Tulisan Hasrizal mengenai CINTA SONGSANG SEMAKIN SONGSANG, wajar dikongsi bersama untuk kebaikkan semua di masa hadapan.
LATAR BELAKANG YANG MENJADI BEBAN HIDUP
Ada di antara mereka menjadi mangsa kecenderungan ibu bapa, yang menginginkan anak perempuan sehingga beliau dilayan seperti imaginasi si ibu dan bapa, lantas naluri yang dibentuk menjadi songsang, atas kesilapan ibu bapa. Mereka yang dari kumpulan ini, lazimnya turut berpewatakan lembut kesan persekitaran yang disentuh ke atas mereka.
Manakala sebahagian yang lain pula, pernah menjadi mangsa kepada perlakuan songsang pada usia awal remaja, dicemar oleh nafsu rakus mana-mana lelaki yang ada di sekeliling mereka… hingga akhirnya kanak-kanak ini membesar dengan membawa catatan hitam itu kepada sebuah dunia keremajaan dan kedewasaan yang mengelirukan.
Beberapa individu yang saya temui dari kumpulan kedua ini, mempunyai penampilan yang sempurna sebagai seorang lelaki, namun mereka menanggung kejanggalan naluri sebagai rahsia yang memakan diri.
Sukar untuk saya membantu, kerana kecelaruan ini bukan kecelaruan ilmu. Ia juga bukan kecelaruan emosi, tetapi kecelaruan identiti. Identiti adalah suatu rangkuman dimensi dalaman manusia yang terbentuk hasil dari pelbagai aspek kehidupan. Mengungkaikannya memerlukan kekuatan semangat dan kembali berbaik sangka kepada Allah terhadap potensi diri untuk pulih… dari satu peringkat ke satu peringkat.
Mungkin ada yang secara spontan menghukum golongan ini, namun saya sebagai seorang pendakwah tidak mampu untuk berbuat demikian. Membantu, sentiasa lebih utama untuk difikirkan. Siapalah saya untuk menilai dan menghukum, kerana penilaian saya juga akan dinilai oleh Maha Penilai di sana, dan Maha Menghukum atas keculasan saya tidak membantu sesama saudara.
Apatah lagi, mereka yang saya temui ini mempunyai syakhsiah yang baik. Mereka adalah remaja yang taat kepada Allah pada ibadah dan akhlak, tetapi mereka terseksa kerana menanggung ‘dosa perasaan’ lantaran kecenderungan diri yang ganjil itu. Malah saya hargai kepercayaan yang mereka berikan apabila tampil meminta pertolongan dari saya, walaupun tidak banyak yang dapat saya lakukan, selain sokongan nasihat dan keyakinan diri.
Menghadapi golongan ini, tidak boleh disamakan dengan pendekatan kita terhadap isu homoseksualiti. Nyatanya, kebanyakan artikel yang saya temui, mengecam homoseksualiti dengan sokongan keterangan al-Quran dan al-Hadith. Saya yakin, remaja yang datang bertemu dengan saya amat sedar akan hal ini. Kerana itulah mereka tidak berzina sejenis, mereka tidak bergaul bebas. Mereka datang meminta bantuan atas rasa bersalah yang tinggi terhadap naluri yang menyalahi iman itu. Maka mereka memerlukan nasihat, panduan dan sokongan. Bukan kecaman.
Kerana itu, saya lebih simpati, berbanding marah atau terkilan, kerana mereka tetap berada di dalam status mangsa, selagi mana perasaan itu tidak dimaterialisasikan pada maksiat fizikal zina, liwat dan yang seumpama dengannya.
Saya cuba menyelami masalah mereka, dan nyatanya mereka adalah golongan yang sangat kesunyian dan sepi. Mereka hidup dalam kesunyian, bukan kerana kosong dari kehidupan berkawan dan berakan taulan. Sunyi itu datang kerana mereka sering memikul diri lari jauh dari semua orang di sekitar mereka, bersama rahsia yang terlalu berat untuk jatuh ke pengetahuan manusia. Mereka ini adalah manusia yang bersembunyi di tengah ramai.
SEKADAR NASIHAT
Nasihat pertama saya kepada remaja seperti ini, adalah untuk terus bertahan dari mendekati liwat dan cabang-cabangnya. Sebagaimana lelaki mukmin perlu menjauhkan dirinya dari zina, maka lelaki dari kumpulan ini juga mesti menjauhkan diri mereka dari zina sejenis, kerana kedua-duanya adalah kekalahan seorang manusia kepada hawa nafsunya yang mengundang penyesalan tanpa hujung. Allah tidak menghukum kalian atas perasaan itu, tetapi hukuman dan kemurkaan bakal menimpa kalian yang merealisasikannya pada perbuatan.
Kuatkan iman, teguhkan pendirian.
Namun saya berpandangan, perjuangan mempertahankan diri dari zina sejenis ini, jauh lebih sukar, kerana golongan ini sentiasa tinggal bersama golongan yang menjadi kecenderungan nafsunya. Jika lelaki normal’ boleh menghindarkan dirinya dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, golongan ini pula harus teguh berganda…
CEBURKAN DIRI PADA AMAL ISLAM
Tempuhilah usia akhir belasan tahun, dan 20an itu sebagai usia mujahadah menentang gelodak hormon dan ketidak seimbangan emosi yang rumit. Berikan diri kepada aktiviti-aktiviti, khususnya kerja Islam, dan sambutlah kesukaran-kesukaran yang muncul sebagai cara Allah mengekalkan kita dalam kebaikan.
“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan” (Al-Bukhari dan Muslim)
Kesusahan hidup di jalan dakwah, akan menyulitkan nafsu bangun menjajah keputusan diri. Bukan saya bermaksud agar mereka ini perlu sengaja mencari kesusahan diri, tetapi jalan dakwah dan kesibukan akan menghindarkan setiap remaja lelaki yang normal dan ‘tidak normal’ ini dari dosa fahsya’ seperti zina dan yang seumpama dengannya. Sibukkan diri. Jangan iyakan perasaan itu.
Berikan peluang kepada diri untuk melepasi usia 20an itu, sehingga keredaan naluri muncul seiring dengan pertambahan usia.
“Ustaz, apakah saya ada peluang untuk menyintai wanita, berkahwin, mempunyai anak, seperti manusia yang lain?” soalan yang sering diajukan kepada saya.
Berilah peluang kepada masa untuk merawat kesakitan jiwa itu, dengan syarat kamu tetapkan diri pada menjauhkan diri dari maksiat. Tunggulah hingga reda gelodak nafsu itu pada usia remaja seperti ini, dan nanti, kita berbuallah tentang liku-liku mencari jalan pada sebuah perkahwinan, yang diinginkan tanpa keinginan itu…, itu sahaja batas upaya saya berkongsi pandangan.
Bagi ibu bapa, dan pihak penaja yang menghantar pelajar ke luar negara, ketahuilah bahawa kebebasan undang-undang dan persepsi persekitaran terhadap homoseksualiti ini telah dan sedang begitu rakus mengorbankan banyak anak muda kita. Sukar untuk saya ungkapkan dengan perkataan, kerana jika dicadangkan AGAMA sebagai benteng penyelesaian, ramai yang sinis kerana mabuk POLITIK hingga takut kepada SIASAH, lantas terlupa kepada fungsi besar AGAMA, bahtera penyelamat buat manusia.
Semoga Allah memelihara kita semua, dan adik-adik remaja ini dari fitnah dunia akhir zaman yang sungguh kejam terhadap mana-mana insan yang mahu hidup dengan bara Islam yang digenggam.
Tabahkan hati…
SUMBER : saifulislam.com
saya punya banyak kawan seperti ini..mereka kadang2 lembut tapi tidaklah sampai mengubah jantina,sekadar lembut perwatakan dan suara,,Namun mereka adalah golongan yang taat kepada Allah SWT,pelajar cemerlang di universiti dan mempunyai tingkahlaku yg hebat..mungkin identiti yang celarukan fikiran mereka..saya bersetuju dgn semua pandangan kat atas ni..menasihati mereka adalah jalan terbaik dari mengecam mereka..Mereka adalah manusia dan juga saudara seagama kita..
BalasPadamaku banyak pengalaman dengan orang bercinta songsang ni. gay, lesbo, self-absorbist, narsisis, malah orang yang pervert pun ada..
BalasPadamAku kesian dengan diorang dan mak bapak diorang, tapi aku tetap berkawan dengan diorang. Sebab kalau semua yang baik cam aku menjauhkan diri, teguran sapa yang diorang nak dengar nantik?
Aku anti cinta songsang..
Eh...betul kem pasal benda ni? Aku tak baca pun entry..main terkam jer lepas baca tajuk..hehehe. Jangan maraaa
http://aderberani.blogspot.com/2010/12/komen-kepada-cinta-songsang-semakin.html
Wan confius lah...Ape yang hebat sangat cinta songsang nie..jijik ader lah
BalasPadamkdg2 kesian gak...ujian Allah sebenarnya utk uji k imanan ssorg.
BalasPadamjiran sy dulu pun ada juga tlibat dgn mslh sbgini tapi syukur d akhir usia dia brubah. jadi kaki masjid n smua org suka dia speceli bdk2. dia dh mninggl
Dalam berkawan rasanya tak perlu ada konsep 'pilih bulu'. Dekati mereka yang bermasalah kerana AllahSWT. Hendak tegur pun biarlah kena dengan caranya. Bukan boleh main hentam jer. Syabas kepada semua diatas atas sikap 'ambil tahu' anda kepada orang sekeliling anda.
BalasPadamCatat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!