BHARIAN : JENAMA Ford sinonim dengan jentera bertenaga menerusi varian model pikap Ford Ranger, Ford Escape dan kenderaan utiliti sport (SUV) Ford Everest.
Jentera itu terkenal dengan kelasakan dan mendapat sambutan di seluruh dunia daripada pelbagai lapisan umur.
Keteguhan binaan kerangka dengan rekaan luaran gaya maskulin antara faktor jentera berkenaan menjadi kegilaan peminat kenderaan lasak di negara ini.
Dalam sesi pandu uji baru-baru ini, penulis sempat memandu model terkenalnya, Ford Everest 3.0 Liter yang mendapat suntikan terbaru.
Sentuhan itu ternyata menampilkan reka bentuk serba baru dan pelbagai ciri kontemporari, sesuai dengan imej aktif dan serba guna terutama untuk persekitaran luar jalan.
Dipadankan rim aloi dengan dimensi 18 inci menampakkan jentera ini lebih tegap dan garang malah mampu bersaing dengan model SUV lain.
Ford Everest baru ini menampilkan reka bentuk depan baru dengan jeriji krom serta digabung dengan lampu depan melilit.
Jika dilihat pada bahagian hadapan, ia lebih 'cantik' dan banyak berbeza daripada model terdahulu.
Kerusi yang dibaluti kulit memberi penampilan terbaru kepada SUV ini kerana lebih selesa dan tampak mewah.
Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat manakala tempat duduk ketiga boleh dikeluarkan untuk meletak barangan.
Jentera ini sesuai dengan cuaca yang panas terik di Malaysia apabila dilengkapi laluan penyaman udara untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.
Sistem audio dilengkapi keupayaan MP3 memberi bunyi merdu apatah lagi untuk perjalanan jauh.
Penulis mencuba jentera itu mendaki banjaran Titiwangsa ke taman tema Genting Highlands, Pahang, baru-baru ini.
Laluan bukit dan selekoh tajam tidak memberi masalah malah penulis dapat menyesuaikan diri dengan mudah walaupun bentuknya lebar serta tinggi.
Daya pecutan dengan bantuan enjin suntikan turbo diesel 'Common rail' dan transmisi lima kelajuan automatik membuatkan perjalanan mendaki laluan itu lancar.
Selain itu, enjin Common rail generasi baru Duratorq mempunyai kuasa lebih tinggi dan menjimatkan minyak.
Dalam sesi pandu uji, tiba-tiba hujan dan dalam keadaan jalan yang licin itu penulis menukar pacuan dua roda kepada empat roda.
Penukaran itu mudah berbanding jentera lain kerana hanya perlu menekan butang tanpa memberhentikan kenderaan.
Ternyata kelebihan pacuan empat roda yang dipadankan dengan jentera ini amat mengagumkan kerana keempat-empat roda memberi cengkaman bagi memudahkan penulis meratah setiap selekoh dengan lancar.
Kenderaan ini turut dibekalkan beg udara sisi penumpang selain Sistem Brek AntiKunci (ABS) dan Edaran Daya Brek Elektronik (EBD).
SPESIFIKASI FORD EVEREST 3.0l 4X4 XLT
ENJIN
2,953 cc dengan empat silinder DOHC, 16 injap
KUASA MAKSIMUM154 bhp pada 3,200
TORK MAKSIMUM
380 Nm pada 1,800
TRANSMISI
Automatik lima kelajuan
CIRI-CIRI KESELAMATAN
ABS dengan BAS dan EBD
HARGA
RM170,000 atas jalan termasuk insurans.
Catat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!