One afternoon, semasa GA sedang menanti makanan yang dipesan sampai, mata GA liar melihat dan memerhatikan gelagat manusia di MEDAN SURI sewaktu makan tengahari. Ada macam-macam stylo. Lihat punya lihat, GA terpandang pada satu lot kedai yang sedang dalam proses ubahsuai. Bukan jual makanan tapi SHISHA. Benda ni dan jadi satu trend. Nampak macam ok sikit dari menghisap rokok. Tapi GA suka mencari kepastian. So, balik office search internet..jumpa this artikel dan share dengan korang.


SUMBER : MUFTI BRUNEI


Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.

Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?

Apakah Sebenarnya Shisha?

Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha

Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal dan ‘ajami. Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.

Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha

Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shisha itu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.

Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.

Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.

Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:

Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.

Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan boleh membawa maut.

Hukum Penggunaan Shisha

Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.

Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

7 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. penah try,huhu...tapi da insap tanak da ;(

    BalasPadam
  2. emmm....sbnrnya semua jenis alat sedutan mcm rokok, cerut dan shisha nih rasanya mmg membahayakan kesihatan..mana tak nya, yg dihisap tu apa...tembakau dan segala mcm...tp tula yg org suka jg..

    BalasPadam
  3. mula2 isap mmg cm bes
    p effectnye...masyaAllah
    harammm

    BalasPadam
  4. Deqdeq : Takde vitamin,

    hitam manis : Takde faedah, yang pasti ada penyakit menanti..

    BalasPadam
  5. Ooooooo......kawan saya kata isap shisha ni boleh...sebab tak bahaya..dia tu dari jus buah..asap dia tak bahaya. Hmmm... tak betul la info yang dia bagi kat saya. Dia offer..tapi saya tolak..nasib baik betul.

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama