WHAT'S UP DOC?
Keadaan lalu lintas pada pagi ini agak lengang. Memang seronok memandu di dalam keadaan sebegini. Tenang rasa dihati. Mungkin ramai masyarakat Cina telah mula bercuti untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Malam ini kan acara makan besar. 

Mengikut zodiak Cina, tahun 'arnab logam' bakal membawa berita baik untuk ekonomi dunia. Mereka percaya tahun ini juga bagus bagi perniagaan dan boleh membawa keuntungan besar tahun ini khususnya yang membabitkan bidang kreativiti. Selain itu, harga hartanah juga akan melambung sehingga ramai orang boleh menjadi kaya. 

Itu dari segi ekonomi, dari segi perhubungan masyarakat Cina juga percaya Tahun Arnab kali ini membawa sinar kebahagiaan kepada hubungan kekasih atau mereka yang sedang menghampiri gerbang perkahwinan tetapi diramalkan nasib tidak menyebelahi pasangan suami isteri kerana akan berlaku banyak kes kecurangan dalam perkahwinan, terutama menimpa mereka yang dilahirkan pada tahun anjing, kuda dan harimau. 

Selain itu, perkiraan zodiak Cina meramalkan tahun ini bakal menyaksikan banyak pergaduhan berlaku di segenap dunia dan sesama ahli keluarga. 

Dari aspek kesihatan, diramalkan keadaan tidak baik kerana akan berlaku banyak kes influenza seperti batuk dan penyakit berkaitan sistem pernafasan. 

Mereka yang bekerja pula harus lebih bersabar tahun ini berikutan diramalkan banyak dugaan dalam bentuk pergaduhan, kebencian dan gosip atau politik pejabat. Dalam konteks ini, tahun ini juga bukan waktu yang baik untuk bertukar kerjaya atau kenaikan pangkat.

Bagi pelajar pula, mereka yang dilahirkan pada Tahun Arnab dan ayam diramalkan menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran, justeru, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian serta bantuan tuisyen kepada mereka. 

Menurut zodiak Cina, antara sifat positif dimiliki individu yang dilahirkan pada Tahun Arnab ialah peka, bijaksana, berkelakuan baik, senang menerima tetamu, sopan, diplomatik dan berjiwa seni, manakala sifat negatifnya pula tidak tegas, suka berahsia, mudah tersinggung, kompleks, suka menyendiri, suka mengumpat, lurus bendul, pengecut dan mudah terpedaya. 

Itu antara kepercayaan masyarakat Cina tetapi kita sebagai umat Islam, dilarang untuk mempercayai sebarang ramalan kerana dikuatiri akan syirik. 

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:
  • Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
  • Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.
  • Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.
Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: 

“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.


1 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama