Tengku Thaka - Part 14



Saka bangsawan itu segera menghadang serangan bertubi-tubi yang menerpa dengan bilah pedang besarnya. Tak sangka akan jadi macam ni. 

Rupanya hantu perpustakaan ini ada helahnya. Bila dibelah, ia macam virus yang membiak dan berkembar-kembar menjadi lebih dari satu. Dari kepala yang dipijaknya, berpecah menjadi 50 hingga 60 individu yang sama. 

"Lima puluh hantu perpustakaan. Tak guna." Tengku Thaka melibas-libas pedangnya hingga puluhan daripadanya terbaring jatuh ke lantai perpustakaan. Ada yang tercampak jatuh dari tingkat tiga ke tingkat bawah. Tapi tiada siapa nampak, hanya di dimensi ini saja.                                     

"Ha ha ha ha!" Hantu-hantu itu gelak beramai-ramai. Seolah-olah kemenangan sudah berada di pihak mereka. Tengku Thaka mengeluh seketika, memikirkan cara terbaik untuk menghapuskan para parasit ini. 

"Tengku, walaupun ramai, seribu sekali pun, kekuatan mereka cumalah satu. Lemah saja."

"Iya, aku tahu tu. Aura benda ni tak seberapa sangat." Tengku Thaka melompat ke samping. 

"Hei celaka semua, datang ke sini dapatkan aku beramai-ramai! Serentak!" Tengku Thaka bertempik sambil mengaktifkan bara api di pedang besarnya. Bagaikan magnet, satu-persatu hantu perpustakaan berkumpul di ruang tersebut hingga seluruhnya menjadi gelap dan kelam. Tertutup. Menghurung Tengku Thaka yang berseorangan. 

"Hiyargh!!"

Tengku Thaka melibaskan pedangnya dengan sangat laju sehingga bara api memenuhi ruangan perpustakaan. 

"Mampuslah!"

Pusaran bara api yang besar ganas, rakus menjilat tubuh-tubuh hantu perpustakaan yang berada di situ. Mana-mana yang cuba lari, segera diterjah oleh Tengku Thaka, diterajang masuk ke dalam api yang sedang membakar. Gerakannya sepantas kilat. Semenjak mengalahkan langsuir legenda, kekuatan Tengku sudah meningkat beberapa kali ganda. Hasil dari aura yang telah disedutnya. 

Satu persatu mulai rentung terbakar menjadi arang. Raungan demi raungan yang mengerikan membingitkan telinga Tengku Thaka. Dia hanya berdiri sekarang ini, memerhati dan mengawal keadaan. Mudah. Sekadar hantu penyamar begini, tak sukar baginya untuk menyelesaikan. 

Tinggal one last piece. Tengku Thaka segera mencekik leher hantu perpustakaan yang terakhir yang sedang terbakar. Meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, masih ganas muka dan tajam matanya meski segala urat-urat di tubuh hingga wajah sudah kelihatan. Darah bersemburan keluar dari mulut dan hidungnya. Tangannya yang sudah putus mencair, dihayun-hayunkan pada Tengku seolah-olah mahu menumbuknya. 

"Kau nak apa sebenarnya dari perempuan tu?" Tengku Thaka menumbuk dulu muka hantu perpustakaan hingga tulang hidungnya terperosok ke dalam. 

"Cakap!" Garang.

"Kerana dia nampak aku! Sebagaimana kau nampak aku!" Tutur katanya sudah tak betul, namun menjawab nada amarah.

"Apa masalahnya kalau dia nampak kau?!"

"Aku nak bagitahu yang aku ni wujud! Terperangkap dalam perpustakaan ini berdekad lamanya!"

"Kau yang memilih untuk berada di sini! Kau penyamar, bukannya roh! Bukannya kau pun yang bunuh diri!"

"Memang, tapi tuan yang bunuh diri itu bersumpah untuk buat tempat ini tidak aman, sebagaimana jiwanya kacau di akhir hayatnya! Dia, menyerahkan perjanjian gelap ini dengan aku!"

Barulah Tengku Thaka mengerti. Hanya si mental yang mengikat diri pada syaitan dan jin jahat. Orang yang bunuh diri, tidak nampak Tuhan masih ada untuk diletakkan segala pergantungan dan pengharapan. Dibadai dugaan hidup, rebah tersungkur, serah jiwa pada syaitan, berfikir kecewa melampau-lampau ikut bisikan syaitan supaya menjauh dari Tuhan. Bila dah bunuh diri, siapa yang gelak? Kau atau syaitan? Pastilah syaitan dan sekutunya. Berjaya mensyirikkan dan mengikut mereka menginap di gaung neraka. Selamanya. Syirik, tiada maaf dari Tuhan. Bahkan, orang-orang beriman diuji hatta hingga ke sakaratul mautnya. Dahaga dan lapar, sakit kritikal, hingga berhalusinasi sendiri, didatangi orang-orang yang paling disayanginya. Pilih, antara kanan ikut agama dengan kiri ikut nafsu. Pilih kanan, selamat. Pilih kiri, pergilah dirinya dalam syirik. Disemadi di perkuburan Muslim, namun tiada siapa tahu dirinya telah menyekutukan Tuhan di akhir detik hidupnya! Rugilah seluruh hayatnya.

Tengku Thaka mencampakkan hantu perpustakaan itu dalam api yang sedang membara. 

"Biar api kembali pada api."

Hantu perpustakaan meraung dan merentung, cair hingga menjadi debu-debu hitam bagaikan kertas yang telah dibakar. 

TUP!

Farizal kembali ke dimensi realiti. Diam, tidak berkata apa. Dalam diam, dia mengakui, sekiranya dia terus bersama dengan saka dalam badannya. Akhir waktunya, Syurga tidak akan menyebelahi. Buku limanya digenggam geram. Rahangnya terlihat geraham yang dikacip amarah sendiri.

"Awak...awak ni siapa sebenarnya? I...I saw everything tadi..." Gadis Cina itu terduduk, memandang Farizal dengan pandangan takjub tapi penuh dengan perasaan takut. Tangannya menggigil kuat.  Hingga buku yang dipegangnya terjatuh di lantai perpustakaan. 

Farizal sedikit terkejut. Dia tak aware yang gadis itu boleh nampak apa yang berlaku di dimensi ghaib. Tak tahu nak jawab apa.

"Apa dia? Aku tak faham. Dah, aku nak chow." Lelaki itu segera mengelak. Melangkah meninggalkan Claudia. Namun, sekali lagi langkahnya tumpul. Gadis itu segera menangkap kakinya.

"Tengku, memandangkan perempuan ni dah nampak kita, apa kata dia jadi makanan aku saja? Ha ha ha!" Sang saka berbisik.

"Diam. Kalau dia nampak pun, tak akan ada siapa pun percaya cakapnya. Orang akan cakap dia gila saja. Jadi, tak perlu risau apa pun." Farizal membalas bisikan saka yang menghasutnya.

"Apa ni? Lepaskan. Nanti orang nampaklah." Farizal menepis tangan Claudia.

"Tak kisahlah awak siapa, tapi tolong! Selamatkan saya dari nampak benda-benda pelik ni! Saya tak nak hidup macam ni seumur hidup saya! Tolong!" Gadis itu seolah-olah merayu, sedikit berlutut di hadapan lelaki yang baru dikenalinya sekejap tadi.

"Nak tolong apa, aku tak faham apa-apa!" Farizal masih berbasa-basi. Buat seolah-olah tak faham bahasa.

"No! Please! Saya merayu! Saya tahu awak bukan orang biasa! Awak dah selamatkan saya tadi! Saya tahu awak bukan orang jahat sebab dah tolong hapuskan hantu tu tadi!" Gadis itu merayu hingga keluar air mata wanitanya.

Nampaknya keadaan begitu terdesak. Farizal sedari ada beberapa orang di kejauhan nampak posisi mereka yang awkward tu. Lelaki itu cepat-cepat menjawab,

"Dah, bangun dulu. Ikut aku." Farizal segera berjalan laju menuruni tangga perpustakaan ke tingkat bawah. Claudia mengikut saja lelaki itu cepat-cepat. Farizal tinggi sedikit daripadanya. Namun, tubuh sasa lelaki itu yang dah bagai olahragawan kolej, membuat dia rasa selamat. Walaupun dia sendiri tak tahu Farizal ni makhluk apa, manusia atau sebaliknya. 

"Awak ni bukan hantu kan? Saya tak cakap dengan hantu, kan?"

Farizal menjegilkan matanya. Buat Claudia terdiam.

"Kalau aku hantu, aku dah bunuh kau sekarang sebab cakap banyak." Lelaki itu menjawab selamba sambil melangkah dari pintu utama perpustakaan. Mereka sekarang dah berada di luar perpustakaan.

"Kita nak ke mana ni?"

"Tak ke mana. Aku saja ajak kau keluar dari perpustakaan ni supaya orang tak nampak pelik tengok kita, nanti orang sangka bukan-bukanlah kat aku! Dah, sekarang aku nak balik asrama aku. Kau baliklah! Jangan ikut aku!"

Farizal mengerutkan keningnya, buat muka garang. Sambil mengangkat jari telunjuknya memberi amaran pada gadis itu.

"Tak nak balik! Nak ikut awak!"

"Eh, budak ni, aku tampar kang!"

Farizal marah. Sambil mengenakan helmetnya. Tarik motornya keluar dari tempat parkir. Tapi, motosikalnya dirasakan berat. Aduhai, rupanya Claudia dah berada di tempat duduk belakang.

"Woi! Turunlah! Kau nak apa sebenarnya dari aku ni!"

"Nak awak selamatkan saya!"

"Kan kau dah selamat sekarang ni!"

"No! Tu baru satu, ada banyak lagi di sekeliling!"

"Kau pergilah dekat sami kau, doa banyak-banyak, minta dia tolong kau! Dah, turun!"

"Tak nak!"

"Kau nak turun, atau aku tarik kau!"

Farizal tak tunggu lama, menarik lengan gadis rambut panjang itu. Gadis itu meronta, tak mahu. Farizal terpaksa berkasar nampaknya.

Lalu seseorang di situ.

"Abang Farizal buat apa kat sini?"

Lelaki itu menoleh ke belakang. Cepat-cepat dia melepaskan pegangan tangannya pada lengan Claudia. 

Dila Hanim.

Gadis itu terkesima seketika melihat Farizal dan Claudia. Takkanlah. Setahu dirinya, Farizal tak dengan siapa-siapa pun. Siapa gadis ini?

"Tak, tak. Aku tak buat apa pun."

"Siapa ni?" Dila Hanim bertanya. Gadis cantik itu merasa tidak selesa melihat Claudia. Jelita kot Claudia ni. Mana tidaknya, orang Cina kulit putih melepak. Mata taklah terlalu sepet pun. Bundar lawa ngam-ngam. 

"Dia janji nak hantar saya balik rumah, tapi tak nak hantar pula tiba-tiba!" Claudia menjawab. Masih di atas motosikal Farizal. 

Farizal menjeling. Geram.

"Sudah! Pakai helmet!"

Diunjuknya helmet spare milik Hanif pada Claudia. 

***

"Berhenti sini." Claudia menunjuk pada satu rumah di hujung jalan. Farizal membelok dan berhentikan motosikalnya.

"Rumah siapa ni?"

"Ni rumah nenek."

"Siapa ada di sini?"

"Tiada siapa. Nenek kan dah meninggal."

"Buat apa datang sini? Hari dah nak gelap ni. Aduhai." Farizal mengeluh sambil menekup mukanya. Menyesal sebab nak mengelak dari Dila Hanim bersoal jawab lebih banyak, terbawa gadis ni ke sini pula. Jam menunjukkan pukul 6.45 petang.

Gadis itu turun dari motosikal tanpa mencabut helmet di kepalanya. Berdiri diam di hadapan rumah banglo yang agaklah besar. Yalah, rumah orang Cina memang beradalah sikit jika nak dibandingkan dengan bangsa lain. Memang bangsa mereka maju ke hadapan pun. Tapi, ya lah. Orang Melayu pun bagus juga. Bangsa lain pun bagus juga. Hidup atas dunia ni atas rajin dan berusaha saja. Kalau dah malas, apa pun tak jadi juga. Nak kaya, kena rajin. Nak mewah, kena usaha. Kalau Muslim nak Syurga, kenalah banyak taubat dan cari hidayah-Nya. Simple saja konsepnya tapi susah nak dilaksanakan.

Farizal masih lagi di atas motosikalnya. Memandang ke sekitar. Kali pertama sebenarnya dia boncengkan perempuan. Habislah keterunaan motosikalnya. Menyesal lagi sendiri. Padahal dia dah janji pada diri sendiri, nak bawa hanya isteri yang sah semata. Ah, benda dah terlajak. Nak undur macam mana lagi?

"Tengku." Bisikan singgah di telinganya.

"Ya, kenapa?"

"Aku mengesan aura saka yang kuat di sini. Tapi, aku tak pasti lagi sekuat mana. Tengku boleh ke berlawan lagi? Tadi dah guna banyak tenaga. Masih tak recharge stamina." Sang saka berbicara, perlahan.

"Kita tinjau saja sudahlah. Aku tak ada mood nak berlawan. Perut dah berbunyi-bunyi ni lapar."

"Tengku, kau lapar, aku pun lapar. Ha ha ha."

"Sudahlah kau." Farizal bercakap-cakap seorang diri, buat gadis di sisinya pelik. Tapi, gadis itu memang dah tahu lelaki itu memang bukan orang kebiasaan. 

"Kita masuk, boleh?" Gadis berambut panjang mengurai itu bertanya sang jejaka.

Farizal teragak-agak. Tapi, perasaan ingin tahunya juga memuncak. Tengok keadaan rumah, nampak seperti tidak menakutkan. Tapi, tak tahulah. Luaran tidak mencerminkan dalaman, kan. Sama macam manusia juga. Luar bukan main lawa, dalam hati hitam legam. Macam kau.

"Baiklah. Tapi, kejap saja sudahlah. Sebab sekejap lagi, masuk waktu Maghrib."

"Oh, awak nak sembahyang? Saya ingat orang Islam dah tak gemar sembahyang. Yalah, rata-rata saya jumpa, tak sembahyang."

Kata-kata Claudia menusuk ke sanubari. Farizal termalu sendiri. Bila orang belum Islam cakap begini tentang orang Islam, cubit paha kanan, kiri pun terasa jua. 

"Beginilah, awak sembahyang Maghrib dulu. Nanti kita masuk. Tak silap saya, hujung perumahan ni ada surau. Mari saya tunjukkan. I can wait outside." Gadis itu membonceng kembali. Ketika meninggalkan kawasan rumah tersebut, bulu roma di leher lelaki itu meremang sendiri. Tahulah, ada sesuatu yang buruk di situ. Cina pun ada saka. Ah, mungkin semua bangsa pun ada. 

***

"Dah.."

Farizal keluar dari surau. Claudia menanti di motosikal dengan sabar.

"Hey, you tak berdoa ke lepas sembahyang? Bunyi macam orang-orang di dalam surau masih berdoa."

Zup. Sekali lagi, pertanyaan gadis itu menusuk hatinya. 

"Saja, nak kau doa sekali. Ha, tadah macam ni."

Lekas-lekas jejaka itu menadahkan tangan seketika. Menanti imam menghabiskan doa melalui speaker surau. Dia terkejut bila gadis itu menadah tangan sama, berdoa. Meskipun tak memahami doa yang dilantunkan dalam bahasa Arab.

"Apa maksud doa tadi?"

"Oh, imam tu minta kebaikan di dunia, dan juga di akhirat sana. Selepas kehidupan dunia, ada lagi kehidupan kekal iaitu akhirat."

"Hell and heaven, kan?" Gadis itu mencelah.

"Iya." Farizal mengangguk perlahan sambil cepat-cepat menghidupkan motosikalnya. Takut jemaah surau nampak dia bawa awek. Tak manis pula.

***

KREKK.

Pintu depan dibuka. Gelap di dalam. Angin bertiup perlahan menerpa dari dalam keluar melalui pintu yang dibuka. Habuk-habuk lama.

Tik.

"Tak nyalalah lampunya." Claudia mengeluh sambil mengeluarkan henfonnya. Menyuluh ke dalam.

"Mungkin suis utama tutup. Di mana suis tu?"

"Emm, ada bilik di tingkat bawah."

"Di bawah?" Farizal menyangkakan hanya setingkat tu sajalah. Meleset. Mungkin untuk tujuan keselamatan, diletakkan di tingkat bawah. Dia juga memasang lampu fonnya. Claudia berjalan di belakangnya. Takut. Farizal menapak perlahan-lahan mengikut haluan yang ditunjukkan si gadis. Untuk ke tingkat bawah.

DUM!

Pintu utama tertutup sendiri. Claudia memaut lengan Farizal yang memakai sweater kemas-kemas. Terkejut.

"Tengku, dongak ke siling!" Bisikan cemas sang saka singgah di telinga.


Bersambung...

2 ulasan:

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

DISCLAIMER

Ini adalah blog peribadi. Sebarang PRINT SCREEN adalah dilarang kecuali dengan kebenaran penulis.
Penulis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika hak persendirian ini dicabuli, secara sengaja atau tidak sengaja. Pendapat penulis tidak semestinya kekal. Boleh berubah jika terdapat maklumat tambahan, bukti atau fakta yang lebih sahih.
TERIMA KASIH.