GreenAppleKu : Kata orang, life begin at forty. Iyer ker? Ehrmm.. pada pendapat saya, kehidupan kita bermula sebaik sahaja kita di beri peluang oleh Allah untuk hidup di dunia ini. Buat yang terbaik selaras dengan tuntutan Islam. Tidak perlu tunggu umur cecah 40 baru nak berubah. Artikel dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengenai isu ini, saya arkibkan di dalam blog ini.
Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:
” Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”
Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).
Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.
Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun – Life begin at forty.”
Jadi kita di mana?
Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!
Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:
“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati."
Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.
Catat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!