Aku dah usaha tinggal dah, tapi tak mampu. Nak buat macam mana"

"Tak boleh bai, aku ni lemah dengan godaan. Nafsu kuat sangat. Tu yang tak boleh tinggal benda-benda ni"

"Allah dah takdirkan aku camni. Aku nak buat camna. Dah tertulis di lauh mahfuz aku ni buat maksiat-maksiat ni. Takdir aku memang begini"

Itulah dia antara alasan yang sering didengari. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya daripada mulut orang lain.

Tetapi kita mendengarnya daripada hati kita sendiri.

Ya. Kita memberikan alasan, untuk membenarkan kita melakukan dosa, keingkaran kepada Allah SWT.

Kita tunjukkan pada ketidak mampuan kita, kita katakan ia adalah punca godaan yang datang, malah adakalanya kita meletakkan perkara ini atas takdir Allah dan menyatakan ini semua susunan-Nya.

Inilah alasan-alasan kita.

Alasan untuk berdosa. Benarkah ia satu alasan yang melepaskan kita dari azab seksa-Nya?

Kita Yang Memilih Untuk Lemah

Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan. Halangan demi halangan akan wujud untuk menguji insan.

Ujian ini adalah untuk melihat dari kalangan manusia ini, yang manakah yang terbaik amalannya, yang manakah yang layak menerima rahmat Allah dan memasuki syurga-Nya.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" - Surah Al-Mulk ayat 2.

Maka sudah menjadi lumrah bahawa dalam kehidupan ada ujian.

Justeru apakah alasan tidak mampu?

Hakikatnya, semua manusia mampu melepasi ujian yang Allah sediakan. Allah SWT telah berjanji bahawa, setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri manusia itu, berada dalam lingkungan kemampuannya.

"Allah tidak memberkati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - Surah Al-Baqarah ayat 286.
Jadi, bagaimanakah boleh tidak mampu?

Jawapannya adalah, kita yang memilih untuk lemah. Kita yang memilih untuk tidak mengharungi cabaran dengan bersungguh-sungguh. Kita memilih untuk tidak berusaha hingga ke akhirnya.

Kita memilih untuk tunduk dan menerima kegagalan, lantas redha dengan kemaksiatan yang kita lakukan.

Perhatikan betul-betul di dalam jiwa kita. Benarkah kita tidak mampu? Atau kita yang memilih untuk tunduk kepada kerosakan?

Takdir Allahlah Yang Silap?

Menuding kepada Allah dan menyalahkan-Nya atas dosa-dosa yang kita lakukan adalah satu jenayah yang besar. Itu tandanya keimanan di dalam jiwa sudah terkoyak dan rosak.

"Kenapa Allah benarkan aku buat dosa?" Kita akan bertanya-tanya.

Tetapi siapa yang memilih untuk melakukan dosa? Siapa yang bergerak untuk melakukan dosa? Siapakah?

Kita.

Ketahuilah di dalam kehidupan ini, Allah berikan manusia satu perkara yang besar bernama IKHTIAR, pilihan, untuk manusia memilih sendiri antara yang buruk atau yang baik. Maka terletak di tangan kita untuk bergerak ke arah mana.

Dan setiap arah yang kita ambil, kita perlu sedar, ada konsikuensinya.

Penutup: Pandanglah Kepada Diri. Diri Itu Yang Perlu Diperbaiki

Pokoknya, ketidak mampuan kita bukan alasan. Allah juga tidak pernah bersalah dalam hal ini. Tetapi diri sendirilah yang perlu dipersalahkan.

Mengapa memilih jalan sedemikian? Mengapa tidak berusaha sehingga ke akhir hayat?

Mengapa tidak bergerak mendekati Allah dengan sepenuh kekuatan? Soalan-soalan ini perlu dilontarkan kepada dalam diri kita.

Perhatikan diri kita.

Yang bersalah hakikatnya adalah kita.

Kita yang memilih jalan kefasadan.

Dan siapa kata kita tidak boleh keluar?

Allah kah kata? Adakah kita mengetahui?

Hakikatnya, kita yang memilih untuk terus kekal dalam kerosakan.

Justeru, siapa yang memilih untuk keluar?

Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama