Lailatul Qadar



Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.

Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.

Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.


0 Ulasan