GreenAppleKu : Prinsip yang telah di tetapkan dalam Islam, namun masih ada yang mengambil ringan akan hal ini kononnya tidak mahu kecilkan hati orang yang hendak bersalam, risau di anggap sombong dan tidak friendly dan paling dasyat nanti di katakan ke'kampungan'. Jom baca cerita ini..dan thank you to Nuur Zaffah.

"I noticed you did not shake hands with guys", sapa Sian Hodgson berketurunan Welsh, kawan sekuliah saya.

"True. It is Islam. We are not allowed to physically touch the opposite gender except our spouses and family members", secara ringkas diterangkan kepadanya.

"Just like the Jews! Jewish women do not shake hands with men", ujarnya.

Jika Sian teruja dengan ilmu baru berkaitan Islam, saya pula teruja dengan apa yang dia kongsikan.

Saya tahu, Yahudi dan Islam percaya tuhan adalah Esa.

Saya tahu, Yahudi dan Islam mengaku Nabi Musa as adalah utusan Yang Maha Pencipta.

Namun, tidak pernah pula saya tahu bahawa Yahudi tidak bersalaman dengan yang berlainan jantina, kecuali yang halal sahaja! Menarik.

Lebih menarik lagi apabila Sian, bukan beragama Yahudi mahu pun Islam, tidak mempersoalkan hatta memperlekeh apa yang saya terangkan.

Perbualan di atas sekadar mengisi masa ketika berehat sebentar daripada kerja-kerja seni bina yang tidak akan pernah sempurna.

Perbualan berlaku di studio, tempat kami berkerja,

Semestinya jawapan yang diberikan kepada Sian tidak melayakkan A1 untuk subjek pendidikan agama.

Saya kira, jawapan ringkas sudah memadai untuk kali yang pertama.

Andai saya memasukkan istilah lelaki ajnabi dan yang sewaktu dengannya, sulit!

Saya menjawab bukan untuk mengajar agama. Tiadalah bertauliah pula.

Sekadar menyampaikan mesej bahawa Islam punya prinsip.

Namun, disebalik mesej, saya terpukul sendiri.

Islam serta Muslim adalah dua entiti yang berbeza.

Muslim punya prinsip?

Belajar Dari Barat?

Sebelum berangkat di luar negara, kami ditekankan tentang menghargai masa.

Hal ini termasuklah bab ketepatan masa serta memanfaatkan semaksimum mungkin masa yang ada.

Maka, ketika persediaan di kolej sebelum ke luar negara lagi sudah dilatih. Ditambah pula tenaga pengajarnya mat saleh.

Sekalipun dewan belum dipenuhi pelajar, andai cukup masa, pengerusi majlis harus memulakan acara. Jika tidak, isu besar!

Hal yang sama turut jelas diamalkan ketika saya di luar negara selama tiga tahun.

Sama ada di peringkat individu, masyarakat, hatta sistem sosial yang dirancang oleh pemimpin, turut mengaplikasikannya. Menghargai masa.

Paling terkesan ialah sistem pengangkutan awam. Selaku pengguna setia, saya cukup berpuas hati dengan sistem serta perkhidmatan yang disediakan.

Samada perkhidmatan bas dalam bandar sehinggalah perkhidmatan keretapi antara bandar, semuanya mempunyai jadual waktu yang tersendiri.

Jam dan minit telah ditetapkan. Selalunya tepat, jarang-jarang tiba awal atau terlewat. Jarang sekali.

Cumanya, pernah sebanyak dua kali saya tertinggal kereta api.

Malu dengan diri sendiri. Terlewat beberapa minit, kadangkala saat! Kata orang sudah takdir.

Kata saya, jangan salahkan takdir, muhasabah kecuaian sendiri.

Itulah Barat yang mengajar saya bahawa prinsip menepati masa berbicara melalui perbuatan.

Bukan sekadar ditulis didinding menjadi hiasan. Bukan sekadar ucapan, dibuktikan dengan tindakan.

Jauh sekali ingin mengagungkan Barat dengan prinsip menghormati masa kerana Islam jauh lebih hebat dalam hal yang serupa.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Islam menyatakan prinsip menghargai masa sejak lebih daripada 1400 tahun dahulu. Ditulis dengan jelas bahkan kekal ke hari ini di dalam kitab suci. Soalnya...

Muslim.

Menanam Prinsip

Memegang kukuh sesuatu prinsip perlukan latihan secara berterusan. Seperti kata manusia, the best way to learn it is to do it!

Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Islam dari awal lagi menyediakan latihan khusus bagi mengamalkan prinsip menghargai masa.

Latihan melalui pergerakan. Latihan sepanjang kehidupan bahkan jatuh hukum wajib apabila sudah akil baligh.

Latihan yang diulang-ulang lima kali sehari, hatta dalam keadaan sakit melainkan tidak sedarkan diri.

Latihan tanpa perlu ada sesiapa memantau, hanya berdasarkan hubungan antara manusia dan pencipta. Itulah solat.

Setiap kali azan berkumandang, umat Islam dianjurkan untuk meninggalkan pekerjaan dan menyahut seruan Hayya 'ala solah.

Berpusu-pusulah manusia bergerak ke masjid untuk solat jemaah bersama-sama.

Bergerak daripada satu perbuatan kepada perbuatan yang lain.

Usai bersolat, digalakkan pula agar terus beralih kepada urusan yang seterusnya. Hanya mereka yang tersilap faham kekal duduk di masjid berzikir panjang berjela, beribadah katanya.

Sedangkan ibadah itu luas.

Ringkasnya, ibadah solat melatih Muslim menghargai masa dalam tiga perkara, sekurang-kurangnya pada pengamatan saya.

01.Pertama, ketepatan masa. Sebelum waktu solat lagi dianjurkan untuk bersiap sedia dan tiba sedikit awal untuk mengerjakan solat sunat.

Apa jua pekerjaan sewajarnya ditinggalkan apabila tiba waktu solat. On time!

02.Kedua, tidak menangguh-nangguhkan masa. Sikap tidak bertangguh dalam solat dinyatakan dengan jelas di dalam ayat sembilan Surah Al-Mukminun.

Antara ciri orang beriman ialah mereka yang memelihara solatnya dan beruntunglah mereka. Bayangkan dalam menyiapkan coursework kuliah misalnya, andai ditangguh, bukankah parah?

03.Ketiga, memanfaatkan masa sebaik mungkin. Solat ialah masa bertemu dengan Allah swt. Manusia dituntut memanfaatkan masa tersebut dengan hanya mengingatiNya dan meninggalkan urusan dunia.

Khusyuk. Selesai solat, tidak berlengah-lengah. Segera berpindah pada pekerjaan lain pula. Setiap masa perlu diisi dengan perkara baik dan diusahakan sehabis baik.

Hebat bukan? Islam bukan sekadar menyatakan prinsip, bahkan menyediakan latihannya sekali. Percuma!

Saya sendiri masih bermujahadah mengamalkan latihan ini. Samada ketika menyahut seruan menghadapNya, juga dalam berurusan sesama manusia.

Apa pun, bukan kita bercerita tentang masa. Mesej utama ialah prinsip. Menghargai masa adalah salah satu prinsip Islam. Sama-sama kita bermujahadah menjadi Muslim yang berpegang teguh pada prinsip Islam. InsyaAllah.

Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama