Tengku Thaka - Part 8




Kereta Vios 2nd Gen 2007 meluncur dengan kelajuan sederhana. Keluar dari pekan, menuju sebuah perkampungan yang agak jauh dari kawasan bandar. Dari jalan sibuk, makin lama makin lengang. Dari jalan elok, bertukar jadi beralun, lubang sana sini. Begitulah keadaan jalan di kawasan perkampungan, bila nak pilihanraya, barulah nak ditar, dibaiki. Ambil hati orang kampung demi raih kepentingan diri. Syaitan punya manusia.

Jalan kiri kanan makin sempit. Lampu jalan yang tadi banyak, kini nak dapat sebatang yang menyala pun susah. Kiri kanan gelap gelita. Hanya lampu kenderaan mereka saja yang menyuluh hadapan jalan.

"Gelapnya."

Hasritun kawan Dila Hanim memecah kesunyian. Sepanjang perjalanan, masa dekat bandar tadi banyaklah juga berbual. Bila dah masuk area macam ni, semua macam fokus. Banyak diam. Ada gerun yang menguasai diri.

Farizal hanya tenang memandu. Nak bawa laju, takut tak jumpa jalan pula. 

"Betul ke yang Waze tunjuk tu? Macam tak jumpa saja tempatnya." Jejaka itu bertanya setelah kiri kanannya cuma hutan yang kadang-kadang nampaklah satu dua tanda pokok getah. Maknanya, mungkin kampung orang sebab ada tanaman getah yang kian merudum harganya sekarang. 

"Tak tahulah. Kejap Dila cuba Google Maps pula."

"Ala, tak ada signal sangatlah sini. Lembap internet." Gadis itu menggaru-garu tudungnya yang tak gatal.

"Habis tu, macam mana ni?" Hasritun sudah sedikit cemas. Biasalah perempuan. 

"Takpe, kita ikut saja dulu jalan ni. Lagipun tadi, Waze suruh terus saja. Dalam 5 kilometer kan terus?" Farizal bertanya dapatkan kepastian.

"Tapi, rasanya dah lebih 5 kilometer pun, satu bayang rumah pun tak nampak ni. Dila tengok jam tadi, pukul 12.15 tengah malam, sekarang dah pukul 1 pagi. Tak logiklah 5 kilometer makan masa lama sangat." Gadis itu menunjukkan bibit keresahan sama.

"Don't worry. Kadang-kadang Waze bukannya tepat pun."

"Tapi...." Dila dan Hasritun dah risau. 

Farizal teruskan saja pemanduan. Tapi, dia pun merasakan yang sama sebenarnya. Makin lama makin ke dalam. Jalan ni macam tak habis saja. Berpusing-pusing. 

"Abang Farizal, tengok. Perasan tak tiang letrik tu? Tadi kita dah lalu jalan ni. Saya pasti sebab nombor di tiang tu tertulis BT.2 dengan tanda merah."

"Hmm.. Ye ke." Farizal pecut kereta lebih laju. Tapi, tak sampai 10 minit, Hasritun juniornya itu bersuara lagi.

"Tengok! I told you. Tengok tiang tu. Tiang yang sama lagi! Kita berlegar di tempat yang sama ke?!"

Masa itulah, ketiga-tiga manusia dalam kereta itu merasa meremang bulu roma.

"Kita nak berhenti di sini ke?" Farizal bertanya kedua-dua gadis tu.

"Tak nak! Tak nak! Janganlah! Takut!!" Dila Hanim dan Hasritun sama-sama tak setuju dengan cadangan lelaki itu. Mereka berpegangan tangan di kerusi belakang. 

"Lock pintu!" Dila Hanim segera memeriksa semua pintu supaya dah yakin dikunci rapi.

"Tenanglah! Korang janganlah gini. Aku berhenti sini kejap!" Farizal berkeras.

Dila dan Hasritun makin kuat berhimpit. Tangan mereka terasa sejuk. Farizal berhenti betul-betul di tiang TNB yang terpacak di tepi jalan.

"Jangan pergi mana-mana, jangan keluar. Stay dalam kereta." Jejaka itu mengarahkan dengan tegas. Dia menanggalkan tali pinggang keledarnya, dan mula membuka pintu kereta. 

"Lock pintu ini okay!"

Jejaka itu mengeluarkan lampu suluh kecemasan yang diambilnya dari dalam kereta Dila. Menyuluh ke sekeliling. Bulu romanya juga meremang naik hingga ke lengan dan belakang tengkuk.

"Apa benda yang ada kat sini?" Farizal berbisik sendiri.

"Oh, Tengku. Sini sebenarnya bukan jalanraya pun. Kalau Tengku tengok dengan pandangan biasa, memanglah." Sang saka berbicara.

"So, kita sekarang dekat mana?"

"Tengku, setepatnya kita sekarang berada dalam kawasan beberapa perkuburan lama. Jalan lurus ini sememangnya dilencongkan ke tempat ini."

Farizal mengeluh sendirian.

"Tak guna. Kita keluar saja dari tempat ini. Jom." Lelaki itu kembali menapak ke kereta.

"Tengku, penjaganya tak benarkan kita keluar mudah-mudah." Sang saka berbunyi serius.

Saat itu jugalah, Farizal terbeliak mata melihat sesuatu berada di atas bumbung kereta. Sedang bersila elok saja di atasnya. Kedua-dua gadis tidak menyedari kehadiran sesuatu itu.

"Siluman kubur lama."

Mukanya terbelah dua. Tiada separuh wajah. Dengan pakaian lama seakan kain kapan yang compang-camping menutupi kerangka tubuhnya yang menjijikkan.

"Tengku, kita tak boleh pandang rendah benda ni. Bertukar sekarang!"

TUP!

Dimensi berubah dengan sekali petikan jari seperti biasanya. Tengku Thaka melihat keadaan sekeliling. Benarlah seperti dikatakan. Kenderaannya berada betul-betul di sebelah sebuah kubur lama. Ada beberapa kubur lain berhampiran. Bau busuk bercampur bau bunga seroja menusuk ke hidung.

Siluman yang berada di atas kereta tadi mengeluarkan lidahnya yang panjang dan berlubang-lubang buruk. Menatap Tengku Thaka dengan pandangan buas!

"Benda ini bukan saka. Ini adalah makhluk penunggu purba. Sejenis jin. Kawasan ini adalah tempat kediamannya. Benda ini tidak dibela sesiapa. Bila tidak dibela dan tiada tuannnya, Tengku perlu tahu ianya ganas dan tidak akan dikawal sesiapa. Dia buat apa yang dia suka. Predator."

"Aku tak berapa faham. 

Tapi, kau rasa kita boleh kalahkan benda ini?" Tengku Thaka menapak ke hadapan. Zing. Pedangnya yang besar terus terwujud, sudah berada kemas dalam genggaman. Sedia untuk bertarung bila-bila masa saja.

"Aku tak pasti. Kita boleh cuba. Ha ha ha!" Sang saka mengilai dan Tengku Thaka juga tersenyum sinis. Tuan sama saja seperti haiwan belaannya. Lama-lama menjadi makin mirip sifat dan perbuatan. Inilah bahananya bersahabat dengan syaitan.

***

"Ini kali pertama." 

Bau busuk menusuk-nusuk sangat sehingga Tengku Thaka merasa jengkel bila makhluk itu bersuara. Garau. Seram menakutkan.

"Kali pertama apa wahai siluman busuk?!" Tengku mulakan bicara mereka mereka. Tiada unsur kesopanan atau kesantunan.

"Kali pertama, ada manusia yang nampak aku dengan jelas. Biasanya, mereka nampak aku bila sudah sampai nyawa di kerongkongan.

Biasanya, yang dah masuk ke teritori ini, masuk dengan elok, keluar dengan kecelakaan. Kemalangan. Kematian. Aku akan pastikan yang masuk tidak akan keluar dengan begitu saja.

Kau tahu kenapa kenderaan ini boleh menembusi ke kawasan ini?

Kerana, tiada siapa pun di antara kalian yang mengingati Tuhan, menyebut nama-Nya saat mengenderai ke lubuk ini. Itulah lampu  hijau untuk aku bawa kalian ke sini dengan mudah. Tiada halangan atau tapisan."

Makhluk itu berpeluk tubuh, masih bersila di atas kereta. Tenang dan buruk dalam masa yang sama.

"Oh, begitu. Tapi, aku nak keluar juga walaupun kau tak benarkan. Apa kata kau?" Tengku Thaka bengis dalam bicara. Angkuh.

"Kau siapa, tak nampak macam manusia seperti dua orang yang berada dalam kereta ini. Jin atau saka?"

"Aku, Tengku Thaka. Saka keturunan istana. Darah bangsawan!"

"Oh, saka. Saka cumalah anjing belaan. Berwajah harimau, mawas, wanita atau lelaki bermukakan mirip tuan pembela. Lebih hina dari keturunanku." Siluman mulai ketawa berdekah dengan mulutnya yang rabik tiada separuh. Gigi tajam dan kucar-kacir penuh ulat yang masih bergerak-gerak jatuh bertaburan.

"Tak guna. Kau dan aku sama saja! Di jalan yang sama! Sesatkan manusia!" Tengku Thaka menjerkah.

"Iya. Tapi kau lebih menyesatkan kerana mencabar aku dalam kawasan aku."

ZUP!

Siluman itu hilang di pandangan Tengku Thaka, sedar-sedar dia sudah di belakang. Menampar kepala Tengku hingga tersembam di tanah. Terjerumus terus.

"Makhluk ini kuat."

"Aku dah bilang, Tengku. Berwaspada."

Tengku Thaka melibaskan pedangnya. Namun, ghaib lagi. Muncul bersila di atas kepala Tengku Thaka. Segera dilibas ke atas, hilang lagi!

Tamparan kedua singgah di muka Tengku Thaka hingga terpelanting ke kereta. Bum!

Bergegar kereta. Dila dan Hasritun merasa kenderaan mereka berkocakan kuat. Mereka kedua menjerit ketakutan sambil berpelukan. Tak nampak Farizal hilang di mana. Tak nampak situasi yang sedang berlaku. Yang pasti, andai Tengku Thaka tewas dalam pertarungan, mereka juga akan nampak siluman ngeri muncul depan mata kasar.

"Celaka! Celaka!" Tengku Thaka sudah kepanasan. Terasa dipermainkan.

"Aku dah cakap, kau cuma binatang peliharaan. Bukan aras aku." Siluman itu bersila di atas kuburannya.

"Kau tahu ini kubur siapa?"

Tengku Thaka tidak menjawab.

"Ini kubur seorang manusia yang tidak pernah mahu menerimaku sebagai sahabatnya. Sampai mati, tidak mahu aku menjadi penjaganya.

Katanya, cukup Tuhan sebagai pelindung-Nya.

Ini, kubur orang yang lebih kuat dari aku. Kuat kerana aku tidak mampu menjadikannya kufur di hujung hayat.

Aku tidak puas hati. Aku berikrar, kerana aku tak mampu membuatnya berpaling dari Tuhan, tak bermakna aku tak mampu untuk menghalang orang dari mengetahui kuburannya. Mendekati dan menghadiahi. Biar orang tak tahu siapa di dalam. Biar orang tahu, kuburan ini berhantu!

Maka, fitnah ke atasnya terus menerus. Orang akan kata, dia membela sesuatu sehingga kuburannya ngeri sebegini. Hilang dari pandangan manusia! Usang di sini sendirian!

Aku, telah berjaya!"

Tengku Thaka menggigit gerahamnya. Mencebik bibir. Masam. 

"Pergi mati dengan hikayat kau. 

Aku, Tengku Thaka akan bunuh kau malam ni. Hiyargh!"

Berdentum aura ganas di sekeliling. Menerbangkan dedaunan kering dan batu-batu kecil ke samping. Tengku sudah mengaktifkan tenaga yang lebih kuat demi mengalahkan siluman  bongkak.

DUSH!

Satu tumbukan singgah tepat di perut siluman. Tengku Thaka tersenyum sinis memandang siluman yang sudah kena tumbukannya.

Namun, senyum sinis itu tidak lama kerana baru dia perasan, badan siluman itu sememangnya sudah buruk dan berlubang di perut. Bagai menumbuk bantal saja.

Pang!

Tamparan lagi pada Tengku Thaka hingga bergelimpangan tersungkur. Namun, pahlawan itu segera bangkit dan menghunus pedangnya dengan tangkas. Menumpukan seluruh tenaganya pada satu tempat.

ZAP!

Bahagian otak siluman bersepah bertaburan. Terbelah dua jatuh ke lantai tanah. Tengku Thaka menyedari itu saja bahagian yang betul-betul ada fizikal tengkorak, bahagian yang lainnya cuma daging busuk.

Siluman nampak kesakitan. Darah membasahi mukanya.

"Tengku, sekarang!"

Tengku Thaka melibaskan pedangnya bertalu-talu. Bertubi-tubi bagai teknik menghiris bawang oleh chef-chef yang mahir. Mengapak kepala makhluk itu tanpa beri peluang langsung. Siluman menyekat dengan tangannya, namun tetakan tidak berhenti itu mengisar sama tangannya hingga hancur!

"Mampus! Mampus!"

ZAP! ZAP!

Tengku Thaka naik gila. Menetak bagai tiada rasa lelah. Matanya merah saga. Naik hantu. Dia langsung tidak sedar, asimilasinya dengan sang saka makin menguat. Makin kukuh. Sel-sel bagai bersebati dengan parasit.

AHHHHHHHHHHHHHHHHHH!

Satu jeritan kuat kedengaran. Siluman itu akhirnya tumbang. Tinggal sebutir matanya saja masih berkelipan.

"Sekarang, kau kenallah. Siapa Tengku Thaka yang sebenarnya. Bukan saka biasa-biasa!"

Ditetak sampai hancur biji mata yang tertinggal.

Siluman ganas tertewas di tangan sang tengku.

Tengku Thaka menyerap aura yang keluar dari sang siluman. Menambahkan lagi kekuatannya.

"Kalau begini, aku akan jadi yang terkuat di dunia ini! Ha ha ha!"

"Ya, Tengku, iya! Kita akan menguasai dunia nanti!"

Tengku Thaka dan sang saka sama-sama mengilai sendirian. Bagai sebuah kepuasan berganda.

Namun, hilai tawa cringe itu cuma sebentar cuma. Bila dia sedar sesuatu tak kena. Dilihatnya betul-betul dalam kereta. Di kerusi belakang. Berpelukan ketakutan.

Ada Dila Hanim, kawannya Hasritun dan....

...orang ketiga?!


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!