaraan pada umur 60 tahun, kerajaan juga sentiasa mendengar pandangan rakyat serta memahami bahawa sebahagian besar pencarum KWSP mahu hak untuk menggunakan dana persaraan mereka pada umur 55 tahun.

"Saya juga sedar tentang kebimbangan yang disuarakan orang ramai tentang sebarang perubahan di masa depan berhubung KWSP. Dalam hanya dua hari proses perundingan dalam talian yang diwujudkan baru-baru ini, terdapat lebih 50,000 rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dan memberi pandangan mereka.

"Ia kini merupakan perundingan awam terbesar yang pernah dijalankan," tegas beliau.

Kaji selidik itu bermula Selasa lepas dan akan berakhir pada 5 Mei 2015.

Baru-baru ini, KWSP dilaporkan sedia menimbangkan untuk meminda had umur yang dibenarkan bagi pencarum mengeluarkan caruman mereka daripada 55 tahun sekarang kepada usia persaraan 60 tahun, yang mendapat kritikan pelbagai pihak.




Sepatah dua kata admin blog.

Diharap isu ini tiada lagi perubahan di masa depan. Kita hanya mampu merancang yang terbaik untuk masa depan kita. Tetapi jangan sesekali kita lupa, Allah telah menentukan apa yang terbaik untuk setiap hambanya.  




Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama