Mungkin - Part 9



Kereta meluncur laju ke penghadang jalan tepi lebuhraya.

Ku tekan lagi laju. Biarkan perempuan tu gelabah mengawal stereng kereta.

"Aku nak tengok jauh mana kau tak takut mati."

Wanita yang tadi tunjuk psiko dengan meracau tak tentu, kini bertukar riak muka. Nak drama sangat, kan. Ini baru real. Aku rasa, wanita-wanita psiko ni berlambak kalau nak tengok di Facebook, tambah-tambah di laman web kisah rumahtangga tak guna. Meratib kisah-kisah dungu derita rekaan. Membawang sambil meroyan. Golongan lelaki pun ada. Memalukan.

Nak psiko dengan aku? Silap oranglah. Aku bukan suami kau.

"Weh! Brek! Brek!"

Wanita itu mencapai brek tangan, tapi ku tekan brek tangan ke bawah. Dia makin kelam kabut mengawal stereng.

"Dah! I'm sorry! Sorry!!"

Aku tarik hand brake dan tekan brek kaki.

ZZzzssssssss!!

Satu meter saja lagi. Satu meter kereta akan merempuh penghadang andai terlambat bertindak. Kesan tayar brek mendakwati atas jalanraya.

Wanita itu pucat lesi. Berlinangan air mata. Takut. Sangat takut dari riak mukanya yang trauma.

"Saya ingat awak orang baik! Tapi, awak ni memang orang gila! Gila!

Bukan manusia! Cuma seorang pembunuh!!"

Aku diam tidak berkata-kata. Kau bukan orang pertama yang memaki aku manusia yang tidak waras. Aku sendiri, setiap detik dan waktu mengutuk diri sendiri dengan sekeras-keras kutukan. Kerana tiada satu tidur malam pun aku boleh bermimpi dengan indah tenang. Lelapku sentiasa tidak keruan, penuh gangguan. Dihantui roh-roh dan jiwa yang tidak tenang.

Ku teruskan pemanduan merentasi lebuhraya. Menuju ke sempadan.

Tiada satu patah perkataan pun keluar dari mulut wanita itu sepanjang perjalanan. Bencinya padaku mengatasi segala-galanya.

Tak kisah. Aku bukan nak mengemis cintanya. Aku rasa, kalau lelaki tengok dia ni, beratur nak berkenalan. Huh, tipikal lelaki suka pada perhiasan cantik. Pelacur-pelacur di serata dunia kau ingat hodoh? Kalau cantiklah yang dikejarkan.

Aku, pembunuh upahan.

Kerja aku, bunuh orang. Bukan ambil hati orang.

Setel.

***

Menghampiri Bukit Kayu Hitam.

Ku lihat di cermin sisi, sebuah peronda datang dengan laju mengejar kereta kami. Aku tidak melajukan kenderaan. Membiarkan saja ia mendekati.

Disuruh berhentikan kenderaanku ke tepi.

Di saat aku mula menyingkap topeng muka, wanita di sebelahku bertindak liar. Membuka pintu kereta cepat-cepat. Meluru ke arah abang-abang polis.

"Encik, tolong saya! Dia ni pembunuh! Tolong!"

Hm. Tak guna.

Aku diarah dengan keras supaya keluar dari kereta dengan kedua-dua tangan diletakkan di belakang kepala. Aku diacukan pistol oleh kedua-dua polis. Disuruh membelakangi mereka. Rapatkan ke body kereta.

Seketika, satu kejutan arus elektrik mengalir di belakang leher. Taser X26P. Dari jarak dekat pula tu. Benda tu sepatutnya dari jarak dekat, tapi tidaklah sedekat ini penggunaannya. Cuba memengsangkan aku. Namun, aku dah lalui latihan keras dengan benda-benda ni. Pengsan tidak, lemah iya.

Aku ditarik masuk dalam kereta. Dengan tangan bergari. Mukaku diselungkup dengan beg hitam. Padahal aku dah bertopeng.

"Encik, kenapa gari saya?" Ku dengar sayup-sayup suara wanita itu. Sebelum, diam tak kedengaran. Dihentak sampai pengsan. Sama, ditarik masuk ke dalam kereta.

Heh. Pasti.

Pasti ini bukan polis.

Penyamar semata.

***

Sepanjang dalam kereta, aku mendengar perbualan mereka. Dalam bahasa Thai. Bukan orang Malaysia. Entah mana mereka rembat kereta peronda ni, atau custom made sendiri. Memang gigihlah.

Jauh betul rasanya perjalanan. Sampai di satu tempat, kami dikeluarkan dari kereta. Dimasukkan pula dalam kereta lain. Sangkaan aku, kami dah berada luar Malaysia. Makin pekat dialek dan bahasa tempatan pemandunya. 

Kali ini, kenderaan lebih laju. Sehinggalah beberapa jam kemudian, bertukar lagi kenderaan. Tanganku yang terhimpit di tempat duduk sudah merasa lenguh-lenguh. 

***

Akhirnya, kereta diberhentikan.

Kami ditarik keluar dari kereta. Berjalan beberapa langkah. Sebelum beg hitam dibuang dari kepalaku.

Sekarang, aku melihat jelas. Aku berada dalam sebuah gudang yang luas. Wanita di sebelahku terkulai layu di lantai. Masih tak sedarkan diri.

Gariku dibuang. Orang-orang yang membawaku kemudian berlalu pergi. 

Tup.

Lampu gudang dibuka. Mataku berpinar sekejap dengan cahaya sekeliling. Rupa-rupanya kami berada dalam sebuah sangkar besar. 

"Stage."

Aku nampak tempat duduk penonton di sekeliling. Ni gelanggang perlawanan maut. Tiada undang-undang dalam sini. Hanya perjudian. Yang menang atau kalah, semua ditaruhkan dengan nilai tinggi. Sama ada aku diletakkan dalam senarai orang patut mati, atau sebaliknya. Mereka akan vote untuk itu. Aku yakin, perjudian ini bukan hanya setakat ditonton dalaman saja, malahan luaran. Tengoklah kamera berdefinisi tinggi dipasang di serata gelanggang. Pastinya, live streaming sampai luar negara. Kematian yang dibuat keuntungan besar. Lebih besar dari upah membunuh.

Pembunuh kapitalis.

Satu lampu limpah disuluhkan pada satu tempat duduk tinggi bagaikan raja. Kedengaran suara dari mikrofon menggegari seluruh gelanggang.

Mengejutkan sama perempuan di sebelahku dari pengsan.

"Selamat datang.

Akhirnya, Tanpa Nama yang begitu hebat telah sampai juga ke gelanggang terulung aku ini. 

Aku pun tak menyangka, kau dapat bunuh member-member aku yang dikira dah cukup hebat. Tapi, hebat apa kalau akhirnya mampus sudah kan?"

"Apa yang kau nak sebenarnya?!" Aku melaung dari bawah.

"Simple. Berlawan dengan aku dalam gelanggang ini. Satu lawan satu. Senjata kau bebas pilih melainkan senjata api. Kau nak guna parang, pedang, tombak, pisau, keris, apa saja kau nak. Silakan. 

Kalau kau menang, aku dah cakap hari tu. Kau bebas dari cengkaman aku dan seluruh networking yang berkait dengan aku. Dan kau dapat keistimewaan untuk menghadap tiga pembunuh terhebat di carta Malaysia. Kah kah kah.

Kau tahu, aku boleh bunuh kau dengan mudah sekali sepanjang perjalanan kau ke sini. Tapi, berterima kasihlah pada aku yang mengatur hidup mati kau. 

Aku beri peluang pada kau, bro. Kah kah kah. See, aku Tuhan di sini. Aku yang takdirkan kematian kau. Kau tak bersenjata sekarang, sekali petik jari, seluruh tubuh kau dari atas sampai bawah boleh berlubang ditembak dari setiap sudut.

Tapi, tidak berlaku sedemikian. See, aku Maha Pemurah.

Sebab itulah, orang panggil aku "thần chết" atau
Dewa Kematian."

Heh. Kau bukan Tuhan. Berlagak Tuhan semacam Firaun. Tak hairan, berapa ramai ahli politik pun berlagak seperti Tuhan bila dapat kuasa memimpin. Kau tu, cuma manusia biasa. Aku boleh bunuh kau seperti kau boleh bunuh aku.

"Aku bagi kau 15 jam untuk bersedia. Makan minum semua sudah aku sediakan dalam kamar khas! Ha ha ha! Lihatlah aku Maha Baik!

Jangan risau, aku tak berminat dengan perempuan tu. Aku lagi kaya darinya. Lagi kaya dari bapaknya. Lagi kaya dari seluruh keturunannya. Setakat berpuluh juta beratus juta aku tak heran. 

Dadah yang aku pasar di seluruh dunia saja sudah cecah bilion USD. Itu tak termasuk Crypto Currency yang berpihak pada orang bijak manipulasi seperti aku. 

Aku lebih bijak dari orang politik kah kah kah. Kau tahu apa beza aku dengan mereka? Mereka berpura-pura baik ambil hati rakyat, padahal guna duit rakyat. Tapi, aku tak berpura-pura, aku terus ambil duit sesiapa pun yang aku nak dengan perniagaan yang aku bina sendiri!

Apa yang sama? Aku guna mikrofon di sini, mereka guna mikrofon di pentas penipuan rakyat!

Kah kah kah!"

Banyak cakap dia ni. Aku benci orang banyak cakap. Aku rasa nak tembak halkumnya sampai jadi Sajat. Biar keluar suara pondan macam si Syinta Gila.

"Ingat! 15 jam saja! Oh ya, kalau kau nak makan sup babi "bun cha" untuk menambah kekuatan dalaman kau masa bertarung, aku boleh sediakan. Ha ha ha!"

Diamlah bodoh.

Tup. Lampu ditutup. 

Tap. Lampu dibuka.

Kami berada dalam kamar berasingan sebelah menyebelah. Mewah kamarnya. Dengan bilik air yang luas dan tempat tidur yang selesa. Ternyata, lelaki tadi tidak bercanda. Memang kaya.

Aku mengadap makanan yang disediakan. Okay, tak ada babi. Makan dengan lahap. Lapar sejak malam tadi. Siap makan, terus baring. 

Tidur. Aku nak tidur puas-puas. Sebelum mati, aku nak rehat.

Mungkin ini tidurku yang terakhir.

***

15 jam berlalu.

Pintu kamar dibuka. Dimasukkan satu troli penuh senjata.

"Choose one." Bunyi Vietnam.

Mataku terpaku pada satu senjata ni.


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!