Mungkin - Part 8



Ku buka mata. Ku rasakan dingin di pipiku. Lembap air.

Seorang wanita sedang mengelap wajahku. Seseorang yang ku sangat kenal.

"Natasha?"

Wanita itu senyum. Teruskan mengusap wajahku. Dia cuma senyum. Tidak menyahut panggilanku. Terasa tenang dalam dada. Terasa hilang lelah sepanjang diri ini menjadi pembunuh. 

Membunuh orang bukanlah suatu kepuasan pun pada diri. Kau akan ingat bagaimana pandangan seseorang yang dibunuh itu sampai bila-bila. Kau akan ingat jeritan kesakitannya. Kau akan 
melihat bagaimana azabnya sakaratul maut mereka. Jangan sangka mereka yang ditembak di kepala sehingga tembus depan ke belakang tu sakitnya ringan. Peluru berlegar dalam otak, kecaikan dinding otak dan tengkorak kepala, sebelum menembus keluar. Kadang-kadang meletup di dalam sehingga shock segala saraf dari atas ke bawah serta-merta. Kesakitannya? Andai yang mati boleh hidup semula, sudah pasti mereka akan katakan kesakitannya tidak terperi.

Aku cuba gerakkan tanganku. Nak menyentuh tangannya. Tapi, dia mengelak. 

ZUP!

Peluru shotgun menembusi dari tepi kepala kanan ke kiri, mengopek tengkorak kepala sampai pecah berderai di sebelah kiri. Tercabut matanya. 

Tidak!!

Aku menjerit semahunya. Meronta. Ku keluarkan pistol yang tersisip di pinggang. Segera bangkit dari pembaringan. Mencari-cari arah datangnya tembakan. Biar aku lumatkan kepala kau pula!

***

"Hei, hei! Jangan!"

Seorang wanita meronta-ronta minta dilepaskan. Lehernya dicekik oleh sebelah tanganku. Sambil kepalanya diacukan tepat dengan pistol.

"Awak, berhenti!"

Aku lepaskan genggaman pada lehernya. Tersedar dari mimpi ngeri. Wanita si anak jutawan hampir sesak nafas. Hampir saja dibunuh oleh tanganku sendiri.

"Kenapa awak ni?! Tetibe je?!"

"Kita di mana?!"

"Klinik!"

"Ah, bodoh! Kita tak boleh berada di sini, nanti orang tahu!"

"Jangan risaulah! Doktor dia baik! Kalau tak, dia takkan ubati luka di bahu awak! Dia takkan hentikan racun yang merebak di bahagian tu!"

Aku terus berwaspada dengan pistol yang dipenuhi peluru, bila mendengar tapak kaki manusia menghampiri kamar rawatan. Terus mengacukan senjata pada doktor yang muncul.

"Kau dah report polis, kan?!"

"Tak, tak. Saya tak buat apa-apa laporan polis. Saya doktor. Tugas saya merawat pesakit. Bukan menangkap penjenayah. Even penjenayah sekalipun datang terlantar di sini, saya akan rawatnya dengan sehabis daya yang mungkin."

Doktor perempuan separuh abad itu duduk tenang di kerusinya. Tanpa menghiraukan amaran kerasku.

"Mari sini, saya nak periksa sekali lagi. Sebelum kamu berdua pergi dari sini. Racun tu saya pernah tengok sebelum ni kena pada seorang pakcik tua. Tak silap saya, itu adalah racun perosak Prothiofos yang telah diharamkan penggunaannya di negara kita. Bahaya kerana boleh merosakkan terus organ dalaman jika terkena."

Lenganku ditarik kuat oleh perempuan bertudung putih. 

"Duduklah. Doktor nak check tu, kan! Jangan degil!"

Doktor tu tenang memegang bahagian bahuku dengan berhati-hati. Menyelak sedikit bahagian luka.

"Syukur, tengok bahagian bawah dari lengan tidak lebam membiru. Hanya tempat yang tertembak saja. Kamu bernasib baik, tiada peluru dalam daging. Kalau tak, kena transfer ke hospital besar. Saya dah jahitkan luka yang berlubang tadi.

Makan ubat ni untuk tahan sakit dan untuk tawarkan racun dalam badan. Saya dah inject tadi, rasanya dah tak apa-apa."

Aku menurunkan pistol. Sisip kembali di pinggang.

"Berapa kena bayar untuk tutup mulut doktor?"

Doktor tu terkesima seketika dengan soalanku. Namun, dia tenang menjawab,

"Hanya perlu doakan saya panjang umur. Banyak lagi amal yang saya tak sempat nak buat atas dunia ni. Boleh?"

Jawapannya membuatku pula terkedu.

"Doktor, jangan ambil hati. Dia sebenarnya baik. Dia selamatkan saya dari buruan para penjahat." Perempuan jutawan mencelah di sisi.

Aku menyarung kembali jaket leather cokelat ke tubuh. Dengan pandangan tajam pada perempuan bertudung putih.

"Jangan risau, saya tak buka pun topeng awak. Doktor pun tak buka. Tadi, saya selimutkan kepala awak dengan jaket tu lah. Gigih tau saya drive ke klinik ni."

Aku diam. Tak banyak cakap. Keluar dari kamar rawatan tu dengan tergesa-gesa. Ikut jalan belakang. Tanpa ucapkan terima kasih sedikit pun.

Aku tak percaya dengan segala kebaikan. Pasti terselit sesuatu yang mereka inginkan. Semua orang cuma nak mengambil kesempatan atas muka dunia ni. Sikit saja yang benar-benar ikhlas dalam perbuatan.

Selebihnya, sampah yang cuma mahukan perhatian. Betapa ramai manusia berbuat baik dan pamer di media sosial demi pujian. Menolong demi sesuatu.

***

Dalam kereta, aku cuma diam membisu. Pada aku, bekas tembakan itu bukanlah apa sangat. Bukan kali pertama aku terkena tembakan. Aku pun dah lupa berapa kali sejak aku berkecimpung dalam dunia bunuh-membunuh.

"Awak tak lapar ke? Saya ada belikan awak makanan tadi."

Aku diam. Malas nak layan.

"Nak saya suapkan ke?"

Aku berhentikan kereta di bahu jalan secara tiba-tiba.

"Kau jangan buat apa-apa yang aku tak suka. Tak perlu buat apa-apa keputusan untuk aku. Tak payah nak bawak aku ke klinik atau hospital. Tak payah nak buat baik dengan aku!

Kau cuma betina yang tiada sebarang nilai tanpa duit juta-juta!!"

Ku jerkah semahunya. Sampai bingit. Kemarahanku memuncak entah kenapa.

Wanita itu terdiam. Meletakkan kembali plastik berisi makanan ke ruangan kaki. Memalingkan mukanya ke arah tingkap yang bertinted gelap.

Diam sediam-diamnya.

Aku masukkan gear. Pulas stereng keluar dari bahu jalan. Tiba-tiba, stereng kereta disambar oleh wanita di sebelahku dengan ganas.

"Dah saya ni tiada apa nilai! Dah saya ni cuma ada nilai bila berduit! Oh! Duitlah segala-galanya yang penting dalam dunia ni! Why not saya mati saja?!!"

Dia membentak ganas. Mengawal-ngawal keras stereng ke kiri ke kanan. Kereta bergerak di lebuhraya terhuyung-hayang macam mabuk.

Baiklah.

Ku biarkan. Aku lepaskan stereng. Biarkan saja kereta itu meluncur menuju ke tepi gaung.

Ku tekan minyak sampai mencanak meter.

Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!