Selasa, 20 Jun 2017

Zakat Fitrah Menyucikan



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zakat Fitrah Menyucikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Dari Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Eidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Eidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. (HR Abu Daud no: 1817) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran: 

1.  Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan-kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan)  yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

2.  Zakat fitrah untuk memastikan orang yang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Eidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama keseluruhan umat Islam. Islam tidak ingin melihat di hari 1hb Syawal ada orang yang meminta-minta padahal dalam kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

3.  Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Eidil Fitri pada 1hb Syawal. 

4. Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya eid fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat.

5.  Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:

a.  Islam

b.  Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal. 

c.  Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah

JANGAN lupa bayar ZAKAT FITRAH kepada amil yang dilantik...

Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita.

20hb Jun  2017
25hb Ramadan 1438H


Jumaat, 16 Jun 2017

Perbanyak Doa Keampunan di Malam Lailatul Qadar



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni  (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (HR Tirmidzi No: 3435) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyak doa.

2.  Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar. 

3.  Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah  memaafkan dosa yang kita lakukan. 

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

16hb Jun  2017
21hb Ramadan 1438H


Jumaat, 9 Jun 2017

Puasa, Sedekah dan Qiamullail.




1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa, Sedekah dan Qiamullail

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ 
Dari Mu'adz bin Jabal bahwa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun di malam hari. (HR Ahmad No: 21116) Status: Isnad Hasan
Pengajaran:

1.  Ibadat puasa menjadi benteng atau perisai daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah

2.  Puasa adalah perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. 

4.  Sedekah antara amalan yang boleh menjadi penghapus dosa

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma.  (HR Bukhari  no 5564) Status: Hadis Sahih

5.  Menghidupkan malam dengan Qiamullail merupakan antara amal kebaikan orang Mukmin untuk membina kekuatan rohani.

Ambillah kesempatan Ramadan ini untuk membina perisai diri, menghapuskan dosa dan menguatkan rohani.

09hb Jun  2017
14hb Ramadan 1438H


Sabtu, 3 Jun 2017

Sahur dengan kurma kering.



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahur Dengan Kurma Kering

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW baginda bersabda: Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 6/290, no. 1998. Shahih Ibnu Hibban, 8/253, no. 3475) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersahur adalah sunnah Rasulullah

2.  Sebaik-baik makanan untuk bersahur adalah kurma kering

3.  Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% gula dalam kurma berbentuk glukosa, sedangkan 45% lagi membentuk fruktosa.

4.  Glukosa dalam kurma akan cepat berubah menjadi fructosa, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga. Khususnya jaringan yang perlu tinggi energi, seperti: sel-sel otak, sel-sel saraf, sel-sel darah merah dan sel-sel tulang belakang.

5.  Selain glukosa, kurma juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa

Ayuh jangan tinggalkan kurma kering ketika sahur.

03hb Jun  2017
08hb Ramadan 1438H