Tengku Thaka - Part 11




Dila Hanim memberhentikan langkahnya.

Angin sejuk menyapanya dari satu sudut. Buat dirinya menggigil sendirian. Kala itulah dia menyedari, dia tidak bersendirian dalam langkahnya.

"Has ke tu?" Dila memberanikan diri memanggil kawannya. Tapi, dia tahu, tak mungkin kawannya itu dengan sebegitu pantas sudah berada di tanah. Tadi, elok-elok diselimutkannya. Tidur lena. Dila menahan seketika kemahuannya untuk ke bilik air. Terasa seram sejuk yang amat sangat seolah-olah sedang diperhatikan. Lebih seram dari diperhatikan oleh para stalker psikotik dalam Instagramnya. 

Tudung bawalnya ditiup angin kuat dari sisi. Masa itulah, dia menggagahkan dirinya berpaling perlahan-lahan. Hanya kepalanya yang pusing. Dila menarik nafas lega, fuh. Tak ada apa-apa rupanya. Dia menoleh ke sisi yang lain, pun tidak ada apa. Dia menyeka peluh dingin yang tidak kelihatan pun di dahinya. Lantas meneruskan langkahnya ke bilik air, hanya dengan menggunakan lampu fonnya.

Gadis itu langsung tidak sedar, sang langsuir sedang memerhatikannya dari atas pokok tinggi di sebelah sisi. Gadis itu lupa untuk mendongak. Malah, lupa untuk membaca apa-apa doa atau pendinding diri tatkala melangkah keluar dari pintu rumah. Itulah manusia, benda simple pun tak mampu buat. Bukan tak mampu sebenarnya, tapi kerana hati tidak melazimi ikatkan diri dengan agama. Alah bisa tegal biasa. Sebab itulah, tidak pelik bila ada berita tentang penghafaz Al-Quran, yang koma masih mengulang-ngulang bacaan meskipun dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tapi, itulah. 

Sang langsuir memerhatikan dengan tajam gerak-geri sang gadis. Namun, yang lebih mahu ditujunya adalah lelaki yang bernama Farizal. Melarikan diri dari genggamannya. Tapi yalah, sejauh mana sangatkah mampu lari dalam kampung yang langsuir itu sudah arif sangat setiap selok-beloknya?

***

Farizal menekup kuat batang lehernya. Darah masih mencurah keluar. Dia sendiri pelik.

"Kenapa fizikal luaran di dimensi sebenar pun boleh luka?"

"Tengku, ini perkara biasa. Orang yang disantau, bila patungnya dicucuk paku, maka terluka jua tubuh badannya. Malahan, paku-paku dan kaca yang dipecahkan boleh keluar dari mulut mangsa bagai dia betul-betul telan. Bahkan, rantai motosikal sekalipun boleh diletakkan dalam perut mangsa.

Serangan langsuir bangsat ini juga berkonsepkan sama. Serang batin, zahir terluka sama. Batin mati, zahir meninggal. Aku sendiri terasa sakitnya kerana kita adalah satu."

Farizal memahami dengan cepat. Tak tahan pedih. Dia berhentikan larian seketika. Tunduk mencari tanah liat. Mengoles dan menampal tanah liat di bahagian yang luka. Entah dia guna teori dari mana. Yang dia cuma boleh fikir, nak kurangkan pendarahan saja. Dah manusia tu asal dari tanah, mungkin boleh guna tanah? Logikanya sudah tak keruan.

"Kita nak bersembunyi di mana ni?!" Farizal bergumam dengan sang saka dalam diri.

"Tengku, kita pergi sejauh mungkin dari kampung ni!"

"Gila ke? Berlari begini tak akan pergi jauh pun! Lainlah kalau bawa kereta! Tak boleh, aku tak boleh tinggalkan dua perempuan tu!"

"Tengku, mana lebih penting, nyawa kita atau nyawa mereka?!" 

Perkelahian dengan diri sendiri kala itu.

"Kita ke situ!" Farizal mengubah haluannya. Keputusannya muktamad kali ini. Berlari takkan selesaikan masalah. Kudratnya takkan mampu mengubah fakta yang sang langsuir bisa menghapuskannya bila-bila masa. 

***

Sang langsuir terbang tinggi betul-betul di atas kampung tersebut. Pendatang yang hadir di kampung itu telah membuatkan moodnya rosak teruk. Ia tidak mahu sesiapa pun datang ke lubuk makanannya. Orang-orang kampung di situ adalah stor makanan terbesarnya. 

Mitos di situ, setiap kali bulan penuh, seorang dari penduduk kampung akan terkorban. 

Atau dikorbankan?

Rambut sang langsuir memanjang, mencabang sehingga 70 cabang. 

DUM! DUM! DUM!

Rambutnya itu membedal bumbung zink rumah para penduduk kampung dengan ganas sekali. Serentak. Orang-orang kampung sudah ketakutan. Berpelukan dengan ahli keluarga masing-masing dalam rumah. Tiada siapa berani menjenguk keluar. Masing-masing membatukan diri. 

Sang langsuir nampak tidak berapa gembira dengan reaksi penduduk kampung. 

"Keluar semua!! Keluar!!!"

Saat itu jugalah, pintu-pintu rumah mereka terkopak dengan rambut keras yang bertukar menjadi seolah-olah sebilah parang yang merobek pintu. Pecah dan terbuka semua pintu rumah penduduk kampung. Orang-orang kampung, wanita dan anak-anak kecil sudah menjerit-jerit ketakutan. Takut dijadikan korban pada malam itu.

"Aku kata keluar semuanya! Sebelum ku bunuh satu-persatu!"

Jeritan sang langsuir mengejutkan seluruh penduduk kampung.

"Kita keluar!"

"Janganlah! Nanti kena makan!"

"Kalau tak keluar, nanti kena bunuh!"

Masing-masing teragak-agak, nak berada dalam rumah atau keluar dari kediaman masing-masing. 

Dila Hanim yang berada dalam bilik air ketika itu terkejut sama dengan tempikan yang begitu menakutkan. Hasritun sudah terjaga dari tidur kerana pintu rumahnya juga terkopak sama. Rambut panjang mengurai dari seluruh rumah, berpuncakan pada satu benda mengerikan di langit. Sang langsuir durjana!

Dila segera berlari mendapatkan Hasritun. Dia dah nampak sang langsuir yang sedang mengamuk di udara. Mukanya cuak, pucat lesi. Menggigil mendapatkan Hasritun yang sudah kedinginan tangannya.

"Macam mana ni Dila?"

"Ramai orang aku tengok dah keluar ke tengah kampung. Kita pergi sama. Aku takut, kalau stay sini, benda tu akan datang jengah ke dalam dan bunuh kita pula!"

Kedua-dua gadis itu terburu keluar dari rumah tamu kecil itu. Berlari-lari anak sambil berpegangan tangan ke tengah-tengah kampung. Di sana, telah ramai penduduk kampung telah berkumpul sama-sama ketakutan. Akhirnya, seluruh rumah penduduk kampung kosong tanpa penghuni. Semua ahli sudah berhimpun. Ada yang menangis, ada yang menjerit-jerit, ada yang berzikir. Huru-hara seketika.

Mereka semua nampak jelas sang langsuir bengis turun perlahan-lahan tanpa jejak kaki di atas sebuah bumbung rumah berdekatan tempat mereka berkumpul. Masing-masing tak berani menatap mata bulat langsuir tersebut. Sangat menyeramkan. Apa tidaknya, matanya dibulatkan sehingga boleh nampak urat-urat mata memerahi dan biji matanya tajam pada setiap yang hadir.

"Ketua kampung, mana?!" Tempik langsuir hingga menyepikan keadaan yang hingar-bingar. Budak-budak yang sedang menangis pun terpaksa didiamkan oleh ibu-ibu dan ayah-ayah mereka. Semua berdiri rapat-rapat.

Ketua kampung mengangkat tangannya.

ZAP!

Satu jerutan rambut panjang membelit leher, mengangkat ketua kampung ke udara. Sekali lagi, jeritan penduduk kampung kedengaran. Namun, tidak ada siapa yang berani melangkah kaki lari. Semua bagai sudah pasrah. 

Dila dan Hasritun cuma memerhatikan dengan penuh takjub dan gerun sekali. Ini semua real, ditatap dengan mata kepala mereka sendiri. Ingatkan benda seperti ini cuma wujud dalam alam fantasi. Hanya wujud dalam tv dan filem rekaan. Tidak, ini semua nyata!

"Pendatang yang kau bawa masuk ke kampung ini, telah mencetus amarahku!"

Langsuir mendengus marah. Serius. Ketua kampung sudah tercungap-cungap dibelit. Bagai nak putus nyawa.

"Sekiranya kau dan seluruh penduduk kampung tidak bawa pendatang itu hidup-hidup dalam masa satu jam kepadaku, akan ku bunuh seluruh penduduk kampung dan lenyapkan kampung ini dari muka bumi malam ini juga!!"

Rupanya itulah tujuan penduduk kampung dikumpulkan. Untuk bermain puzzle hidup dan mati. Boleh saja padahal untuk dia kejar dan hapuskan Farizal sendirian. Namun, pasti tidak seronok. Kerana ia tahu, manusia yang takut kepada arahan makhluk sepertinya, sudah pasti kurang takutnya pada Tuhan mereka. Lebih rela akur kerana takut mati mempertahankan nafas masing-masing. Lebih rela menyerahkan saudara seagama mereka kepada syaitan. Sama saja seperti sistem yang ada di dunia sekarang, memaksa manusia tunduk pada mereka yang lebih berkuasa. Iman sudah jadi soal yang terakhir. Biar syirik, asal terjaga diri. Manusia adalah makhluk selfish.

"Baik! Baik! Akan kami cari!"

Ketua kampung dilepaskan hingga jatuh tersembam di tanah. Orang-orang kampung beramai-ramai segera masuk ke dalam rumah kembali dan keluar semula dengan lampu suluh, lampu fon, ada yang memasang obor, ada yang membawa parang dan peralatan memburu. 

Suspek utama mereka adalah Farizal. Dila Hanim dan Hasritun tidak disentuh mereka. Mereka pasti, yang langsuir inginkan adalah si jejaka itu. Kerana jika ia mahukan dua gadis ini, sudah tentulah mereka tidak perlu bersusah-payah hingga pertaruhkan nyawa begini.

Penduduk kampung yang baik, bertukar menjadi penduduk yang psiko. Hidup di bawah tekanan, sudah pasti lama-kelamaan menjadi mental.

Farizal dalam bahaya!

***

"Tengku, kau dengar tak tempikan tadi?!" Sang saka termengah sama.

"Ya, sudah jelas kemahuannya. Tak guna!" Jejaka itu sudah sampai ke destinasi yang ditujuinya.

"Tengku, betul ke kita nak masuk ke sini?! Ini bagai membunuh diri sendiri!" Sang saka membantah keras sehingga kaki Farizal terasa berat. Enggan pergi ke situ.

"Bodoh, ikut saja arahan aku!" Jejaka itu memaksakan sang saka tunduk kepada kemahuannya. 

"Tengku, kau sudah gila! Gila!"

"Baru kau tahu kau ada tuan yang gila?! Ha ha ha!" 

Farizal sampai ke tapak rumah yang sudah roboh. Namun, di bawah runtuhan rumah itu, tersembunyi suatu lubang bawah tanah. Bagaikan kuburan. 

"Tolong, jangan!"

Farizal hanya tersengih sinis, menyeringai sendirian. Dia tekad.

Melangkah masuk ke dalam lubang tersebut dengan buku limanya genggam erat. Lubang ini menuju ke keranda lawannya. Keranda sang langsuir!

Tindakan Farizal bagai menempah maut diri sendiri kerana berani datang ke sarang pembunuhnya.

Keranda usang lama ditemui. Jejaka itu masuk ke dalamnya. Tutup kembali. Terasa bagai berada dalam liang lahad. Ditimbus hidup-hidup. 

"Bila ia datang, kita gunakan seluruh tenaga dan kuasa saka yang ada. Janji denganku, saka!

End game!"

"Baiklah, jika itu kemahuanmu. Mati pun matilah. Asalkan mati sebagai Tengku Thaka!"

Sang saka juga bagai sudah mengikut gila kepala tuannya. Menyeringai dalam keranda. Gelak halus. Meski keadaan begitu gelap, dan merasa badan bagai digigit-gigit halus serangga-serangga dalam tanah. Mungkin ulat, mungkin lipan atau kala jengking. Farizal tak pasti dan tak kisah.

Ini percaturannya yang terakhir!

***

"Tak jumpa!"

"Tak ada!"

"Keluarlah!"

"Jangan susahkan kami!"

"Berambus dari kampung ini!"

Namun, kelibat atau bayang Farizal sedikit pun tidak kelihatan. Satu jam yang diperuntukkan bagai tidak cukup. Sekejap saja. Habis digeledah. Habis dicari di bawah rumah-rumah, di balik semak, di belakang pokok. Namun, tidak juga dijumpai.

"Semua tempat sudah cari!"

"Ada lagi satu tempat kita tak pergi!"

"Eh, gila! Takkanlah kita nak pergi ke tempat tu!"

"Cuma situ saja yang belum kita pergi!"

"Nak pergi ke nak mati?! Pilih!"

"Tu kan rumah langsuir!"

Mereka teragak-agak, namun atas tekanan hebat yang diterima, penduduk kampung beramai-ramai memberanikan diri ke tapak rumah lama. Tempat Farizal bersembunyi.

Bunyi hingar-bingar penduduk kampung yang mengepung tempat itu sampai ke telinga Farizal. Mereka mulai mengangkat papan dan kayu-kayan runtuhan yang menimbus lubang kubur langsuir.

"Aku nak tanya kau sesuatu." Berbisik dalam diam.

"Ya, Tengku."

"Boleh tak kita, muncul di alam nyata?"

"Hm. Maksud Tengku? Tengku Thaka muncul di dimensi ini?"

"Ya."

"Ha ha ha ha ha!" Sang saka gelak sakan dalam bisikan.

"Boleh ke tak boleh?!" Farizal menggertak serius.

"Siapa kata tidak boleh?!" Sang saka menjawab serius.

Farizal menyeringai hingga menampakkan gigi taringnya yang tumpul. 

"Saka, sekarang."


Bersambung..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!