Tengku Thaka - Part 9



Tengku Thaka mencerun matanya, tajam. 

Menghampiri kenderaan tu perlahan-lahan. Dibuka pintu kereta. Di alam nyata, Dila dan Hasritun dah menjerit-jerit. Bagaimana pintu kereta yang dah dikunci boleh terbuka sendiri. Apa tidaknya, makhluk yang bersama mereka telah pun awal-awal membukanya untuk berada di sebelah.

"Terkejut?" Siluman yang telah dihapuskan sekejap tadi rupanya masih hidup. Elok saja berada di sebelah anak-anak dara. Tapi, ada beza sikit.

Oh. Tadi yang Tengku Thaka lumatkan adalah bahagian sebelah kanan dirinya. Ini adalah separuh lagi. Mukanya yang buruk itu lebih dahsyat di sebelah kiri.

"Hodoh kau ni. Keluarlah. Aku tak ada masa nak bermain." Tengku Thaka berpeluk tubuh. Cepat bosan.

"Dan kau rasa boleh bunuh aku?"

"Iya, easy. Sebelum aku tarik kau keluar macam tak ada harga diri, baik kau sendiri melangkah dengan penuh hormat. Dipersilakan."

Siluman bergigi tajam, bermuka sebelah, mengilai. Ketawa kuat. 

"Tak menarik kalau teruskan perlawanan satu lawan satu begini."

"Okay, jadikannya menarik." Tengku Thaka sinis dalam bicara.

Siluman menarik kepala Hasritun. Mencekah rahangnya sehingga gadis itu menganga luas. Dengan serta-merta, ia berubah menjadi hembusan angin busuk yang masuk melalui mulut gadis itu. 

Dila terkejut bukan kepalang bila kawannya meraung kesakitan dan mendongak ke atas. Mukanya timbul urat-urat biru, ungu dan kemerahan. Paling buat dia tak sanggup tengok adalah bahagian mata.

Anak mata ke kiri dan ke kanan. Merah berurat. Bergerak-gerak liar. Gadis itu menerjah keluar dari belakang tempat duduk, menerkam ke arah Tengku Thaka yang telah bersedia.

ZING!

Dia dengan segera mengacungkan pedangnya ke arah Hasritun!

"Tunggu!" Hasritun yang dirasuk siluman buruk menjerkah kuat.

"Kalau kau apa-apakan aku, gadis ini akan terjejas juga. Kalau aku mati, dia juga mati!"

Kata-kata siluman itu membantutkan segala langkah Tengku Thaka. Dia teragak-agak sekarang. Peluang ini digunakan oleh sang siluman tak guna untuk menyerang Tengku Thaka pula. Menerajang Tengku hingga terperosok ke dinding kubur. Pecah berderai batu nesan. Tak cukup dengan itu, ia datang memijak-mijak Tengku. Namun, segera dihadang dengan kedua-dua lengan. Ganas, sangat ganas hingga mampu mengangkat batu-batu besar berhampiran dan mencampakkan pada Tengku Thaka yang cuma mampu berada dalam posisi bertahan. 

"Ha ha ha! Kau takkan mampu bertahan selamanya!"

Tengku Thaka tersepit. Hendak diserang balas, nanti parah orang yang tidak berdosa. Lagipun, perempuan itu bukannya ada saka. Tak ada sebab untuk dia mencederakannya.

"Kenapa Tengku? Kita tak perlu ada rasa belas kasihan. Bunuh saja segala halangan. Misi kita adalah menjadi saka yang paling ulung di dunia. Manusia tidak boleh menjadi batu penghalangnya!" Sang saka menghasut. Serius.

"Tunggu apa lagi! Serang balik!" Sang saka mulai menunjukkan amarahnya.

Tengku Thaka masih berdiam diri.

"Aku nak tahu, suara kita ni kuat tak?"

"Kenapa?!"

"Jawablah, suara kita ni boleh mengatasi suara saka-saka lain tak?!"

"Mestilah! Kita sangka bangsawan! Suara kita tak perlu guna pembesar suara! Boleh pergi jauh beribu batu!"

Tengku Thaka senyum sinis. Dia membiarkan saja serangan demi serangan ditekan padanya. Tengku Thaka membuka mulut seluas-luasnya. Bertempik semahunya. Bagai mahu tercabut rahang. Tempikan saka yang mengerikan. Hingga Dila Hanim yang berada dalam kereta ketakutan pun terpaksa menutup telinga kedua-dua kerana bingit. Suara entah dari mana, dia yakin itu bukan suara kawannya yang dirasuk. Dari tadi, dia pelik Hasritun sedang bergelut dengan siapakah di dalam gelap? Namun, dia tak berani untuk melangkah keluar. Pintu dikunci rapat. Masa itu jugalah, dia dah terkumat-kamit membaca doa yang patut, setakat yang dia ingat. Bila panik, susah betul nak recall surah-surah hafalan. Betullah, Al-Quran tidak berada dalam fikiran dan hati orang yang tidak mengamalkannya. 

Siluman terduduk ke belakang. Terpaksa menutup telinganya. Pekikan kesakitan mulai keluar dari mulutnya, namun jeritan Tengku Thaka menenggelamkan segala suara berhampiran. Tengku Thaka melihat siluman tidak mampu lagi bertahan berada dalam tubuh gadis itu, sekejap terkeluar, sekejap masuk dipekik Tengku. 

"Argh!"

Hasritun terjelepuk di tanah tidak sedarkan diri. Siluman dilihat keluar dari tubuhnya. 

"Sekarang!"

Tengku Thaka ke depan dengan laju. Menikam perut siluman yang kesakitan, berdarah telinganya.

"Ha ha ha! Kau tahu, tikaman ini tidak mencederakanku pun!"

Heh. Tengku Thaka sinis lagi. Dia menggerakkan pedang besarnya itu ke atas membelah dari perut ke dada, naik ke leher dan mencantas kepala siluman. Terputus dari badannya. Tak tunggu dah, segera Tengku menghentak pedangnya bertalu-talu pada muka dan kepala siluman sampai berderai.

"Mampus kau! Mampus! Makhluk hodoh! Kau tak layak berlawan dengan aku! Aku Tengku! Aku Tengku Thaka! Mampus! Mampus!"

Bagaikan orang gila, Tengku Thaka tak dapat menahan dirinya dari bertindak seperti singa yang merobek mangsanya. Sampai hancur lumat, tenggelam dalam tanah. Tengku Thaka menumbuk pula hingga tanah yang menahan tubuh siluman tenggelam ke bawah membentuk sebuah lubang seakan kubur. Tengku Thaka melompat keluar dari lubang tersebut. Mengambus hingga tak nampak lagi jasad siluman yang ngeri. Tangannya dibasahi darah busuk. Dia berjalan ke arah sebuah kubur, menanggalkan belindannya. Meletakkan di kubur yang baru dibuatnya.

"Ini tempat persemadian abadi kau."

Aura dari siluman keluar melalui tanah menuju ke mulut Tengku Thaka, lantas dihirupnya. Setiap mangsa yang tewas di tangannya, akan menambahkan lagi kekuatan sedia ada Tengku Thaka. Matanya memancar cahaya kemerahan.

Dila memerhatikan dari dalam kereta ada cahaya yang muncul. Diperhatikan lama-lama, betul-betul, kelihatan tubuh seorang pahlawan berbaju zirah dengan pedang di tangannya, berambut panjang sedang berdiri di hadapan jasad kawannya. Tapi, tak lama, sekilas saja, makhluk itu ghaib. Hilang dari pandangan. 

TUP!

Kelihatan Farizal mendukung Hasritun yang tak sedarkan diri, masuk ke dalam kenderaan. Suasana di sekeliling berkabus seketika sebelum menghilang, barulah Dila dapat melihat dengan jelas, mereka berada di atas tanah perkuburan usang!

"Cepat, cepat! Kita blah dari sini! Cepat Abang Farizal!"

Farizal tak tunggu lagi, terus memecut kereta mereka keluar dari situ. Kembali ke trek asal. 

"Apa benda tadi tu semua?!" Dila cemas, pucat lesi mukanya.

"Aku tak tahu. Bagi kawan kau minum air kosong. Pengsan saja tu." Dila segera masukkan air di dalam mulut Hasritun. Sambil menepuk-nepuk pipinya. Tak lama, Hasritun segera sedar dalam keadaan lemah, longlai. Memeluk Dila erat-erat.

"Takut! Hantu muka separuh! Tadi!" Hasritun masih trauma.

"Ya, ya, dah dah. Kita dah keluar dari tempat tu! Jangan risau!" Dila menenangkan kawannya. Hasritun sampai menangis-nangis ketakutan. Farizal tenang mengendalikan kenderaan. Sepatutnya gadis itu berterima kasih kepadanya yang telah menyelamatkan nyawanya. Kalau dia ikut amarah sang saka, sudah pasti gadis itu hanya setakat itu sahajalah hayatnya. Jatuh sakit misteri atau meninggal tak lama lagi. Biasanya begitu.

***

"Has nak balik! Tak nak teruskan!" Hasritun merengek-rengek menangis di bahu Dila. Rasa bersalah pula si Dila. Namun, assignmentnya itu perlu disudahkan berdua. Memang dah namanya group assignment. Tapi, bila gadis cantik itu melihat keadaan Hasritun yang tidak keruan begitu, serba-salah pula dirinya.

"Abang Farizal, macam mana ni? Hasritun nak balik."

Farizal memberhentikan kereta di tepi jalan. Pukul 3 pagi.

"Kau nak balik ke? Hah, baliklah. Keluar dari kereta dan berjalanlah balik sendiri." Kata-kata Farizal membuat Dila Hanim bengang. 

"Cakap elok-elok tak boleh ke?! Hish!" 

Farizal mencerun matanya ke arah Hasritun. Tengku Thaka mode-on. Hasritun terdiam. Matanya melihat ke dalam mata Farizal yang kemerahan bermata saka. Hasritun macam pernah nampak ketika dia dirasuk. Inilah susuk pahlawan bengis yang berlawan dengannya. 

"Kau nak balik ke tak ni?"

Hasritun segera terdiam. Menggelengkan kepalanya. Dia takut. Namun, tak berani melawan lelaki itu. Dia tahu, lelaki itu bukan biasa-biasa. Pahlawan misteri tu mesti ada kaitan dengan lelaki ini. Namun, dia tak dapat pastikan kerana masa tu dia sendiri berada antara sedar dan tidak.

"Nak teruskan perjalanan ke tak ni?"

Hasritun mengganguk. Farizal masukkan kembali gear. Pandang ke depan. Dila pelik, tiba-tiba saja kawannya berubah. Namun, mujurlah. Sekurang-kurangnya, mereka tak perlu balik semula ke universiti. Kalau tak, buat penat saja dah datang sejauh ini.

***

Akhirnya mereka sampai destinasi yang dituju. Sebuah perkampungan yang kecil. 

"Kita pergi jumpa ketua kampung di sini dulu. Minta keizinan." Farizal keluar dari kereta, memikul begnya. Masing-masing memikul beg sandang. Orang-orang kampung di situ tidak ramai. Apabila orang luar masuk ke dalam, mereka akan keluar dengan ramah mempersilakan pelawat. Menyalami dan mengalu-alukan kedatangan mereka. 

"Selamat datang ke Kampung Hening."

Ketua kampung menyambut kedatangan Farizal dengan mesra. Mempersilakan ketiga-tiganya naik ke rumah papannya. Farizal pun tak menyangka masih ada penempatan seperti ini. Rumah dibuat dari kayu-kayan hutan dengan inovasi sendiri. Macam yang popular di Youtube, bina kolam sendiri, bina pondok sendiri tu. Tapi, ya. Ini bukan zaman dulu tiada kemodenan langsung. Tengok kebanyakan rumah ada saja piring Astro tu. Ada saja pakai henfon macam kita semua. Agak-agaklah sampai tiada signal, ada saja boleh berkomunikasi dengan dunia luar macam orang lain juga. Cuma yalah, tidak secanggih penduduk bandar. Kalau internet kita laju tahap gaban, sini asal boleh saja. Nak main Whatsapp tu bolehlah. 

"Kenapa kampung ni namanya Kampung Hening?" Dila sudah mengeluarkan fonnya untuk merakam. Pantas budak ni buat kerja. Farizal sibuk menghirup kopi panas yang disediakan isteri tuan rumah. 

"Oh, sebab pukul 6.30 petang, semua penduduk dah berhenti membuat sebarang aktiviti. Semua orang masuk ke dalam rumah masing-masing. Tutup pintu dan tingkap. Sebagaimana digembar-gemburkan, ada gangguan yang datang mengetuk pintu ke pintu setiap rumah."

"Apa benda tu?" Gadis itu memandang ketua kampung tidak berkelip. Skema.

"Haih...Orang-orang kampung nampak lembaga berpakaian serba merah. Terbang gentayangan di serata tempat dalam kampung ini. Pendek kata, kami syak ianya adalah langsuir. Memang dulu-dulu, 50 tahun dulu, ada lagenda langsuir di kampung ini. Tapi, telah lama dimamah waktu. Tiada siapa percaya lagi. Hinggalah 2 tahun kebelakangan ini, benda ini muncul kembali."

"Pelik tu. Takkan muncul begitu saja tanpa diketahui puncanya?" Hasritun yang sudah pulih dari traumanya juga memberikan perhatian. 

"Dua tahun lepas, ada sebuah rumah di hujung kampung ini dirobohkan oleh warisnya. Keluarganya sudah berpindah ke ibu kota semuanya. Jadi, warisnya nak jual tanah tu. Masa nak robohkan tu, terjumpalah busut lama yang sangat besar di bawah rumah. Yang peliknya, busut tu betul-betul membentuk sebuah kuburan yang berada dalam keadaan tegak berdiri. Seakan keranda mumia di dalam piramid tu. Kami sangkakan, ianya mungkin busut anai-anai, namun kami tersilap. Ketika busut tu cuba dimusnahkan, ternyata ianya memang sebuah keranda lama yang telah bersalut dengan lumpur keras. Namun, di dalamnya kosong!"

Farizal berkerut kening. Dila dan Hasritun juga nampak serius.

"Baiklah, anak-anak semua ni nampak kepenatan tu. Kita sambung esok. Hari ni, saya bawa kamu semua ke sebuah rumah tamu. Tapi, jangan lupa kunci pintu dan tingkap bila jam 6.30 petang. Jangan keluar rumah. Itu saja pesanannya."

****

Farizal duduk-duduk di tangga yang menghadap rumah tumpangan Dila dan Hasritun. Tak mengantuk pula siang hari. Tambah-tambah cuaca panas. Apapun, dia berterima kasih pada orang-orang di situ. Jarang sekarang ni dapat menumpang percuma. Jumlah penduduk dalam kampung ini tak ramai. Ada 72 buah rumah. Itu pun kebanyakannya adalah orang-orang yang dah berusia. Anak-anak muda jarang kelihatan. Mungkin dah berpindah-randah untuk mencari kehidupan yang lebih menjamin masa depan masing-masing. Iyalah, terasa kolot hidup di kampung begini, orang sekarang kan. Kalau tak ada pawagam di sesebuah negeri, rasa negeri tu amat ketinggalan. Walhal, kalau tak ada pun, bukannya menjejaskan kehidupan pun. Ah, manusia memang suka benda yang sia-sia. 

Dila Hanim keluar duduk di tangga rumah juga. Hasritun dah lena. Kepenatan. Gadis itu duduk menghadap jejaka yang juga sedang termenung jauh. Namun, dia tak berani nak menegurnya. 

"Kau tak takut ke?" Farizal memecahkan kebuntuan suasana.

"Takut juga." Dila tersenyum disapa jejaka itu. Jejaka itu berkulit sawo matang dan kelihatan sedikit sasa. Macam budak sukan saja. Namun, terlihat manis dalam mata Dila. 

"Tapi, Abang Farizal kan ada. Apa-apa, Dila jerit je panggil."

Farizal tak senyum pun. Menoleh ke arah lain.

"Err, abang ada makwe ke?" Dila memberanikan bertanya. Jejaka itu berpaling semula memandangnya.

"Kalau ada, kenapa? Kalau tak ada, kenapa?" Farizal mencerun matanya tajam. Soalannya itu terus membuatkan Dila tak tahu nak meneruskan perbualannya. Segera dia melangkah masuk ke dalam rumah, terasa. Dia tak tahulah, jejaka itu terlalu dingin padanya. 

Kadang-kadang, dia terfikir, "Apa tidak cantik ke aku ni? Sampai dia tak nampak kewujudan aku?"

Ah, Dila malas nak fikir. Akhirnya, dia join Hasritun. Tidur.

***

6.30 petang. 

Farizal memerhatikan fenomena semua orang serentak menutup pintu dan tingkap. Semua penduduk kampung sudah berada dalam rumah. Dila dan Hasritun juga begitu. Cemas juga rasa.

Lelaki itu menutup pintunya juga. Namun tidak dikuncinya. Dia datang ke situ bukan untuk beristirehat pun. Dia datang untuk tujuan yang lebih besar. Untuk menunjukkan Tengku Thaka wujud!

Usai solat Maghrib.

Suasana memang sunyi-sepi. Tiada siapa berada di kedai-kedai makan. Semua kedai tutup. Hanya bunyi unggas-unggas dari hutan berhampiran menghiasi malam. Farizal mengeluarkan henfonnya.

"Alah, lupa bawa earphone pula. Baru nak buka lagu. Buka sajalah." 

Dipasang lagu Yazid Izaham - Apa Salahku. Layan. Bosan sendir. Dikuatkan sikit volumenya. Sambil berbaring berbantalkan lengan. Menghadap bumbung dalam rumah.

"Sudah jelas kau biarkan, sudah puas ku tangiskan, apakah salahku...." Lirik lagu bermain di telinganya. Namun, dengan tiba-tiba, fonnya mati sendiri tanpa sempat lagu itu dihabiskan.

DUM.

DUM.

DUM!!

Bumbungnya berdentum kuat.


Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!