Mitos dan fakta poligami menurut sunnah Muhammad S.AW.
Mitos 1
Giliran bermalam bererti isteri yang bukan gilirannya langsung tidak boleh berjumpa dengan suaminya. Jika giliran disepakati adalah tiga malam, bererti keseluruhan tiga malam dia langsung tidak boleh bersua muka dengan si suami, hatta jikalau dia mempunyai masalah kesihatan. Ini merupakan mitos dan salah faham yang agak kerap penulis dengari. Perkara ini tidak pernah berlaku di dalam rumahtangga Rasulullah S.A.W. Malahan, kita melihat di dalam hadis bagaimana kerap kali Rasulullah S.A.W mengumpulkan isteri-isteri baginda S.A.W di dalam satu rumah salah seorang isterinya, dan mereka meluangkan masa bersama untuk makan dan minum bersama-sama, berbual sesama sendiri dan beramah mesra. Ini kerana amalan menziarahi sesama keluarga, dan juga banyak meluangkan masa bersama menambahkan kasih dan sayang, serta meluaskan kefahaman di antara satu sama lain.
Mitos 2
Pemberian wang perbelanjaan kepada seseorang isteri adalah menurut jumlah wang keseluruhan, bukan menurut usaha isteri. Contohnya jika seorang suami mempunyai dua isteri, seorang bekerja dan seorang tidak berkerja. Yang bekerja memperoleh gaji RM1500. Jika perbelanjaan yang diperuntukkan suami untuk seorang isteri ialah RM 2000 sebulan, maka untuk isteri yang bekerja suami cuma akan menambah RM 500, dan memberikan jumlah penuh RM 2000. Pada akhirnya, isteri yang bekerja akan bekerja sendiri untuk memenuhi keperluan rumah sendiri, manakala yang tidak bekerja cuma perlu duduk di rumah untuk mendapat wang belanja. Ini merupakan konsep yang salah.
Sepatutnya, wang gaji isteri yang bekerja tidak harus dimaksudkan dengan wang perbelanjaan yang perlu diberikan suami. Jika suami memberikan seorang isteri RM 2000 sebulan untuk perbelanjaan rumah, maka wajib juga dia memberikan yang seorang lagi RM 2000 sebulan, tanpa mengira gaji atas hasil titik peluhnya. Gaji isteri, adalah hak isteri 100%, melainkan isteri sendiri yang membuat keputusan untuk menyerahkan gajinya, sedikit atau semuanya kepada suaminya.
Perlu diingat senario ini adalah dengan anggapan penulis bahawa kedua-dua isteri tiada anak. Ini kerana jumlah perbelanjaan satu keluarga juga berkait rapat dengan jumlah anak. Jika seorang isteri umpamanya mempunyai 2 anak, maka perbelanjaan yang diberikan kepadanya untuk keperluan rumah tidak akan sama dengan perbelanjaan isteri yang mempunyai seorang anak. Begitulah seterusnya.
Mitos 3
Giliran bermalam yang berlainan bererti kurang aktiviti dengan suami. Ini juga merupakan tanggapan yang salah. Pada hakikatnya, meluangkan masa bersama suami itu adalah menurut kebijaksanaan si suami. Maksud giliran bermalam itu, adalah pada malam harinya di mana si suami akan tidur di antara isteri-isterinya, bukan giliran bersua muka. Seperti mana di dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W kerap mengumpulkan isteri-isteri baginda S.A.W, dan mereka meluangkan masa beramai-ramai bersama. Tidak mengapa jika di antara isteri memasak, berbual, pergi membeli-belah bersama-sama. Malahan itulah yang menambahkan keakraban. 
Alangkah indahnya sunnah baginda saw, yang menunjukkan kita contoh perilaku suami yang terbaik, yang mengambil kira dan menjaga hati isteri-isteri baginda saw, memahami pemikiran dan hati budi mereka serta meringankan beban mereka. Aisyah R.A pernah menceritakan, "Bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W menjahit bajunya sendiri, membasuh bajunya sendiri, mencari makanannya sendiri. Rasulullah S.A.W tidak pernah memberikan kami kesusahan, atau membebani kami". Subhanallah...Kerap kali penulis terfikir, adakah para lelaki yang berbangga mengamalkan poligami tanpa ilmu, ada meluangkan masa untuk merenung ketinggian budi pekerti Rasulullah S.A.W di dalam persediaan mereka menerajui rumah tangga?
Isteri Rasulullah S.A.W  mempunyai kebebasan untuk keluar dari rumah mereka, untuk membeli barang-barang keperluan mereka. Dan mereka bebas untuk bertanyakan suami mereka dan meminta keizinan mereka, samada hari tersebut adalah gilirannya ataupun tidak. Pernah juga di waktu giliran Aisyah R.A, salah seorang isteri baginda S.A.W bertemu baginda S.A.W dan bertanyakan keizinan baginda S.A.W untuk keluar dan mencari barang keperluannya bersendirian.
Panggilan isteri yang dikahwini terdahulu sebagai 'isteri pertama', yang kemudiannya 'isteri kedua' dan seterusnya, adalah bukan dari sunnah baginda S.A.W. Baginda Rasulullah S.A.W tidak pernah merujuk kepada isteri-isteri baginda dengan panggilan nombor, tetapi dengan panggilan nama yang lunak dan lembut didengar. Tidak pernah kita ketahui Aisyah R.A isteri yang ke berapa, kerana baginda S.A.W mahupun sahabat R.A tidak pernah menggunakan rujukan sebegini. 
Penulis juga memandang rujukan sebegini mengguris hati para wanita, seolah-olah mereka dirujuk seperti rujukan barang-barang, bukan sebagai isteri teman hidup di dunia. Isteri yang awal akan merasakan dirinya sudah tua, tidak dapat melayan suaminya dengan baik, kerana itu suaminya memilih untu berpoligami. Isteri kedua pula akan ditohmah orang ramai sebagai perosak rumah tangga orang, perampas rumah tangga orang dan sebagainya. Rujukilah isteri-isteri dengan panggilan yang baik dan lembut, kerana adalah dari tanggungjawab suami untuk melayani isteri-isterinya dengan baik.
Pada pandangan penulis, (dan ini merupakan pendapat dari pemikiran penulis sendiri), meminta izin isteri untuk berkahwin lagi dan merahsiakan perkahwinan adalah dua perkara yang berlainan. Kebanyakan kita meletakkan kefahaman bahawa jika suami mempunyai hak untuk berkahwin lagi tanpa keizinan isterinya, maka dia berhak untuk merahsiakan perkahwinannya dengan wanita lain, hatta sudah mempunyai 4-5 orang anak dengan perkahwinan yang lain. Adakah ini benar-benar boleh?
Ulama' menggunakan hadis bahawa Rasulullah S.A.W mengahwini sebahagian isterinya, tanpa pengetahuan isterinya yang lain. Contohnya baginda S.A.W mengahwini Safiyah R.A , pada Hari Khaibar, tanpa keizinan atau pengetahuan dari isteri-isterinya yang lain. Namun pernahkah kita melihat, bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah menyembunyikan rumah tangga baginda saw? Tidak pernah sekalipun Rasulullah S.A.W berkahwin dan berakad, namun hal perkahwinan baginda S.A.W tidak diketahui oleh sesiapa, terutama isteri-isteri baginda S.A.W, sehingga 5-10 tahun selepas berkahwin. Perkara ini tidak pernah sesekali terjadi. 
Malahan penulis merasakan bahawa Rasulullah S.A.W berkahwin tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda S.A.W terdahulu adalah kerana batasan komunikasi ketika itu. Pada zaman tersebut tiada sms, tiada telefon bimbit, tiada e-mail dan sebagainya. Oleh itu pada pandangan penulis, kita harus menilai semula boleh atau tidaknya menyembunyikan perkahwinan pada zaman serba moden ini, kerana kemajuan teknologi yang sudah berlainan masakini. Kita perlu ingati, statistik 4 tahun lepas yang dikeluarkan JAKIM menunjukkan bahawa 47% perkahwinan poligami berakhir dengan penceraian. Secara jelasnya, ada sesuatu yang tidak kena berkenaan cara amalam poligami masyarakat setempat, kerana jikalau tidak, nescaya angkanya tidak akan menjadi sebegitu besar dan ramai.
Begitulah sahaja yang penulis dapat garapkan berkenaan isu ini buat waktu ini. Sungguh penulis mempunyai harapan yang besar di dalam hati, agar amalan yang sunnah ini dapat difahami dengan lebih baik, dan menampakkan manfaatnya berbanding keburukannya, sebagaimana yang diperlihatkan oleh kekasih kita Muhammad S.A.W. Ianya perlu lebih difahami bukan sahaja bagi pihak wanita, malahan juga dari pihak lelaki, yang rata-rata penulis perhatikan kurang mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan kefahaman dari sunnah baginda S.A.W dengan teliti dan terperinci, sebelum melibatkan diri di dalam poligami. Justeru, pelbagai masalah rumah tangga akan muncul dengan lebih banyak, dan mencemarkan nama sunnah maksum Muhammad S.A.W.
Ya Allah...bukakanlah pintu hati umat Muhammad S.A.W untuk kembali mencari dan mendalami sunnahnya dengan lebih baik dan teliti, justeru mewujudkan rasa cinta yang lebih menebal, dan rasa kagum yang mendalam terhadap baginda S.A.W sebagai contoh ikutan kita di dunia.


GreenAppleKu : Kepada yang sedang berkira-kira untuk berpoligami, sila ikut sunnah nabi Muhammad S.A.W. Bukan ikut suka hati korang yer. Artikel ini wajib ada dalam blog semua. Moga dapat dijadikan panduan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan masalah poligami. 

1 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. oh hoooooo... lelaki patut baca dengan betul.. heheheh.. juga perempuan sebagai rujukan + tambah ilmu.. kadang sebab tak cukup ilmu tu la perempuans enang ditindas lelaki kan... hoho

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama