Masalah perlu ditangani secara holistik
BERITA HARIAN : KADAR perceraian yang meningkat saban tahun, secara tidak langsung menyebabkan Malaysia kini mengalami peningkatan jumlah ibu tunggal. Satu senario yang membimbangkan dan dengan jangka hayat wanita yang lebih lama dari lelaki, angka itu dijangka akan bertambah.
Berasaskan fakta itu, sebagai negara yang menuju ke arah status negara maju, hak ibu tunggal di negara ini perlu diberi perhatian. Ibu tunggal harus dipastikan dapat menikmati hak asasi mereka seperti masyarakat aliran utama atau masyarakat perdana di negara ini.
Pengurus Program Pembangunan Kluster Sosio-Ekonomi, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Anita Ahmad, berkata berasaskan kajian bersama dilakukan antara Jabatan Pembangunan Wanita dan UNDP bagi pembangunan pelan tindakan nasional untuk ibu tunggal, beberapa perkara perlu diberikan perhatian serius dan mencari kaedah sesuai untuk menanganinya.
Anita berkata, kajian mendapati 80 peratus daripada isi rumah keluarga tunggal diterajui wanita manakala masalah atau cabaran utama dihadapi mereka untuk menguruskan keluarga ialah berpendapatan rendah.
“Di Malaysia, majoriti ibu tunggal adalah tua dan balu. Kebanyakan daripada mereka berpendidikan rendah atau tiada pendidikan formal, terutama di luar bandar. Mereka rata-rata bekerja dalam sektor tidak formal atau bekerja sendiri. Lebih rendah pendidikan maka lebih rendah gaji atau upah yang diterima, sekali gus menyebabkan kemiskinan bagi golongan itu.
“Pendapatan ibu tunggal hanya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan bagi keluarga yang ada pasangan,” kata Anita ketika membincangkan tajuk, Usaha Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan UNDP Meningkatkan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya Ibu Tunggal pada seminar Memperkasakan Hak-hak Ibu Tunggal di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Seminar anjuran SUHAKAM itu diadakan khusus bagi membincangkan isu dan masalah ibu tunggal, di samping berkongsi pengalaman dan pandangan, seterusnya memberi impak kepada penambahbaikan status golongan berkenaan di negara ini supaya selari dengan kemajuan masyarakat aliran utama lain. Seminar sehari itu dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Anita berkata, dalam usaha meningkatkan hak ekonomi, sosial dan budaya ibu tunggal di negara ini, piagam CEDAW adalah antara instrumen penting yang boleh digunakan supaya hak untuk golongan itu dicapai dan dilindungi secara menyeluruh dan bersistematik.
Beliau berkata, lebih-lebih ia adalah selaras dengan persetujuan kerajaan bersama 185 negara di seluruh dunia terhadap CEDAW dalam usaha memperkasakan hak wanita secara global. Piagam antarabangsa itu ada menyatakan khusus mengenai hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Apabila memperkatakan hak kesamarataan, ia bukan hanya peluang mendapat kerja dan pendidikan, hasil diberi mestilah positif. Misalnya, apabila sakit, seseorang itu bukan saja dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi mestilah dipastikan dia mendapat rawatan berkualiti. Begitu juga dalam perkara lain seperti pekerjaan, penyertaan wanita dalam sesuatu bidang tidak boleh dipertikaikan.
“Tetapi apa yang berlaku, masih ada sikap tanggapan budaya dalam masyarakat. Contohnya, wanita dikatakan tidak sesuai untuk bekerja sebagai arkitek atau jurutera. Selain itu, di Malaysia, upah yang sama antara wanita dan lelaki masih tidak dicapai sedangkan dalam Perkara 11 piagam menyebut hal mendapat upah yang sama, termasuk faedah tertentu dan mendapat layanan serupa dalam melakukan pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, walaupun kerajaan memperkenalkan kursus kemahiran keusahawan untuk membantu ibu tunggal, kenyataannya tidak semua akan berjaya dan boleh menceburi bidang itu kerana latihan saja tidak cukup sebaliknya perlu disertai tunjuk ajar yang betul.
“Begitu juga jika ingin beri latihan, walaupun mereka diberikan elaun untuk menghadirkan diri, bagi yang ada anak kecil siapa akan menjaganya jika mereka pergi mengikuti kursus berkenaan. Ketiadaan pusat penjagaan kanak-kanak sudah tentu menyukarkan mereka. Program diperkenalkan bagus tetapi perlulah komprehensif,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Hasmy Agam, dalam ucapannya berkata, Malaysia perlulah memastikan ibu tunggal mempunyai peluang yang sama rata dengan masyarakat aliran utama untuk mengakses pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan sebagainya.
Hasmy berkata, golongan ibu tunggal di negara ini juga perlu mendapat akses kepada program latihan kemahiran yang boleh membantu untuk menjana pendapatan utama ataupun tambahan.
“Setiap dasar dan program untuk membantu golongan ibu tunggal perlulah dipastikan, benar-benar mencapai kumpulan sasar ini, terutama golongan yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Daleleer Kaur Randawar dari Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kebanyakan ibu tunggal perlu bekerja keras dari pagi hingga malam semata-mata untuk mendapatkan duit lebih.
Apabila terpaksa berkerja kuat dan lebih masa yang terlalu kerap, ia mengakibatkan kesihatan terjejas kerana tidak cukup tidur serta mengalami pelbagai tekanan lain. Sebelum itu, ada juga ibu tunggal mungkin berdepan dengan tekanan perasaan akibat kehilangan pasangan sama ada bercerai atau meninggal dunia. Lebih teruk, sebelum bergelar ibu tunggal ada yang mempunyai pengalaman berdepan dengan keganasan rumah tangga sehingga memberi kesan pada kesihatan fizikal.
“Ada yang tidak boleh bercuti langsung sehinggakan hari Sabtu dan Ahad juga terpaksa bekerja. Mereka bekerja kuat bukan untuk keseronokan tetapi semata-mata untuk mencari duit. Dalam satu kes, seorang ibu tunggal memberitahu dia perlu bekerja pada hari Ahad kerana gaji diterima dua kali ganda dan lebih daripada hari biasa. Apabila ditanya jumlah upah diterima katanya, ialah RM8 sehari untuk hari Ahad berbanding RM4, hari biasa. Nilai itu mungkin dianggap kecil tetapi bagi mereka amat besar,” katanya.
Masalah perundangan pula lazimnya berkaitan hak penjagaan anak dan tuntutan nafkah. Turun naik mahkamah bukan saja menyebabkan ibu tunggal perlu menyediakan kos pembiayaan tetapi ada kala melalui pengalaman memeritkan, lebih-lebih lagi, apabila ada antaranya terpaksa berdepan dengan bekas suami yang sering marah dan mengeluarkan kata-kata kesat setiap kali bertembung mata di mahkamah.
INFO: Definisi ibu tunggal oleh UNDP:
Wanita yang bercerai atau menjadi balu.
Wanita yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang tetapi duduk berasingan dengan suami dan mencari pendapatan serta menjadi ketua keluarga.
Wanita yang tidak berkahwin tetapi mempunyai anak.
Wanita yang mendapatkan hak penjagaan ke atas anak orang lain.
Hasil kajian UNDP:
89 peratus ibu tunggal dikategorikan sebagai miskin, dengan 66 peratus miskin tegar.
Jumlah ibu tunggal miskin tegar di Sabah dan Sarawak lebih tinggi iaitu 91 peratus dan 73 peratus, berbanding 36 peratus di Semenanjung.
13 peratus ibu tunggal tidak berpendidikan manakala 25 peratus hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah; pendidikan menengah (60 peratus) dan hanya dua peratus berpendidikan tinggi.
Bantuan JPW memperkasakan wanita:
Menyediakan kursus kemahiran dan keusahawan dengan tujuan membantu ibu tunggal serta wanita berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan. Program seumpama itu dilaksanakan di peringkat negeri serta kawasan Parlimen dan sehingga kini, lebih 1,000 usahawan wanita sudah dilahirkan.
Menyediakan Geran Bantuan Khas Perbendaharaan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita untuk melaksanakan program seperti keganasan, kesaksamaan gender, kemahiran, pembangunan kapasiti, literasi undang-undang, kesejahteraan emosi dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut, layar laman web www.jpw.gov.my.
Antara cadangan yang dikemukakan peserta seminar Memperkasakan Hak-hak Ibu Tunggal Di Malaysia:
Menyediakan satu buku panduan khusus untuk ibu tunggal membuat rujukan bagi mendapatkan apa saja bantuan atau perkara berkaitan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi.
Mewujudkan pusat sokongan untuk anak ibu tunggal.
Menggesa ibu tunggal yang sudah berjaya menjadi mentor kepada ibu tunggal yang memerlukan sokongan.
Menyediakan dana khusus untuk membantu ibu tunggal sebagai bantuan sokongan kepada mereka bagi tempoh tiga bulan pertama memikul tugas sebagai ketua keluarga. Dana boleh digunakan antaranya untuk mencari tempat tinggal dan menanggung kos ke mahkamah bagi tuntutan nafkah.
Catat Ulasan
No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!