Cara pelupusan wang tidak patuh syariah, wang syubhah atau wang haram untuk masyarakat Islam.

Aktiviti penyalahgunaan kuasa, peras ugut, fitnah, memberi dan menerima rasuah serta penganiayaan demi mendapatkan wang bukanlah satu cerita baru atau pelik di akhir zaman ini.

Aku yang terbaca 'kerja gila lagi zalim' spesis manusia yang bertuhankan wang, hanya mampu istifar melihat usaha dan cara yang mereka gunakan. Hati kering sungguh.

Dan yang lebih terkilan, mereka yang beragama Islam turut 'kelabu mata' dan tolak tepi halal haram apatah lagi mengharapkan keberkatan dalam sumber pendapatan.

Semoga kesilapan mereka menjadi ikhtibar untuk kita. Selalu ingatkan diri agar bersyukur dengan rezeki yang sedia ada. Jaga kerjaya yang diamanahkan sebaiknya. Nak buat side income tak salah tapi pastikan kerja utama telah selesai.

Sebagai contoh, Lisa seorang pelukis pelan. Waktu kerja bermula jam 8.30 pagi. Tetapi pukul 10 pagi baru Lisa masuk ke pejabat selepas dia selesai cod barang kepada pelanggan. Kerja utama sebagai pelukis pelan yang sepatutnya Lisa selesaikan, dia arahkan orang lain buat.

Anak Lisa kerap sakit. Setiap bulan Lisa mesti bercerita duit tak cukup. Pada hal jika ikut logik akal, gaji bulanan Lisa di tambah dengan side income sepatutnya dah lebih dari cukup pendapatan Lisa.

Keberkatan rezeki Lisa tiada kerana dia tidak menjaga kerjaya utamanya sebagai Pelukis Pelan, masuk kerja lewat dan menganiaya orang lain dengan meminta orang lain buat kerja yang sepatutnya Lisa sendiri selesaikan. 

"Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup, banyaknya tidak puas. Rezeki yang tidak berkat umpama meminum air laut, semakin diminum semakin haus!”

Apa itu wang tidak patuh syariah, wang syubhah atau wang haram?

Ramai umat Islam sama ada secara sedar atau tidak yang terjebak dengan urusan kerja secara haram hingga menjadikannya sebagai sumber rezeki harian untuk diberikan makan kepada ahli keluarga. 

Manusia mudah digelapkan mata dengan wang ringgit dan kebendaan hingga alpa dan tidak mempedulikan halal atau haram dalam kehidupan. 

Antara ‘pekerjaan’ yang haram dan syubhah ialah memperdaya orang, menipu, menawarkan pelbagai skim cepat kaya yang diragui, mengadakan transaksi riba, mengambil deposit wang secara tidak sah, menyertai pelaburan saham tidak patuh syariah, menyalahgunakan kuasa, memberi dan menerima rasuah dan bermacam-macam lagi.

Cara mudah untuk memperolehi wang ini pula dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dengan menayangkan koleksi kereta mewah, menjalani gaya hidup mewah, membuat percutian mewah dan seumpamanya yang diragui latar belakang kerjaya sebenarnya.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa: "Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram.” (Riwayat al-Bukhari)

Rezeki yang diperoleh secara haram tidak akan diberkati Allah dan malah dijanjikan balasan buruk oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Umat Islam berkewajipan untuk mencari dan memperolehi rezeki daripada sumber yang halal. Sumber-sumber yang halal ialah sebarang hasil usaha yang tidak bertransaksi dengan perkara atau unsur yang haram, tiada unsur syubhah, tiada unsur gharar, tidak mengambil hak orang lain, tidak menipu, mencuri atau merompak dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Bolehkah wang haram ini di sucikan melalui bayaran Zakat?

Tidak boleh.

Rezeki yang haram tidak boleh disucikan dengan zakat. Zakat hanya disucikan melalui sumber rezeki kita yang halal sahaja. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Taubah: ayat 103)

Ibadat zakat adalah penilaian yang subjektif selain dari agen penyucian, ia adalah hak “orang lain” di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau syubhah atau mudah disebut sebagai wang tidak patuh syariah, ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam tentang pengharamannya.

Cara pelupusan wang tidak patuh syariah, wang syubhah atau wang haram.

Dalam konteks harta yang haram dan syubah ini, ia sememangnya tidak boleh dijadikan rezeki atau dimiliki dan sebaliknya hendaklah dikembalikan kepada pemilik asal. Imam Nawawi menyatakan bahawa kaedah penyucian harta yang haram adalah dengan bertaubat, memulangkan semula kepada pemilik asalnya atau warisnya dan membelanjakan bagi maksud maslahah umum.

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

“maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau di depositkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di https://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php. 

Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT. Info lanjut boleh layari laman web MAIS di www.mais.gov.my

Photo by : Sumber Google

3 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama