Mungkin - Part 17







Ku capai badan yang kian lesu dalam air. Tolak ke permukaan air sungai yang sedang mengganas. 

Timbul tercungap-cungap mengambil nafas di permukaan. Tenggelam-timbul dalam pusaran air. Dah entah ke mana dihanyutkan. Ku lihat Hani dah kaku macam mayat hidup dalam air. Ku tarik kembali segigih mungkin ke tebing. Kais tangan dan kaki rempuh segala badai air sungai yang berombak tanpa simpati.

ZAP!

Akar kayu yang terjuntai di tebing ku sambar laju-laju. Ku tarik Hani sekuat boleh. Hayunkan ke tebing. Tolak naik ke tebing. Dah naik. Tapi, aku tak pasti bernafas lagi atau tidak. Segera aku panjat naik ke tebing. Beg senjata tidak terlepas dari belakangku.

Ku sentuh nadi tangannya. Masih ada. Cuba CPR. Tak berjaya. Ku angkat Hani dalam keadaan terbalik. Goncangkan berkali-kali. Setelah beberapa mencuba, barulah perempuan tu muntahkan air sungai.

Kembali bernafas.

Hani memandangku kaget. Bagai hidup semula dari sebuah kematian. Matanya tak berkelip memandangku. Terbeliak. Urat-urat di biji matanya kelihatan. Kesan dari lama berpusing dalam air. 

Aku terduduk di sebelah perempuan itu yang terbaring. Berlutut. Tunduk memandang wajahnya. 

"Kau jangan mati sebelum aku, boleh?" Gigil dalam tutur. Entah kenapa, kebimbanganku bagai dicabar. Rasa senak sampai ke ulu hati menahan sebuah kerisauan yang tak tentu arahnya.

Rambutku yang kebasahan mengurai jatuh ketika menunduk. Titik-titik air sungai jatuh ke pipi Hani bertukar menjadi air yang berwarna kemerahan. 

"Awak...awak.."

Hani segera menjamah belakang rambutku. Tangannya terpalit banyak darah. Hasil hentakan padu kayu hanyut dibuai arus deras tadi. 

Segera dia membuka beg, mengeluarkan tudung yang dibelinya, cepat-cepat ditekapnya pada lukaku. Aku memandangnya lama. Dia pun sama.

Aku cepat-cepat bangun, mengalihkan tekapan tangannya. Terhuyung-hayang. Penat. Setelah berhempas pulas dari tebing kematian. 

"Geraklah.."

"Awak.."

Aku tak berpaling pada suara yang memanggilku di belakang.

"Awak, terima kasih sebab berkali-kali selamatkan nyawa saya. Tak pernah ada dalam hidup ni, seorang lelaki sanggup korbankan nyawanya untuk saya.

Terima kasih!"

Aku dengar isak tangisnya di belakang. Ku melangkah tanpa membalas. 

Business matter. Nothing personal.

***

"Demo duo ore nok gi alah ke mano?" 

Kereta 'private sapu' orang tempatan di kawasan itu menyapa kami.

"Kuala Lumpur boleh?"

"Aii..jauh tu. Bulih nok gi jugok, kawe keno roger gu kawe la. Kereto dio beyeh sikit."

Kami menanti di luar kenderaan.

"Mari, mari masuk. Kawe gi hantar ke bandar Rantau Panjang."

Kami masuk dalam kereta. Aku duk depan. Hani di belakang. Kereta meluncur sederhana laju ke pekan Rantau Panjang.

"Demo dua ni mari alik nun (sempadan Thai) ke?"

Aku tak jawab. Hani yang berada di belakang ketawa kecil kononnya mengiyakan pertanyaan pemandu tu.

"Oh, mari nikoh lik nun la ni. Takpo, takpo. Kawe pehe. Susah sekarang ni, orang tua tak setuju, terpaksalah nikoh lik nun. Kawe pun nikoh lik nun jugok."

Hani dah tergelak di belakang. Aku tembak juga mamat Kelantan ni. Banyak soal sangat.

20 minit kemudian, kami tiba di pekan. Lelaki tu menyuruh kami menunggu di suatu tempat. Tapi, aku minta untuk jalan-jalan sekejap di sekitar tu. Dia kata okay. Dia kata orang luar memang suka beli-belah situ. Murah. Sporting gila orang Kelantan ni.

"Jomlah abang, saya nak beli tudung lagi."

Woi. Ni dah lebih. Perempuan ni berlakon mengada-ngada depan orang pula. Bikin malu aku saja. 

Aku ikutkan saja. Memang kena beli something pun. Baju dah comot dengan lumpur. Singgah beli baju dan jeans. Ya, tudung lagi. 

"Abang! Tengok ni sayang pakai. Cantik tak?"

Ish. Aku hempuk juga minah ni. Orang dalam kedai tu tersenyum-senyum melihat kami. Aku kerutkan kening. Dah tukar baju dah. Perempuan itu mengenakan jeans dan shirt lengan panjang. Dengan jaket jeans lusuh yang sedondon dengan seluarnya. Ya, tudung dua-tiga helai lagi. Kali ni, siap belit shawl. 

"Sudah, dah tak ada masa. Cepat."

"Ala.."

"Aku pukul kau sini kang."

"Ha, pukullah, biar semua orang dalam kedai ni tengok. Biar mereka tahu saya ada seorang suami yang kejam."

"Argh. Biadap."

Aku keluar dari kedai. Tinggalkan. Dia cepat-cepat menuruti langkahku. Tahu pun tak nak duduk situ lama-lama.

Sudah ada sebuah van menanti kami di tempat tadi. 

"Guano, puah hati doh ko beli? Takpo, kawe bulih tunggu. Ni saing kawe, Pok Ya. Dio akan bowok demo ke KL. Ngupoh RM200 gi balik. Minyak sajo jah tu. Bereh?"

Aku angguk saja. Tak kisah. Ku hulurkan duit awal-awal. Extra RM100. 

"Eh banyak ni bos." Pok Ya menolak awalnya. Tapi, ku katakan ikhlas nak bagi. Janji sampai dengan selamat. Padahal, dia tak tahu, mungkin nyawanya boleh melayang sepanjang perjalanan ke KL.

"Ni ore tino demo ko? Comey. Ore pakat tengok belako. Tengok sekali supo ore Kelantan."

"Tak, orang Selangor." Hani mencelah. Senyum sampai ke telinga dengar pujian orang.

Perjalanan bermula.

"Kita nak berhenti mano di KL?"

"KLIA 2"

"Jauh tu dari KL."

Aku hulurkan lagi RM100. Pok Ya diam tersengih-sengih. Van memecut laju.

Siang berganti malam. Aku terlelap dalam kereta. Pedih di belakang kepala. 

"Bakpo tok laki awak pakai topeng muka?"

"Oh, dia selesema. Doktor kata berjangkit. Influenza apa entah. Ni kalau kena gatal hidung sebulan, tau." Hani tersengih-sengih menjawab di belakang.

"Uish, bahayo tu."

"Berapo lamo doh nikoh?"

"Err, baru je. Nikah kat siam." Hani galak menjawab.

"Berani deh awok. Ha ha." Pok Ya gelak sambil memandu.

Aku yang dari tadi terlelap pun terjaga dengan gelak ketawa minah ni. Bila aku berpaling ke belakang sedikit, terus perempuan tu terdiam.

Tahu takut.

***

"Kita nak lalu LPT2 ni. Bereh dok?"

Aku mengangguk saja. 

"Kenapa dengan LPT2?"

"Jale berhantu bos. Ha ha ha." Lelaki separuh abad tu ketawa. Malam, dah pukul 10. Sekejap saja masa berlalu. 

Hujan lebat juga malam ni. Musim hujan agaknya. Iklim dunia memang tak menentu pun sekarang. Sekejap panas, sekejap tak. 

"Sunyi saja kan jalan ni?" Hani bertanya Pok Ya.

"Iya. Biasanyo orang lalu jalan satu lagi. Ikut Lipis-Raub. Mugo jalan ni banyak sangat eksiden. Tapi tulah, bowok laju memey eksidenlah. Ha ha ha. Kalu bowok 80 supo Pok Ya, selamat dunia akhirat. Ha ha." Suka berseloroh ya orang tua ni.

Kilat sabung-menyabung. Van kami terpaksa diperlahankan lagi. Hujan lebat yang menghentam cermin depan mengehadkan penglihatan. Wiper dah full speed. Garisan putih di jalanan tak nampak. Nampak seperti berjalan atas permukaan air.

"Kito berhenti dulu deh tepi jalan! Lebat sangat ni!"

Aku mengangguk saja. Padahal, boleh saja aku yang memandu. Redah sajalah kalau takat hujan lebat macam ni. Apadehal.

"Tapi, tak bahaya ke duk tepi jalan macam ni?" Hani bertanya. 

"Takpo, Pok Ya pasang double-signal doh. Awok jangan rungsing."

Aku melihat di luar tingkap. Hutan kiri kanan. Berbalam dalam penglihatan hujan malam. Gelap betul jalan ni. 

Tiba-tiba, aku perasan lampu cerah sangat datang dari arah belakang van. 

BUMMMM!!!

Van kami terperosok ke depan. Pelanggaran hebat. Sebuah lori pasir melanggar van kami dari arah belakang. Masih tak membrek. Aku tarik Hani ke kerusi hadapan segera. Cuba tunjal pintu hadapan yang enggan terbuka. Dari cermin belakang yang pecah, ku lihat sosok seorang lelaki bertopeng.

Ini bukan kemalangan. Ni sengaja!

Ku keluarkan laras revolver 500 Magnum Smith & Wesson yang mempunyai muncung panjang. Sesuai untuk fokus yang lebih tepat dan tajam. Ku acukan tepat ke arah pemandu lori.

Tapi, dalam masa yang sama ada bunyi klik dari sebelah kiri. Kepalaku diacukan pistol oleh lelaki yang memandu van yang ku naiki sekarang!

Bersambung..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!