Tengku Thaka - Part 6




Jejaka itu segera menapak ke hadapan. Menarik gadis itu rapat kepadanya sambil menumbuk sang saka laju-laju. Namun, sang saka pantas menghilang. 

PANG!

Satu tamparan singgah di pipi Farizal. Lelaki itu terkebil-kebil.

"Kurang ajar!" 

Gadis itu sangkakan Farizal cuba mendakapnya. Padahal, jejaka itu dah selamatkannya dari diapa-apakan oleh sang saka. Banyak mata yang melihat jejaka itu dilempang oleh si gadis. 

Farizal bengang sendiri. Sudahlah nasi tumpah, niat baik nak tolong dibalas dengan tamparan padu pula. Berbekas lima jari di pipinya. Memang padu beb.

Jejaka itu berlalu dari situ dengan perasaan marah. Berjalan sendirian di koridor. Menuju ke bilik air untuk melihat pipinya.

"Tadi, aku nak hisap darah dia, kau halang. Rasakan." Sang saka muncul dalam cermin bilik air.

Farizal berkerut kening.

"Aku dah cakap, kan. Ikut cara aku. Syarat aku. Bukan buat keputusan semberono sesuka hati kau. Kau tu, saka aku. Aku ni, tuan kau. Mana boleh anjing menggigit tuannya."

Sang saka keluar dari cermin, mencekik leher Farizal. 

"Jangan panggil aku anjing. Aku saka istana yang mulia!"

"Ha, bunuhlah aku terus, bunuh!"

Sang saka melepaskan genggamannya.  

"Jadi, jangan biarkan aku merasa lapar lagi!" 

"Habis, kau ingat aku tak lapar?!" Farizal menengking kembali.

Masuk beberapa pelajar lelaki ke dalam bilik air, pelik melihat lelaki itu bercakap sendirian dengan cermin. Farizal berlalu dari situ. Bengang.

***

Di bawah pokok yang damai, Farizal merebahkan dirinya di sebuah bangku. Perutnya berkeroncong, namun nak membeli makanan, duitnya tak cukup. PTPTN pun tak masuk lagi.

"Kau nak aku ambil duit di bank?" Sang saka bertanya.

"Tak nak. Itu mencuri. Pencuri is low class. Ingat, kita ni taraf bangsawan. Kalau kau mencuri, kau level hantu toyol je. No class!" Farizal mencebik bibir. Pejamkan matanya.

"Habis, kau nak berlapar?" Sang saka berbicara dengannya. Farizal seolah dah tak perlukan kawan kerana sang saka sentiasa berbual dengannya.

"Diamlah, aku nak rehat sekejap. Ni dah macam puasa tahu tak?"

"Tengku, awek tadi datang." Sang saka berbisik perlahan.

Farizal tidak bangun dari pembaringannya. Gadis itu makin mendekatinya.

"Nah, saya ganti balik nasi awak tadi."

Farizal membuka matanya sebelah. 

"Ni mesti kau dah letak racun. Ya lah, marah kat aku kan."

"Eh, gila ke apa. I don't know the purpose awak tiba-tiba mendekati tadi, tapi bila fikir balik awak bukannya nak peluk saya pun. Awak buat apa sebenarnya tadi?"

"Aku nak peluk kaulah!"

"Iyalah tu." Gadis itu masih berdiri di hadapannya. Mengunjukkan makanan yang ditapaunya di kafe. Tanpa berganjak sedikit pun.

Farizal bangun. Duduk elok-elok di bangku. Menerima saja sebab dia tengah lapar. Segera dibukanya makanan tu, cedok dengan sudu plastik. Makan dengan lahapnya. 

Si gadis tersenyum melihat telatah jejaka di hadapannya itu. Dia duduk di sebelahnya.

"Air, nah."

Farizal capai air yang diberikan, minum sekali teguk sampai habis. Sejak ada saka ni, selera makannya bertambah. Apa tidaknya, makan bersama setan memanglah tak kenyang. Satu pinggan nasi seperti dibahagi dua orang. Separuh untuknya, separuh untuk saka. Tak kisahlah, janji organ dalamannya tidak diusik.

"Kau siapa?"

"Oh, saya Dila Hanim. Fakulti Seni. Tahun satu. Sem dua."

Farizal yang tadi bengang, sudah beransur reda kemarahannya. Sudah kembali ke keadaan asalnya.

"Kenapa nampak lapar sangat ni? Tadi pun awak order dua pinggan di kafe, memang dua-dua tu untuk awak ke? Sebab saya tak nampak awak dengan mana-mana kawan." Dila membuka bicara. Berbasa-basi.

"Hmm. Just lapar sangat. Sejak kematian abang aku dua hari lepas, aku tak cukup makan."

"Oh, innalillahi wainna ilaihi raaji'un. Maaf, saya tak tahu." Gadis itu terlihat sopan.

"Okaylah, aku nak balik ke bilik. Nak tidur."

"Eh, kejap, awak nama apa?"

"Tengku.." Sang saka mengambil alih bicara.

"Tengku?"

"Tak, tak, Farizal."

Jejaka itu berjalan meninggalkan gadis itu. Namun, si gadis itu terkejut bila melihat jejaka itu seolah-olah berpaling kepadanya dengan bermata merah, menyeringai gigi taring.

Sang saka, bukan senang dijinakkan.

Sekali kau berkawan dengan setan, kau juga setan.

***

Dalam bilik, Hanif sedang melayan filem Venom yang dimuat-turunnya secara haram di internet.

"Kau dah tengok ke cerita ni? Manusia yang ada sel virus power dalam badan ni? Dia telan orang hidup-hidup macam tu saja tau!"

Farizal menggelengkan kepalanya. Tak berminat. 

"Apa yang best sangat, aku lagi hebat dari virus itu. Sekiranya benda tu membunuh secara fizikal, aku lagi hebat kerana tiada siapa tahu pelakunya, mati secara perlahan-lahan, mati secara misteri. Tiada siapa dapat mengesannya pembunuhnya." Sang saka berbisik lagi.

Farizal kadang terasa pening juga. Untuk membezakan antara bisikan hatinya dan bisikan sang saka. Seolah-olah bercampur-baur sudah.

"Malam ni, tak jadilah pergi futsal, Jal." 

"Kenapa pula?"

"Awek aku tak sihat. Aku rasa lain macamlah. Aku nak pergi cari seorang dukun ni. Katanya hebat."

"Kau percaya benda-benda khurafat perbomohan tu?" Farizal mencerun matanya kepada Hanif. 

"Kau temankanlah aku. Aku tak bolehlah tengok awek aku sakit. Aku belanja kau makan nanti sebagai upah kau teman aku."

Farizal akhirnya mengiyakan saja. Akur. Dengar saja bab makan, dia mengalah. Perut terus rasa lapar. Argh. Teruk betul selera besar ni.

Farizal berbaring seketika di katilnya.

"Teman wanita kawan kau tu, akhirnya akan mati juga. Sebab sakanya sudah tiada, namun, tuan induknya bergantung 100 peratus pada sakanya dalam kehidupan, menyebabkan bila sakanya tiada, jadi lompong, jadi lemah, jadi mati semua sel dalam badan. Apa tidaknya, segenap tempat sudah disedut, diserahkan pada sakanya." Sang saka berbisik di telinganya.

Farizal memejamkan matanya. Tak nak fikir. Dunia syirik ini begitu complicated. 

Bergelumang dengan benda-benda macam ni, memang memeningkan kepalanya. 

***

Dua sekawan tiba di hujung sebuah kampung setelah ride selama 2 jam.

Tengah malam dah pun.

"Betul ke ni rumah dukun tu?"

"Betullah. Cuba kau bagi salam, Jal."

"Apa pula aku, kau lah. Kan kan Islam gak."

Hanif memberikan salam dua tiga kali. Barulah pintu dibuka.

"Err, pakcik ni Dukun Me'on tu kan?"

"Iya, masuklah anak-anak muda sekalian."

"Maaf, tersesat tadi tak jumpa jalan."

"Tak mengapa, memang susah sikit jalan masuk ke kampung ni."

Mereka bertiga duduk di ruang tamu. Berbual-bual ringkas. Memperkenalkan diri.

"Begini, tok. Bakal isteri saya, tiba-tiba macam histeria tak sedarkan diri. Tak ingat siapa saya. Tok boleh ke ubatkan dia? Kalau boleh, tok tolonglah. Saya ni sayang benar kat bakal isteri tu."

Ceh. Padahal awek. Bukan nak buat isteri pun. Farizal hanya berpeluk tubuh. Melihat saja apa rawatan yang ingin ditawarkan pak dukun.

"Baik, tok cuba tengok dulu ya."

Diambilnya satu lesung batu dan ditumbuk beberapa biji bawang putih dalam tu. 

Farizal pula yang merasa pedih tiap kali ditumbuk bawang tersebut. 

Diasap-asapkan, dibaca jampi serapah yang tidak difahami oleh kedua-dua jejaka tersebut.

"Sah, buatan orang ni." Tok Me'on dengan penuh yakin memberitahu Hanif.

"Aduh, saya dah agak dah tok. Mentang-mentanglah bakal saya tu lawa, semua orang nak buat tak baik dekat dia. Habis, ada tak cara nak ubatinya semula?"

"Ada, tapi mahal sikit, dalam RM300, tok akan selesaikan dalam 3 malam saja orang yang buatkan tu."

Farizal berkerut kening. Memang dukun ni sembang tahap dewa.  Padahal jejaka tersebut tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Dan tok tahu siapa yang buat ni."

"Siapa?!" Hanif menaikkan suara. Tak sabar.

TUP!

Satu petikan jari.

Farizal berubah menjadi Tengku Thaka. Mata merahnya bersinar. Dimensi pun berubah. 

"Saka, dukun ini adalah makanan kau."

Tengku Thaka senyum sinis, berpeluk tubuh. 

"Tengku, tidak semudah itu dia boleh jadi lauk. Tu, kau tengok pengawalnya."

Muncul dua lembaga hitam bertombak panjang. Bertubuh sasa bak pahlawan silam. Menghadap melindungi tuan mereka. 

"Owh, dua saka perbomohan. Mereka ini level mana?"

"Level ayam-ayam. Ha ha ha!" Sang saka ketawa.

ZING!

Baju zirah pahlawan terus muncul menghiasi tubuh Tengku. Tak sabar untuk bertarung. 

"Kau siapa? Dari mana?!" Saka-saka dukun bertanya. Marah.

"Aku juga bangsa kau. Tapi, aku kelas atasan. Kau berdua, kelas bawahan. Aku, Tengku Thaka."

Sebenar kemudian, kelihatan sang dukun juga muncul di dimensi mereka.

"Oh, kau nak buat kacau di sini ke? Nak test power? Kau budak lagi. Jangan cuba nak bertaruh nyawa. Buruk padahnya. Kalau kau tarik diri sekarang, aku akan maafkan kau. Tapi, kalau kau tetap nak mampus, silakan ke depan." Dukun bersila dengan nada angkuh. Sinis dalam cabarannya.

"Tarik diri?!" Tengku Thaka ketawa mengilai terbahak-bahak.

"Nak suruh seorang Tengku tarik diri dari sebuah pertarungan picisan?!" 

"Tak mungkin!"

Saat itu jugalah, kedua-dua pahlawan tombak mara ke depan menghunuskan kedua-dua senjatanya ke badan Tengku Thaka. Namun, dengan lincahnya tengku mengelak dan menepis.

Dibalasnya dengan tumbukan, namun segera ditepis dengan tombak oleh salah satu dari kedua pahlawan.

"Kau masih mentah, anak muda. Pahlawan kembar, bergabung!"

Dukun menyatukan kedua-dua tangannya. Tak nak kalah. Serta merta kedua-dua pahlawan bersatu. Bertangkup menjadi satu lembaga berbulu seakan mawas yang besar. Menunjal Tengku hingga terkeluar dari rumah dan terguling di tanah lapang. 

Tengku terduduk di tanah. Berlutut dengan sebelah kaki.

"Wah, kuat juga kau ni. Tak sangka. Saka beruk je pun."

Tombak mereka juga menjadi satu. Menjadi tombak bermata tiga yang sangat tajam. Tanpa berlengah, serangan demi serangan super pantas ditujukan kepada Tengku Thaka yang belum mengatur langkah.

ZAP!!

Tombak menembusi baju zirah Tengku.


Bersambung..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!