Tengku Thaka - Part 15


Suatu lembaga ngeri kelihatan tergantung di bahagian siling. 

Dengan rambut yang beruban putih, panjang, muka yang sudah berulat-ulat. Matanya memancarkan cahaya putih yang sangat terang sekali.

Menusuk ke dalam mata Farizal dan Claudia. Buat kedua-duanya terpana seketika. Tak nampak apa pun sekarang. Silau terus. 

Perlahan-lahan, Farizal merasa bagai mahu pitam. Kepalanya sakit menyengat. Rebah terjelepuk. Begitu juga dengan Claudia.

"Tengku Thaka!" Hanya suara saka yang kedengaran memanggil namanya. 

Itulah yang akhir sekali dia dengar.

***

Farizal membuka matanya. 

Pening kepala. Berkali-kali dia memegang kepalanya sendiri. Berdenyut-denyut bagai nak gila. Dari terbaring, digagahi hingga mampu berlutut sebelum berdiri penuh. Masih terasa terhuyung-hayang. Berputar kepala.

"Kita dekat mana ni?" Farizal berbisik dengan sang sakanya. Namun, tiada sebarang jawapan. 

"Woi saka, mana kau?!" Masih diam.

Lelaki itu melihat sekeliling. Eh, bukan rumah yang dia masuki sebentar tadi. Eh, kenapa bukan malam ni? Bukan ke tadi masuk dah waktu malam? Ni siang hari. 

Mana perempuan yang datang dengannya? Tak ada pun. Farizal berada di hadapan pintu utama. Dia cepat-cepat membuka pintu itu dan keluar dari rumah yang pelik tu.

Bila dirinya berada di luar, barulah dia perasan, segalanya dah berubah. Kedudukan rumah tidak berubah, namun rumah tu kecil saja. Sebuah rumah kabin yang dibuat dari kayu sepenuhnya. Kayu cengal ke apa dia tak pasti. Namun, betul-betul batang kayu yang disusun menjadi dinding rumah, bukan yang telah dipotong dengan mesin gergaji.

Sekelilingnya cuma hutan. Ada sebuah kereta lama berada di hadapan rumah itu. 

"Seriuslah. Ni kereta zaman bila ni? 70-an? 60-an?" Lelaki itu mengamati dalam kereta. Ada kunci di dalam.

Dia cuba mengingati sesuatu. Eh, macam pernah nampaklah semua ini.

"Ini bukan ke dalam filem Evil Dead tu? Semua ni, sama!"

Farizal terkesima seketika. Cuak sendiri. Berkali-kali dia menampar mukanya sendiri, takut-takut dia sedang bermimpi. Namun, tak! Dia berada dalam keadaan sedar sepenuhnya. 

"Apa sebenarnya yang terjadi ni?! Saka! Mana kau!" Farizal menjerit-jerit memanggil sang saka. Namun, seperti tadi, tiada sebarang sahutan.

"Okay, okay. Tenang. Tadi, aku masuk rumah mendiang nenek Cina ni, kemudian bila aku pandang ke siling, kena pancaran ke dalam mata, then aku tersadai di sini.

Ini, imaginasi aku kot.

Confirm, ini cuma permainan imaginasi sendiri!

Benda tu nak main-main dengan memori dalam kepala aku!

Nak buat aku jadi gila tak betul, padahal semua ini tak wujud!"

Lelaki itu mulai rasa tak sedap hati. Sebab segalanya terasa real. Tiada sebarang cacat-cela pun. Disepaknya tayar kereta, terasa keras dan nyata. Bukan ilusi mainan mata. 

"Confirm, benda tu selongkar ke dalam kepala ini, dan wujudkan semua benda alah ni mengikut benda yang aku takut. Bongoklah, aku takut tengok cerita ni masa sekolah rendah dulu saja. Sekarang, mana ada takutlah!"

Lelaki itu masuk semula ke dalam rumah. Diselongkarnya bilik ke bilik. Tiada apa pun. 

Berdiri di ruang makan. Di sebelah meja makan, ada satu karpet yang menebari lantai. 

"Jangan-jangan..."

Diselaknya.

Terbeliak matanya. 

"Ruangan bawah tanah!" Sama seperti dalam cerita. 

"Aku takkan terpedaya. Aku takkan turun ke bawah dan buka buku puaka Evil Dead tu. Dengan itu, semua benda pelik takkan berlaku. Takkan ada apa-apa akan berlaku! Ha ha ha!" Farizal sinis ketawa sendirian dalam rumah.

Sekejap.

"Masih tak pasti selagi aku tak turun ke bawah dan periksa sendiri." Lelaki itu mencari-cari sesuatu. Jumpa sesuatu terselit di belakang dinding. Selaras senapang patah. Segera diperiksa isi di dalamnya. Ada peluru tambahan bersama. Dicapainya.

Hatinya berdebar-debar. Antara turun ke bawah dengan tidak.

"Tak payahlah kot." Niatnya dimatikan. Farizal membuka pintu depan kembali. Saat dirinya mahu melangkah keluar, tiba-tiba dia terdengar sesuatu.

"Tolong!"

Segera langkahnya dimatikan. Ditumpukan segala perhatian. Sekali lagi jeritan yang sama kedengaran.

"Claudia."

Suara dari bahagian bawah yang tertutup. Farizal menapak perlahan-lahan. Antara yakin dengan tidak. Tangannya menggeletar. Perlahan-lahan diangkat penutup ruangan bawah tanah. Angin busuk, bau lama, menusuk ke dalam hidungnya. Sekarang, penutup sudah dibuka.

Farizal teragak-agak. Gelap di bawah. Apa pun tak nampak. Cuma ada sebatang tangga menyusur ke dalam. Dia meraba-raba fon di kocek seluarnya. Tak ada. Mungkin dah terjatuh di rumah nenek Claudia saat mereka tak sedarkan diri. Farizal menjumpai pelita lama. Menyalakannya. 

Perlahan-lahan, menuruni ke bawah. Dengan senapang yang tersisip kemas dalam pegangannya. Dihalakan muncung ke hadapan. Sedia dengan segala apa kemungkinan yang menanti di hadapan.

Sampai di bawah, kelihatan seorang gadis yang terbaring di lantai. Keadaannya tak ubah seperti keadaan dirinya mula-mula sedar tadi. Namun, mukanya memaparkan riak ketakutan yang amat sangat. Apa tidaknya, sedar-sedar berada dalam kegelapan. 

Farizal segera mendapatkannya. 

"Claudia! Ini aku, Farizal!" 

Claudia segera menggapai lengan lelaki itu, pegang erat-erat. 

"Kita di mana ni?! Di mana ni?!" Kalut. Gadis itu pun nampak sangat keliru antara realiti dan fantasi.

"Aku pun tak tahu! Tapi, kau pernah tengok tak cerita Evil Dead? Ini adalah tempatnya. Setnya sama!"

"Maksud awak? Kita dalam cerita seram tu ke?"

Farizal menggelengkan kepalanya. Tak tahu. Namun, matanya terpandang sesuatu di atas meja.

"Buku puaka tu!" Sebuah buku dipanggil Necronomicon. Claudia menghampiri meja. Memegangnya. Saat itulah, angin berhembus kuat keluar masuk ke dalam ruang bawah tanah. Buat kedua-duanya terasa seram sejuk. 

"Kau berdua akan mati!" 

Buku itu berbicara sendiri dengan tiba-tiba hingga kedua-duanya terkejut. Claudia mencampakkan kembali buku itu. Berlari menjauhkan diri dari situ.

"Kau berduaaaaaaaaaaaaaaaaaa akannnnnnnn maaaaatiiiii!!!"

Suara seram garau yang bertempik itu buat kedua-dua tambah berdebar. 

"Kita lari!" Claudia menggamit lengan Farizal, menariknya dengan paksa pergi dari situ.

"Nak lari ke mana?!"

"Ikutlah mana-mana!"

"Tapi, buku ini kena dibakar barulah segalanya selesai!" Farizal masih dapat berfikir dengan rasional saat itu.

Lelaki itu mencapai buku itu, namun terasa seperti memegang benda hidup yang bergerak-gerak. Segera dihempukkan berkali-kali buku itu di atas meja. Mengambil kain berhampiran, membalutnya, dan menarik Claudia segera naik ke atas. Meninggalkan ruang bawah tanah yang menyeramkan itu.

BAMM!

Penutup ruangan bawah tanah dihempas kuat. Ditutup kembali dengan karpet.

"Sekarang ni, apa?!" Claudia resah gelisah.

"Hidupkan api!" Farizal melonggokkan kayu di tempat pembakaran. 

"Campakkan buku tu!" Claudia bagai dirasuk, nak segalanya berakhir dengan cepat.

Farizal melontar buku itu ke dalam api. Terlihat buku itu berada dalam api, tapi sesuatu yang pelik berlaku. Buku puaka itu tidak terbakar! Hanya kain yang membalutnya saja nyala dibakar api.

"Ha ha ha ha! Kau berdua tak dapat lari lagi! Sebaik saja senja menjelang, siang menjadi malam, maka yang mati akan hidup semula! Ha ha ha!"

Buku puaka itu berdekah, hingga membuatkan Farizal geram. Segera dia mengacukan senapang pada buku puaka, lantas melepaskan sedas tembakan. Namun, sekadar ditelan ke dalam buku. Langsung tidak memberikan kesan.

"Apa ni? Tak ada dalam plot cerita tersebut pun macam ni! Kalau macam ni, tak ada cara keluarlah! Gila!" Claudia sudah gelisah hingga pucat lesi mukanya.

"Dalam cerita tu, ada jambatan untuk keluar dari tempat ni kan?! Jom!"

Farizal dan Claudia segera berlari keluar dari rumah, hari sudah petang. Masuk ke dalam kereta. Cuba menghidupkan kereta berkali-kali. 

"Boleh tak ni?!" 

"Entah!"

Farizal menekan minyak sedikit dengan gelojoh serentak dengan memulas suisnya. Hidup!

"Cepat-cepat! Jalan!" Claudia dah macam tak sabar-sabar nak tinggalkan tempat itu.

"Awak, tengok tu!" Claudia menunjukkan jarinya ke arah sesuatu. Farizal menoleh dan memerhatikan betul-betul. Tiga pusara yang kelihatan masih baru. 

"Kuburlah. Mungkin itu maksudnya yang mati akan hidup semula!"

Farizal tidak menyahut kata-kata Claudia, bahkan dia menumpukan pada pemanduannya. Melalui jalan-jalan sempit yang cuma satu lorong dikelilingi pokok-pokok hutan tebal di sekeliling.

"Mata kau tak nampak apa-apa ke sekarang?" Farizal bertanya.

"Tak. Seperti kembali normal. Tak nampak langsung benda-benda pelik." Claudia cuba bertenang dalam rasa cemasnya. Fahamlah Farizal, segala keistimewaan pada mereka berdua sudah tidak ada. Atau tidak menjadi di tempat ini.

Lelaki itu memegang erat stereng kereta. Geram.

"Saka, mana kau masa aku perlukan ni!" Mengetap bibirnya sendiri. Bergumam sendirian. Namun, segera dia ingat, hidup ini kenapa perlu bergantung pada benda syirik tu? Bukankah Tuhan itu sentiasa ada untuk hamba-Nya? Mintalah pada-Nya, bukan pada setan! Kenapa nak diduakan-Nya dalam apa keadaan sekalipun?

Farizal masih waras dalam keadaan genting sebegini.

Mereka akhirnya sampai ke hujung jalan. Kelihatan sebuah jambatan di hadapan. Jambatan kayu. Ngam-ngam untuk sebuah kenderaan ringan melaluinya. Mereka berhenti seketika. Memerhatikan keadaan jambatan. Bimbang ianya tak kukuh. Usang. Farizal memandang Claudia.

"Kita akan selamat sebaik saja melepasi jambatan ini, jangan risau."

Gadis berambut panjang itu memegang dashboard dengan kedua-dua tangannya.

"Ayuh!"

Farizal memasukkan gear manual. Perlahan-lahan meniti jambatan kayu itu. Sehinggalah sudah separuh perjalanan, mereka tiba-tiba mendengar bunyi patah riuk dari depan.

"Stop! Stop!" Claudia menyuruh Farizal brek cemas. Mata mereka terbeliak bila melihat papan jambatan mulai reput dan runtuh satu persatu dari depan!

"Patah balik! Reverse! Reverse!" Farizal kalut sangat kali ini, cepat-cepat menukar gear. Dia tak mahu kenderaan ini jatuh ke dalam gaung yang amat dalam di bawah. Kereta itu dipecut ke belakang dengan kadar segera. 

GROOOOMM!!

Jambatan kayu itu runtuh seluruhnya! Live di hadapan mata mereka. Mujurlah, mereka sempat undur ke belakang sebelum berlaku perkara yang lebih buruk.

Namun, kelegaan yang cuma bersifat sementara bila mereka lihat keadaan langit yang dah semakin suram.

"Senja akan menjelma tak lama dah lagi. Macam mana ni?" Claudia dah hampir menangis. Takut.

"Kita nak daki turun ke dalam gaung untuk ke seberang sana tak?"

Claudia menggelengkan kepalanya.

"Nak daki turun macam mananya, peralatan semua tak ada. Tali bagai semua tak ada. Tapi, kat dalam rumah tu adalah. Saya tengok tadi ada di bawah tanah."

"Kita patah balik ke rumah tu?" Farizal bertanya serius. Claudia memandangnya berkali-kali. Gugup.

"Kita cuba, okay. Lepas ambil semua peralatan, kita datang ke sini semula. Cepat-cepat!"

Farizal memusingkan keretanya. Menuju kembali ke lokasi rumah puaka. Dipecut laju kereta, menghambat masa.

Segalanya tidak dapat difahaminya. Apa yang dah berlaku sebenarnya, antara realiti dan imaginasi. Tapi, Claudia ada sekali. Real. Bukannya fantasi.

"Kita tak bermimpi, kan?" Farizal menekan minyak semahunya. Dilanggarnya saja akar-akar kayu yang menjalar di atas jalan.

"Saya pun ingat ini semua mimpi, tapi tidak, semuanya nyata!" Claudia memegang dashboard kereta agar tidak terhantuk bila lelaki itu membrek kuat.

Keadaan makin gelap. Lampu kereta dihidupkan.

"Dah senja...."

Claudia menggamit lengan Farizal kuat-kuat. Mengunci pintu kereta depan dan belakang. 

Mereka akhirnya sampai di rumah tersebut. Seram menguasai diri mereka.

"Awak..tengok tu..."

Farizal terbeliak mata melihat keadaan di hadapan matanya. Pusara yang tiga tadi, sudah terbongkar satunya. 

"Pegang aku kuat-kuat." 

"Jangan tinggalkan saya, janji! Apa pun jadi! I don't want to die here!"

Farizal mengangguk. 

Meraih senapang patah. Membuka pintu kereta. Kereta tidak dimatikannya. Melangkah keluar dari kereta. Hanya dengan cahaya lampu kereta, menerangi kawasan depan rumah. 

Debaran makin terasa. 


Bersambung...


2 ulasan:

  1. Salam nak tanya ni novel ni ada di pasaran ke ? Sbb sy ari x jumpa la

    BalasPadam
  2. Salam. Novel belum ada dipasaran lagi. InsyaAllah. Coming soon.

    BalasPadam

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

DISCLAIMER

Ini adalah blog peribadi. Sebarang PRINT SCREEN adalah dilarang kecuali dengan kebenaran penulis.
Penulis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika hak persendirian ini dicabuli, secara sengaja atau tidak sengaja. Pendapat penulis tidak semestinya kekal. Boleh berubah jika terdapat maklumat tambahan, bukti atau fakta yang lebih sahih.
TERIMA KASIH.