I LUV ISLAM : Bercakap dengan menggunakan bahasa yang celaka akan merobek kebenaran dan menyakitkan hati pendengar. Kebenaran akan tertutup dengan rosaknya bahasa dan hodohnya akhlak kita.

Bercakap main redah akan mengundang padah. Bukan sahaja nasihat kita tidak akan didengari oleh manusia, bahkan penampar pula yang dilayangkan ke pipi kita.

Mulut kita perlu dipandu oleh logik akal dan disemak oleh rasa hati. Kata-kata kita perlu dilapik dengan hujah yang jelas dan jangan bercakap berlandaskan emosi.

Apabila kita memberikan nasihat kepada seseorang, pastikan niat kita adalah untuk mengubahnya ke arah kebaikan, bukannya untuk memalukan seseorang.

Nasihat kita adalah untuk membetulkan seseorang, bukannya untuk menjatuhkan maruahnya.

Nasihat yang diberi adalah sebagai tanda kasih sayang, bukannya salam untuk permusuhan sesama kita.

Kisah Tahi Lembu Sebagai Baja Sayur

Untuk mendapatkan sayur-sayuran yang segar dan sedap untuk dimakan, kita perlu memberikan baja kepada sayur-sayuran. Kadang-kadang, baja yang kita guna adalah baja organik ataupun baja tahi lembu.

Bilakah kita meletakkan baja itu kepada sayur-sayuran?
Kita meletakkan baja tahi lembu semasa sayur-sayuran masih berada di dalam batasan tanah kebun. Kita menabur baja ketika sayur-sayuran sedang berkembang matang sebelum dipetik dan dimasak untuk dimakan.

Bagaimana pula dengan sayur-sayuran yang kekurangan baja?

Sayur-sayuran yang kekurangan baja akan kelihatan layu, tidak segar dan rasanya pasti tidak sedap. Mungkin si petani terlupa untuk menaburkan tahi lembu dan memberikan baja yang secukupnya kepada sayur-sayuran tersebut.

Jadi, kalau kita termakan sayur yang tidak sedap kerana kekurangan baja, adakah kita akan menaburkan tahi lembu ke dalam pinggan kita untuk memberikan baja kepada sayur-sayuran itu?

Pastinya kita tidak akan sebodoh itu untuk menaburkan tahi lembu ke dalam pinggan kita hanya disebabkan oleh sayur yang kekurangan baja.

Tahi lembu perlu ditabur semasa sayur masih berada di batasan kebun, bukannya setelah dimasak dan dijadikan hidangan makan.

Begitulah perumpamaan untuk nasihat.

Kalau menabur baja, kita perlu tahu tentang tempat, masa dan kaedah yang sesuai untuk membaja, begitu jugalah dengan nasihat. Nasihat perlu diberikan pada masa yang sesuai, kena dengan tempat dan betul kaedahnya.

Ingatlah kata-kata Imam Syafie sebagai panduan untuk kita semasa memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja.
"Berikanlah nasihat kepada aku di kala aku sedang bersendirian dan janganlah menasihati aku di kala aku di tengah kerumunan orang. Memberi nasihat di tengah keramaian orang samalah dengan kehinaan dan aku tidak sudi untuk mendengarnya. Apabila engkau tidak bersependapat dengan aku dan aku tidak mahu mematuhi nasihat kamu, maka janganlah kamu marah." 
Imam Syafie
Nasihat adalah untuk menunjukkan manusia ke arah jalan yang benar, bukannya untuk menjauhkan seseorang daripada kebenaran.

Nasihat yang baik wajib disulami dengan bahasa yang indah. Bukannya indah pada bunga bahasa yang kita pentingkan, tetapi tepat pada penggunaan kata.

Kita wajib bercakap tentang kebenaran dan perlu menghiasi kebenaran dengan bahasa yang indah. Kebenaran diutamakan, barulah diserikan dengan bahasa yang indah. Kebenaran yang disampaikan pasti akan berbekas di hati dan bahasa yang indah akan menyedapkan telinga yang mendengar.

Sesungguhnya, bahasa yang indah akan memberikan sinar kepada perkara yang benar.

Tiada gunanya jika bahasa dikarang indah, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil. Rugilah pula kalau kebenaran dihambur dengan melulu, sakit telinga yang mendengar dan hati pasti sukar mahu menerimanya. Dan yang terlebih buruk, jika mulut mengeluarkan perkataan yang keji, ditambah pula dengan perangai yang buruk.

Sesungguhnya, bahasa yang indah akan memberikan sinar kepada perkara yang benar. Kebenaran didahulukan, bahasa diutamakan.

Bercakap tanpa berfikir, tanda rendahnya ilmu dan tanda rosaknya akhlak.

Inilah nasihat dan peringatan di dalam Islam.

Benar dalam perkataan dan perbuatan, mengetahui yang benar dan mengamalkannya, taat dalam beragama, meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menjawab dengan tegas dan tepat.

Semoga Allah mempermudahkan usaha dakwah Islam dan semoga Allah membukakan hati kita untuk menerima kebenaran.

2 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. Betulkan ada satu pepatah tu : terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata..ada yang kena penampar agaknya..

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama