Tengku Thaka - Part 12




Satu demi satu papan runtuhan rumah dialihkan dengan kasar oleh penduduk kampung. Kemarahan bercampur ketakutan nyawa mereka akan diapa-apakan menyebabkan mereka makin terdesak. 

Akhirnya, lubang kubur yang tersorok berjaya dijumpai di sebalik runtuhan. Namun, tidak ada seorang pun yang berani melangkah masuk. 

Ketua kampung ke depan, 

"Masuklah, apa tunggu lagi!"

"Tak mahulah! Ketualah masuk!"

"Ketua yang kena masuk, nama lagi ketua!"

Ketua kampung terdiam dengan parang di tangannya. Kawasan tapak rumah lama itu bagai baru digotong-royong. Kembali bersih dengan kedatangan orang ramai yang berhimpun di situ. Terang-benderang dengan cahaya lampu dan obor penduduk kampung. 

"Takkan kita nak tercegat di sini sampai langsuir mengamuk teruk?!" Penduduk kampung sudah hilang sabarnya.

"Apa kata, kita masuk ramai-ramai?!"

"Kita bakar saja lubang ni!" 

"Tak boleh! Langsuir nak lelaki ni hidup-hidup!"

"Kalau bakar, nanti dia akan kepanasan dan keluar dari lubang ni!"

"Iya! Bakar saja! Bakar!"

Ketua kampung makin tertekan dengan desakan para penduduk kampungnya sendiri. Perlu buat keputusan dengan secepat mungkin memandangkan masa yang tinggal pun dah tak banyak. Hanya berbaki tak sampai 10 minit lagi. Peluh sudah merecik keluar dari badannya. 

"Baiklah, kita bakar, tapi bukan untuk membunuhnya, cuma untuk buat lubang ini berbahang semata!" Ketua kampung mengarahkan penduduk kampung menyusun beberapa papan rumah yang dipatah-patahkan, letakkannya dalam keadaan berdiri dalam lubang, namun tidak menutup laluannya. 

"Nyalakan api!"

Seorang penduduk kampung melemparkan obor yang berisi minyak tanah ke arah papan-papan yang telah disusun. Dengan segera, api pun tersebar dengan cepat. Mulai berasap dan membara.

Penduduk kampung menanti dengan geram. Sambil melaung-laung,

"Keluar! Keluar! Keluar! Keluar!"

Sudah bagaikan peserta demonstrasi jalanan yang ingin menggulingkan kerajaan korup. Gegak-gempita kawasan itu dengan jeritan para penduduk kampung.

Dila Hanim dan kawannya hanya melihat dengan linangan air mata. Tak sangka, malam ini mereka terpaksa melihat ritual korban melibatkan rakan mereka sendiri. Senior mereka sendiri. Yang lebih cemas dan bimbang adalah Dila. Rasa bersalah sangat-sangat kerana mengajak Farizal untuk menyiapkan tugasan bersama. Kalaulah tidak. Dalam hatinya berharap, Farizal tidak berada di dalam tu. Kalau lubang itu dibakar lebih dari setengah jam, rasanya sesiapa pun boleh masak bagai daging yang dipanggang dalam ketuhar agaknya. 

Dila menggigit gerahamnya sendiri, melihat penduduk kampung yang bagai sudah hilang haluan keimanan. Sanggup berbuat apa saja demi survival sebuah kehidupan. Tapi, dia juga tidak menafikan, sekiranya dia berada dalam situasi tersebut, dia juga akan bertindak di luar kawalan fikiran manusia normal. Apa tidaknya, keluarga dan diri mahu dibunuh orang. Pastilah dia sendiri pun akan mengutamakan keluarga sendiri.

Hasritun memegang erat tangan Dila. Pejam mata. Tak nak tengok!

****

PRANG!!

Papan-papan api yang membara terpelanting ke udara. Meledak lubang kubur lama tersebut.

Semua penduduk kampung terkejut. Ada yang sampai rebah ke belakang. Ada yang terbeliak biji mata.

Sesuatu muncul dari dalam lubang kubur.

"Han...hantu!"

Penduduk kampung meraung-raung histeria, namun tiada siapa yang lari dari tempat tersebut. Lari ke belakang, pasti bertemu langsuir. Lari ke depan, makhluk apa pula ni!

Mereka melihat seorang lelaki berambut panjang, bermata merah bersinar, dengan baju zirah kekuningan. Lagaknya bagai seorang raja. Gagah perkasa. Dengan pedang besar tersisip di belakang pinggangnya. Tersarung elok. Menyeringai hingga menampakkan gigi taring tajam. Tubuhnya besar, tinggi.

"Kau...kau siapa?!"

Ketua kampung sampai terduduk. Mengacukan obornya ke arah makhluk tersebut.

Di dalam lidah bara api yang berterbangan, makhluk sasa itu menapak ke hadapan.

"Aku...Tengku Thaka. Raja kamu!" Tengku Thaka menjerkah hingga mereka semua berpelukan ketakutan. Inilah kali pertama mereka melihat makhluk seram lain, selain langsuir yang menduduki tempat mereka. 

Dila Hanim dan Hasritun sama-sama terduduk. Melihat tidak berkelip makhluk di hadapan mereka itu. Seluruh penduduk menyaksikan suatu pemandangan yang menakjubkan. Lagi mengerikan.

"Bala apakah lagi ni ya Tuhan!"

"Lepas langsuir, yang ni pula!"

Penduduk kampung merintih dan mengeluh. Bagai sudah putus asa. 

Tengku Thaka mendongak ke atas. Mengeluarkan pedangnya yang tersisip. 

ZING!

Aura keemasan membaluti tubuhnya. Mode tempur diaktifkan. Keningnya berkerut dan dahinya berurat serius.

Langsuir telah tiba rupanya di atas mereka. Penduduk kampung baru sedar kehadirannya. Mereka semua mulai menjauhkan diri dari tempat itu. Mengambil tempat masing-masing menyembunyikan diri di tempat yang lebih selamat.

Tinggal Tengku Thaka dan sang langsuir laknat. Sekali lagi.

"Wah. Kau muncul di dunia nyata. Seperti aku juga." Perlahan-lahan ia turun hampir ke permukaan tanah, namun kedua kaki tetap tidak mencecahnya. 

Tengku Thaka cuma senyum sinis seperti biasa.

"Aku akan hapuskan kau kali ini!"

"Kau yakin?!" Langsuir terus melancarkan serangan rambut panjangnya yang bertukar menjadi tajam bak bilah-bilah pisau. Menusuk-nusuk ganas ke arah Tengku Thaka.

Serangan itu ditangkis dengan pedang besarnya dengan gerakan yang paling tangkas. Kali ini, perasaan gentar dalam dirinya sudah hilang. Dia tidak lagi merasa takut sedikit pun berhadapan dengan sang langsuir yang tadinya pasti lebih hebat kekuatannya.

Tak. Sekarang ini, fizikal dan batinnya tidak lagi berpisah dimensi. Kuasa penuh. 

ZAP!

Tengku melibaskan pedangnya membelah rambut panjang langsuir hingga terpotong separuh. Terus ke depan dan menghentak kepala langsuir dengan hulu pedang sehingga makhluk itu terguling di tanah. Seakan-akan sekarang, kedudukannya lebih stabil. Lebih kemas dari dulu serangannya.

Langsuir dengan pantas kembali gentayangan di udara. Darah keluar dari bahagian kepalanya ke bawah.

"Wah, wah. Kau dah semakin kuat ya? Inilah kali pertama, aku mampu dicederakan oleh lawan. Selama ini, aku cuma dicederakan oleh petir yang dihantar Tuhan tiap kali guruh berdentum di langit. 

Ini, kau yang picisan!"

Langsuir nampaknya begitu marah sekali. Dengan pantas menyerbu dan mencakar dada Tengku sehingga tersembur darah. Mata merah bertemu mata bulat merah saga. Tengku sedikit pun tidak beranjak ke belakang. Malah, semakin mengasak meski darah sudah menitik dari baju zirahnya yang terobek. Baju zirah besinya pun boleh dirosakkan dengan mudah oleh cakaran langsuir. Bayangkan saja jika ia terkena pada badan manusia, pasti tersiat terus hingga ke organ dalaman!

Namun, dalam langkah serangannya, Tengku telah berbuat beberapa kesilapan yang memberi kelebihan pada lawannya. Pedang Tengku Thaka dilibas oleh rambut langsuir hingga terlepas dari tangannya. Jatuh mencacak tanah. 

Tengku Thaka tidak mengalah. Menerajang dada langsuir hingga terjerumus ke belakang. 

Dila Hanim dan Hasritun memerhatikan perlawanan dahsyat itu dengan debaran yang kuat. Bermacam-macam persoalan bermain di fikirannya, siapakah Tengku Thaka ni? Di mana Farizal? Muka Tengku Thaka ni mirip dengan Farizal? 

"Farizal ke?" Hatinya bergumam sendirian. Namun, dia rasa syukur kerana si Tengku Thaka ini muncul di kala semua orang dah buntu untuk melawan langsuir. 

Sepanjang pertarungan berlangsung, angin kuat menyelubungi. Habuk-habuk berterbangan, bagai ribut yang membadai kawasan tersebut. Papan-papan sudah terpelanting keluar dari kawasan itu. Jadi padang jarak, padang terkukur. Namun, penduduk kampung masih risau, takut keluar dari mulut harimau, masuk mulut buaya. Kerana pada pandangan mereka, kedua-duanya adalah makhluk ngeri yang bukan dari kalangan manusia. 

"Dila, kalau kita lari dari sini sekarang, nak? Kunci kereta ada dengan aku." Hasritun berbisik sambil menarik tangan Dila.

"No! Abang Farizal macam mana?!"

"Biarkan dia, dia yang cari pasal dengan benda tu kan?! Nanti kita report polis, biar pihak berkuasa datang cari dia!"

"No! Aku nak stay sampai habis!"

"Tak, sekarang ni, kalau salah satu menang pun, kita tak tahu apa yang akan terjadi! Silap-silap haribulan, kita juga yang jadi mangsa, kita juga yang akan dibunuh nanti. Kita lari sajalah Dila. Orang kampung sini pun tak betul belaka! Jomlah!" Hasritun mendesak.

Dila masih enggan bergerak dari situ. 

DUSHHH!

Tengku Thaka terbaring, terperosok dalam tanah. Sudah luka-luka situ sini. Teruk juga. 

"Tengku, teruskan lagi ke?"

"Iya, sampai putus nyawa."

"Tengku, kau memang dah gila teruk."

"Ha ha ha! Kita memang gila!"

Tengku Thaka terus bangkit menerjah langsuir yang kemudiannya terlihat diterajang lagi si Tengku hingga terhempap badannya ke arah batang-batang pokok besar. Habis patah pokok-pokok yang terkena rempuhan.

Tidak lama, Tengku Thaka pula terlihat menggelupur di tanah ditampar bertubi-tubi dengan ganas oleh sang langsuir. Belitan rambutnya kembali meliliti batang tengkuk Tengku Thaka.

"Tadi, aku tak sempat sembelih kau. Sekarang, kau tak dapat lari lagi!"

Langsuir menindih badan Tengku Thaka. Mengunci seluruh pergerakannya dengan rambut-rambut. Tangannya telah dibentuk menjadi pisau yang besar dari tulang tangannya sendiri.

Diletakkan di leher Tengku Thaka.

"Mampus kau kali ini!"

Saat itu juga, Tengku Thaka mengilai ngeri. Ketawa semahunya.

"Kau takkan dapat bunuh aku!"

"Kenapa tidak!"

Tengku Thaka mencerun tajam ke dalam mata langsuir. 

"Sebab, aku dah tahu kelemahan kau!"

Namun, Tengku Thaka melihat kelibat seseorang yang dikenalinya datang bersusah-payah. Mengheret pedang besarnya yang terpacak di bumi tadi. 

Dila Hanim!

"Bunuh langsuir tu dengan pedang ni!"

Perempuan bodoh! Langsuir segera menyedari dan melancarkan juntaian rambutnya ke arah gadis tersebut. Menampar gadis itu dengan rambutnya sehingga melambung.

Saat itu jugalah, Tengku Thaka menumpukan seluruh tenaga pada tangan kiri dan menarik sehingga terputus rambut langsuir! 

DUSH!

Satu tumbukan padu singgah di muka langsuir hingga melambung ke udara. Tengku Thaka bingkas bangun, mencapai pedangnya yang tidak jauh dah dari situ lalu meloncat tinggi ke atas. Membenamkan mata pedangnya ke dalam dada langsuir!

"Mampuslah!"

GUMM!

Ditikamnya sampai langsuir laju jatuh ke tanah. Pedang Tengku Thaka bukan saja menikam ke dalam dada bahkan tembus hingga ke dalam tanah! Memaku langsuir hingga tidak dapat bergerak. Meronta-ronta ganas mahu melepaskan diri. Menempik-nempik dan meraung sehingga memekakkan telinga yang mendengarnya. Penduduk kampung terpaksa menutup telinga kerana suaranya yang menyeramkan bisa mengganggu mental dan boleh membekas lama dalam ingatan.

TUP!

"Kau dah gila, Tengku! Kenapa berubah menjadi manusia kembali! Kau dah nak menang!" Sang saka bengang dengan tuannya.

Kelihatan Farizal muncul berdiri tegap di hadapan langsuir yang masih terpaku hebat.  Memandang ganas ke arah Farizal dengan rambutnya yang cuba dipanjangkan untuk mencapai tubuh Farizal.

"Ini kerana Tengku Thaka tidak boleh melakukan apa yang cuma Farizal boleh lakukan."

Seketika, alunan bacaan ayat suci Al-Quran dibacakan. Membuat langsuir tidak senang duduk. Kepanasan.

Ketika di dalam keranda yang tertutup, Farizal telah mengesan sesuatu tertulis dengan ukiran pisau pada belakang penutup.

"Bacakan Surah Al-Ikhlas tiga kali. Bacakan Ayatul Kursy tiga kali. Bacakan Surah Al-Fiil 7 kali. Kemudian, niatkan agar ia kembali kepada Pencipta."

Itulah kelemahan sang langsuir! 

Mengikut apa yang telah sang sakanya selidiki, orang-orang kampung di situ telah berbuat ritual yang menghidupkan kembali sang langsuir demi kelangsungan hidup mereka. Demi ekonomi mereka. Menyebabkan hasil sungai melimpah ruah dan dapat menampung kehidupan mereka sekampung.

Namun, kesyirikan mereka itu dibuat dengan ritual mengorbankan penduduk kampung yang mereka tidak sukai melalui cabutan. Nyata, orang kampung di situ sudah mental. Orang pertama yang dikorbankan mereka adalah orang alim di situ. Kononnya, dibuat cerita tapak rumah yang dirobohkan itu ingin dijual dan sebagainya. Semuanya palsu! Yang sebenarnya, itu adalah tapak rumah orang alim dan lubang kubur di situ diwujudkan oleh orang alim tersebut demi mengunci langsuir selamanya di dalam keranda. Namun, setelah langsuir dikunci, hasil sungai mereka berkurangan. Ini telah memaksa mereka membuat perancangan untuk membunuh orang alim itu dan merobohkan rumahnya serta menghidupkan kembali sang langsuir dengan ritual sesat!

Selesai Surah al-Fiil dibacakan. Rambut-rambut yang membelit tubuh Farizal mulai melonggar. Jatuh dan memutih. Bagai beruban. Langsuir berubah menjadi seperti mayat kering. Bagai nenek tua yang berbaju kain kafan yang sudah lama meninggal. 

"Aku..aku akan hidup kembali..." Sang langsuir masih cuba mengugut.

TUP!

Tengku Thaka muncul kembali. Mencabut pedang besarnya dari tubuh langsuir dan menghentak bilah pedang itu pada kepala langsuir hingga hancur!

"Sekarang, siapa yang masih hidup? Aku atau kau?"

"Aku, Tengku Thaka tidak akan kalah selamanya! Hiyarghhhhhhhhh!" Seraya menyedut segala aura dari badan langsuir. Menjadikannya sumber makanan dan kekuatan dalamannya.

Tengku Thaka meraung ngeri kepuasan hingga menggegarkan sekampung. Cahaya keemasan menghalang mereka melihat dengan jelas apa yang telah berlaku. Ribut tanah berlaku sekejap. Kemudian, reda.

Yang mereka nampak, hanyalah seorang pemuda sedang berdiri berseorangan di tengah-tengah tapak rumah yang telah menjadi licin. Dengan langsuir yang sudah menjadi mayat. Lebur cair dek ayat Al-Quran.

"Meski Tengku Thaka kuat, tapi tidak sekuat ayat-ayat suci-Nya. Tidak mampu membacanya pun. Meski sekalian saka bersatu untuk mengalahkan ayat-Nya, pasti sampai kiamat pun tidak mampu. Maka, benarlah, yang Maha Kuat itu Allah."

Farizal mengangkat Dila Hanim. Mendukungnya, berjalan ke kereta. Hasritun mengikut saja rentak kaki jejaka itu.

Orang-orang kampung cuma mampu melihat, tidak berani mendekati mereka. 

Ketiga-tiga pelajar itu meninggalkan kampung tersebut tanpa berlengah lagi. Tugasan Dila sudah complete.

Bukan saja khurafat, bahkan syirik. Itulah kesimpulannya.

****

"Kau dah sedar?"

Farizal memandu dengan cermat. Penatnya sangat terasa. Dila Hanim bangun memicit-micit kepalanya sendiri. Pening.

"Langsuir tu macam mana?! Dah mati ke?!" Gadis itu kalut sendiri.

"Dah, dah, kita dah tinggalkan kampung tu. Jangan ingat lagi!" Farizal meninggikan suara.

"Tengku Thaka tu mana?!" 

Farizal tidak menjawab.

Hasritun juga diam. Walau dia tahu siapakah gerangan Tengku Thaka, siapakah di sebaliknya. Dia nampak ketika Dila pengsan tadi, dia nampak dengan jelas siapa orangnya.

Farizal memecut kereta.

****

Seminggu sudah berlalu.

Kelihatan seorang jejaka sedang membaca buku di perpustakaan. Sedang menyiapkan assignmentnya. Farizal khusyuk menelaah. Namun, sumber bacaannya tidak cukup. Dia bangun, mundar-mandir ke beberapa blok rak buku. Cari-cari.

"Jumpa pun."

Buku yang ditariknya, ditarik juga oleh sesuatu.


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!