Tengku Thaka - Part 16




"Tadi, tadi!"

"Kenapa dengan tadi?!" Farizal serius dalam debarannya.

"Tadi bukan ke kita keluar rumah dengan pintu tertutup?!" Claudia cemas.

Farizal mematikan langkahnya. Lelaki itu teragak-agak. Tadi, meluru penuh yakin. Sekarang, dah lain pula ceritanya. Fikirannya terus melayang pada kuburan yang telah terburai isinya keluar. Kosong. Ini bermakna, penghuni kubur telah menanti mereka berdua di mana-mana sudut dalam rumah. Sedangkan barang-barang yang mereka perlukan ada di dalam rumah. Di bahagian bawah tanah pula tu.

"Macam mana ni, nak masuk ke tak?" Mereka saling berpandangan. 

"Ada cara lain tak untuk menyeberangi lembah tu?" Claudia memegang erat lengan baju Farizal. Takut.

"Ada. Mungkin kita boleh tebang mana-mana pokok, kemudian jatuhkan sehingga ia boleh menghubungkan antara dua tebing. Tapi, itu mustahil. Tak mungkin dengan kudrat kita berdua, boleh alihkan mana-mana pokok besar!"

"Kalau kita langgar saja pokok dengan kereta?" Claudia memberi cadangan.

"Kau gila ke? Tu antara dua, sama ada kita yang terhantuk meninggal. Atau pokok yang dilanggar terbalik atas kereta!" Jawapan lelaki itu mendiamkan Claudia.

"Apapun jadi, kita kena masuk ke dalam. Sepatutnya ada stor di luar rumah yang ada kelengkapan bagai. Tapi, set cerita kita ini tak sama pula dengan dalam filem. Hm. Kau dah sedia?"

Claudia tak tahu nak mengangguk atau menggelengkan kepala. Ke depan pun takut. Ke belakang pun takut. Suasana sekeliling dah gelap. Malam sudah menghiasi dan hanya bersuluhkan lampu kereta yang malap, kedua-duanya melangkah perlahan-lahan. Farizal mengacukan senapang patah yang ada dengannya. Bersedia dengan segala kemungkinan. Masuk ke dalam rumah dengan berhati-hati.

KRIUK KRIUK...

Pintu-pintu bilik bergerak-gerak sendiri, tingkap-tingkap bergerak buka tutup menyambut kehadiran mereka dalam rumah. Peluh dingin mulai menitik di tepi dahi Farizal. Debaran di dadanya usah dikatalah. Claudia dari hanya memegang lengan baju, kali ini memaut erat lengan jejaka itu. Gigil.

"Kita periksa bilik ke bilik dulu, nak tak? Maybe ada peralatan dalam mana-mana bilik? Ke bawah macam berisiko besar saja." Claudia berbisik perlahan.

Farizal tidak menjawab. Perlahan-lahan, dicapainya pelita berdekatan. Dinyalakan. Sebelah tangan memegang senapang, sebelah lagi pegang pelita usang menyuluhi jalan. Ada dua bilik saja dalam kabin buruk tu. Lelaki itu tiba di depan pintu sebuah bilik. Ditunjalnya deras hingga terbuka pintu tersebut. 

"Tak ada apa-apa."

Lega. Namun, pencarian mereka hampa. Tiada apa pun dalam kamar tidur itu kecuali katil usang berhabuk dipenuhi sarang lelabah.

Saat mereka nak keluar dari bilik, Claudia menjerit perlahan. Bila melihat kelibat hitam bayang sesuatu di luar bilik. 

"Syhh.." Farizal cepat-cepat menekup mulut gadis itu. Menutup pintu bilik perlahan-lahan dengan kakinya. Dengan menggunakan tubuhnya, lelaki itu bersandar pada pintu. Niatnya agar pintu itu tidak dapat dibuka. Nak dikunci pintu, tiada penyelak apa pun. Tolakannya pada pintu makin kuat bila telinganya bunyi tapak kaki di luar.

Suasana hening di sekeliling. Sunyi sepi. Tadi ada juga angin bertiup dan bunyi tingkap serta pintu bersilih ganti. Kali ini betul-betul diam. Hingga nafas gemuruh kedua-duanya dapat didengari dengan jelas. Bunyi seretan kaki di luar pintu bilik makin jelas kedengaran. Dengusan kasar berbunyi di luar bilik. Sekarang, betul-betul dengusan itu di depan pintu bilik. 

Diam. Tak bunyi apa-apa pun seketika. Farizal memberi isyarat mata pada Claudia agar api pada pelita dipadamkan. 

Gadis itu bergerak perlahan-lahan untuk meniup padam, tiba-tiba..

BAMMMMM!!

Pintu tempat Farizal bersandar pecah! Berlubang!

Dua tangan buruk bengkak, berulat bangkai menerjah betul-betul di kiri kanan telinga lelaki itu. Farizal pucat lesi. Tidak menyangka itu yang akan terjadi. Tak sempat dia beralih dari pintu itu. Tangan kasar itu memegang kemas, memaut kepala lelaki itu hingga Farizal terkial-kial cuba melepaskan diri.

"Arghh!!"

Claudia teragak-agak pada mulanya untuk membantu lelaki itu. Namun, dia memberanikan diri memukul dan bergelut melepaskan lelaki itu dari cengkaman tangan-tangan tersebut. Kuat sangat sehingga Farizal hampir tercekik kelemasan. 

"Tem..tembak!!" Farizal menjerit, mengarahkan Claudia. Dia mencampakkan senapang kepada gadis itu.

Claudia terketar-ketar.

"Saya tak tahu nak tembak macam mana!"

"Tarik saja picu tu!"

Suasana kalut. Haru-biru.

Farizal makin kesesakan sendiri. Meronta-ronta. Claudia segera mencapai senapang. Mengacukan tepat ke arah daun pintu yang sedang bergegar hebat. 

"Tembaklah!" Farizal dah meraung.

BAMMM!!

Bukan bunyi tembakan. Farizal terbeliak mata bila tingkap bilik dipecahkan sesuatu. Dilihatnya jelas, makhluk bagaikan mayat hidup bertubuh sasa dengan gergaji mesin pula muncul di luar bilik, luar rumah.

"Mati, mati aku kali ni!" Farizal bergumam sendiri dalam diri.

Claudia terus terkesima terkejut tak terkata. Hingga tak tahu nak buat apa. Langkahnya bungkam. Diapit depan belakang dengan sesuatu yang menakutkan. Kepala lututya jadi lembik. Trauma. Bagaikan berada dalam suatu mimpi ngeri. Bezanya, ini nyata!

"Tembak saja!"

Claudia dah tak boleh buat apa. Lelaki itu menjadi geram. Nafasnya sudah tak tentu hala sekarang ni. Lehernya dicekik hebat. Menggelupur. 

Farizal merampas senapang dari tangan Claudia.

BUMMM!!

Ditembaknya mayat hidup yang memegang gergaji di luar tingkap hingga berkecai kepalanya. 

"Arghh!"

"Mampuslah kau!"

BUMMM!!

Satu lagi tembakan dihalakan ke belakangnya. Memecahkan pintu hingga pautan tangan kasar terlepas dari lehernya. Lelaki itu bingkas bangun. 

"Yargh!" Ditendangnya pintu itu hingga tercabut. Lantas pintu itu menghempas bersama mayat hidup tersebut. Entah dari mana kekuatan yang datang masa tu. Dicapainya tangan Claudia, menariknya keluar. 

Namun, langkah mereka sekali lagi terbantut. Bila ada seekor lagi zombie berada betul-betul di hadapan pintu depan kabin. Berlari laju ke arah mereka. Farizal segera menerjah ke arah daun pintu depan, menutupnya cepat-cepat. Menghadangnya dengan penyelak depan. 

PRAKKK!!

Pintu depan berlubang!

Zombie bermuka buruk tersiat-siat luluh kulit mukanya itu melubangi pintu depan dengan menghantukkan kepalanya pada pintu itu. Terlekat. Dengan lidah panjang terjelir keluar. Kedua-dua biji mata bergantungan hampir putus dari sarangnya. 

Pintu bilik yang tadi dihempas, kini dicampak ke tepi dinding dengan ganas oleh makhluk kubur. Dalam masa yang sama, bunyi gergaji mesin pula menapak dalam ruangan bilik.

Tiga makhluk ganas serentak mengepung mereka!

Farizal terketar-ketar mengisi kelongsong peluru dalam senapang, hingga beberapa peluru jatuh ke lantai. Kalut yang amat sangat.

"Cepat tembak! Cepat!" Claudia memegang erat bahu Farizal. Pejam mata.

BAMM! 

Farizal menembak zombie ngeri di belakangnya yang menerjah ganas. Dalam kelam nampak seperti mayat seorang lelaki yang sudah luruh kulit badannya. Separuhnya sudah terurai. Sebahagiannya masih utuh melekat di badan. Sebilangan besar nampak sampai organ dalaman dan tulang-temulang. Urat berselirat. Loya tekak melihatnya.

Tembakannya hanya mampu menguraikan sebahagian anggota badan, namun tidak mampu menyekat pergerakan zombie garang. Tembak lagi dan lagi hingga terburai isi perut. Tembak lagi hingga tercabut sebelah paha!

Farizal kalut mengutip peluru yang bertaburan di lantai. Cuba mengisinya. Tapi, pergerakan zombie itu lebih tangkas. Menerkam dan melibasnya hingga tercampak ke dinding. Lelaki itu meraung kesakitan. 

Lelaki itu cuba bangun secepatnya bila melihat sasaran makhluk itu seterusnya adalah pada Claudia yang sedang menjerit bagai sawan sendirian. Terbaring di lantai kaku tak dapat bergerak. Panik.

"Yargh!"

Farizal menerajang zombie ganas di hadapannya dengan sekuat hati. Terasa senak hingga ke tulang lututnya. Keras betul tubuh makhluk itu. Namun, kakinya segera dipegang kedua-dua. Lantas, dihayunkan berpusing, dicampak sekali lagi ke dinding hingga hancur rak-rak barangan kecil di dalam rumah. Sekali lagi, Farizal kesakitan. Darah bersemburan keluar dari mulutnya. Luka sebelah dalam agaknya.

"Bangun Claudia! Lari!" Farizal cuba bangkit dalam kepayahan. Makhluk itu menarik rambut panjang gadis itu hingga terangkat kedua-dua kaki gadis itu tak lagi mencecah lantai. Claudia meronta-ronta, memukul-mukul mayat hidup itu agar akhirnya terlepas. Namun, kudratnya apalah sangat. 

Saat genting begini, muncul pula zombie tanpa kepala yang melibas-libaskan mesin gergaji. Buat Farizal hilang akal. Dikerahkan segala tenaga yang ada mencapai senapang di lantai. 

"Lepaskan!!" 

BAMMM! BAMMMM!

Tembakan demi tembakan dilepaskan hingga berkecai tangan makhluk hodoh yang memegang gergaji. 

"Peluru habis! Tak guna!" Farizal menggila kali ini. Dihentaknya senapang di tangannya berkali-kali pada zombie yang memegang rambut Claudia. 

"Mampus kau! Mampus!" Dihentaknya sampai terbelah dua, terburai otak di kepala si mayat hidup. Hingga senapang itu sendiri bengkok batang besi dan pecah hulu kayunya. Dicampakkan senapang yang sudah tiada fungsi ke arah mayat hidup yang terperangkap di pintu utama. Geram. Ditumbuknya berkali-kali muka zombie hingga terkeluar biji mata. Akhirnya, barulah gadis itu terlepas. Terjelepuk di lantai.

Farizal mencapai gergaji mesin yang ada di lantai. Tak tunggu lama, terus merodok kepala zombie yang terlekat di pintu hingga hancur berkecai. Darah pekat memancut mengenai muka Farizal. Bagai sudah tidak siuman, lelaki itu terus menekan dan menekan hingga terbelah pintu. Hingga mesin gergaji tak lagi bergerak rantainya. Dicuba hidupkan kembali, tapi tak menjadi. Dah kehabisan minyak agaknya. Digunakan untuk menghentak ke makhluk tersebut dengan seluruh kekuatan. Hentak lagi, lagi dan lagi!!

"Arghhh!" 

Claudia cuma mampu memandang penuh ketakutan. Bagai tak percaya, lelaki itu berjuang dengan sedaya-upaya. Kedua-dua zombie di belakang dilihat kembali bangkit perlahan-lahan. Seekor tanpa kepala. Seekor dengan separuh kepala. Satu mengengsot mendapatkan Farizal. Seekor lagi masih mampu berlari ke arahnya.

Dalam kepanikan, terasa tangannya dicapai. Farizal menarik Claudia keluar dari kabin tersebut. 

Namun, mereka terkejut sakan lagi dengan sesuatu yang menanti mereka di luar kabin!

****

Sebuah kepala tanpa badan sebesar rumah menanti penuh bengis di luar. Kepala tanpa rambut, otaknya terlihat dengan jelas bersama tengkorak. Darah menghiasi kepala gergasi tersebut. Membuka mulutnya yang busuk penuh ulat dengan gigi tajam, lidah panjang merah kehijauan. 

Mengilai bengis,

"Ha ha ha! Ke mana lagi kau nak lari?! Di sini, tiada jalan keluar kecuali mati!"

Farizal dan Claudia berdiri di tengah-tengah laman di luar rumah. Tersepit di antara dua zombie ganas yang menuju ke arah mereka, dan kepala gergasi jijik mengerikan. Tiada biji mata kedua-dua belah mata. Hanya ada lubang hitam. Muka penuh urat. Bangkai hidup!

"Ya Tuhan!" Lelaki itu bungkam dalam langkahnya kali ini. Benar-benar jalan mati. Jika sebesar ini, ke arah mana sekalipun, pasti sudah pasti, tidak mampu untuk lari lagi. 

ZAPPP!!

Lidah panjang membelit tubuh Claudia. Mulut gergasi ngeri itu dinganga seluasnya. Sedia untuk memamah gadis itu!

Farizal bagai hilang akal. Berlari selaju mungkin selaju lidah yang menggulung pantas ke dalam mulut kembali. Claudia menjerit sakan. Bagai dibelit anaconda yang besar dirasakan, himpitan yang maha dahsyat!

Claudia melihat ke dalam mulut busuk sang makhluk hodoh, dia terkejut bila melihat seorang lelaki sedang menahan gigi atas dengan bawah dari terkatup!

"Farizal!"

Farizal sedaya-upaya menyendal dengan tangan dan kakinya sendiri mulut atas dan bawah dari tertutup. Berdiri tegak dengan kedua-dua kakinya dipacakkan kukuh. Tak benarkan gadis itu diratah dalam mulut sang gergasi!

"Arghhh!! Arghhhh!!"

Tulang-tulangnya dirasakan tak mampu bertahan lama, terseliuh, terasa bagai nak retak. Bila-bila masa saja akan patah. 

Farizal di ambang kematiannya sendiri!

****

"Sudahlah tu! Lepaskan saja! Biarkan saja saya mati! Go!" Claudia menangis-nangis. Menyuruh Farizal melepaskan hadangan. Bagaikan sebatang kayu rapuh yang menongkat pintu gua dari tertutup, begitulah lelaki itu sekarang.

"Kau diam! Diam! Aku takkan benarkan! Kau kena hidup!" Farizal sudah berpeluh lencun, tangan dan kakinya sudah gigil semahunya. Dalam 5 hingga 10 minit lagi, ah atau tak sampai pun, kaki dan tangannya akan patah.

"No! Awak tak perlu berkorban begini, saya yang heret awak dalam ni! Awak tak bersalah! Please go! Just let me die! Saya kalau hidup pun, tetap dihantui dengan mata yang boleh tengok segala jenis hantu dan setan! Untuk apa!" Claudia marah dalam kesakitan. Kedua-dua tangannya dibelit kemas, darah mulai keluar dari hidung dan matanya.

"Diam aku cakap! Diam!" Farizal meraung. Tak dapat bertahan lagi. 

Gigi tajam mulai terbenam dalam tapak tangan Farizal. Tekanan mulai memuncak.

"Arghhh!!" 

"Sudahlah tu..tolonglah..." Claudia merayu dalam isak tangis.

Farizal memejamkan matanya seketika. Menahan sakit. Terasa angin kencang menghembus tiba-tiba di sekelilingnya.

Tiba-tiba terasa ringan bebanannya. Farizal membuka sebelah matanya dalam kesakitan. Menyeringai.

"Tengku..."

*****

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

DISCLAIMER

Ini adalah blog peribadi. Sebarang PRINT SCREEN adalah dilarang kecuali dengan kebenaran penulis.
Penulis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika hak persendirian ini dicabuli, secara sengaja atau tidak sengaja. Pendapat penulis tidak semestinya kekal. Boleh berubah jika terdapat maklumat tambahan, bukti atau fakta yang lebih sahih.
TERIMA KASIH.