Tengku Thaka - Part 2



Jenazah sudah usai disemadikan. 

Farizal berteleku seketika di ruangan kuburan ahli-ahli keluarganya. Lengkap. Dari atas kanan ke sudut kiri, bermula dengan ayah, ibu hinggalah terbaru abangnya.

"Dan di sebelah abang aku, di situlah tempatku pula."

Orang ramai sudah pulang ke rumah masing-masing. Tinggal dirinya sendiri. Tiada kenduri arwah, tiada Yasinan, tiada tahlilan. Dia tak cukup duit nak buat tu semua. Bidaah atau tidak bukan soalnya. Urusan pengebumian abangnya saja sudah menelan hampir seribu ringgit. Tu pun nasib baik duit khairat kematian. Mana ada benda free. Lagi nak bagi orang ramai makan, mana nak cari bajet. Dia masih student. Nak harapkan ihsan orang ramai, ah malaslah. Biarkan saja orang mengata.

Padanya, dia sendiri pun boleh buat. Bacakan pada arwah keluarganya Al-Quran dan zikrullah tiap hari. Membantu juga di alam baqa sana.

"Engkau kenapa tak balik lagi ni? Hujan makin lebat ni." Pak Imam menyapa Farizal yang sugul di tepian nesan.

"Balik pun bukan ada orang, Mam. Rumah tu, ada saya seorang saja yang tinggal. Balik pun bukan ada orang masakkan, mana ada mak dah sekarang."

"Meh ikut aku balik rumah. Isteri aku masak macam-macam. Sedap."

Farizal menurut saja ajakan Pak Imam. Dia pun sebenarnya sejak malam tadi lagi tak makan. Lapar. Tak ada siapa ajak dia makan. Mentanglah dia lelaki, bukan awek cun, tak ada siapa nak belanja makan. 

Sepanjang perjalanan dalam kereta Saga tahun 90-an milik orang tua, jejaka itu banyak mendiamkan diri.

"Kita ni, tempat akhir, ke situ juga. Lambat atau cepat saja. Apa yang berlaku pada keluarga kamu tu, asbab saja. Yang sebenarnya, sudah sampai waktu dan saatnya. Tak ada siapa yang mampu menolak sebuah kematian. Sedetik lebih pun tak mampu tambah atau tolak."

Jejaka itu mengangguk-angguk. Sekali-sekala melemparkan pandangan kosong ke luar tingkap kereta.

"Tapi, teruk sangat. Satu famili saya Allah ambil. Kadang rasa tak adil. Nasib baik saya ni lelaki. Kalau perempuan, rasa dah lemah semangat. Tapi, lelaki pun, sedih tu tetap ada." Farizal menjawab lambat.

"Tak ada yang teruknya. Apa yang Allah tulis tu baik belaka. Ada hikmah di sebaliknya. Kalau kita fikir, contohnya gunung berapilah. Meletus muntahkan lava sampai hancur satu kampung. Kalau tak ada ilmu, kita nampak, eh apa kejam sangat Tuhan? Kampung tu, ramai orang miskin. Rumah bukan besar pun, papa kedana. 

Tapi, selepas dikaji-kaji, lava tu pula jadi sebuah rahmat bila jadi baja paling subur. Tanah boleh tanam macam-macam. Menjadi saja. Suatu keuntungan pada orang-orang kampung.

Samalah juga dengan apa yang berlaku pada kamu. Aku percaya ada hikmah besar di hari depan untuk kamu.

Kesabaran tu, kalau kamu betul-betul sabar, memang bertuahlah dapat Syurga yang paling tinggi. Orang lain tak diduga semacam kamu. Ingat tu."

Farizal terdiam. Tak nak menjawab hal agama. Kang kurang ajar pula. Prinsip dirinya, kalau jahil, jangan cuba-cuba tunjuk pandai. Dengar dan belajar.

Petang tu, dia bersama Pak Imam hinggalah usai waktu Isyak.

***

"Saya minta diri dulu, Mam. Rumah tu tak ada orang. Nak balik kemas-kemas barang sikit. Lusa dah nak balik kampus."

Jejaka itu menyalami Pak Imam dengan santun. Meninggalkan orang tua itu dengan penuh adab.

Pak Imam berdiri lama di luar rumahnya sehingga kelibat anak muda itu hilang dari pandangannya. Keningnya sedikit berkerut. Beristighfar beberapa kali dan mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan nada perlahan.

"Kenapa, bang?" Isterinya menyapa dari belakang.

"Budak tu, dia tak keseorangan."

"Maksud abang?"

Pak Imam tidak menjawab lagi. 

Diam.

***

Jejaka itu sampai di luar rumahnya. Sepi. Diletakkan payung di luar rumah. Hujan masih lebat. 

Rumah yang pernah meriah dengan hilai-tawa dan gurau-senda bersama keluarga. Kini hanya tinggal kenangan segalanya. Dia melangkah masuk ke dalam.

Buka lampu. Namun, tiada satu pun lampu yang menyala dalam rumahnya.

"Hm.."

Farizal tidak menutup pintu rumahnya. Biarkan saja terbuka luas. Dia duduk di sofa.

"Masuklah."

Angin sejuk menyapa dirinya seraya dia persilakan. Perlahan-lahan, satu lembaga hitam bermata merah muncul di hadapannya. Tinggi dan sasa. Persis seorang manusia namun bukan. Bertukar-tukar rupa. Sekejap rupa ayahnya, sekejap kakak, sekejap abang.

"Oh, ini ke bentuk asli kau?" Farizal sinis.

"Ha ha ha! Tidak. Sekiranya aku bertukar ke bentuk asal, pasti kau tak mampu menatapnya! Aku lebih senang dengan bentuk samaran ini yang menyerupai ahli keluarga kau.

Sebab itu, orang yang mewarisi saka, sakanya akan terlihat sama dengan si pemilik. Memiliki rupa yang sama. Malahan, si isteri pun tidak akan mampu membezakan suami yang sebenar atau suami saka. Sehingga bersama di ranjang, tidur dengan syaitan! Ha ha ha!"

Farizal tunduk. Merapatkan jari jemarinya. Melihat ke arah lembaga itu.

"Jijik aku.

Bertukar saja ke rupa asal kau. Ke rupa ketika keturunan pertamaku menyembah kau."

Lembaga itu mengilai ngeri. Sebelum dirinya mulai bertukar, berpusing dan mengeluarkan bau bangkai yang busuk dan hanyir. Sehingga memaksa Farizal menutup hidungnya dengan lengan baju.

Lembaga tersebut dengan dua tanduk di kepalanya. Bertubuh sasa. Warna tubuh merah gelap, berbaju zirah perang. Dengan lidah panjang yang sengaja dijulurkan keluar menjilat bibir sendiri. Bermata merah saga. Mukanya buruk ngeri menampakkan urat-urat berselirat di balik wajah yang tidak berkulit.

Farizal terkesima. Diam. 

"Oh, memang ngeri." Dia menepuk-nepuk tangannya. 

"Ngerilah sangat. Rupanya saka pahlawan. Kau dari golongan mana? Saka bangsawan?"

Lembaga itu gelak semahunya. Dalam gelak berbunyi garang dan bengis. Mungkin merasa terhina dirinya tidak ditakuti.

"Kau tidak takut padaku?"

"Kenapa aku perlu takut? Aku kena hidup dengan kau 24/7. Aku adalah kau. Kau adalah aku. Sebagaimana kau katakan."

Farizal bertutur penuh keyakinan.

"Aku adalah dari keturunan raja-raja saka. Saka dari istana api."

"Saka dari neraka ke?" Farizal sinis lagi.

"Ha ha ha ha! Istana neraka itulah yang golongan manusia akan huni dan masuk berbondong-bondong ke dalamnya nanti!"

"So, apa nama kau?"

"Thaka. Raja Thaka."

"Ah, tak macam raja pun!"

"Bangsat kau!! Aku boleh hancurkan kau sekelip mata kalau aku nak!" Lembaga itu bengang. Marah.

"Opsie. Ya lah, raja takkanlah bergantung pada organ-organ dalaman manusia lemah kot. Kau kan kuat."

Lembaga itu mengilai lagi disindir jejaka itu. 

"Raja manakah yang kuat atas dunia ini? Semua raja bergantung pada rakyat jelatanya saja. Tanpa rakyat, raja takkan megah di singgahsana dipuja-puja, didewa-dewa!"

"Okay. Aku tak nak berdebat dengan kau. Kau datang sekarang ini untuk mendengar syarat-syarat aku kan?"

"Iya, manusia. Katakan apa syaratmu...katakan.."

"Aku jamin, kau takkan berani sahut segala syarat yang akan aku bentangkan."

"Tidak!! Aku Raja Thaka tidak takut pada sebarang cabaran! Akan ku sahut! Apatah lagi cabaran manusia picisan seperti kau!"

Farizal bangkit berdiri. Menghampiri lembaga yang tingginya melebihi dirinya. Sehingga dia terpaksa mendongak.

"Baiklah. Dengar baik-baik. 

Pertama;

Disebabkan kau adalah bangsawan diraja, mesti kau nak berada di maqam teratas kan? Ke kau nak level-level rakyat jelata papa kedana?"

"Mestilah teratas!!" Bengis menjawab.

"Bagus.

Syarat pertama, bila kau berasimilasi denganku, aku nak kau hapuskan saka-saka yang ada di sekeliling. Aku dan kau, maksud aku, 'kita' — jadi penakluk. Betul-betul jadi raja segala saka.

Aku nak kita jadi 'pemerintah' paling digeruni di dunia ini di alam yang hanya kita nampak.

Aku nak kita jadi...

TENGKU THAKA yang menakluk dunia!!!

Boleh?!"

Farizal bercekak pinggang, penuh keyakinan, megah dan angkuh di hadapan lembaga besar itu.

"Syarat pertama, aku setujui. Mari kita meterai dengan darah kau."

ZAP!

Segaris luka muncul di dahi Farizal. Darah keluar. Makhluk itu segera menjilatnya dan mengaum kuat. 

"YARGHHH!!"

"Nyatakan syarat kedua!"

"Syarat kedua, kau tak boleh jadikan aku sebagai makanan harian kau. Instead, aku ada idea yang lebih baik. Pokoknya, kau tak boleh makan walau seinci pun organ dalaman aku. Kau, tak boleh hisap darah aku.

Sebab, kalau aku mati, kau juga tidak lagi induk pengganti. Kau akan berada dalam ruangan rumah ni sampai tapak rumah ini hancur dimamah zaman!"

"Habis, aku nak makan apa?!"

"Kau setujukan saja dulu. Jangan risau, kau pasti akan dapat makan. Tapi, bukan aku."

"Ha ha ha! Menarik, kau nak bunuh orang lain kan?! Ha ha ha! Inilah induk yang aku cari. Mewarisi sifatku sang pembunuh penghisap darah manusia!

Baik, aku setuju!"

Segaris luka lagi muncul di dahi Farizal. Sama, dijilat habis sang makhluk syirik. Mengaum kuat tanda perjanjian dimeterai.

Farizal senyum kambing.

"Syarat ketiga......"


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!