Ibunda's Delight

Rabu, 20 Mac 2013

Gelang kaki wanita di dunia Islam


GELANG kaki amat sinonim dengan tarian dan pakaian barangan kemas dari India. Namun hiasan itu boleh dijumpai di wilayah Islam lain di luar India seperti Mesir dan dunia Melayu.

Gelang kaki merupakan perhiasan barangan kemas yang digunakan oleh wanita Islam di bahagian pergelangan kaki dalam kehidupan seharian atau untuk menghadiri sesuatu majlis.

Berbagai-bagai bahan, bentuk dan hiasan telah digunakan oleh para pereka barangan kemas itu yang mempunyai fungsi dan sebab pemakaiannya oleh golongan wanita.

Namun, Islam tidak membenarkan pemakaian bagi tujuan bermegah-megah atau untuk menarik perhatian bukan muhrim.

Firman Allah yang bermaksud: Janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur : 31)

Terdapat beberapa rekaan asas perhiasan yang dihasilkan seperti bentuk berantai atau keras. Gelang kaki berantai lebih fleksibel, lembut dan memudahkan pergerakan wanita berbanding bentuk keras yang kadangkala menimbulkan rasa kurang selesa kepada pemakai.

Gelang kaki yang biasa digunakan untuk majlis selalunya direka dalam bentuk yang padu atau kosong dan dalam satu saiz. Terdapat gelang kaki yang mempunyai kunci yang diperbuat daripada cangkuk dan ada yang mempunyai bentuk seakan-akan skru.

Gelang kaki berantai dan berloceng sering digunakan dalam majlis tertentu seperti majlis tarian bagi menjadi rentak kepada pergerakan kaki terutamanya tarian India.

Sebab pemakaian gelang kaki dijadikan amalan ialah untuk hiasan kaki pengantin perempuan selain mengehadkan pergerakan anak gadis dan juga menjadi simbol keberanian kaum wanita sesebuah kaum seperti di India.

Di Mesir, gelang kaki telah dipakai oleh kaum wanita sebagai perhiasan sejak zaman Firaun.

Jenis logam yang ditempa menjadi gelang kaki menunjukkan status pemakainya.

Contohnya, emas dipakai oleh wanita kelas atasan. Terdapat wanita yang memakai gelang kaki sejak dari kecil. Ini dikatakan boleh melatih wanita tersebut supaya berjalan dengan perlahan, sopan dan teratur kerana berat atau bunyi gelang kaki yang digunakan.

Gelang kaki India dan Melayu mempunyai persamaan dari segi bentuk dan tempat kunci di mana menggunakan skru di tempat pertemuan kedua-dua belah bahagian.

Gelang kaki berantai dari Mesir pula dihiasi dengan sederet loceng-loceng kecil yang mungkin digunakan dalam tarian.

Rekaan gelang kaki Islam boleh dilihat di beberapa galeri kekal Muzium Kesenian Islam di mana gelang dari Mesir dan India boleh dilihat di Galeri Barangan Kemas manakala gelang kaki Melayu pula terletak di Galeri Melayu.


GreenAppleKu : Kurang gemar melihat sesetengah ibuayah yang memakaikan bayi perempuan mereka dengan gelang kaki emas. Penjenayah sekarang ni, ada pelbagai sikap yang pelik-pelik. Utamakan keselamatan. Dari beli gelang kaki, lebih baik simpan duit tersebut dalam akaun anak kesayangan. Duit selamat, anak pun tidak menjadi perhatian. 


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...