Mungkin - Part 15



Berdas-das tembakan dilepaskan.

Satu demi satu tumbang. 

KLIK! KLIK!

Peluru revolver sudah kehabisan. Seorang daripada mereka berjaya melepaskan diri. 

Revolver diletakkan betul-betul atas helmet perempuan yang memekak tadi menghalangiku. Dia pejamkan mata rapat-rapat. Sambil menitiskan air mata.

Ku keluarkan pisau yang tersisip di kasut but Bullboxer Brosus Cap Toe-ku. Pusingkan motosikal. Siap siaga mengejar yang mana terlepas. Pulas minyak sampai berkepul asap ekzos. 

ZASS!

Motosikal meluru laju di belakang mat motor yang seorang tu. Kelam-kabut dia bagai hari esok tiada lagi. Memang pun. Nyawa sudah berada di pangkal halkum. Lari pun tak guna. 

VRUM!

Sebuah lagi motosikal mengejar belakangku. Aku melihat ke cermin sisi. Perempuan degil ini sedang cuba menyaingiku. Bermati-matian cuba menghalangku dari membunuh lelaki yang sedang ketakutan.

"Sudahlah tu! Sudah!" Menjerit-jerit suaranya tenggelam timbul dalam kebingitan kejar-mengejar. Ku tak hiraukannya. Terus memecut menghampiri lelaki itu. Kini, dia sudah berada di sebelahku sisi ke sisi. Ku tendang motornya sampai terhuyung-hayang atas jalan. Ku tendang sekali lagi hingga lelaki itu akhirnya tercampak ke tepi jalan. Kapcainya berselerakan atas jalan hingga pecah cermin dan visor motornya. Tuannya? Melambung ke tepi longkang.

Ku berhentikan motor. Berjalan dengan pisau tajam berkilat kelihatan dari jauh. Dengan mata kemerahan, bagaikan mahu terkeluar biji mata melihat mangsaku.

"Mampus!"

VRUM! PRAK!

Aku tercampak ke tepi. Sebuah motosikal melanggarku dengan laju dari sisi. Kesempatan itu digunakan oleh mat motor tadi untuk melarikan diri ke dalam ladang. Aku bangun dengan kepayahan. Namun, pisau masih dipegang kemas dalam genggaman.

Perempuan itu bangun. Motosikalnya juga rebah bersama setelah melanggarku. Aku maju ke arahnya. Mencekak jaketnya di bahagian leher. Penuh amarah kali ini. Betul-betul menguji kelakianku. Kaki perempuan itu mulai tidak menyentuh tanah lagi. Ku angkat tinggi dengan sebelah tangan.

"Kau ni juga sampah! Sebab tu, aku tak percaya seekor manusia pun atas muka dunia ni!"

Saat itu juga ku hunuskan pisau ke perutnya. Perempuan itu menyambut dengan kedua-dua tangannya. Tikamanku terhenti. Ketika dan saat itu, perlahan-lahan kewarasanku mulai kembali pada titik rasional.

Darah mengalir dengan begitu banyak sekali dari kedua-dua belah tangan Hani. Ku lihat gadis itu berderaian air mata memandangku.

"Kenapa berhenti?! Bunuhlah saya! Bunuh! Itu saja yang awak tahu, kan?! Bunuh orang!"

Ku lepaskan cengkamanku pada jaketnya. Perlahan-lahan perempuan itu jatuh terduduk di atas tar jalan. Meraung-raung kesakitan. Lukanya sangat dalam. Pisauku tidak pernah mengecewakan tuannya selama ini. Sekali hiris, pasti terputus dua leher mangsa. Tangannya menggigil-gigil.

"Abah! Mama!" Meraung-raung tak tentu arah perempuan ni. Ku keluarkan kain yang ada dalam beg sandang, cepat-cepat ku balut kedua-dua tangannya. Hentikan pendarahan.

"Jangan sentuh saya!" Aku tak hiraukan marahnya. Ku teruskan balutan sampai darah tak lagi keluar. Angkat perempuan tu naik motosikalku. Tinggalkan saja motosikalnya di tepi jalan. 

"Kita nak ke mana?! Saya tak nak! Nak mati kat sini!" Aku hidupkan motosikal. Pecut laju. Hampir terjatuh minah tu bila ku pecut. Ku tarik kedua-dua tangannya, seluk poket jaket yang ku pakai.

"Pegang kuat-kuat." Antara aku dan dia ada beg senjata api di belakangku sebagai pemisah.

Berdesup motosikal ku bawa. Tanpa berhenti. Entah rasa bersalah atau tidak. Aku bagai tiada perasaan. Tapi, destinasi telah berubah. Kali ini, fokus aku adalah mencari mana-mana klinik berhampiran yang ada.

Itu saja.

***

"Done."

Tabib di sebuah pekan usai membersihkan luka dan membalut tangan Hani dengan lebih baik. 

"Jangan kena air. Makan ubat ini untuk cepat baik." 

Kami berjalan keluar dari pusat rawatan tersebut. Dia mengikut saja. Kami singgah di sebuah gerai tepi jalan. Ada makanan halal di situ. Tanda dah tak jauh dengan Thai. Sebab tukang masaknya pun dari Pattani. Faham dengan baik Bahasa Melayu. 

"Nasi goreng pattaya. Satu. Teh ais, dua."

"Kenapa satu? Awak tak makan?" Perempuan itu bertanya seolah sudah hilang seluruh kemarahan padaku. Aku tak jawab. Diam. Dingin membisu.

Makanan sudah sampai di meja. Ku sudukan nasi sedikit, bagi isyarat suruh dia nganga. Dia akur tak banyak songeh. Ku suapkan perempuan tu makan. Sampai habis. 

"Nak solat?" Dia angguk. Aku pergi ke sinki gerai tu. Buangkan sabun dalam botol penyembur yang digunakan di situ untuk lap meja dan cermin. Cuci. Masukkan air bersih. 

"Sini."

Semburkan pada anggota wudu'nya. Aku lapkan pula dengan tisu lebihan air wudu'. Simpankan botol tu dalam begnya. 

"Tak ada masjid kat sinilah awak."

Aku bawa dia ke satu tempat yang agak tersorok dari pandangan. Hamparkan jaket yang ku pakai ikut arah kiblat. 

"Sini."

Ku tunggu di tepi tiang lampu sambil mengawalnya habiskan solat jamak qasar Maghrib dan Isyak. Aku tahu, orang Islam yang baik tidak boleh berpisah dengan Tuhannya tiap masa. Lima kali sehari bermakna tidak pernah mahu berpisah. Sentiasa mahu bersua. Sentiasa mahu melepas rindu pada Sang Kekasih Azzawajalla. 

"Dah, gerak."

Hani kembali membonceng. Dengan meletakkan tangannya dalam saku jaketku. Ku hidupkan motosikal. Tak ada masa. Dah terlalu banyak masa terbuang di negara ni. Perlahan-lahan bergerak pergi dari tempat tu.

"Tadi, saya ada doakan awak." Ku dengar sayup-sayup di belakang suaranya.

"Saya doakan awak jadi lelaki yang baik." 

Aku mendiamkan diri. Tak menyahut kata-katanya. Merentas kedinginan malam dengan laju sekali. 

***

Untuk masuk ke Thai, tak sukar rupanya. Ada ramai kaki menanti di sempadan Vietnam-Thai. Jalan belakang. Ada jalan rahsia. Hanya perlu bayar pengerasnya. Jalan. Perkhidmatan tukar nombor plat negara sebelah pun ada disediakan sekali. Memudahkan kerja. Ah, tak heran. Senjata-senjata api yang berada di gerobok usangku pun diseludup dari pelbagai negara. Cuma perlu bayar. Ada kakinya yang bawa masuk. Lolos dengan cemerlang sekali setakat ini.

Kami teruskan perjalanan walaupun dah menjelang tengah malam. Hani sudah tersengguk-sengguk di belakang. Kepalanya disandarkan pada beg sandangku. 

Beberapa kali juga kami berhenti isi minyak. Perjalanan perlu diteruskan tanpa tangguh-tangguh. Siang hari mungkin mudah terserempak dengan askar Thai. Malam ni, susah sikit. Kena mengelak laluan utama dan laluan yang ada road-block saja. Tapi, perjalanan mudah kerana informer di sempadan tadi sudah maklumkan semua. Hanya perlu ikut saja arahnya.

Sepanjang perjalanan, banyak benda yang aku fikirkan. Apa misi seterusnya, siapa yang akan aku hadapi dan, kenapa aku tak tarik diri saja dari permainan maut ni? Tak ada apa yang menguntungkan pun. Duit, aku dah ada banyak. Duit berjuta dah sekarang ni. Aku boleh hidup mewah, senang-lenang.

"Tapi, tu duit haram kan?" Perkataan perempuan ni berlegar-legar dalam benak fikiranku. Tapi, what's done can't be undone. Terlajak perahu, boleh diundur. Aku ni sudah terlajak membunuh ramai orang. Kalau diundur, ke tali gantung akhirnya. Tiada jalan keluar, depan atau belakang. Semuanya jalan gelap. Nak tak nak, aku kena membunuh.

"Perempuan ni bagaimana?" Let her go lepas semua dah selesai. Dapat duit aku. Kemudian, aku ingat, aku nak bersara dari semua ni. Itu pun kalau aku berjaya tewaskan pembunuh no.1. Pasti, bukan calang-calang pembunuh upahan. Masakan boleh berada di tempat teratas. 

Aku diamkan segala pemikiran sekarang. Boring memikirkannya.

***

"Motor buat hal la pulak!" Hatiku membungkam keras. Mungkin tak lasak jalan jauh. Ya lah, motor lama. Jam menunjukkan pukul 4 pagi.

"Kita kena jalan kaki lagi?" Aku jalan saja tanpa menjawabnya. Dia mengekori rapat. Kami sampai di sebuah rumah usang. Kelihatan cahaya di dalamnya. Aku merapati dinding rumah tersebut. Mengintai dari celah dinding rumah.

Kelihatan seorang lelaki dalam range 60-an sedang berteleku di meja. 

Ku perhatikan lama apa yang dibuatnya. Sedang membaca rupanya. Apa agaknya yang dia sedang baca sampai masa ni pun masih khusyuk? 

Al-Quran.

Alunan Al-Quran sayup-sayup menjengah ke telingaku. Ditutup Al-Quran, sekejap dibukanya kembali. Ditutup lagi, dibuka semula. Pelik. 

Ku ketuk daun pintu rumah tersebut. Perlahan-lahan, orang tua itu membukanya untuk kami. Mempersilakan kami masuk. 

"Anak berdua ni dari mana?"

"Vietnam, nak balik Malaysia. Motosikal kami rosak." Hani menjawab sopan.

"Ni suami?" Hani mengiyakan saja pertanyaannya. Aku berkerut kening dalam helmet yang belum ku tanggalkan. 

"Masuklah. Duduk dulu. Ruang tamu sudah penuh. Anak berdua bolehlah duduk rehat di kerusi mana yang ada jika tak keberatan. Pakcik ke dapur buat air dulu."

"Eh, tak perlu susah-susah. Pakcik buat apa belum tidur?"

"Oh, pakcik menghafal Al-Quran, nak. Waktu awal pagi begini adalah waktu terbaik untuk kita menghafal Al-Quran. Iyalah, ingatan orang tua tak sebaik orang muda. Sekejap-sekejap kena tengok mashaf. Tak ingat, kena buka balik tengok."

Oh, patutlah buka tutup tadi. Aku menanggalkan helmet. Bersandar. Pedih di belakangku kian berkurangan. 

"Dah berapa juzuk dah pakcik hafal?"

"Alhamdulillah dah habis semuanya. Pakcik mengulang hafalan. Hafalan Al-Quran ini, bagaikan kuda liar. Sekiranya kita tak selalu mengulangi hafalan, ia akan 'lari' dari kita. Kena selalu baca dan baca barulah ianya 'jinak'."

Hani terlihat kagum. Aku memandang wajah pakcik tanpa sebarang perasaan.

"Kenapa dengan tangan tu, nak?"

"Jatuh motor, pakcik." Hani jawab penuh senyuman. Aku menjenguk ke ruang tamu. Ku lihat ramai budak-budak terbaring.

"Anak-anak pakcik ke tu?"

"Taklah. Tu semua anak-anak yatim piatu, anak gelandangan dan anak-anak yang dibuang orang."

"Kenapa mereka di sini?" Hani bertanya curious.

"Pakcik jaga mereka, jadikan mereka penghafal-penghafal Al-Quran."

"Sini pondok tahfiz ke?"

Pakcik itu menggelengkan kepala. 

"Tak, bukan sekolah, bukan pondok. Ini cuma rumah pakcik. Mereka semua bagaikan anak-anak pakcik. Pakcik suruh mereka panggil pakcik, 'ayah'. 

Malam, kami menghafal Al-Quran bersama-sama. Bila siang, pakcik keluar menangkap ikan di sungai atau laut. Ada rezeki, kami boleh makan. Tak ada, kami puasa. Pakcik tak pernah suruh budak-budak ni minta sedekah atau mengemis simpati orang ramai. Kerana mereka berasal di jalanan, kenapa perlu pakcik kembalikan mereka ke jalanan?"

Aku diam. Hani memandang pakcik dengan pandangan sayu. Teruja dan terharu dengan kesungguhan orang tua tu.

"Bila pakcik dah tiada nanti, siapa nak jaga budak-budak tu?" Hani bertanya, nak tahu.

Orang tua tu senyum menampakkan raut wajah tuanya yang berkedut seribu.

"Allah jaga. 

Selama ini pun Allah jaga, bukan pakcik yang jaga. Sedang kita semua dalam jagaan-Nya. Kita saja antara sedar dan tidak.

Kafir atau Islam, munafik atau mukmin, semua Allah rezekikan. Bezanya adalah pada keberkatan. Pada kafir dan munafik, diberikan kekayaan di dunia, namun di akhirat sana, muflis. Pada mukmin, diuji dengan sederhana dan kesusahan di dunia, sedikit yang kaya-raya, ramainya yang biasa-biasa, namun di akhirat kelak, ganjarannya Syurga. Bukankah adil perjalanan-Nya?"

Aku terdiam lama. Lemparkan pandangan ke dada langit malam.

"Berapa ramai bilangan budak-budak dalam rumah ni?"

"25 orang. 18 kanak-kanak, tujuhnya dah remaja."

Hani pula terdiam. Ramai.

"Pakcik ada motor tak?" Hani memecah kesunyian hening pagi.

"Ada."

"Jualkan motosikal pakcik pada kami."

"Tapi, motosikal pakcik dah uzur sangat."

"Tak mengapa. Kami beli."

Hani menurunkan beg sandangnya. Berpaling menghadap dinding. Mengeluarkan beberapa ikat duit dan masukkan dalam kocek jaketnya. Bungkusan tudungnya dimasukkan dalam beg sandangku.

"Pakcik, semua duit dalam beg ni, untuk pakcik. Nah. Ni harga motor pakcik. Saya nak pakcik bina rumah yang baik, lengkap dan jadikan pesantren atau pondok tahfiz terbaik di sini. Ambil seramai yang boleh budak-budak jalanan, jadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah. Jadikan mereka hafiz dan hafizah."

Aku terkejut di kerusi. Hampir saja bangkit bangun. Ku keluarkan pistol semi-auto P226 Elite. Acukan pada kepala orang tua tu. Hani terkejut beruk dengan tindakanku. Tapi, tangannya masih sakit untuk berkeras menghalangiku.

"Dan kalau kau tak buat seperti mana yang bini aku suruh, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing. Hancurkan kepala kau sampai berkecai!"

Pakcik terduduk. Terketar-ketar. Takut. Dia mengangguk-angguk faham. Bersumpah atas nama Tuhan akan laksanakan segala arahan. Menangis-nangis orang tua itu ketakutan.

"Bak kunci motor." 

Pakcik segera menyerahkan padaku. 

"Ingat apa yang aku cakap tadi."

"Jom, gerak."

Kami keluar dari rumah usang tadi. Bawa motor kapcai pakcik. Teruskan saja perjalanan yang masih jauh. Perempuan di belakangku memaut erat kocek jaketku. Lebih erat. Kalau bukan kerana dia ni sakit, aku dah campak ke atas jalan, langgar terburai isi perut. Memadai dengan duit juta-juta aku yang dia berikan percuma.

"Terima kasih, awak." Hani tersenyum di belakang. Tanpa aku nampak pun senyumannya.

***

Usai Subuh.

Kami sampai di tebing sungai. Sempadan di antara Thailand dan Malaysia melalui tebing Kelantan. Sungai Golok.

Port yang tiada askar berkawal di situ. Port di mana air sungai deras. Sangat deras dan pastinya di kawasan yang dalam. 

Aku duduk di tepi sungai. Menyentuh airnya. Dingin amat. Aku memandang perempuan di belakangku. Nampak gentar wajahnya.

"Kita kena menyeberang ke? Takut..." Melihat pada kelebaran dari tebing ke tebing, tambah tidak meyakinkan diri Hani.

Aku angguk perlahan. Aku terjun ke tepi sungai. Kedalaman sudah di aras leher. Arus air membuak-buak menampar dagu. Ku hulurkan tangan padanya. 

"Mari!"



Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!