Mungkin - Part 20



ZUP!!

Sepantas kilat tangan yang cuba mencapai mask dikilas ke belakang sampai tergeliat. Mengaduh kesakitan. Meronta mahu dilepaskan.

Aku berdiri. Kerumunan mulai mendekati untuk masuk campur sekali.

Ku pulaskan kuat sikit tangannya. Biar menjerit jantan yang acah-acah king kawasan. 

Aku perasan, sebilah belati dikeluarkannya untuk menebas kulit badan ini, heh, tak semudah tu.

DUSHH!!

Ku siku sampai tersungkur lelaki itu menyembah lantai simen gerai tu.

Saat itu juga, ramai cuba masuk dekat untuk menghentam. Namun, segera ku angkat satu jari. Tanda jangan dekat.

"Sebelum korang bantai aku, sudilah kiranya jawab dulu satu persoalan aku;

Kenapa nombor casis pada motor tu tak sync dengan nombor enjin?"

Ternyata mereka hanya mampu memaki-hamun aku, mengugut bunuh dan sebagainya. Tin kosong. Semua senjata ganas ditujukan kepada mukaku. Bising. Macam pakcik-pakcik bawang yang bising mengulas rumahtangga orang dan menulis tips-tips membahagiakan isteri di media sosial saja. 

"Tak payah cakap banyaklah. Sekarang ni, kau nak mampus atau kau nak serahkan balik motor tu?!"

"Takyah nego la dengan budak ni, tibai je sampai lunyai!"

"Bunuh je!"

"Semak aku pakai topeng acah-acah korea ni!!"

Aku lapar. Geraham ni rasa nak gigit-gigit sekarang. Ada sampah-sampah datang kacau pula.

"Motor tu bukan kau punya. Bukan juga aku punya. Kalau kau nak motor tu, one on one lah atas jalan. Ada bran?"

Aku tegak berdiri di hadapan kekonon king pujaan ramai mereka tu. Semua dah bingit. Macam nyamuk tunggu dispray. Ada juga yang dah tak sabar-sabar nak lunyaikan aku. Acah-acah ke depan, tapi ditahan oleh king. 

"Okay, boleh!"

Saat itu juga salah seorang geng motor tu menerpa ke arah aku dengan kayu. 

BUKKK!

Satu terajang singgah tepat atas mukanya. Terpelanting tak sedarkan diri. Semua yang berada di situ terdiam. Tak menyangka serangan sebegitu ganas mudah sekali dipatahkan.

"Aku tak main-main."

"Okay! Tapi, kalau kau kalah, kepala kau aku punya. Itu cagarannya. Amacam?" Disertai dengan hilai-tawa berdekah-dekah oleh seluruh geng yang ada di situ. Memperlekehkanku. 

Aku hanya senyum kambing di sebalik topeng. Sambil bergerak menuju ke motosikal. Semua orang menaiki motor masing-masing. Asap berkepul-kepul ditinggalkan di tapak gerai. Aku hanya mengikuti dari belakang motor king. Berapa banyak motor dia ni ada entah. King menaiki RXZ Boss tahun 1995. Entah default atau modified. 

Kami sampai di tengah lebuhraya. Owh. Ni jalan menuju Putrajaya. Jalan lurus lepas tol. 

"Kita mula dari sini. Pusing ke jalan sebelah sebagai penyudah. No rules. Siapa sampai dulu, dia menang bhai!"

Aku betulkan helmet. Goyangkan kepala sikit, betulkan urat-urat tengkuk. Bersedia dengan segala apa kemungkinan. Sikit pun tak goyang. Tenang seadanya. Cuma, lapar gila.

Orang sebelah dah kemaruk nak race. 

"Ready!! GO!!"

ZASSS!

Kedua-dua motosikal berentap atas jalan selaju mungkin. Jalan licin sikit. Hujan renyai-renyai sepanjang perjalanan. Laju juga RXZ dia. Motor baru ni tak terkejar. Aku ketinggalan di belakang. Ah. Ku pulas minyak serapatnya. Kelajuan sudah mencecah 120 km/j. Cilok-cilok dengan kenderaan yang berada di atas jalan. 

King ni memang hati kering. Sikit pun tak brek. Pecut lancar saja. Memang rempit berani mati. Sudah di pertengahan. Aku juga mulai mendapat rentak. Beza motor kami cuma separuh badan motor. 

Meter motor sudah cecah aras maksima. Rintik hujan yang renyai terasa seperti peluru yang membantai tajam di cermin helmet. Kami sudah berada di jalan sebelah. Ada dalam 30 kilometer lagi untuk disudahkan. 

King mula baring atas motor. Fly! Tukar gear pakai tangan. Ini untuk mendorong luncuran lebih laju. Kau ingat aku tak mampu? Aku juga sudah baringlah! Dua superman jadian berada atas jalan!

VRUMMMM!!!

Kawasan angin lintang. Motor terasa sedikit goyang. Bukan aku saja. Motor sebelah juga goyang! Angin kuat betul. Hujan pun semakin deras menuruni. 

"Air atas jalan!"

Sebelum sempat aku membetulkan posisi badan dan membrek, kedua-dua motosikal sudah berada dalam keadaan berpusing beberapa kali. Cemas. Segala skill cuba diaplikasi pada masa tu, tapi semua jadi sia-sia. 

SKRETTT! BUM!

Aku tercampak dengan kelajuan tinggi ke tengah jalan. Motosikal dah terbongkang bergelimpangan. Aku lihat RXZ lawan juga dah terbarai di jalanan. Lampu pecah. King terbaring di jalanan. Aku juga terbaring macam dah putus nyawa. Lutut terasa sakit sangat. Aku menjenguk ke bawah, dah terkoyak habis jeans di lutut. Darah meleleh dari kawasan yang tersiat. Siku tak payah cerita. Terkoyak.

Aku cuba bangun. Aku tengok mamat yang tak jauh terbaring juga mulai bangkit kesakitan. Terhincut-hincut. Gilalah, sepatutnya kau dah mampus jatuh macam ni. Betul-betul liat!

Dia bangun mendapatkan motornya, cuba dihidupkan beberapa kali namun tak berjaya. Dah rosak agaknya. Dia meluru datang ke arahku. Cuba merampas motosikal Y15zr pula. Aku bangkit sama. 

DUSH!

Penumbuk singgah di perutnya. Terhuyung-hayang. Dia mengeluarkan pisau Rambo. Melibas-libas ke arahku. Dia ni bukan lawanku pun. 

"Bangsat! Mampuslah kau!"

Macam orang gila berlawan, menerkam ke arahku dan cuba menikam. Ku tendang dadanya hingga batuk berdarah. Sepak tangannya hingga tercampak pisau. Ku pijak dadanya. Tekan.

"Kau dah kalah."

"Kau yang kalah!!"

Seketika, berpuluh-puluh motosikal tiba di tempat kejadian. Lampu-lampu motosikal limpah atas mukaku. Menerangi. Masing-masing dengan senjata di tangan masing-masing. Dalam 20-30 mat rempit mengerumuni.

"Dia dah kalah."

"Belum. Kau belum sampai di garis penamat pun!" Salah seorang dari mereka menjerkahku. 

"Dan tak ada dalam kamus perlumbaan luar litar, kau kena sampai di garis penamat hidup-hidup. Mungkin hanya bangkai kau. Ha ha ha!"

"Mungkin." Ku balas ringkas.

Aku tapakkan sekali lagi si king hingga membuak darah dari mulutnya. Berdiri di hadapan mereka semua.

"Sekarang, korang nak apa?"

"Kepala kau!"

Serentak dengan itu juga, ramai-ramai menyerbu ke arahku!

Yarghh!!

****

Darah menuruni tanganku. Aku terduduk berlutut di atas jalan raya yang sunyi sepi. Setelah bingit dengan teriakan dan laungan, kembali hening. Pukul 2 pagi. Yang kedengaran cumalah rintikan air hujan membasahi. 

Berpuluh-puluh mat rempit bergelimpangan atas jalan. Terbaring. Seolah-olah sedang nyenyak tidur. Dengan muka pecah, darah bersemburan, gigi patah, bibir pecah, hidung patah, tulang rusuk retak dan sebagainya. Bagai kalah dalam peperangan.

Buku limaku penuh dengan darah. Bagaimana aku boleh menang? Dalam serangan penuh kemarahan, membuka ruang kepada banyak kelemahan. Titik-titik kelemahan setiap seorang terdedah dengan begitu ketara sekali. Misalnya, yang menghayun parang akan menumpukan kekuatannya pada tangan. Dalam masa sama, bahagian badan lain boleh diserang semahuku. Itu saja. 

Kadang, perjuangan dan gempuran tidak berkesan atas dasar semangat semata-mata. Perlu kepada strategi dan pengalaman. Untuk mengawal keluarga, untuk membetulkan bangsa, untuk melindungi negara, tidak boleh atas dasar itu sebulatnya. Ianya cuma bonus setelah minda digunakan pada tahap optima. 

Tuntas. Aku lapar. Tak nak cakap banyak. Perut dah berbunyi-bunyi. 

Ku hidupkan motor, buka sedikit topeng, ludahkan darah yang bergumpal dalam mulut sendiri. Siapa kata menang tanpa cedera? Hanya hero tamil boleh buat dalam filem.

Dalam pergaduhan, kedua-dua side pasti terluka. Sama saja dengan soal hati. Dalam sketsa pergaduhan pasangan sejoli atau suami isteri, pasti akan terguris hati kedua-duanya. Bukan di sebelah pihak saja. Ah, bermadah pula.

Motosikalku akhirnya sampai di garis penamat.

***

Aku tapau nasi, makan dengan lahapnya dalam hotel bajet. Bersihkan diri, mandi. Bergelen darah keluar mencucuri ke lubang air. Luka calar-balar merata. Jatuh motor tersiat teruk sana-sini. Tak guna. Buat sakit badan saja. Luka-luka lama pun masih tak kering, sudah ditambah luka baru. 

Siapa suruh jadi pembunuh sangat? Ku maki diri sendiri dalam bilik mandi.

Malam itu, tertidur tak sedar apa pun. Letih. 

Sangat.

***

Termenung.

Tak dapat tidur.

Hani berada dalam bilik. Atas katil empuk. Di rumah adik perempuan teman lelakinya. Kepalanya tak sudah-sudah memikirkan hal yang sama. Risau dan gusar bercampur aduk. Bersalah pun ada.

"Tanpa Nama..."

"Setelah apa yang dia dah lakukan padaku, tak patut aku buat macam tu kat dia..Aduh.."

Golek ke kiri dan ke kanan. Tetap tak dapat tidur dengan baik. Dilihat kedua-dua tapak tangannya yang berbalut. Luka-luka ini makin kuat mengingatkan pada sosok lelaki itu. Walaupun garang dan ganas, tetapi dia tetap sedaya-upaya melindungi dan berada di sisi. 

Manusia selalu begitu, bila dah tiada, barulah rasa sesuatu itu berharga. Ada nilai di mata. 

Dan di hatinya.

***

DING!

SMS masuk. Mengejutkan aku dari tidur. Ku capai henfon zaman batu atas meja sisi. 

"Semua dah disiapkan. Tiket flight kau dah ready. Dah check-in. Kau ambil di tempat yang aku inform next. 

Aku tunggu kau atas flight.

Oh ya. Perempuan tu ada dengan aku. Hadiah istimewa, dia membawa beg berisi bom. Bayangkan saja kalau kau lambat. Ha ha ha!"

Celaka.

Ku bangun, segera bersiap. Beg senjata ku tinggalkan saja. Bukannya boleh lepas kargo atau scanning. Harapkan kaki dan tangan yang ada sajalah. Ah, tak kisahlah.

Degup jantung sedikit laju. Entah kenapa. Ku pecut semahunya motosikal menuju lapangan terbang. Seperti yang dijanjikan, sudah tersedia segalanya dalam kotak di suatu sudut bilik air airport. 

"Pesawat akan berlepas 30 minit lagi."

Aku berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di gate balai berlepas. Berjalan masuk ke ruang menanti. Mataku melilau. Mencari-cari di mana kelibat perempuan yang bernama Hani. Tapi, tidak kelihatan. Takkanlah dah naik. Tak mungkin. Something fishy.

Takkan semudah ini. Tak mungkin.

Mungkinkah ini cuma perangkap?

Dah sampai masanya aku masuk ke dalam pesawat. Pesawat domestik menuju ke Langkawi. Semua penumpang dah masuk. Termasuk aku. Aku berada di tepi pintu kecemasan. Aku dah perhatikan seluruh penumpang. Memang tak ada pun Hani. Berkali-kali aku lihat tiket di tangan. Bimbang tersalah pesawat. Tak mungkin.

Seorang pramugara berjalan keluar dari kabin pilot. Jejaka kacak tinggi lampai yang ku kenali. Teman lelaki Hani.

"Oh, kau ke?" Aku mencerun mata tajam ke arahnya. Dia membalas dengan senyum kambing kepadaku.

"Mana perempuan tu?" 

Dia tak menjawab pertanyaanku. Berang ku rasakan dalam hati. Membara. 

"Kenapa kau tanya girlfriend aku? Kau ingat kau siapa?" Sinis. 

Menyampah pula aku. Persoalannya, dah kenapa pesawat ini tak jalan lagi ni? Dan di manakah Hani? 

Aku menanti dengan segala kemungkinan. 

Derapan tapak kaki ramai ku dengari jelas makin menghampiri. 

"Sila berdiri dan angkat kedua tangan kamu ke atas." 

Ku pusing ke belakang dan melihat gerombolan pegawai polis khas mengerumuniku dengan senjata diacukan kepadaku. Jelas, aku dah masuk dalam perangkap!

Seorang pegawai polis wanita berpangkat tinggi mungkin, maju ke depan dengan gari di tangannya. Aku cam wanita itu. Cam sangat. Dialah yang ku telah bermati-matian cuba selamatkan dua tiga hari ni.

Aku tergelak sendirian di balik topeng.

"Kamu ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh beberapa individu dan terlibat dalam beberapa siri pembunuhan."

Beberapa pegawai lain datang membantu menggariku dengan kasar. Walhal aku tidak protes, tidak meronta sedikit pun.

"Kau bermain dengan api, Hani."

Wanita itu memandang ke dalam mataku seketika kemudian melemparkan pandangannya ke arah lain.

"Nama saya bukan Hani." Perempuan itu bingkas berjalan turun dari pesawat, diiringi oleh beberapa pegawai polis. 

Pramugara tinggi lampai melambai kepadaku dengan senyuman lebar. Puas. Seraya berbisik ringkas ke telingaku saat aku lalu di sebelahnya,

"Kau bukan lawan aku, sampah. Masih jauh untuk kau sentuh tiga manusia teratas. Ha ha ha!"

Dalam hatiku membara-bara api kemarahan. Kalau boleh, mahu saja ku amuk dalam pesawat, membunuh seluruh manusia yang ada dalam tu tak kira mereka berdosa atau tidak. 

Kau tahu, rasa dikhianati itu terlalu teruk dalam hati ini. Luka parah melebihi luka fizikal. Buat aku kecewa dengan seluruh manusia. Semuanya topeng yang tak mungkin aku percaya seumur hidupku.

Kesal.

***

Aku disumbat dalam kereta polis. Kiri kanan pegawai bengis mengawalku. Bangga, mungkin. Suspek profil tinggi berjaya ditangkap. Beberapa kereta polis escort kenderaan kami di depan dan belakang. Dah macam menteri rasuah.

'Hani' yang ku kenal berada di sebelah pemandu. Diam tidak bersuara. Sikit pun tak berani memandangku. Pegawai polis bermisai lebat di sebelahku berkata-kata sinis,

"Lunyailah kau dalam penjara nanti. Duduklah kau merengkok seumur hidup dalam tu memandangkan hukuman gantung sampai mati dah dimansuhkan. Pandai sangat bunuh orang. Sekarang, masa dan ketuaan yang akan membunuh kau dalam tu. Mungkin kau mati kemurungan dalam tu atau mungkin kau mati hidup terkurung kesepian. Hahaha!"

Aku hanya menjawab ringkas,

"Mungkin..."

ZUPP!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!