Mungkin - Part 16



"Cepat."

Huluran tanganku tidak bersambut. Hani ragu-ragu dalam percaturan dan langkah. Apa tidaknya, melihat air sungai yang begitu deras. Hanya orang gila yang berani mengharunginya. 

Langit pagi itu gelap. Hujan rintik-rintik yang kian beransur menjadi lebat. Air yang sudah sedia deras. Hampir pasti akan menjadi ganas bila-bila masa saja. Nope. Bukan hampir, tapi pasti!

Aku mencerun mata ke arahnya.

"Kau nak mati di negara orang, atau nak mati di negara sendiri?!"

Air sungai menghempas aras leherku. Sedar, mungkin kepala air di mana-mana tempat tinggi sudah mula bergerak turun. 

"Apa jaminan awak saya akan selamat?!" Hani meninggi suara dari tebing. Masih enggan.

Tiada apa jaminan pun. Tulus, tiada.

Nak dibandingkan kedalaman air sungai ketika di dalam hutan tempoh hari, yang ini lebih dalam. Memang kerja gila, tapi ini saja jalan termudah dan tak perlu melalui birokrasi. Tak perlu panjangkan cerita. Hanya perlukan satu keberanian semata. Satu keberanian untuk satu nyawa.

"Aku jamin kau, dengan nyawa aku!" Terpacul rangkap kata ini dari mulut aku. Membuatkan perempuan itu yang kian rapuh semangatnya, kembali nampak keyakinan.

"Tak ada tali pun! Macam mana nak berpegang kalau hanyut?!" Hani masih bersoal-jawab demi menyakinkan dirinya lebih dari aras maksima. 

"Macam mana kalau saya lemas nanti?!"

"Macam mana kalau......."

ZAS!

Aku terus menyambar tangannya dari tebing tanpa sempat dia menghabiskan pertanyaan. Kelam-kabut seketika dirinya. Aku dan dia tenggelam dalam arus deras sekejap. Sepuluh saat kemudian, timbul kembali di permukaan. Cuak gila muka perempuan tu sekarang. 

Kakiku sudah tidak mencecah dasar. Kami sudah di tengah sungai deras yang arusnya menggila sekarang. Hujan lebat menambah lagi keseraman air. Air masuk hidung dan mulut, menerpa ke dalam mata dan telinga. Tercungap-cungap. Aku sedaya-upaya menguak dengan sebelah tangan. Menarik perempuan itu lebih tinggi dari kedudukan aku. Biar sentiasa mencecah permukaan.

"Kau rilek sudahlah! Jangan kalut!" Kalut betul. Kekalutan macam ni, hanya akan mempercepatkan kau lemas dibawa arus. Otak tak boleh berfikir. Kaki tangan semua terkapai-kapai.

Aku berenang dengan sekuat boleh. Kuak sekuat tenaga. Dengan beban beg senjata di belakang, dengan sebelah tangan memaut perempuan ni. Ada separuh jalan lagi. Separuh lagi dah!

Aku tengok perempuan ni macam shock terlampau. Macam nak pengsan. Mata bundarnya memandang aku. Putih matanya kian kelihatan. Aku dah cakap dah, kena tenang! Tak dengar! Air dah masuk hidung, masuk mulut, tak boleh bernafas! 

Seketika, Hani tak sedarkan diri.

Aku tempuh lagi dengan cara merintangi arus. Tapi, aku mulai sedar, cara ni takkan berkesan. Merentasi lurus hanya akan menyebabkan aku dan dia lemas sia-sia. Baiklah.

Aku menghentikan kuakan. Hentikan renangan. Biarkan arus menghanyutkan kami! 

Namun, kakiku tidak diam, menguak sedikit demi sedikit bak kemudi bot. Injak sikit-sikit setapak ke setapak menuju ke tebing. Taktik ni agak berjaya. Arus ni membawa kami jauh sikit dari destinasi tebing yang asal. Tapi, ini lebih baik dari bertarung tenaga sendirian hingga lelah kelemasan. 

Ku sangka panas hingga ke petang. Rupanya, tidak. 

"Kepala air!"

Ku lihat dengan amat dahsyat sekali kayu-kayan, batang-batang pokok hadir dari hulu sungai dengan cepat sekali. 

Mampus.

Tenggelam-timbul sekarang dibadai arus deras. Kali ini, aku pula yang tercungap-cungap. Arus gila menghanyutkan kami ke tengah semula. Tadi, suku lagi nak sampai tebing. Sekarang, harapan tipis.

Sebatang kayu balak hanyut meluncur laju ke arah kami. Hani berada dalam posisi yang tak sepatutnya. Kena kepala ni, teruk akibatnya. Aku memusingkan badan dalam air, mengalihkan dirinya cepat-cepat ke sebelah yang lebih selamat. 

BUM!

Batang balak tadi menghentak belakang kepalaku. Seketika, pandanganku mula atas bawah, kiri kanan, berpinar. Tanganku memaut kuat tubuh Hani yang aku sendiri tak pasti hidup atau mati.

Kami kedua-dua tenggelam dalam air deras. Hilang dari permukaan.

Terakhir ku lihat, air di sekelilingku bertukar jadi warna merah. Darah dari kepalaku keluar dengan banyaknya.

Segalanya diam seketika.

Ke dasar.

***

Ku buka mata. Pedih.

"Dah bangun ye? Lama kamu tidur."  Aku berada di ribaan seorang makcik tua. Tersenyum buatku rasa sangat tenang. Mengusap-usap rambutku.

Aku tak tahu siapa. Tapi, sedikit pun tidak ku alihkan kepalaku dari posisi. Seakan sudah lama rasanya tidak berbaring seenaknya. 

Ku lihat sekeliling. Dalam sebuah rumah yang kecil. Ada mesin jahit Singer Sphinx Model antik di ruangan tamu. Besi. Ada helmet bertanda Z di belakangnya. Ada gambar motosikal tertampal di dinding bilik. 

"Susah kan hidup ni?" Orang tua berbicara denganku. Entah kenapa air mataku bergenang sendiri. Jatuh dari hujung-hujung tebing mata.

"Itulah dunia. 

Tempat kita merasa lelah. Tempat kita diuji Dia. 

Tika sihat, kita diuji dengan nikmat sihat. Syukur atau tidak. Tika sakit, kita diuji dengan nikmat jua. Sabar atau tidak. Jatuh bangun hidup ini, untuk kesakitan yang bersifat sementara. Berapa lamakah kehidupan seseorang? 50 tahun? 60 tahun? 100 tahun? Andai umurmu panjang sekalipun, namun bila nikmat sihat ditarik, relakah dirimu derita menanti detik akhir?

Akhirnya, barulah kita sedar, akhirat tempat berehat."

Orang tua itu mengusap wajahku. Menyentuh parut yang ada tanpa rasa ianya sesuatu yang cela hina. 

"Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. 

Jalan berliku berduri hingga melukaimu sekalipun, wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah pada Tuhanmu dengan rasa reda dan berserah. Masuklah ke Syurga dengan rasa tenang penuh kebahagiaan. 

Bukankah itu yang dijanjikan?"

Aku tak mampu mengungkap kata. Biarkan saja dia bicara.

"Ma ingin kita bersua di pintu Syurga..."

Saat itulah, air mata menderu. Hingga mataku sendiri kabur dengan air mata yang keluar. 

Ku pejamkan. 

Celik semula.

Ku lihat seorang perempuan terkapai-kapai dalam air sungai yang deras. Aku sudah berada di dasar. Masa tu lah, ku kerahkan seluruh kekuatan. Menguakkan tangan dan kaki sekuat hati. Semampu daya!

Makin lama, jarakku denganya makin dekat.

Namun, perempuan itu makin lemah kapaiannya. Tak mampu melawan arus yang masih menggila. 

Logiknya, tiada siapa mampu survive dalam arus begini. 

"Hani!"


Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!