Tengku Thaka - Part 3




Perabot di ruang tamu habis terbalik. Kerusi tercampak ke kiri kanan. 

"Aku tak setuju!"

Lembaga itu terlihat bengis. Bengang dengan syarat ketiga yang diutarakan oleh Farizal. Amuk dengan mata kemerahan bagai mahu menelan sang jejaka saat itu juga.

Farizal sedikit kecut. Sehingga berundur ke belakang setapak dua. Dalam gelap malam dengan kadang-kadang kilat acah-acah di langit, menampakkan susuk tubuh sang saka garang. Angin semakin kencang. Nampaknya, tiada tanda hujan lebat akan bersurai dengan segera.

"Kenapa pula tak setuju?!" Farizal menjerkah sama. Menguatkan dirinya sendiri dengan menengking sebegitu.

"Kau cuba memperdayakan aku! Aku tak sebodoh itulah wahai manusia picisan!" Sang saka makin bengis sehingga dengusan nafas kasarnya terasa di sekeliling Farizal.

Farizal buntu sekejap. Namun, tidak mahu menampakkan gelisah di riak wajahnya. Cuba bertenang dalam situasi yang begitu tegang sekarang. 

"Baik, kalau begitu, kau nyatakan saja apa syarat ketiga kau, setan!" Farizal menjerkah lagi kuat hingga kakinya melangkah beberapa tapak ke depan.  Hampir benar dengan lembaga sasa itu.

"Ha ha ha! Bagus! Aku suka tawaran kau ini!" Sang saka kembali normal. Tidak sebengis tadi. Namun, tetap seram. 

"Syarat ketiga aku; perjanjian antara kita cuma akan terlerai bila kau jumpa seorang wanita bukan Islam yang kuat pegangan agama pada agamanya! Lalu, kau masukkan dia ke dalam Islam dalam tiga bulan, nescaya aku-kau akan terhapuslah ikatan antara kita!!

Bagaimana?!"

Oh. Farizal berfikir seketika. 

"Terhapus buat selamanya? Tanpa kau mengekori lagi seluruh keturunanku? Dan kau akan balik ke asal kau?!" Farizal tegas dalam bicara.

"Iya wahai manusia kerdil! Aku pegang pada janjiku. Tapi, kau tidak mampu untuk menghalangku dari mendakyah wanita itu, mengganggu perancangan kau untuk bercerai hidup denganku!! Ha ha ha!"

Farizal memandang sinis lembaga itu. Menuding jari telunjuknya tepat ke muka ngeri lembaga itu.

"Baik! Kalau itulah satu-satunya caranya! Aku setuju!!" Farizal terpaksa bersetuju pada syarat saka bangsawan yang super angkuh ini. Dua syaratnya dipersetujui, syarat ketiga gagal. Sebaliknya dia pula terpaksa patuh pada syarat sang syirik.

Garisan halus luka muncul di dahi Farizal, lantas dijilat buat kali ketiga oleh sang saka tanda perjanjian telah termeterai.

"Sekarang, mulai saat ini, detik ini, kau adalah aku, aku adalah kau. Pejamkan matamu!"

Serta-merta bau busuk bangkai menyusup ke lubang hidung Farizal. Segera dia menutup mata. Lembaga itu bertukar satu persatu dari badan ayah, ibu, hingga seluruh keturunannya tanpa dia melihat proses itu. Berubah menjadi asap hijau yang menyelubungi seluruh ruangan rumah, akhirnya menyusup masuk melalui liang-liang roma pada seluruh tubuh jejaka itu.

"Yarghhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!"

Laungan menakutkan keluar dari mulut Farizal. Bertempik sakit. Sekaligus membuka matanya. Mata yang tadi normal berubah menjadi kemerahan. Bersinar-sinar. 

"Aku, Tengku Thaka. Aku, tidak terkalah dengan apapun." Jejaka itu berasimilasi sempurna dengan sang saka dewata. Tubuhnya kelihatan berubah sedikit sasa, seolah-olah hasil dari pergi gymnasium berbulan-bulan lamanya. Sado. Dia sendiri merasakan ada kekuatan baru dalam dirinya.

"Oh, begini ke rasanya berpadu dengan sang saka..." Farizal bercakap sendirian.

"Iya, Tengku..Iya..ha ha ha!" Bisikan menjawab di dalam telinganya. Nampak saja seorang Farizal, tapi sebenarnya Farizal plus saka. Tapi, yang lain dari orang lain, saka ini tidak menjadi parasit dalam dirinya yang menyebabkannya makin lemah dan jatuh sakit. Tapi, sebaliknya.

Beza besar, orang dulu menjadikan benda alah ini pengawal di samping, tapi Farizal ini lain, terus bergabung jadi satu. Gila.

Perjanjian setan!

Seseorang memandang Farizal dari kejauhan. Pak Imam. Menggeleng-geleng kepalanya, tanpa mengetahui Farizal bersatu dengan 3 syarat ketat. 

"Moga Allah selamatkan kau, anak muda. Amin."

Berlalu dalam kegelapan malam. Basah kuyup. Di hatinya terhimpun sedih. Sesuatu di luar kemampuannya.

***

Pintu rumah dikunci rapat. 

Lama dia berdiri di hadapan rumah kesayangannya. Teringat kenangan satu-persatu dengan ahli keluarganya. Menitis air mata sendirian. Tak tahu bila dia akan balik ke situ. Tak balik kot. Entah, dia sendiri tak pasti.

Beg disandang di bahunya. Berpaling dari situ. Nak naik bas. Jalan jauh balik ke kampusnya. 

Terserempak dengan Pak Imam masa berjalan nak ke stesen bas.

"Kau dah nak balik ke?"

"Ya, Pak Imam."

"Kau kena kuat ya, nak. Duduklah di atas bumi mana pun, jangan lupa tiga perkara — solat, Al-Quran, puasa — semua ni membawa kepada zikrullah iaitu mengingati Allah. Ikat diri kuat-kuat dengan tiga benda ni. Solat untuk betulkan kehidupan kau seluruhnya, Al-Quran untuk menjemput hidayah dan menerangi hati, puasa untuk menahan diri dari berbuat mungkar dan melatih kesabaran.

Ingat tu."

Farizal mencerun tajam ke arah Pak Imam. Orang tua itu dapat melihat anak mata hitam sesekali bertukar menjadi merah saga. Tidak berkelip memandang ke arahnya. Marah dengan pesanan ringkas itu.

"Insya-Allah, Pak Imam. Doakan saya terus kuat. Suatu hari, jika saya bukan lagi saya, Pak Imam azankan kuat-kuat di telinga agar saya kembali ke pangkal jalan."

Dipeluknya orang tua itu. Mengucapkan selamat tinggal.

***

Dalam bas. Punyalah lambat bas sampai. Pukul 10 malam baru sampai. Bengang Farizal. Sudahlah dia penat seharian. Penat dengan urusan di rumah arwah keluarganya. Kena tunggu pula bas. Rasa marahnya membuak-buak. Namun, ditahannya. Tahu, marah dia ni jangan dilayan. Jika dilayan, marahnya akan bertukar jadi api yang membakar diri sendiri. Kerana dia jelas maklum, dia sekarang jika marah, bermakna dua kemarahan akan terbit. 

"Kau nak aku buat satu bas ni terbabas ke?"

"Gila kau. Kalau bas kemalangan, aku pun tak dapat balik universiti. Bodoh. Duk diam-diam."

Dia berbicara sendirian dalam bisik yang tidak dapat didengar sesiapa kecuali dirinya. 

Bas bergerak. Farizal lena di tempat duduknya, single seat. Dengan memeluk beg. 

Dua jam kemudian, bas berhenti sendiri. Buat Farizal terjaga. Menenyeh biji matanya yang kepedihan dek tidur yang terganggu. 

"Apahal pula ni?"

Farizal menyelak langsir tepinya. Oh, kiri kanan hutan. Bas rosak ke? Tayar bocor ke? 

"Kau nak tahu apa jadi ke?" Suara saka mula berbicara dalam dirinya.

"Ha, apa dia?"

"Kau turun. Pergi tengok sendiri."

"Ceh, aku ingat kau tahu."

Farizal bangun dari tempat duduknya. Melihat pemandu bas tiada di tempat pemandu. Turun ke bawah. Tengok driver bas tengah tergaru-garu kepala sendirian. Sambil sibuk dengan henfon. 

"Kenapa ni, bang?"

"Tak tahu. Tayar semua elok. Enjin tak nak jalanlah."

Farizal menggelengkan kepalanya sendiri. Takkanlah stuck di tengah-tengah jalanraya kiri kanan hutan ni pula. Aduh. Lecehlah.

"Ini bukan kerosakan biasa. Kau jenguklah bawah bas." Sang saka berbisik lagi.

Farizal berjalan mengelilingi bas. Beberapa penumpang lain turut turun bertanya pada pemandu bas. 

Jejaka itu berhenti di satu sudut. Tunduk.

Matanya terbeliak melihat sesuatu di bawah bas.

Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!