Tengku Thaka - Part 17



Farizal berkerut kening. Urat-urat halus muncul di bahagian dahinya, menahan keperitan. Tangannya menolak, masih menghadang sekuat hati gigi tajam atas dan bawah kepala gergasi ngeri.

"Kenapa kau lambat?!" Farizal memekik. Geram.

Sang saka berdiri sama. Tegap. Menghadang sama dengan sekuatnya.

"Maaf, tengku. Ruangan dimensi ciptaan saka nenek bangsat ini sangat kompleks. Bagaikan puzzle. Dimensi dalam dimensi. Tapi, hamba tidak akan berpisah dengan tuannya. Sesatlah dalam dimensi mana pun, aku akan mengekori kau sampai ke akhir hayat! Kan ku hidu darah kau sampai ke setiap saraf di tubuh!

Darah dan nafas kita adalah satu!" Sang saka menyeringai sama dengan tuannya.

Farizal meraung sekuatnya. Bertempik semahunya.

"Tengku Thakaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!"

ZINGGGGGGGGG!!!

Dentuman dahsyat terhasil saat bersatunya sang saka dengan lelaki itu. Terpatah rongak habis gigi raksasa ganas. Sumbing bibirnya. Seorang pahlawan dengan baju zirah kekuningan emas berkilauan. Memancarkan aura ganasnya sama.

ZAP!

Menangkap dan menggenggam geram lidah busuk sang raksasa jelmaan yang membelit tubuh Claudia.

"Hiyah!"

Direntap sampai putus. Darah bersemburan keluar. Claudia tercampak ke tanah dengan belitan lidah yang terlerai. Gadis itu sudah tidak sedarkan diri dek kerana terlalu sakit dibelit kemas.

"Kau siapa?!"

Makhluk ganas mulai bersuara dengan keadaan mulut sudah cacat-cela.

Tengku Thaka mencerun mata merahnya.

"Aku adalah malaikatul maut kau. Oh, bukan. Aku bukan malaikat. Aku adalah bangsawan setan. Aku adalah pembunuh kau!

Aku, Tengku Thaka!"

Seraya tempikan amarah, kakinya terus menerjah kuat ke muka raksasa seperti bebola ikan itu. Bezanya, itu sebuah kepala seseorang. Bila diteliti lama-lama, kepala seorang nenek tua. Bangkai kepala.

DUSHHH!

Terpelanting ke belakang hingga merempuh seluruh pokok yang ada di sekeliling. Patah bertaburan.

Zombie-zombie yang ada di situ juga meluru sama ke depan untuk mengerjakan Tengku Thaka.

"Sampah!"

ZAP! ZAP!

Terbelah-belah setiap inci tubuh badan mereka sebelum sempat hampir kepada Tengku Thaka yang sedang mengamuk. Pedang besarnya sudah siap dilibaskan berpuluh-puluh kali. Mudah sekali menewaskan lawannya.

Tengku Thaka melangkah perlahan-lahan sambil menyeret pedangnya atas lantai tanah menuju ke kepala saka nenek. Kepala tersebut kelihatan terkejut dengan kehebatan tengku. Dengusan kemarahan Tengku Thaka bagai tidak dapat dibendung lagi. Marah kerana dirinya diasak sehingga ke ambang kematian. Tidak boleh, dia tidak boleh dicabar hingga ke tahap itu. Darah bangsawan ini akan terguris maruahnya. Tercalar bintangnya.

Tiba-tiba, sekeliliing berpusing kuat. Ribut kencang hingga menerbangkan seluruh kabin, kereta, pokok-pokok, tanah dan segalanya di sekitar. Dimensi bertukar lagi.

Mereka sekarang berada dalam rumah peninggalan nenek. Hilang sudah kepala raksasa. Yang ada cumalah seekor makhluk yang berambut kelabu panjang. Sedang bergantungan di siling. Mengadap Tengku Thaka yang mendongak melihatnya tanpa sebarang rasa gentar.

"Kau tak patut masuk campur dalam urusan keluarga ini!" Saka nenek dengan kepalanya berpusing 360 darjah ke belakang dengan tubuh kurus kering. Terlihat tulang dan kulit mayat lama pada tubuhnya.

"Sebutkan perjanjian kau." Tengku berbicara dalam nada tegas.

"Perjanjiannya; anak perempuan pada keturunan ketujuh akan mewarisi saka ini sebelum ia berpindah lagi pada tujuh keturunan selepasnya.

Saka ini hanya perlu satu korban untuk setiap 7 keturunan hidup aman damai. Dengan kata lain, budak ini adalah makanan aku. Ha ha ha!"

Tengku Thaka diam.

"Tapi, kalau aku nak perempuan ini jadi makanan aku, kau berani tak bantah?" Membalas kata saka nenek dengan sinis.

Kata-kata Tengku Thaka itu menyebabkan saka nenek menjegilkan kedua-dua biji mata putihnya. Marah. Namun, ia tahu, kekuatan Tengku melebihinya. Bukan biasa-biasa.

"Saka dengan saka tidak boleh merosakkan mana-mana perjanjian nenek moyang! Itulah yang dipegang sejak dulu kala! Kau juga saka!"

"So?" Tengku Thaka melibaskan pedangnya dalam mode bersedia membunuh.

Saka nenek segera melompat turun mendapatkan Claudia, membangunkan gadis itu dalam keadaan berdiri. Kemudian, ia rapatkan badan ke belakang si gadis malang. Tiba-tiba, kepala saka nenek elastik ke belakang, bercantum dengan kepala Claudia. Matanya sync dengan mata sang gadis.

Barulah Tengku Thaka mengerti rahsia di sebalik mata yang dapat melihat benda-benda halus dan ghaib. Rupanya, mata saka. Sekiranya seseorang itu didampingi makhluk halus, tidak mustahil dia mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus yang lain. Itulah konsep orang-orang yang dirasuk atau terkena histeria. Mulanya, makhluk halus berada dalam dirinya, maka mulalah mangsa akan melihat yang tidak sepatutnya dilihat.

Sebab apa makhluk sebegini mudah masuk ke dalam diri? Kerana terlalu banyak lubang yang bocor di bahagian fizikal dan batin seseorang. Apa tidaknya, kita sendiri jarang membaca doa-doa pendinding meskipun semudah Ayatul Kursy atau selafaz Taawwuz. Setidaknya, bacalah La Hawla Wala Quwwata Illa Billahil 'Aliyyyil Adzim.

****

Kepala yang berada dalam keadaan terbalik. Mulut di atas, cuma mata saka nenek dengan mata Claudia saja yang selari.

PRAK.

Bahagian tubuh saka nenek terurai dan jatuh di lantai. Mereput. Tengku Thaka melihat scene depan matanya dengan rasa pelik. Memisahkan badan dengan kepala?

"Trick apakah ni?"

Beberapa saat kemudian, barulah dia baru dapat menangkap percaturan sebenar saka nenek.

"Tengku, sekarang benda tu bersatu dengan kepala perempuan tu. Sebati. Bunuh benda tu, perempuan tu mati sekali."

"Tak guna!"

Tengku Thaka berdiri di hadapan gadis itu.

"Claudia! Bangun!"

"Ha ha ha! Dia takkan bangun selagi aku ada bersatu!"

Tengku Thaka menggenggam penumbuknya. Melayangkan tepat-tepat ke muka gadis itu.

"Tumbuklah! Kau nak budak ni mati?! Tumbuklah sampai berkecai!"

Tumbukannya terhenti. Tengku Thaka menggigit geraham sendiri. Rambut panjangnya mengerbang. Matanya merah bersinar. Geram.

Tiba-tiba, Tengku Thaka meletakkan kedua-dua tangannya memegang kepala Claudia yang dirasuk. Dengan ibu jarinya ditekapkan pada kedua biji matanya.

"Auzubillahiminassyaitonirrajim...Aku berlindung pada Allah dari syaitan yang direjam."

Saat itu, tangan Tengku Thaka juga terasa bahang. Kepanasan. Sebab dia pun syaitan, dia pun saka, dia pun jin kafir! Namun, diteruskan jua dengan lafaz seterusnya.

Dibacanya Surah Al-Fatihah.

"Tengku! Kau buat apa ni! Argh!" Sang saka di dalam badan juga kepanasan.

Gadis itu juga meraung-raung histeria. Suaranya bertukar garau dalam keadaan tak sedarkan diri, meronta-ronta mahu melepaskan diri dari cengkaman Tengku Thaka. Lelaki itu tahu, jika dipegang dengan kudrat seorang Farizal, tidak akan terdaya. Jadi, dia memerlukan kudrat sang saka laknat ini juga supaya tidak terlepas ketika rontaan.

"Kau dah gila ke, Tengku! Argh!"

Terlihat sang saka keluar masuk, bagai cas yang melenting dari badan Tengku Thaka. Farizal tidak melepaskan sang saka keluar dari tubuhnya. Tidak juga melepaskan genggamannya pada kepala Claudia.

"Ayatul Kursi!"

"Argh!!!" Kedua-duanya bertempik. Baik Tengku Thaka dan saka nenek yang degil di kepala Claudia. Gadis itu malah meracau habis keluar bahasa Cina yang tidak difahami. Makian dan cercaan dalam kesakitan.

"Surah Al-Hasyr ayat 22!"

"LAU ANZAL-NA HAA-DZA ~AL-QUR'AA-NA 'ALAA JABAL-IL-LA-RA-AITAHU KHAA-SHI-'ANM MUTASODDI'ANM MIN KHAS-YA-T-ILLAH!

WA TIL-KA -AL AM TSA-LU NODHZ-RIBU-HA LI-NNAAS-I  LA-'ALLA-HUM YA TAFAKKARUUN!"

"Sekiranya Kami turunkan Al-Qur'an ini di atas sebuah gunung, Nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah-belah
kerana takut kepada Allah dan (ingatlah) misalan perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya!"

Sebaik saja ayat tersebut habis dibacanya, saka nenek terpelanting keluar dari melekat di dalam kepala Claudia. Farizal menepis gadis itu hingga tersungkur di lantai.

"Tengku Thaka! Masuk!"

ZING!

Sang saka yang terbakar kembali dipaksa masuk ke dalam tubuhnya. Membahang terbakar hingga terasa ke dalam dadanya. Kesakitan sendiri. Namun, Tengku Thaka menyeringai dan ketawa. Kerana di dalam genggamannya sekarang adalah kepala saka nenek.

"Tolong! Jangan bunuh aku! Kita sesama saka! Jangan!"

Saka nenek merayu-rayu hingga keluar air mata darah. Namun, tidak dihiraukan Tengku Thaka yang sedia bengis tanpa sebarang perasaan.

Dihentaknya ke lantai sampai hancur berderai kepala tersebut. Mengeluarkan pedangnya, lantas menghentam kepala itu sehingga terbakar dengan aura pedang yang sedang membahang kepanasan.

Luluh.

Hangus.

Menjadi debu.

Seperti biasa, aura maut dari saka yang terkorban, dihirup masuk ke dalam badan Tengku Thaka. Menjadikannya lebih kuat. Pulihkan semula tenaga.

"Huh, tidaklah hebat mana. Cuma hebat dalam tipuan fikiran." Tengku Thaka mencebik bibir. Syaitan begitulah sifatnya, bukanlah sekuat yang disangka. Cuma helahnya berliku-liku. Manusia yang melihat dengan pandangan selapis iman, tidak akan menyedari mereka sedang ditipu berkali-kali ganda. Akhirnya, terperangkap dalam tipu-muslihat kaum yang dilaknat.

"Tengku! Jangan buat begini lagi, kau boleh membunuh kita berdua!"

Tengku Thaka tidak menjawab sakanya.

****

Farizal memapah Claudia keluar dari rumah usang tersebut. Memecut motosikalnya laju meninggalkan rumah puaka yang sudah hilang penunggunya.

Lelaki itu memerah throttle motosikalnya. Sebenarnya, dalam diam, dirinya makin jelek dengan pergolakan dunia ghaib. Bukan tugas dirinya untuk menghapuskan segala setan dan jin atau saka di sekeliling. Tugas hakikinya adalah menyisihkan saka yang makin bersarang dalam dirinya. Yang sebati dalam darah dagingnya.

Jujur, dia lebih rela mati diratah kepala raksasa tadi, berbanding hidup berdampingkan saka yang tak pernah puas melekat dengan dirinya 24 jam.

Hm.

****

"Dah hampir 20 dukun kita bereskan. Aku agak kau pun tidak lagi kelaparan. Sentiasa kenyang." Lelaki itu berbaring di katil asramanya. Menyilang kaki.

"Tengku, kau tahu kan, aku sentiasa perlu makan. Seperti kau juga." Sang saka bersila di atas almari besi biliknya.

Bagai sudah suatu kelaziman. Berborak sendirian. Padahal berbicara dengan saka. Kalaulah orang tahu, pasti lelaki itu dianggap gila.

Farizal mencapai Al-Quran di tepi katilnya. Membeleknya.

"Kenapa kau nak baca lagi ayat-ayat Tuhan tu? Aku 'kan ada jadi pelindungmu, Tengku?" Sang saka tak senang dengan rutin harian tuannya.

"Hobi." Farizal menjawab ringkas. Lantas membacanya. Sang saka segera ghaib dari pandangan. Lelaki itu tahu sangat, saka itu akan menjauh dalam jarak beberapa ratus meter dari situ. Sekurang-kurangnya, kerimasannya boleh dikurangkan. Meski manusia itu 'bersenjata', hidup mati tetap di tangan Tuhan Yang Maha Kuasa. Pelindung di bumi dan di langit.

***

DING!

Masuk mesej di Whatsapp Farizal. Dibukanya. Oh, mesej dari group kelasnya.

"Perkhemahan Badan Beruniform. WAJIB. Markah merit akan dikira."

"Ceh. Apahal la kena masuk hutan pula? Seminggu pula tu. Ni yang aku malas ni. Kena kawad bagai. Kena bangun seawal pukul 4 pagi. Cuti ni sepatutnya tidur, lepak, tengok wayang ke. Aduhai."

DING!

Masuk lagi mesej.

"Dila Hanim."

Farizal dah agak. Mesti perempuan tu akan join. Tak silap dirinya, gadis itu aktif, ada jawatan dalam badan beruniform tu. Memang dia akan ikut. Jenis lasak juga.

"Abang Farizal pergi tak?"

Farizal membluetickkan saja. Tidak menjawabnya. Malas.

"Kita akan gerak ke mana?" Sang saka muncul di sebelahnya.

"Hutan Belum, utara hujung negeri Perak."

"Menarik. Tebal hutan tu." Sang saka ketawa kecil menampakkan baris gigi tajamnya.

"Menarik amendenya. Nak tidur pun susah, nyamuk banyak. Pacat banyak!"

"Bukan itu maksud aku, Tengku. Kau tak tahu di sana ada satu legenda yang belum disahkan. Aku tak pasti. Kena pergi tinjau sendiri."

"Apa benda?"

"Legenda pontianak." Sang saka sedikit serius nadanya.

"Tak payah nak mengarutlah. Tu dalam filem adalah. Ini dunia nyata." Farizal memandang siling. Malas nak layan. Padahal pernah kawannya menceritakan beberapa orang tentera di kem askar berdekatan situ pernah terserempak dengan pontianak. Malahan, ada beberapa kes kemalangan di lebuhraya Grik juga dikaitkan dengan kemunculan makhluk itu.

Tak lama, lelaki itu pun terlelap.

****

"Semua dah dalam bas?!" Kem komandan memeriksa 80 ahli yang ikut serta dalam trip ke Hutan Belum.  Dengan dua buah bas.

"Semua cukup!"

Farizal berada di bahagian tepi tingkap. Dengan muka sememeh. Malas menguasai diri. Hanif rakan sebiliknya berada di kerusi belakang. Di seberang seat, baru dia perasan, seorang gadis sedang melambai tangan padanya.

"Abang Farizal, ikut juga ya?" Dila Hanim.

Farizal senyum kambing, mengangguk kepala. Jam di tangannya baru pukul 5 petang. Perlahan-lahan, ditarik hood bajunya menelungkup kepala. Pejamkan mata.

***

BUMMM

Farizal tersentak. Terjaga dari tidurnya.

"Kenapa ni?" Dalam mamai dia bertanya rakan sebelahnya. Rakannya juga blur.

"Tayar bas pecah!"

Farizal menjenguk ke luar. Sekeliling dah gelap. Dah malam rupanya. Gila ke apa tak berhenti solat Maghrib. Oh, mungkin nak jamak ta'khir di Isyak nanti.

Lelaki itu bangun. Turun dari bas. Melihat keadaan tayar bas. Teruk juga. Dia melihat sekitar. Hutan belaka.

"Ada apa-apa ke dekat sini?" Farizal berbisik dengan sakanya.

"Tengku, aku tak nampak apa-apa yang pelik." Sang saka membalas ringkas.

Setengah jam kemudian, tayar bas siap ditukar.

"Okay, kita nak gerak sekarang. Kita kira ahli dalam bas semula cukup ke tidak!" Kem komandan tegas. Bertanggungjawab.

Satu persatu dikiranya.

"38 ahli berada dalam bas. Kurang dua! Ada sesiapa tahu dua orang lagi pergi ke mana?!"

"Tadi, mereka kata nak buang air."

"Dekat mana?"

"Tak tahu. Pinggir semak tu kot!"

"Lelaki ke perempuan?"

"Dua lelaki, tuan!"

Farizal menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Menyusahkan betullah.

Kem komandan dan AJK turun dari bas, meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Memanggil-manggil nama mereka berdua. Namun, 15 minit sudah berlalu. Tiada sebarang jawapan positif.

"Saka, kau carikan." Farizal beri isyarat. Sang saka segera keluar dari bas, melayang masuk ke dalam semak berhampiran. Tak lama, ia pulang semula ke tuannya.

"Tengku, berita buruk." Sang saka mencerun mata tajam.

Farizal berdiri dari tempat duduknya. Pikul beg sandangnya tiba-tiba. Dila Hanim memandang jejaka itu kehairanan.

"Nak pergi mana?"

Lelaki itu tidak menjawabnya. Melangkah turun dari bas.

"Eh, nanti!" Gadis itu mencapai begnya sama.

Menurut langkah jejaka itu cepat-cepat.


Bersambung...


1 ulasan:

  1. Kena cari nampaknya buku ni.. best! Cepat sambung kak😃

    BalasPadam

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

DISCLAIMER

Ini adalah blog peribadi. Sebarang PRINT SCREEN adalah dilarang kecuali dengan kebenaran penulis.
Penulis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika hak persendirian ini dicabuli, secara sengaja atau tidak sengaja. Pendapat penulis tidak semestinya kekal. Boleh berubah jika terdapat maklumat tambahan, bukti atau fakta yang lebih sahih.
TERIMA KASIH.