Tengku Thaka - Part 7




Tengku Thaka terbaring di tanah dengan dadanya berdarah. Keluar darah hitam mengalir membasahi tubuh atasnya.

"Hm. Bukan biasa-biasa ni." 

Tengku Thaka bangkit berdiri. Simpan kembali senjata yang dikeluarkannya. Baju zirahnya sudah retak berlubang. 

"Nasib tak kena jantung, kalau tak, dah mati kita." Sang saka berbisik.

"Boleh mati ke kita di dimensi ni?"

"Iya, sekiranya Tengku dibunuh di alam ini, sekaligus jasad di alam nyata juga koma, nazak dan meninggal. Sebab itu, kalau kita berlewa-lewa begini, tidak ada manfaatnya." Sang saka berbicara dalam diam.

Tengku Thaka menggenggam buku limanya kuat-kuat.

"Jadi, kita jangan bagi muka langsung. Serang dengan sepenuh kekuatan terus. Begitu?"

"Iya. Tepat."

ZASS!

Tengku Thaka sudah sampai di depan lembaga mawas besar, tak sempat dibenamkan tombak sekali lagi padanya. Sudah ditumbuk bertubi-tubi di bawah dagu hingga tersembam berpusing-pusing di udara sebelum jatuh ke tanah. Tengku Thaka tidak berhenti, terus melompat dan mendarat atas belakang lembaga itu dengan kedua-dua lutut.

PRAK!!

Tulang belakang lembaga itu mengeluarkan bunyi. Patah riuk. Lembaga itu meraung kesakitan. Tok Dukun melihat suasana itu dengan sedikit cemas. Lantas membaca jampi serapah terkumat-kamit demi menguatkan 'haiwan' belaannya itu. 

Namun, Tengku Thaka tidak beri peluang langsung. Dirampasnya tombak dari tangan lembaga yang sedang meronta ditekan belakangnya.

ZAP!

Tombak itu menembusi tekak Tok Dukun. Hingga lidahnya terjelir keluar. Darah menyembur dari leher yang ditikam. Saat itu juga, lembaga belaan Tok Dukun menjerit kesakitan sama dengan Tok Dukun. Apa yang Tok Dukun alami, ia juga rasai.

"Orang tua kutuk itu telah menyerahkan seluruh rohnya kepada binatang itu. Bersatu dengan binatang."

Tengku Thaka meloncat berdiri jauh sedikit.

"Kau tunggu apa lagi, Tok Dukun adalah lauk kau." Tengku melihat jari-jarinya menjadi kuku yang tajam. Seperti duri buluh yang keras. Menikam di bahagian kedua-dua kaki Tok Dukun yang sedang dalam kesakitan teramat sangat. Bagaikan jarum sang nyamuk menghisap darah, darah Tok Dukun mengalir masuk melalui kuku itu. Seolah-olah tiub derma darah. Tengku Thaka merasakan 'kelazatan' dan merasa bertenaga. Hingga lukanya juga bercantum kembali. Pulih seperti sediakala. 

Tok Dukun pula menjadi jasad kering. Tanpa sebarang darah dalam badan. Tinggal kulit dan tulang. Dagingnya juga disedut sama.

Haiwan belaannya juga kelihatan menyusut serta. Mengikut tuannya. Langsung mereput dan menjadi debu.

Pertarungan yang sekejap cuma. 

"Ahhh.. Kenyang." Sang saka bunyi lebih gembira dari sebelumnya.

TUP!

Mereka kembali ke dimensi alam nyata. Dilihat Tok Dukun sudah terbaring dengan jasad ngeri. Tubuhnya kelihatan kehitaman, tinggal kulit dan tulang sama seperti dimensi ghaib.

"Kau cakap dia akan mati atau koma je? Bukannya jasad jadi macam ni sama." Farizal sedikit terkejut.

"Ha ha ha! Maaf, aku tersedut kesemua sekali hingga di alam nyata pun kesannya sungguh kuat. Tapi, ya. Kau lihatlah bapa kau masa meninggal dulu. 

Keadaannya tak jauh beza. Kadang, bila saka terlalu kuat dalam badan, tuan dah meninggal banyak hari, namun mayat masih boleh makan dan minum serta ketawa dan menjeling pada orang sekeliling. 

Itu semua dalam perjanjian asal nenek moyang. 

'Kau jaga kami, kami sanggup serah segalanya yang kau mahu.' 

Jadi, saka cuma menuntut janji yang telah dibuat. Manusia suka ingkar janji, tapi tidak pada kami. Janji tetap janji."

Farizal terdiam sambil keluar cepat-cepat dari rumah Tok Dukun.

"Mampus aku dicop pembunuh nanti."

"Apa kau nak takut Tengku. Tok Dukun tidak mati. Seperti aku katakan tadi. Jasad dia masih bernafas walaupun dirinya sudah mati.

Sehinggalah sakanya berganti tuan."

"Tuan baru?"

"Iya, mungkin isteri atau anaknya. Bila mereka dah terima, barulah Tok Dukun menjadi mayat yang tinggal kulit. Tapi tahniah pada Tok Dukun.

Menjadi sebahagian dari kami. Kerana di akhir hayat berada dalam syirik. Mati pun syirik. Tempatnya bersama-sama kami di neraka.

Kita semua tahu, dosa paling besar dalam agama Islam adalah syirik. Suatu kebanggaan pada kami bila berjaya membantu manusia meraih tempat pertama dalam carta dosa. Ha ha ha!" Sang saka mengilai sakan.

"Kawan aku tu macam mana? Dah pengsan tu." 

"Sekejap, aku tamparkan sampai dia sedar."

Tak lama, kelihatan Hanif melompat turun dari rumah Tok Dukun. Terkejut melihat orang tua itu terbaring ngeri. 

"Hantu woi! Hantu! Lari!"

Hanif segera membonceng di belakang Farizal. Tak tahu Tok Dukun jadi begitu kerana kawan sebiliknya itu. Farizal tak banyak cakap sepanjang perjalanan. Pecut habis. Kawannya macam nak demam dah. Takut yang amat.

"Laju lagilah woi!"

"Laju lagi, kita pulak yang mampus woi!"

Farizal tak layan sangat kemahuan kawannya yang memeluk erat badannya dari belakang. Dah macam perempuan. Penakut. Padahal, dia yang beriya.

Namun, jejaka itu puas. Kerana dalam kepalanya ligat memikirkan, siapa dukun seterusnya yang akan menjadi mangsa  perut lapar sang saka durjana. Moga dukun-dukun yang syirik ini akan dihapuskan sekaligus dengan cara ini.

Farizal tersenyum sinis sepanjang perjalanan. Dia tahu, sang saka tak dapat membaca kata hati atau fikirannya. Itu semua di luar kemampuan. 

Tiada siapa tahu apa di dalam hati manusia kecuali Tuhan.

***

"Hai senior. Morning."

Seorang gadis menyapa Farizal dari belakang. Masa tu dalam perjalanan ke kelas.

"Oh kau, Cik Dila. Morning."

"Nak minta tolong, boleh?"

"Ha, apa dia?"

"Ni ha, pensyarah suruh buat satu kajian lapangan. Kena masuk hujung kampung. Buat kajian tentang amalan khurafat dan syirik orang kita."

"Lah, buatlah sendiri. Senang je tu kan. Berlambak boleh Google. Tak perlu pun masuk kampung."

"Tapi, pensyarah suruh pergi juga dapatkan temuramah, statistik."

"Okay, then. Buatlah. Apa kaitan dengan aku tolong lak?"

"Tolonglah carikan satu kampung yang ada macam tu. Tak tahu. Dila bukannya orang sini pun."

"Dah tu, ingat aku orang sini?"

Dila bungkam sendirian. Kecewa dengan jawapan mamat tu. Dia ingatkan bolehlah tolong. Apa, jawab macam hampeh. 

"Tengku, ini peluang baik. Boleh aku cari 'makanan' baru. Inilah masanya yang baik untuk luaskan lagi empayar Tengku Thaka. Kita cabar yang terkuat di tempat baru tu. 

Takkan Tengku yang gagah takut kot?"

Farizal berkerut kening tiba-tiba depan Dila. Apa benda semua ni, dia geram sendiri. Nak belajar ke nak jadi ghost hunter ni? Banyak lagi kerja nak buat, banyak lagi kejayaan nak achieve dalam hidup ni. Malas nak layan permintaan bodoh sang saka. Tapi, ya. Dia akui, dia juga merasa aura dan kehendak saka kadang-kadang selari dengan kehendaknya.

Bila batin dan bersatu dengan setan.

"Okay, baiklah. Bila? Berapa orang terlibat?"

Gadis itu tersenyum riang. Tak sangka tiba-tiba berubah nak bantunya.

"Lusa kita gerak! Dua orang ahli kumpulan Dila. Naik kereta Dila je."

Jejaka itu cuma membalas dengan anggukan bersahaja. Ambil fon Dila dan masukkan nombornya. Apa-apa hal, Whatsapp.

***

"Apesal lambat sangat kau ni? Adoilah. Dah sejam aku tunggu. Kan dah lewat."

Gadis itu meminta maaf berkali-kali dengan Farizal. Katanya, dia tunggu tukar tayar kereta tadi. Sebab tu lambat. Padahal, dia bersiap lama. Cantik-cantik. Ya lah, senior dia ni bukan rupa biasa-biasa. Boleh tahan juga.

Kawannya dah menanti dalam kereta. Melambai pada Farizal. Jejaka itu tak membalas pun. Cringe. Apatah lagi dia yang kena drive.

"Kita nak ke mana?"

"Ke kampung hujung negeri ni."

"Kenapa kita pilih kampung tu?" Dila bertanya tak sabar.

"Entah. Orang kata kat kampung tu ada satu mitos hikayat ketukan pintu aneh di setiap minggu."

"Ha?"

"Jadi, orang kampung di situ telah membuat satu ritual untuk mengelakkan pintu rumah mereka jadi mangsa ketukan aneh tersebut."

"Siapa yang ketuk?" Kawan Dila bertanya pula. Sedikit cemas.

Farizal terdiam. Namun saka dalam tubuhnya bersuara. Berbisik dalam telinganya.

"Langsuir."

Kereta dipecut laju membelah malam yang semakin dingin.


Bersambung..




1 ulasan:

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!