Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) sedang dalam usaha membimbing 100 pekedai runcit tahun ini di seluruh negara melalui program Transformasi Kedai Runcit (Tukar), sebuah program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK).
Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata Mydin menjangkakan jualan pekedai runcit di bawah bimbingannya akan meningkat antara 40 dan 50 peratus setelah semua proses transformasi kedai runcit selesai dan peruncit benar-benar menguasai kepakaran dalam bidang peruncitan melalui program bimbingan tersebut.
"Dua kedai di Melaka (yang sudah ditranformasikan) dalam tempoh dua hari sudah meningkat jualan lebih 30 peratus," katanya kepada Bernama di sini. Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, sempat meluangkan masa melawat dua kedai kedai runcit Mydin berkenaan di bandar baru Merlimau yang terlibat dalam program itu.
Ameer Ali berkata kedai terlibat adalah dua kedai pertama di bawah bimbingan Mydin melalui program Tukar di seluruh negara dan Mydin akan melakukan transformasi terhadap tiga lagi kedai runcit di Melaka dalam masa terdekat.
Melalui program Tukar, katanya peruncit diberikan pinjaman oleh kerajaan antara RM20,000 dan RM60,000 berdasarkan keperluan peruncit itu dan Mydin akan mengawal selia pertukaran kedai runcit itu daripada kedai runcit tradisional kepada kedai runcit yang lebih moden.
Ameer Ali berkata antara transformasi yang dibuat oleh Mydin terhadap kedai runcit itu melibatkan penyusunan semula reka letak barangan jualan, melakukan renovasi seperti mengecat semula dan pemasangan lantai marmar dan yang paling penting pengunaan sistem di tempat jualan (POS).
Beliau berkata sistem POS penting dalam membantu seseorang peruncit dalam mengetahui margin keuntungan, bilangan stok yang telah terjual, bilangan stok yang masih ada serta pelbagai lagi dan maklumat itu amat penting bagi seorang peruncit menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.
"Kita tidak dapat apa-apa duit daripada program ini, faedah sebetulnya kita dapat tolong orang lain berniaga dengan cara yang betul dan kita harap dengan cara ini perniagaan mereka akan naik cepat. Bagi saya, yang penting saya dapat kepuasan tolong peniaga kecil ini maju ke hadapan," katanya.
Mydin ditubuhkan pada 1957 dengan nama Syarikat Mydin Mohamed di Kota Baharu, Kelantan dan mula mengembangkan perniagaanya di Kuala Terengganu, Terengganu pada 1979 dan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 1989.
Kini Mydin mempunyai lebih 50 cawangan pasaraya di seluruh negara. Sementara itu, Mahmud Mohamad, 47, salah seorang pemilik daripada dua kedai runcit yang telah selesai proses transformasi oleh Mydin dalam program itu, berkata usaha itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan pekedai runcit kecil seperti dirinya.
"Ini usaha turunkan kepakaran daripada pasaraya besar kepada kedai runcit, kepakaran ini membolehkan peruncit seperti saya memahami cara perniagaan pasaraya dan maju ke depan setanding dengan mereka," katanya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak lima tahun lepas.
Beliau yang memperolehi pinjaman RM60,000 melalui program itu berkata jualan kedai runcitnya meningkat kira-kira 30 peratus sejak transformasi itu dilakukan dan amat berbangga dapat bertemu Perdana Menteri yang melakukan kunjungan mesra ke kedainya.
J Francisca, 44, seorang lagi pemilik kedai runcit yang terlibat dalam program Tukar, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menjadikan impian beliau dan mendiang ayah beliau, S Jeyanathan satu kenyataan.
"Sejak transformasi dua hari lepas perniagaan saya meningkat asalnya antara RM1,700 dan RM1,800 sehari sekarang sudah mencapai antara RM2,300 dan RM2,500 sehari. Saya macam tidak percaya Perdana Menteri sudi datang kedai saya dan beliau berkata sangat puas hati tengok transformasi yang dilakukan di kedai ini," katanya.
Beliau yang telah terlibat dalam perniagaan itu sejak 10 tahun lepas mula mengambil alih perniagaan kedai runcit itu daripada ayahnya yang meninggal tiga tahun lepas dan melalui program Tukar beliau memperolehi pinjaman RM60,000.
Program Tukar adalah salah satu program Aktiviti Ekonomi Utama Negara (NKEA) KPDNKK dan kerajaan menyasarkan 500 buah kedai runcit tradisional akan dimodenkan melalui program itu tahun ini, yang turut disertai oleh Carrefour dan Tesco.
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Kepada usahawan kedai runcit, rebut peluang join this program.
BalasPadamsesiapa bleh tlg beri maklumat lanjut mcm mana nak join program TUKAR ni??
BalasPadamCatat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!