Tengku Thaka - Part 5



Sesuatu menjengahkan kepalanya dari siling. Turun dalam keadan terbalik perlahan-lahan mengadap muka Farizal.

Berambut panjang. Bermuka ngeri koyak-koyak, berkulit hitam, bermata merah kedua-dua. Berurat-urat busuk. Nampak seperti hantu perempuan.

"Ini saka hantu raya, Tengku." Sang saka berbisik.

Jejaka yang tak habis terkejut itu membuka sebelah matanya, cuba mengadap tepat betul-betul ke wajah hantu raya tersebut. Hingga hidung keduanya bersentuhan. Rapat sangat.

"Kau nampak aku?" Bergetar suaranya dalam bisikan. 

Farizal memejam kembali kedua-dua matanya. 

Lembaga itu menyentuh kasar kedua-dua kelopak mata jejaka itu, memaksanya buka luas-luas.

"Kau nampak aku ke?!" Kali ini bengis. Ganas pertanyaannya.

TUP!

Satu petikan jari saja. Dimensi bertukar segera. 

DUSH!

Satu tumbukan padu ke muka sang hantu raya hingga tercampak jauh ke luar tingkap. Sekelip mata, Tengku Thaka melihat sekeliling biliknya.

Oh, macam ni rupanya keadaan bilik sebenar. Hitam. Gelap. Busuk. Bagai berada dalam sebuah bangunan lama. Dikitar semula menjadi baru.

"Memang tapak asal asrama ini cuma renovasi dari bangunan lama. Kau tengoklah saja batang paip yang digunakan untuk aliran letrik. Style lama. Tepatnya, bangunan ini wujud pada 1960-an, menjadi bangunan tinggal, hingga dibangunkan semula untuk dijadikan asrama." Sang saka berbicara dengan Tengku Thaka.

"Kenapa selama ini tak ada gangguan, tiba-tiba hari ini ada?"

"Kau silap tu. Sebenarnya, dia selalu ada. Kau saja tak nampak dulu. Kali ini, dia datang dekat sebab aura kita sebagai bangsawan saka menyerlah sangat. Aura pahlawan. 

Pendek kata, aura ini mencabar seluruh saka berdekatan untuk fight dengan kita. Ha ha ha! Dan memang aku sengaja kuatkan pancaran cabaran ini ke seluruh kawasan.

Aku, suka cabaran. Suka berada di atas! Ha ha ha!" Sang saka ketawa besar.

"Huh. Kau dah menyusahkan aku. Tengok, dia dah datang balik."

Hantu raya tadi kembali masuk merangkak ke dalam bilik Farizal. 

Kawannya masih tidur lena, tak sedar situasi yang sedang berlaku dalam bilik. Di dimensi nyata, Farizal terlihat terbaring lena. Padahal yang sebenarnya sedang hadap benda alah ini.

"Tapi, kau kena tahu, Tengku. Dia bukan dari asrama ni. Yang asrama ini belum datang. Ha ha ha!" 

Lembaga ngeri tadi bangun berdiri depan Tengku Thaka. Baju zirah pahlawan segera muncul di badan tengku. Mode berlawan diaktifkan. 

"Hoi setan, kau dari mana?"

"Celaka kau manusia, kau siapa?! Dukun?!"

"Ha ha ha! Aku Tengku Thaka. Keturunan istana di zaman silam. Aku tak suka ada saka lain lebih tinggi dari aku."

"Jadi?!"

"Jadi, malam ini kau harus mampus!" Tengku Thaka menjerkah kuat hingga lembaga itu sedikit terpana dengan keberanian orang ini. Ini kali pertama, saka melawan saka. 

DUSHH!!

Tumbukan padu sekali lagi hingga kedua-duanya terpelanting ke luar tingkap asrama. 

"Woi! Tingkat 4 ni!" Tengku Thaka gelabah.

"Apa kau nak takut, kita saka yang hebatlah! Ha ha ha!" Sang saka berbisik mengilai.

Jatuh ke tanah kedua-duanya. Satu dentuman kuat di luar asrama bagai meteor jatuh ke bumi. Bergegar.

Tengku Thaka berdiri tegap, tak ada patah kaki sedikit pun. Kuasa luar biasa. Sang hantu raya pun begitu. Memanglah dah dua-dua bukan manusia lagi.

Batin lawan batin. Ghaib lawan ghaib. Lelaki itu memerhatikan keadaan seluruh bangunan asrama di sekelilingnya. Gilalah. Semuanya buruk usang. Itulah keadaan sebenar bangunan-bangunan di situ. Menyeramkan.

"Kau tak jawab lagi soalan aku. Kau dari mana?!" Tengku Thaka menjerkah lagi.

"Aku, tumpang motosikal kawan kau, Hanif. Aku adalah saka teman wanitanya. Hanif adalah makanan aku. Kau kena tahu, sesiapa yang bersama dengan pemilik saka, akan jadi lemah dan sakit. Bukan kerana fizikal mereka ada penyakit. Tetapi, kerana aku ada di situ menghirup sedikit demi sedikit darah dan zat. Tuan aku menjadi makin segar dan cantik, dan orang berdekatannya lemah lesu. Kah kah kah."

Oh. Begitu.

"Tak nak cakap banyaklah. Hari ini, hari mati kau." Tengku Thaka menyeringai. Matanya merah saga. 

"Aku, Tengku Thaka, takkan biarkan saka picisan seperti kau hidup senang. Kau ada dua pilihan; kena tunduk padaku, atau kau boleh pergi meninggal. Pilih."

Sang hantu raya mengilai semahunya.

"Nak tunduk pada kau manusia lemah? Tak mungkin! Kau yang akan mampus hari ini! Terimala......"

DASHHH!

Satu terajang singgah di muka hantu raya hingga kemek tercabut matanya. Satu lagi tendangan dipalukan pada bahu hingga patah tulang bahu. Terpelanting hingga rebah ke bumi. Tak sempat si hantu raya menghabiskan ayat.

ZING

Pedang besar Tengku Thaka muncul di tangannya. 

"Sangat mudah. Aku ingatkan susah sangat nak hapuskan kau ni."

ZAP!

Tikaman pedang pada muka hantu raya hingga terbelah dua. Bersemburan darah hitam busuk. Sekejap bertukar jadi rupa teman wanita Hanif, sekejap bertukar rupa binatang, sekejap bertukar jadi bentuk asalnya.

"Sedut auranya, Tengku." Sang saka berbicara. Semangat.

"Macam mana?"

"Buka mulut kau dan bertempiklah kau adalah raja!" 

Tengku Thaka membuka mulutnya luas-luas dengan pedang masih terbenam di muka hantu raya, menjerit kuat hingga aura merah keluar dari kedua-dua mata merahnya. Seketika, badannya bercahaya api, lingkaran api muncul membakar tubuh hantu raya hingga menjadi arang yang membara. Hingga menjadi debu.

"Aku raja!! Hiyargh!!"

Seluruh aura dan tenaga sang hantu raya disedut masuk ke dalam badan Tengku Thaka. Menjadikannya makin kuat. Lebih bertenaga.

Lawannya sudah hancur lebur. 

"Bravo, tengku. Kita dah berpadu dengan baik sekali. Kerjasama yang mantap. Ini baru permulaan. Baru satu saka yang kau hadap. Ada beribu lagi akan datang menerpa. Kerana saat kita berlawan ini, sudah ada mata-mata lain memerhati. Sudah sampai berita-berita mengenai Tengku Thaka sedang mengganas."

"Ada yang lagi ganas ke akan datang selain dari hantu raya ni?"

"Ada. Kerana keturunan bangsawan saka bukan hanya kita. Tapi ada lagi dari beberapa negeri lain, wilayah lain. Mereka takkan benarkan dunia saka mendapat raja baru."

"Siapa raja terkuat selama ini?"

"Iblis."

Farizal terdiam seketika. 

"Adakah kita akan melawan iblis?"

"Tidak. Dia bukan saka. Saka adalah keturunan syaitan belaan manusia. Hasil pemujaan dan serah kepercayaan penuh pada syaitan. Kita adalah sebahagian dari jin. Jadi, kita tetap akan bebas hatta di bulan puasa sekalipun. Kerana kita adalah makhluk jelmaan, hasil pergantungan manusia kepada kita.

Mereka membuang pergantungan kepada Tuhan, dan bergantung harap pada kita untuk menjaga mereka. Kita dibela oleh pihak istana dan menteri dulukala. Makan mewah hinggalah zaman dah berubah.

Dan kita, masih dipuja hingga kini. Meski zaman moden. Kerana manusia semakin tamak, makin tidak percaya lagi pada agama. Jalan singkat adalah melalui kita.

Mereka bergantung pada kuasa kita."

Farizal terdiam lama. Sambil melompat masuk dari tingkat ke tingkat hingga ke dalam biliknya. 

TUP!

Petikan jari lagi. Keadaan kembali normal. Jejaka itu tarik selimutnya. Dilihat kawan sebelahnya berpeluh-peluh, berkerut kening. Menggigil kuat.

"Kenapa dengan dia?"

"Oh, kesan sementara. Mungkin demam. Hantu raya dah keluar dari tubuhnya, tetap akan meninggalkan bekas sana sini. Seakan parut luka. Tapi kat dalam." Sang saka menerangkan.

"Teman wanitanya tu pula? Apa jadi?"

"Entah! Kau ingat aku Tuhan tahu segalanya?!"

Farizal cebik bibir. Menyampah perangai setan dalam badannya.

"Kejut aku bangun solat Subuh esok, syaiton!"

"Kepala otak kaulah kejut! Ingat aku suka kau solat?! Ha ha ha!" 

Dah macam orang gila. Cakap sorang-sorang.

***

Farizal masuk ke dalam kuliahnya. Menguap. Penat rasa. 

"Aku lapar. Mana makanan aku? Syarat kedua adalah kau bagi aku makan walaupun aku tak makan kau." Sang saka berbisik.

"Kau ni, aku nak belajar ni. Jangan kacaulah."

Beberapa orang kawannya datang dan memenuhkan kerusi dalam bilik kuliah. 

"Jal, malam ni futsal, jom!" Hanif dah berada di sebelahnya.

"Ala, malaslah."

"Jomlah, malam ni lawan dengan kolej seberang jambatan tu. Ramai awek akan datang tengok. Jomlah, tak cukup ahli ni."

"Sebenarnya, tak cukup bajet je kan? Yelah, yelah. Pukul berapa malam ni?"

"Sembilan. Datang tau."

***

Farizal berjalan ke kafe. Lapar. Beli makanan banyak-banyak. Bawa dua pinggan satu tangan. Satu tangan lagi bawa air.

PAP!

Seorang gadis terlanggarnya. Habis bertaburan nasi di lantai.

"Mata kat mana?! Adoilah." Farizal marah. Sebab lapar sangat, jadi macam ni lak. 

"Sorry, sorry. Tak sengaja." Gadis itu berkali-kali meminta maaf.

"Dah, semaklah. Blah." Farizal memarahinya lagi. Biasanya dia tak macam tu, tapi sejak bawa saka ni, panas barannya menjadi-jadi.

"Saya dah minta maaf, kan? Tak payahlah guna harsh words bagai!" Gadis itu pula menegurnya.

"Eh, kau ni, dahlah aku dah rugi banyak ni tak boleh nak makan, aku tak mintak ganti dah cukup baik tahu!" Jejaka itu memarahinya lagi. Bertekak. Dia dah tak peduli walaupun gadis itu ada rupa sekalipun. Rasanya budak junior kalau cantik-cantik melawa macam ni. Kalau yang senior, semua dah selekeh. Pakai selipar jepun saja kalau nak ke mana-mana selain kuliah. 

Saat itu juga, Farizal perasan sang saka keluar dari badannya. Bertenggek atas bahu gadis itu. Mata Farizal membulat. Keningnya berkerut. Dia lihat sang saka mengeluarkan kuku yang tajam dan panjang. Sedia menikam tengkuk si gadis.

"Dia, makanan aku." Sang saka menyeringai.

Lelaki itu segera menapak ke hadapan.

Dan..


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!