Mungkin - Part 18



ZAP!

Tangan kiriku secepat kilat membentes tangan Pok Ya. Namun, tembakan dilepaskan serentak padaku.

Berdesing sampai ke gegendang telinga. Peluru menembusi bumbung dalam van ke luar. Sedang aku juga serentak, melepaskan tembakan tanpa belas ke arah pemandu lori. Meluru terus terbenam menerusi cermin tepat ke muka pemandu. 

Seretan berterusan. Lori tanpa pemandu terus menolak kenderaan kami ke depan. Pok Ya terus menyerangku tanpa menghiraukan keselamatan dirinya yang juga mungkin terbabas dan dilenyek lori yang masih laju. Mungkin bila-bila masa saja, boleh merangkak ke atas van sekiranya terlantun.

DUSHH!

Tumbukan padu singgah tepat ke muka Pok Ya sehingga lelaki itu tersembam ke arah cermin pemandu. Pecah berderai. Ku tapakkan pula kaki di dadanya hingga berderai terbuka pintu. Lelaki itu tercampak ke atas jalanraya. 

Ku pusingkan stereng ke arah yang lebih selamat. Ke kanan. 

BAMM!!

Sebuah lagi lori menghimpit dari arah kanan. Kemek habis tempat pemandu. Keadaan kalut seketika. 

"Bukak pintu! Lompat!"

Ku kerahkan Hani. Namun, pintu tepi dah terhimpit. Tak boleh buka. Ku halakan tembakan ke arah tayar lori. Sekelip mata, pecah berderai membingitkan lagi telinga aku yang dah meleleh darah. 

Van bergerak terus ke depan dengan tolakan lori dari belakang dan lori kanan yang masih menghimpit meski tayarnya dah pecah. Betul-betul mahu membunuh!

Ku ke belakang, tembak sampai hancur cermin belakang. Tembak lagi cermin depan lori di belakang. Tarik Hani cepat-cepat.

"Panjat!" 

Tanpa menghiraukan cebisan cermin lori yang tajam, Hani terus merangkak masuk ke dalam kokpit lori. Habis luka lengan dan tapak tangannya. Tersiat. Aku masih bergantungan pada luar kepala lori. 

"Tekan brek!!"

Kekalutan yang amat. Perempuan itu terpaksa mengalihkan mayat pemandu lori. Sebelum menapakkan kakinya cepat-cepat pada brek. 

Lori berhenti menyeret. Ku lihat van kami tadi dihimpit senget ke tepi oleh lori yang kekurangan tayar. Ku keluarkan senjata khas dari dalam beg. Panzer Arms BP-12 Bullpup Shotgun. Peluru yang pastinya lebih besar dan padu berbanding revolver atau pistol biasa. Yap, peluru shotgunlah. 

Empat das tembakan dilepaskan pada van yang sedang terseret ke tepi. Tepat pada tangki minyak di sebelah sisi. 

BUMMMMMMM!!

Satu letusan berapi di hadapan kami. Meski dalam hujan yang masih lebat. Serta-merta van tersebut terbakar. Namun, seketika saja padam dek air hujan yang membasahi tidak berhenti. 

"Tunduk!!"

Aku melompat turun ke sisi lori. Mengelak. Beberapa tembakan dihalakan pada kami. Rupanya Pok Ya dan pemandu lori menyerbu ke arah kami membabi-buta. Amatur sangat ni. Ku halakan revolver ke arah mereka. Tarik picu.

Satu.

Dua.

Kedua-duanya tumbang atas jalan. 

"Huh."

Ku hampiri mayat-mayat yang begelimpangan atas jalan. Cari sesuatu dalam kocek seluar mereka. Henfon. Ku lihat nombor yang sama pada log terakhir fon masing-masing. Dahlah fon cap ayam. 

Dail.

"Oh, Pok Ya dah mampus ya? Ha ha ha. Terima kasih tolong bunuhkan. Tak perlu aku bayar upah mereka!

Ini test kecil saja. Acah-acah. Bukan besar sangat pun kan ni? Aku tahu kau boleh handle benda simple macam ni. Ha ha ha."

Gelak ketawa di hujung talian berderai. Nyawa orang dibuat permainan.

"Aku dah bosan dengan permainan korang ni. Face to face sajalah jahanam."

"Wah, hero marah ke? Tak semudah itu bro. Kau sendiri yang melangkah masuk ke dalam permainan ni tanpa dijemput. Kau yang mulakan api persengketaan antara kita. Kau juga yang memetik button start kematian diri kau sendiri.

Aku akan pastikan kematian kau dengan paling azab sekali. Datanglah cari aku di airport. Aku ada di dalam salah satu kapal terbang di situ.

Ops, jangan buang fon itu. Barulah kau tahu apa permainannya bila kau tiba di sana. Ha ha ha."

Tup.

Talian terputus.

Aku menggenggam erat fon cap ayam Nokia 1100 berwarna hitam itu. Tak guna.

***

Ku campak mayat pemandu ke luar lori. 

"Kita gerak sekarang."

"Dengan lori ni?"

"Ya lah! Dengan apa lagi?!"

Naik suara pada perempuan di sebelahku. Dia terdiam di tempat duduk. Sambil mendepakan kedua-dua tapak tangannya di lutut. Darah bercucuran dari tapak tangannya. Luka tempoh hari yang belum pulih, kini berdarah kembali terkena cermin lori.

Aku hulurkan tisu yang ada di dashboard lori kepadanya.

"Tak payah! Biar saja berdarah! Biar!" Wanita itu mencerun matanya ke luar tingkap. Ku capai tangannya. Dia rentap kembali.

"Tak perlulah! Awak drive saja! Tak payah pedulikan saya! Saya kan takde fungsi! Menyusahkan awak saja kan?!"

Terasa hati sangat kot dengan aku. Ku capai tangannya lagi. Balutkan dengan tuala kecil dari dalam beg aku. Sambil berbisik perlahan,

"Maaf.."

Dia nampak senyum sedikit, tapi bila aku tenung, dia tarik muka masam kembali. Mengada.

"Sampai plaza tol, kita berhenti, naik teksi."

"Kenapa tak naik lori ni sampai ke airport?"

"Kau nak main hujan sampai airport ke? Tak ada cermin depan ni."

"Biarlah, romantik sikit."

"Kau ni..."

Aku cepuk juga perempuan ni. 

***

Kami tiba di sebuah RNR. Turun dari lori. 

"Kita berhenti di sini?"

"Ya, kau nak pergi mandi ke, makan ke, pergilah."

Hani hulurkan tangan. Tadah dua-dua.

"Apa?"

"Duitlah cik abang. Suami kan kena bagi nafkah. He he."

Aduh dia ni. Ku hulurkan beberapa not 50 padanya. Aku menanti di tepian lori. Ada beberapa orang yang lalu-lalang di situ bertanya tentang keadaan lori tu. Aku cuma jawab pecah cermin kena batu. 

Aku berbaring di tepi lori. Penat. Menanti perempuan ni bersiap, lagi penat. 

45 minit kemudian, Hani datang duduk di sebelahku yang terlelap berbantalkan beg sandangku. 

"Bangun, bangun." Dibawakan padaku sekali makanan. 

"Makan, nah." Tangannya ku lihat dah berbalut elok. 

"Tangan kau, okay tak?"

Hani cuma mengangguk, senyum padaku. 

"Nak saya suapkan ke?" Hani bukakan makanan, acah-acah suapkan sudu ke mulutku. Cepat-cepat ku elak. 

"Tak payah mengada. Aku tembak kang."

Sedang Hani tergelak-gelak kecil, lalu seorang lelaki berjaket kelabu. Tegap lagi kacak. Berdiri di hadapan kami dengan helmet full face dikepit di lengannya. Biker agaknya. Aku segera mencapai pistol semi-auto yang terselit di pinggangku di sebalik jaket. Bersedia dengan segala apa kemungkinan.

"Eh, Hani!"

Wanita di sebelahku berdiri sama.

"Eh!" Hani terkesima sama.

"Buat apa kat sini? Abang call berkali-kali tak berangkat. Ya Allah! Panjang jodoh kita, jumpa kat sini. Abang dah cari satu KL, tak jumpa. Mintak tolong geng bikers semua tak ketemu jua.

Risau tau tak?!"

Abang? Abang kandung ke? Aku mendongak melihat tepat ke muka jejaka di hadapanku ini. Bermisai halus bak Hael Husaini. Berambut pomade gores tepi. Tinggi dalam 170cm ke atas. Maybe cecah 180cm. Berkulit cerah. Bibir pun kemerahan. Hidung mancung. Artis ke kau ni? Aku bertelahan dengan diri sendiri.

"Maaf, abang. Nanti Hani ceritakan lepas ni. Panjang ceritanya."

Dia mengalihkan pandangannya kepadaku yang sedang pegang bekas plastik makanan dengan sebelah tangan.

"Ni siapa? Tell me dear, who is this? Hani tahu, kan. Abang tak suka Hani keluar dengan mana-mana lelaki selain abang."

Aku mencerun mata ke arahnya. Tajam.

"Kenapa tak boleh?" Aku cuba mencelah.

"Dia ni girlfriend aku! Memanglah tak boleh!!"

Suaranya meninggi padaku. Aku letakkan bekas makanan. Berdiri tegak menghadapnya. 

Hani berada di antara kami.

Buku limaku genggam kemas.


Bersambung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!