Tengku Thaka - Part 10



DUM!

Bunyi dentuman yang kuat atas bumbung. Betul-betul tepat di sudut Farizal berbaring. Dengan segera, dinyahbunyi fonnya. Betullah orang kata, syaitan tertarik dengan bunyi-bunyian yang melalaikan. Ah, takkan jiwang pun lalai. Farizal yang tadi berbaring, kini duduk bersila. 

"Syhh. Dia dah datang. Tengku kena berhati-hati. Biasanya yang datang dari purbakala, kekuatannya setaraf kita...kita pun dari zaman dulu-dulu.."

"Jadi? Kita fight sekarang?"

"...Atau mungkin lebih dari kita." Sang saka menyambung kata. Buat Farizal mendiamkan dirinya. Bulu romanya sudah habis meremang. Sudahlah lampu dalam ruangan rumah itu kelam saja. 

Suasana begitu sunyi sekali. Hingga bunyi degupan dadanya jelas kedengaran. Farizal berdiri perlahan-lahan, tanpa membuat langkah yang boleh menimbulkan perhatian makhluk di luar. 

"Tengku, kita nak keluar ke?" Sang saka berbisik perlahan di telinga.

"Habis tu? Nak terperuk dalam ni macam penduduk kampung? Keluarlah tengok keadaan sebenar." Jejaka itu melangkah perlahan-lahan ke pintu rumah.

"Tengku, baik jangan. Aku sendiri rasa seram."

"Saka apa kau ni, pengecut. Kita bangsa melawan." Farizal menurunkan selak pintu. Membuka daun pintu dengan berhati-hati.

Pintu dibuka.

Gelap. Hanya kegelapan. Tiada apa pun yang Farizal nampak di luar. Nanti. Kenapa sekeliling pun tak nampak? Rumah depan Dila dan Hasritun pun tak nampak?!

"Tengku, tengok betul-betul." Sang saka berbisik dengan suara yang sedikit gugup.

Farizal memerhatikan dengan serius. Ini bukan kegelapan. Ini bukan gelap malam.

"Ini rambut panjang!"

Saat itulah barulah dia perasan, pintu rumahnya diselubungi rambut panjang mengerbang, mengurai dari atas ke bawah. Membentuk terowong yang membucu ke atas langit. Rambut-rambut itu terikat kemas di seluruh tiang dan pintu rumah. 

Farizal gigil. Kali ini, dia sendiri terasa gigil yang dahsyat tidak seperti sebelum-sebelum ini. Kakinya terpaku di lantai papan rumah, di muka pintu. Teragak-agak untuk menapak mahupun mendongak. 

Dengusan kasar busuk dari atas. Angin bertiup menerbangkan hujung rambut jejaka yang masih diam kaku. 

Farizal memberanikan dirinya mendongak. Kali ini dia lagi terkejut! Membulat matanya.

Kerana makhluk itu sudah menerpakan mukanya yang pucat putih betul-betul 20 cm hadap tepat dengan mukanya. Pandang Farizal dengan mata kemerahan berurat halus di dalam matanya. Dengusannya kasar. Seorang wanita dengan muka yang sudah kelihatan riak-riak kerepot, nipis kulit mukanya hingga menampakkan urat-urat berselirat di balik wajah. Keningnya tajam. Sama seperti makcik-makcik yang suka cukur kening dan lukis balik tu. Bermuka masam menatap wajah Farizal. Sedikit pun tiada riak gembira di wajahnya. Bengis, cukup bengis! 

Berbaju putih labuh panjang, berterbangan tidak jejak tanah.

Mata tu, tidak berkedip mencerun tajam Farizal. Lelaki itu gigil hingga ke buku limanya digenggam masih terasa ketarnya.

"Legenda langsuir!!"

Langsuir mengeluarkan hujung lidahnya, yang semakin memanjang, mengoleskan atas wajah Farizal. Menari-nari ujung lidah hitam itu di kulit lelaki itu. Mahu termuntah Farizal kerana terlampau bangkai. Bau bangkai mayat. Namun, dia tetap pegun di situ, tidak melarikan diri atau bertempik. Jejaka itu cuma diam. Seolah-olah sedang berhadapan dengan ular paling berbisa, bergerak seinci pasti akan dipatuk. Butir-butir peluh dingin dah mula timbul di dahi Farizal. Menitik menuruni sisi wajah.

"Bertukar, Tengku!" Sang saka bersuara dalam diam. 

Farizal enggan. Dia membiarkan saja. Demi melihat tindakan langsuir yang berikutnya. 

"Bertukarlah!" Sang saka sudah membengkak di dalam. Keadaan genting.

Farizal tetap membatukan diri. 

Langsuir bergerak mendekati. Meletakkan kedua-dua kakinya di bahu jejaka itu. Seolah-olah bahu itu menjadi mangkuk tandas pula. Dia memegang kepala Farizal dengan kemas. Menggolek-goleknya ke kiri dan ke kanan. Menarik-narik kepala itu ke atas. Tarikannya makin kuat. Dengan kakinya kedua-dua mula menekan bahu dan menolak ke atas. Gaya seolah-olah pekebun yang mencabut ubi dari akar-umbinya keluar dari tanah.  

Gila! Nak cabut kepala!

"Argh!"

Farizal kesakitan. Memang betul-betul nak cabut kepala dari tubuh ni.

TUP!

DUSH!

Tengku Thaka meninju langsuir rambut panjang ke udara. Tepat mengenai bawah dagu. Terbalik-kuang dengan rambutnya mengurai di udara. Namun, balik-kuang itu terhenti keras. Segera terjah ke depan berdiri di hadapan Tengku Thaka yang sasa dengan baju pahlawan. Bermata merah sama. Rambut panjang Tengku Thaka mengerbang sama ke udara. 

"Aku dah agak." Terpacul kata-kata yang pertama dari mulut langsuir. 

Tengku Thaka tersenyum sinis.

"Kau bukan manusia. Kau cuma saka laknat. Kaum laknat Tuhan sepertiku!" Langsuir itu menghamburkan jerkahan pada Tengku Thaka yang berdiri tegap tidak berganjak dari tempatnya. 

"Sini bukan tempat kau. Sini tempat aku! Berambus kau dari sini!" Langsuir itu kelihatan marah yang amat sangat. Matanya dijegilkan seluasnya. Giginya yang tajam terlihat bagai ikan piranha. Jika dilihat dari jauh, kelihatan seperti seorang wanita cantik yang tidak nampak wajahnya. Namun, jika diteliti dari jarak dekat sebegini. Hanyalah seekor makhluk yang bermuka hodoh. Mayat hidup berambut panjang, berbaju kapan. Terbang melayang.

ZAS!!

Langsuir melibaskan rambut panjangnya. Menjadi satu tamparan keras singgah di muka Tengku Thaka. Tak sempat mengelak, terpelanting ke sudut kiri dengan laju. Serta-merta, darah keluar dari bibir Tengku. 

"Aura benda ni sangat kuat!" Sang saka bengis sama di dalam. Mana tidaknya, setiap mangsa dicabut kepala dan diratah begitu saja. Makhluk kejam!

Tengku Thaka bangkit dengan susah payah. Namun, kakinya telah diikat dengan rambut panjang kedua-duanya. Alamak. Rambut panjang yang seolah-olah menggantikan tangan langsuir. Hingga Tengku Thaka terangkat ke udara, dihayunkan dan dihempaskan ke tanah berulang-kali. Satu, dua, tiga, empat, lima! Bertubi-tubi hentaman demi hentaman pada lantai tanah hingga berbekas lubang di tanah.

Darah menyembur keluar dari hidung dan mulut Tengku Thaka.

"Berundur! Kita bukan lawannya, Tengku!" Sang saka mengaduh sama. ZING! Pedang besarnya muncul, dihayunkan pada rambut panjang sang langsuir, ditebas hingga kakinya terlepas. Terhempas di tanah jua meski dah terlucut. Rambut yang putus tadi bersambung semula pada tuan badan. Langsuir itu turun bertenggek di sebatang pokok yang besar. Dengan wajah seram. Mengilai semahunya.

"Ha ha ha ha ha! Saka lembik!" 

Tengku Thaka bangkit lagi dengan mengusap darah yang keluar. Meludah keluar darah dari mulutnya. Matanya masih kemerahan. Enggan mengalah. Enggan berputus asa. 

"Sudahlah tu, kita cabut saja dari sini!" Sang saka sudah mulai mengaku kelemahan sendiri.

"Kau diam sudah di dalam!" Tengku Thaka menjerkah batinnya.

"Turun kau! Aku nak tumbuk muka kau sampai hancur!" Tengku Thaka menghayunkan pedangnya ke batang pokok. Sekali tebas, terpotong dua. Memaksa langsuir terbang turun ke tanah perlahan-lahan. Selamba saja. Bagai tidak takut pada apa pun. Memanglah, dia sedar dia yang terkuat di situ. Manusia bukan lawannya. Saka baju pahlawan bukan tandingannya. Sekadar picisan, celah gigi saja.

"Kau bukan lawan akulah. Kalau kau nak mampus, aku boleh tunaikan sekarang juga." Langsuir mengilai dengan kakinya tidak berpijak pun di tanah.

Tengku Thaka berlari ke depan, maju ke arah langsuir. Menghayunkan senjatanya ingin menetak langsuir ganas. Namun, langkahnya begitu tumpul. Mudah dibaca. Bagi langsuir, Tengku Thaka bagaikan seekor kambing yang melulu datang menanduk sedangkan kambing tetaplah kambing. Tak mungkin jadi singa atau harimau. Rambutnya dilingkarkan pada kedua-dua tangan Tengku Thaka. Memulas dan memeras kuat lengan Tengku hingga kepingan zirah di lengan retak hancur berderai. Bagai kain buruk yang diperah-perah. Pedang besarnya terlepas dari tangan kerana terlampau sakit dipulas. Kakinya tak jejak tanah, tergantung di udara disebabkan kedua-dua tangannya diangkat kuat dalam sudut 90 darjah. 

"Dah tamat. Kau mampus di sinilah." Langsuir berpeluk tubuh. Memerhati Tengku Thaka yang terperangkap, terjerut dek rambut panjangnya. Meronta-ronta cuba melepaskan diri dari cengkaman. Namun, sia-sia. Kekuatannya tidak setanding. 

"Kenapa dia boleh sekuat ni? Kenapa?!" Tengku Thaka berbicara dengan sakanya.

"Sebab dia tak macam kita, dia bukan saja makan batin manusia, bahkan fizikal! Kita cuma hisap darah secara halus, namun dia ni tidak! Dia ni pembunuh jelas!"

"Habis, macam mana ni?!" 

"Tak tahu, Tengku, aku sendiri buntu! Mampus kita, Tengku, mampus!" 

Keadaan makin cemas. Langsuir terbang mendekati Tengku Thaka. Tengku melihat jemari langsuir dirapatkan kelima-limanya, bertukar perlahan-lahan, membentuk sebentuk pisau yang besar dan tajam. Dihentak sekali pada leher yang masih berbaju zirah. Hancur terus baju zirah di bahagian itu. Diletakkan tangan yang telah berubah menjadi senjata tajam itu di leher Tengku Thaka tanpa apa-apa halangan lagi.

"Mesti manis darah yang bercampur saka ni, kan?" Dengan ucapan itu, tangannya mula menghiris leher Tengku perlahan-lahan. Tengku Thaka meraung gila-gila kesakitan.

TUP!

Tengku Thaka kembali ke dimensi sebenar. Farizal. Leher Farizal membuak darah. Namun, tindakannya itu berjaya melepaskan diri dari sakaratul maut. Terlepas dari cengkaman sang langsuir bengis, sang pembunuh kejam. 

"Lari weh, lari!" Sang saka membantu kaki Farizal bergerak laju. Cabut dari situ. Jejaka itu berlari sekuat yang boleh dengan menekup lehernya yang keluar darah. Sungguh, dia terasa takut yang amat sangat ketika itu. Tak cocok dengan saka pahlawan yang berada dalam tubuhnya. 

Langsuir perempuan itu cuma memerhatikan saja lelaki itu kelam-kabut melarikan diri. Mengilai sampai terdongak kepalanya. Dia mula bergerak terbang perlahan-lahan, menjejaki langkah pemuda yang sudah hilang dalam kegelapan malam. Entah lari ke mana. Sudahlah tiada lampu jalan, kiri-kanan kelapa sawit dan hutan tebal saja. 

***

Hasritun tertidur dengan lena sekali. Letih gamaknya. Dila Hanim menyelimutkan kawannya. Dia terdengar bunyi-bunyi di luar tadi, namun tidak berani mengejutkan kawannya dan memang dia tak nak Hasritun yang pernah dirasuk malam lepas terkena lagi. Biarlah dia berehat. 

Masalahnya, sekarang dia terasa nak membuang air kecil. Tapi, masalah paling utama, tandas berada di bahagian luar rumah.

"Tak boleh tahan. Macam mana ni?"

Dila mengintai dari celah-celah rumah. Dilihat kiri kanan dan sekeliling sekadar yang penglihatannya mampu capai. 

"Clear kot."

Dila membuka pintu belakang rumah perlahan-lahan. Angin sejuk menyapanya. Membuatkan dirinya makin terasa nak ke tandas. 

"Aduhai, selipar tak ada pula. Turun dengan kaki ayam sajalah."

Tandas berada dalam jarak 3 meter di belakang rumah. Suis lampu dipetik dari dalam rumahnya untuk menyalakan lampu bilik air yang bermentol oren sebiji.

"Aduh, tak nyala pula. Macam mana ni." Dila Hanim teragak-agak untuk melangkah turun. Namun, nature calls sudah tidak dapat ditahan lagi.

Dia menutup pintu belakang dengan hati-hati. Dengan menggunakan lampu dari fonnya, Dila menyuluh kegelapan malam, jalan menuju ke bilik air.

Satu langkah.

Dua langkah.

Tiga langkah.

Empat.

Angin dirasakan membuai kuat dari arah kanan.


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!