Tasbih Kayu Kokka
Sudah pasti ada di antara kita yang pernah terlihat kayu kokka. GA pernah terlihat kayu tersebut yang telah di 'transform' menjadi rantai. Sebesar duit syiling 50sen biji rantai tersebut. Memang nampak pelik tapi kenapa ada yang sanggup memakainya. Apa tujuan si pemakai tersebut. Hendak pamerkan yang dia seorang yang rajin berzikir kepada orang ramai? Hinggalah GA terbaca artikel tulisan Tuan Guru Dato Harun Din. Ehmm..


SOALAN


Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

JAWAPAN


Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); 



“Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

Wallahua’lam.


2 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. begitu juga dengan gelang magnet...
    lelaki haram memakai gelang
    hanya boleh dipakai dalam keadaan
    gelang pergi haji (lepas haji dah xleh nk pakai klu saje2)
    gelang untuk pesakit
    gelang semasa dipenjara

    BalasPadam
  2. dats right.. kayu kokka or apa saja yg didunia ni adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T.. dan kita sebagai hambanya x sepatutnya mengagungkan or percayakan sesuatu selain daripada kekuasaan Allah S.W.T..
    Great info..

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama