Mungkin - Part 19



Aku merenung ke dalam matanya lama-lama.

"Betul ni boyfriend kau?" Aku bertanya ringkas pada perempuan yang berada di antara kami.

Hani mengangguk perlahan.

"Ha, bawaklah balik dia ni. Tadi, dia menumpang lori aku ni. Sekali cermin pecah."

Jejaka kacak itu berpaling ke arah teman wanitanya. 

"Betul ke?"

Hani mengangguk lagi. 

"Dah, jom ikut abang balik."

"Naik motor ke?"

"Tak, hujan ni. Kejap lagi Grab sampai."

Lelaki itu menghampiriku. Menghulurkan tangannya untuk bersalam.

"Thanks bro." Tapi, aku berpaling dan berlalu dari situ. Malas nak berbasa-basi. Malas nak beramah-mesra. Bukan cara aku. 

"Hai, takkan nak bersalam pun tak boleh? Adab mana?" Lelaki itu memuntahkan ayat yang tak berapa sedap masuk ke dalam telingaku.

"Belajar adablah, orang Malaysia, kan!" Wah, provokasi aku ke ni.

"Ke sebab kau nak tekel awek aku, tak dapat bro?" Berdesing dalam telinga.

Aku menghentikan langkah 30 meter daripadanya. Membelakanginya. One more word, 'kan ku bunuh kau manusia. 

"Cermin dirilah bro. Bawak lori bukannya ada masa depan. Nak awek cun macam ni, kerja pakai kemeja bawah air-cond-lah!"

DUSHHHHH!

Satu tendangan putaran berganda dilibaskan tepat ke muka jejaka itu. Terus rebah berpusing ke lantai simen. Darah keluar melalui hidung dan mulutnya. Pecah bibir agaknya.

Orang ramai yang berada berdekatan, mulai mengeluarkan henfon, merakam. Suka sangat ya dengan pergaduhan. Bukannya nak bantu meleraikan. Orang kita.

Hujan renyai-renyai membasahi kami bertiga. Hani segera membantu teman lelakinya bangun.

"Kurang ajar!" Jejaka itu bertempik. Cuba bangun dan menyerang. Namun, dibantah Hani. 

"Sudah! Sudah!" 

Aku berdiri tegap memandang mereka berdua. Membetulkan topi di kepalaku. Ku kira, sudah memadai dengan satu terajang. Aku membetulkan senjata di pinggangku. Tersembunyi di balik jaket. Tiba-tiba ku rasakan ada satu tamparan singgah di pipiku.

PANG!

Perempuan di hadapanku menampar dengan kuat sekali.

"Boyfriend saya pun awak nak bunuh ke?!" Menjegil keras padaku. Mungkin dia sangka, aku nak keluarkan pistol dan menamatkan riwayat lelaki kesayangannya saat itu. Oh. Begini rupanya orang bercinta. Seribu kebaikan akan tertutup dengan satu keburukan saja.

Aku mencerun ke dalam matanya.

"Hidup mati kau, aku dah tak peduli. Deal is deal. Aku cuma nak selesaikan task aku. Dapat duit aku. Bunuh semua yang menghalang dalam laluan aku. Sesiapa saja, hatta kau sekalipun."

Dalam nada suara yang perlahan, yang tidak didengari oleh jejaka kesayangannya. 

"Dah, pergi!"

Perempuan itu mengusirku dari tempat tu. Aku melihat dengan hujung mata kedua-dua merpati sejoli tu sekilas. Kemudian, beredar dari tempat tersebut.

Manusia memang tak boleh dipercayai. Tidak boleh diberi muka. Mungkin terkadang kita harus bicara, oh tidak, mungkin cuma perlukan sebutir peluru menembusi tengkorak kepala. Baru selesai segala!

***

Sepanjang perjalanan, Hani cuma mendiamkan diri di sebelah pakwenya. 

"Ceritalah apa yang telah berlaku."

"No. Tunggulah sampai rumah dulu."

"Rumah? Rumah Hani dah tak boleh masuk. Dah jadi kes polis. Apa yang dah berlaku? Itu yang abang risaukan sangat. Kita balik rumah adik perempuan abang okay. Hani stay sana dulu."

Perempuan itu cuma mengangguk setuju. 

"Siapa lelaki tadi? Kurang ajar sangat. Beriya nak mengurat Hani."

Hani mencebik bibirnya. 

"Bukan dia yang kurang ajar. Tapi, abang tu tak pernah berubah. Celupar sangat mulut. Dia kan tolong tumpangkan Hani saja. Bukannya dia mengurat pun. Lagi satu, mana boleh kita judge seseorang berdasarkan pekerjaannya, statusnya, pangkatnya? Bawa lori bukan kerja haram. Bukannya makan rasuah, makan riba. Bukannya menipu sesiapa. Bawa dengan berhemah, dengan cermat, ikut rules, itu kan menjadi suatu pekerjaan yang mulia juga? Lagipun, kerja pemandu lori bukannya sikit gajinya. Boleh cecah sampai 4-5 ribu juga sebulan. Tengoklah berapa trip dia mampu sebulan, bersengkang mata siang dan malam. 

Tahulah abang kerja best. Gaji up-up and away mencecah langit. Tapi, janganlah merendahkan orang lain."

"Tapi, my dear Hani, jika Christiano Ronaldo atau Messi bukan bintang bola terkenal dunia, ada tak siapa nak pandang? See, manusia memang menilai luaran!

If abang tak kaya, tak tampan, tak beriman, takkan Hani nak kan?"

Perempuan tu menarik muka masam bila teman lelakinya menjawab. 

"No. Hani pilih bukan atas dasar tu okay. Sebab abang baik dan pernah rapat dengan arwah ayah. Please jangan ulang mulut laser depan orang lagi. Jauhkan buruk sangka. Kalau tak..."

"Kalau tak, nak tinggalkan abang? Hanya sebab pemandu lori tak guna tu?!"

Hah. Hani terdiam sendiri. Malas nak sambung ayat. Kalau disambung nanti, bagai mencurah RON97 ke atas api yang sedang marak. Boleh terbakar satu kampung. Lelaki dengan ego tak dapat dipisahkan. Tercabar dengan kaumnya sendiri. 

"Malam ni tak bertugas ke?"

"Tak. Esok. Domestic saja."

Grab meluncur laju membelah malam. Menuju ke destinasi. Dalam kepala Hani, bermain-main ligat di fikiran, ke mana lelaki bertopeng mulut itu membawa diri. 

***

Aku tak berada jauh pun dari kenderaan perempuan ni. Job tetap job. Apa yang telah dimulai, mesti diakhiri dengan sempurna. Nama lagi pembunuh upahan. 

Entah motor Y15zr siapa aku tibai. Tapi, rasanya bukan motor standard ni. Laju pun dah lebih sepatutnya. Budak-budak sekarang. Ekzos pun macam mahal saja ni. Menderum semacam. Jentera pejuang ni tak ada masalah apa, cuma aku rasa coverset dia ni menyerlah sangat. Oren berapi. Aku rasa, ni dalam kategori YSuku Bangsawan. Tapi, too simple to unlock. Ah, persetankanlah owner motor ni siapa. Aku pinjam sekejap. Bukan nak buat lerai.

Aku lenjankan motor selajunya mencilok di celahan kenderaan yang bersesak-sesak meski waktu dah hampir ke tengah malam. Mengekori rapat. Hinggalah kenderaan Grab tu membelok ke taman perumahan orang have-have. Ada pengawal jaga jalan masuk. Okay. Aku perhatikan saja dari jauh. Berhenti di sebuah lot banglo mewah. Perempuan tu turun dan disambut seorang gadis di situ. Masuk ke dalam. Mudah diingat tempat ni. 

Aku pusingkan motor. Ronda sekejap. Cari tempat tidur. Nak mandi bagai. Badan dah berlengas. Rasa tak selesa. Seharian kot. Dalam kepala, masih tak nampak apa-apa clue dari pembunuh no.3. Aku pun terfikir, mana aku nak geledah dalam banyak pesawat tu? Nak cari apa dalam tu? Mungkin bukan dalam pesawat. Tak mungkin nak bergaduh membunuh dalam kapal terbang. Ramai orang kot. Mustahil. Kalau berlaku juga, boleh jadi headline berita seluruh negara. Lagipun, kawalan ketat. Tak mungkin aku dapat masuk mudah-mudah. Pasti terhalang di bahagian penguatkuasa. Kecuali, aku yang jadi penumpang. Lagipun, semua senjata pasti tak lepas dalam mesin imbasan. 

Okay. Dah jumpa hotel bajet berdekatan. 

Aku parking motor elok-elok. Daftar masuk. Naik mandi, tukar baju. Sempat tadi, masa ronda-ronda, aku beli baju di bundle. Layankanlah saja. Lelaki memang simple. Tak perlu memilih lama macam perempuan. 

Aduh, perut berbunyi-bunyi. Lupa, tadi aku tak sempat makan. Tak jadi baring. Ku capai suis motor. Turun kembali. Hidupkan motor. Cari port makan sekejap. Jumpa gerai tepi jalan. Bolehlah. Duduk, order. Tengah-tengah tunggu makan tu, datang seorang lelaki mendekati meja makanku. Kemudian, beberapa lelaki lagi datang mengerumuni. Orang-orang di sekeliling yang tengah makan disuruh beredar. Semua tinggalkan tempat itu cepat-cepat. Ku lihat di tangan mereka ada kayu besbol besi. Ada parang, ada belantan. Aku kira, dari 5 orang, bertambah jadi 25 orang. Semua berada di kelilingku sekarang.

Ada seorang mamat memegang helmet ARAI RAM4 X KODO berbelang merah oren datang kepadaku menepuk meja. 

"Bro, motor yang lawa-lawa, cantik-cantik, penuh bergaya tu motor bro ke?"

Dia senyum kambing sambil menyarungkan buku lima besi berwarna emas di penumbuknya. Aku cuma diam. Agaknya, owner motorlah ni. Okay.

Aku masih duduk. Tak bangun pun.

"Pinjam sekejap, boleh?"

"Ha ha ha. Ni bukan pinjam bro. Ni curi namanya! Lu kalau nak rembat pun, agak-agaklah, motor king kot. Buka sikit topeng lu ni. Semaklah gua tengok. Kecik besar, kecik besar saja!" 

Dia menghulurkan tangannya. Cuba mencapai dan menanggalkan topeng di muka ini.

"Huh!!" 


Bersambung..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!