Cara Betul Uruskan Uri Bayi

Perkongsian ilmu kali ini mengenai bab cara betul nak uruskan uri bayi. Aku terbaca persoalan ini di Facebook Zonkuliah. Nak juga aku tahu adakah selama ni cara aku urus betul ke salah? Aku pernah dengar dan terbaca, pelbagai tips dan petua ketika nak tanam uri. Ada yang pesan, jangan pandang belakang selepas selesai tanam, letak pencil dan buku masa nak tanam uri dengan harapan kelak anak tersebut pandai. Biar betul!

Perkongsian dari Facebook Zonkuliah.

Ustaz, boleh terangkan cara yang betul untuk uruskan uri selepas bersalin. Kata orang tua-tua dulu, lepas basuh hingga bersih, bungkus kain putih masuk dalam tempurung nyior yang berlubang kemudian letak garam kasar, asam keping, paku besar dua batang, bungkus dan tanam.

Tanam pula jangan dalam-dalam nanti anak lambat cakap dan lain-lain. Cuba ustaz bagi tips yang sebenarnya untuk mudahkan urusan tersebut.

Jawapan

Islam tidak menyuruh umatnya mengurus uri seperti jenazah. Apa yang perlu hanyalah di basuh, kemudian tanam di tempat yang selamat. Maksudnya jauh dari di makan binatang liar, kerana uri adalah sebahagian daripada bayi, dan kerana itu ia perlu dijaga.

Di kalangan masyarakat Melayu, uri cukup dijaga. Selain ditanam beserta dengan pelbagai benda, seperti jarum, paku, adakalanya kain batik dan sebagainya. Malah sesetengah tempat ia dipasang lilin pada waktu malam selama tujuh malam.

Keadaan itu jelas bertentangan dengan syarak dan boleh membawa kepada khurafat. Misalnya kalau letak jarum atau paku semasa tanam uri dapat mengelakkan dari gangguan makhluk halus. Perbuatan ini jelas salah. Kita dilarang terus dari percaya yang lain selain ALLAH.

Sebenarnya tiada hukum, nas atau hadis yang jelas mengenai cara menguruskan uri cuma sesuatu anggota tubuh apabila tidak dikehendaki digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik.

Nabi saw. pernah bersabda:

"Seorang bayi yang baru lahir ibarat sehelai kain putih. Ibu dan bapa lah yang menentukan sama ada dia menjadi Majusi atau Nasrani."

Cukup sekadar baca Bismillah dan berselawat ke atas Nabi saw. Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman keluarga serta memastikan halal. Tidak ada kena mengena dengan di mana dan bagaimana uri ditanam.

Tiada kaitan antara kehidupan seseorang dengan uri wanita selepas bersalin. Uri adalah sebahagian dari jasad manusia dan sepatutnya perlu kembali ke tempat asalnya iaitu tanah.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mengiringi upacara penanaman uri boleh dilakukan untuk memperoleh keberkatan.

Biasanya jika di hospital, uri akan dibersihkan menggunakan air bersih bagi menyucikan darah yang masih terlekat sebelum di serahkan kepada keluarga pesakit untuk urusan seterusnya.

Namun, bagi uri milik keluarga bukan Islam atau uri yang tidak dituntut, selepas dibersihkan ia akan dinyahkuman dan dibakar.

Seelok-eloknya uri perlu ditanam di dalam lubang yang digali lebih sekaki bagi tujuan membendung dihidu binatang buas.


Sumber Gambar : Mom Juction

Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama